Tuesday, July 13, 2010

BILA KAU LETIH DAN HILANG SEMANGAT,

ALLAH TAHU BETAPA KAU TELAH MENCUBA SEDAYA UPAYA,

BILA TANGISANMU BERPANJANGAN DAN HATIMU KEDUKAAN,

ALLAH TELAH MENGIRA TITISAN AIR MATAMU,

BILA KAU RASA KETINGGALAN DAN MASA MENINGGALKANMU,

ALLAH SETIA DISISIMU,

BILA KAU TELAH MENCUBA SEGALANYA TAPI TAK TAHU TUJUAN,

ALLAH ADA JALAN PENYELESAIANNYA,

BILA TAK ADA YANG BERERTI BUATMU, KELIRU DAN KECEWA,

ALLAH ADALAH JAWAPANNYA...

Firman Allah :

“Iaitu orang-orang yang apabila di timpa musibah mereka mengucapkan:

Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya lah kami kembali. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

(Al-Baqarah : 156-157)

Di dalam hadis Rasulullah bersabda yang maksudnya:

“Tiada musibah apa pun yang menimpa diri seorang muslim melainkan Allah menghapuskan keburukannya( dosanya) walaupun duri yang mengenainya.”

( HR Bukhari & Muslim)

Dari sebuah hadis Qudsi yang lain yang bermaksud:

“Allah berfirman kepada para MalaikatNya: “Pergilah kamu kepada hambaKu, timpakanlah berbagai macam ujian kepadanya kerana Aku ingin mendengar suaranya.”

(HR Tabrani)

Dan oleh yang demikian, saat kita di uji dan di timpa pelbagai musibah, kita harus percaya pada ketentuan Allah. Bila kita di uji , ini adalah kerana Allah yang menginginkan begitu, kerana dia ingin kita memohon dan kembali kepadaNya dan berdoa kerana Allah sedang merindui suara hambaNya yang lemah memohon.

Tenangkanlah hati apabila menerima ujian dari Allah, kerana tatkala Allah menimpakan ujian kepada kita, itu adalah kerana Allah sedang menjadikan kita kuat, tabah dan sabar. Allah juga sedang mengajar kita untuk menjadi lebih dewasa, membuat kita belajar dari pengalaman.

Sebagai contoh, satu peristiwa yang berlaku pada zaman dahulu, yang diceritakan oleh Ummi Salamah : Pada suatu hari, Abu Salamah mendatangi ku setelah ia kembali dari menemui Rasullullah, dia berkata: Saya telah mendengar Rasullullah SAW bersabda : “Tidak ada musibah apa pun yang menimpa diri seorang muslim lalu ia membaca istirja( inna lillahi wa inna ilaihi raji’un) pada saat musibah itu menimpanya, lalu ia berdoa:

Ertinya:

“ Ya Allah berilah kami pahala dari musibah ini, dan berilah kami ganti yang lebih baik dari musibah ini, melainkan Allah akan mengabulkan doanya.”

Ummi Salamah seterusnya berkata: Pada saat Abu Salamah meninggal dunia, saya telah menghafal doa itu dan saya membaca istirja’ serta berdoa : “Ya Allah, berilah kami pahala dari musibah ini, dan berilah kami ganti yang lebih baik dari Abu Salamah.”

Pada ketika itu saya mulai sedar dari kesedihan saya, saya bertanya kepada diri sendiri: “Siapakah yang lebih baik dari Abu Salamah?”

Akhirnya pertanyaan saya itu terjawab apabila saya selesai iddah, Rasulullah SAW datang bertamu dan meminang diri saya untuk dirinya sendiri.

Kemudian saya berkata: “ Siapakah yang tidak menginginkan hal itu? Walaupun demikian, saya harap baginda maklum, saya adalah orang yang sangat cemburu, dan saya merasa takut jika Allah menyeksa diri saya di sebabkan perasaan cemburu saya itu, dan saya pun wanita yang sudah tua dan memiliki keluarga.”

Baginda menjawap: “ Adapun tentang kecemburuanmu itu, maka Allah akan menghalangkannya, tentang umurmu yang sudah agak tua, maka keadaanku begitu jua. Adapun tentang keluargamu, maka keluargamu adalah keluargaku.”

Ummi Salamah berkata: “ Saya pun menyerah kepada kehendak baginda.”

Maka Rasulullah pun mengahwini Ummi Salamah. Setelah itu Ummi Salamah berkata: “Benarlah apa yang di janjikan oleh Allah SWT itu. Dia telah memberikan ganti untukku dengan yang lebih baik dari Abu Salamah.”

Dari cerita itu tadi, dapatlah kita simpulkan bahawa di sebalik dugaan itu terselit hikmah dan rahsia Allah yang tidak kita ketahui. Itulah yang di katakan qada’ dan qadar yang telah Allah tetapkan untuk kita.

Apa yang kita dapat belajar dari cerita itu juga adalah, mintalah doa pada Allah, yakinlah pada janji Allah, bersabarlah dengan ujian sementara. Insyaallah, bukan Allah tidak tahu hati hambaNya yang sabar dan yakin denganNya.

Allah telah membenarkan kalimahnya, fa inna ma’al ‘usri yusra, inna ma’al ‘usri yusra.( maka sesungguhnya selepas kesusahan, datangnya kesenangan.dan sesungguhnya selepas kesusahan datangnya kesenangan) 2 kali Allah sebut dalam surah al-Insyirah. Selepas di ujinya kamu, kemudian kamu bersabar dan meminta kepadaNya, kemudian Allah akan ganjarkan dengan berita gembira kepada mereka yang sabar dengan ujianNya.

BILA DIA MENGUJIMU, ITU BERMAKNA DIA SEMAKIN MENYAYANGIMU

Tuhan sedang mendekatimu,
Dan menuntut hati dan jiwamu,
Untuk digantikan dengan syurga abadi,
jika engkau yakin dan sabar.
Tuhan datang dan dibawakan buatmu,
Ujian demi ujian supaya kau tak pernah lupa,
Bahawa adanya Dia,
Yang mencipta segala sesuatu,
Dialah juga yang menulis taqdirmu,
Dialah yang memilih jalanmu dijadikan berliku,
Adakah dengan sengaja?
Tidaklah Dia jadikan sesuatu dengan sia-sia,
Itu janjiNya, percayalah dengan sepenuhnya,
Kerana dia menjawap doa hambaNya,
Dengan tiga cara;
dikatakanNya ya dan berikan apa yang kau mahu,
dikatakanNya tidak dan berikan apa yang lebih baik,
dan dikatakanNya tunggu untuk berikan apa yang terbaik dengan masaNya,
bila engkau diuji, yakinlah;
bahawa Dia sebenarnya semakin menyayangi kamu,
dan Dia juga mendengar keluhan rasa di hatimu,
akan tiba suatu masa, bila janji Allah yang benar,
menyelimuti kamu dengan tenang keimanan,
rasailah hadirNya di setiap sunyi mu,
kerana Dia sendiri yang inginkan begitu,
supaya kamu akan berbicara dan meminta,
dengan hatimu yang lunak dengan redha,
dan percayalah,
Tuhan sedia bersamamu.

Monday, July 12, 2010

Malaysia mudah amal dasar Islam jika Pas, UMNO bersatu


Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR

utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 11 Julai – Hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan UMNO bersatu dan bekerjasama.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam berkata, hasrat itu menjadi lebih mudah jika Pas bekerjasama dengan UMNO berbanding dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, kedua-dua parti pembangkang itu jelas mempunyai perjuangan yang berbeza iaitu DAP menolak Islam manakala PKR pula adalah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi pemimpinnya.

“Jika UMNO dan Pas bekerjasama banyak perkara boleh dilaksanakan termasuk hukum hudud berbanding tindakannya bekerjasama dengan DAP dan PKR yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Perdana bertajuk Bolehkah Melayu Bersatu? di Dewan Balai Islam Lundang di sini malam tadi.

Ahli panel lain ialah bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusoff Rawa dan Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Mohd. Affandi Yusoff.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff bertindak sebagai moderator wacana itu yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang.

Lokman yang juga bekas ahli PKR berpendapat, Pas tidak mungkin dapat menubuhkan negara Islam seperti diharapkan kerana tidak mempunyai kuasa dua pertiga di Parlimen kecuali bersatu dengan UMNO yang mempunyai suara majoriti orang Melayu dan Islam.

“Tiada sebab Pas tidak menyahut salam UMNO untuk berbaik-baik dan melupakan sejarah hitam menyebabkan kedua-dua parti itu berpecah daripada gabungan dalam Barisan Nasional (BN) pada 1977,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Asri berpendapat, bersatu untuk menyokong sesebuah parti politik tidak membawa makna kecuali ia berasaskan visi perjuangan Islam tulen.

“Semangat perpaduan dan bersatu dalam konteks bangsa sahaja tidak menjamin perpaduan sebenar.

“Buktinya dapat dilihat apabila masih ramai umat Islam di dunia yang berpecah-belah dan tidak bersatu kerana tidak meletakkan asas perpaduan Islam,” katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas itu, Mohd. Asri tidak menafikan bahawa Pas dan UMNO adalah parti Islam dan akidah mereka adalah akidah Islam.

“Kalau ada pun individu itu dan ini, itu adalah masalah individu bukan masalah dasar.

“Pada asasnya kedua-dua parti ini menerima al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan. Pada umumnya menerima, cuma interpretasinya kadang-kadang berubah,” katanya.

Tambah Mohd. Asri, yang menjadi pertikaian rakyat ialah masalah akhlak dan cara membuktikan penerimaan itu.

“Pada cakap mulutnya semua orang cakap dia terima al-Quran dan Sunnah, tapi yang orang pertikaikan ialah bagaimana ia dilaksanakan,” ujarnya.