Wednesday, September 28, 2011

Bahasa Melayu di PBB



Bahasa Melayu boleh diguna di PBB jika penutur sepakat


2011/09/25
BAHASA Melayu dan Indonesia mampu digunakan pada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menjadi bahasa rasmi Asia Tenggara dan Asia jika wujud kesepakatan di kalangan lebih 300 juta penuturnya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata bahasa Melayu dan Indonesia mempunyai keupayaan tersendiri kerana jumlah penuturnya yang ramai di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan selatan Thailand.
Jika bahasa Perancis dan Jepun digunakan di PBB, mengapa tidak bahasa kita. Bahasa Melayu dan Indonesia mempunyai kedudukan tinggi kerana antara lima hingga enam bahasa dunia, katanya pada majlis perasmian Pertemuan Wartawan dan Budayawan Malaysia Indonesia di Dewan Sidang Hatta di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Tifatul Sembiring; Gabenor Sumatera Barat, Prof Dr Irwan Prayitno dan Wali Kota Bukittinggi, Ismet Amziz.

Pertemuan Wartawan dan Budayawan Malaysia Indonesia yang dianjurkan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) menjadi medan dialog sebagai hubungan antara masyarakat.

Antara delegasi dari Malaysia ialah bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya dan penerbit filem, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar Kamaruddin.
Rais berkata, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama untuk menjadikan bahasa Melayu dan Indonesia sebagai bahasa ilmu, seni dan komersil di rantau ini, sekali gus memperjuangkannya sebagai bahasa rasmi Asia Tenggara dan Asia.

NGO seperti badan budaya dan persuratan perlu memberi sumbangan dalam hal ini manakala Jawatankuasa Peristilahan menjadi ejen bahasa dalam memperluaskan istilah yang bakal digunakan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam, katanya.



Tuesday, September 27, 2011

Bahasa Melayu jadi kekuatan ASEAN

Bahasa Melayu jadi Kekuatan ASEAN

Menteri Penerangan Malaysia bakal ke Sumbar

Padang Ekspres • Sabtu, 17/09/2011 12:04 WIB • (img/rpg)
Kuala Lumpur, Padek—Keseharian masyarakat dewasa ini yang cenderung menggunakan bahasa Inggris dalam berkomunikasi sehari-hari, bakal berdampak pada tergerusnya bahasa ibu yang menjadi jati diri bangsa. Kondisi tersebut tidak lepas dari pengaruh globalisasi dan gaya hidup hedonisme. Untuk menyelamatkan itu, negara serumpun Indonesia dan Malaysia saat ini terus berupaya, membumikan kembali bahasa Melayu, sebagai bahasa ASEAN. Menjadi alah satu kekuatan pemersatu bangsa di ASEAN, terutama yang menjadi rumpun Melayu.

”Kita harus bangga dengan bahasa Indonesia, bahasa Melayu. Saya ingin bahasa Indonesia dan bahasa Melayu dipertahankan menjadi bahasa ilmu,” ujar Menteri Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan Malaysia Dato Seri Utama Dr Rais Yatim di sela-sela perayaan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, Jumat (16/9).

Menteri yang keluarganya berasal dari Palupuah, Agam itu menambahkan, jati diri bangsa tercermin dari bahasanya.

Bahasa Melayu yang dituturkan tidak kurang dari 300 juta masyarakat itu, mesti terus dipupuk dan dipertahankan. ”Jadi, kenapa kita tidak memakainya? Mengapa kita lebih bangga memakai bahasa Inggris?” kata Rais Yatim.

Dalam kesempatan wawancara dengan koran ini, menteri yang pernah mengajar bahasa Melayu di Universitas Chicago, Amerika Serikat itu juga mengimbau agar masyarakat mengenyampingkan isu-isu kecil yang bisa berujung pada terpecahnya persaudaraan bangsa Indonesia dan Malaysia.

Kementerian yang dipimpinnya, ke depan akan menjalin kerja sama dengan Kementerian Komunikasi dan Informasi Indonesia. Membuat berbagai program budaya yang bisa mempererat hubungan kedua negara yang pernah memanas karena persoalan kedaulatan negara dan TKI. ”Hubungan Malaysia dan Indonesia akan lebih erat sebagai satu kumpulan masyarakat besar yang akan disatukan dengan satu bahasa,” ujar Rais Yatim.

Sumbar Harus Maju

Pada bagian lain, Rais Yatim juga sempat menyinggung kentalnya hubungan emosional antara Sumatera Barat dan Negeri Sembilan, Malaysia. Ini terlihat jelas dari hubungan kenegaraan, kebudayaan, agama dan sejarah.

Negeri Sembilan, kata Rais Yatim, bertuan ke Minangkabau. Dalam silsilahnya, Raja Malewar yang pernah memerintah di Negeri Sembilan antara tahun 1773–1795 berasal dari Minangkabau. Datuk Perpatih nan Sebatang dulunya juga pernah singgah di Negeri Sembilan.

Masih banyak adat istiadat Minangkabau yang masih terjaga sampai sekarang dalam kehidupan sehari-hari masyarakat, khususnya di Sungai Pucuk, Lembau dan Johor. Kesamaan tersebut juga terlihat dari komunikasi masyarakat Negeri Sembilan yang bahasanya sama dengan bahasa Minang. ”Sumbar dan Negeri Sembilan Malaysia punya hubungan yang mengikat dan tak bisa terpisahkan,” katanya.

Eratnya hubungan tersebut juga tergambar dengan rencana kunjungan Rais Yatim ke Padang dan Bukittinggi pada 23 September mendatang. Dalam kunjungan itu, juga hadir Menkominfo Tifatul Sembiring. Untuk menjalin kerja sama dan silaturahmi yang lebih mendalam.

”Kita akan mencari jalan bagaimana perjuangan kita dari segi budaya, sejarah bisa dipersatukan, termasuk dalam mengembangkan segenap potensi yang dimiliki Sumatera Barat, seperti produk-produk seni yang banyak diminati di Malaysia,” ujar Rais Yatim.

Dalam kesempatan lawatannya ke Sumatera Barat, Rais Yatim juga akan menyempatkan diri berziarah ke makan leluhurnya. Prosesi ini juga akan melibatkan pucuk pimpinan adat di Sumbar. (img/rpg)

[ Red/Redaksi_ILS ]

Wednesday, September 21, 2011

Bahasa Rojak Semakin Parah

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

AWANG bersetuju dengan Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang berpandangan penggunaan bahasa Melayu ‘rojak’ terutama di kalangan generasi muda semakin parah.

Bagi Awang, mutu bahasa Melayu akan terjejas apabila kita berbicara dalam bahasa itu tetapi dicampur aduk dengan kata-kata daripada bahasa lain. Keadaan menjadi lebih teruk apabila penggunaan singkatan yang tidak standard sama ada dalam tulisan mahupun pertuturan.

Amalan tersebut, jika berterusan tidak akan menyumbang kepada pemerkasaan bahasa Melayu. Akan berlaku banyak pelanggaran tatabahasa dan sebagainya. Lama kelamaan bahasa rojak itu diterima umum sebagai ‘bahasa standard’.

Pendedahan kanak-kanak pada tahap mencukupi dalam pembelajaran dan penulisan bahasa Melayu mungkin boleh memperbetulkan keadaan.

Aktiviti ke arah pemantapan penggunaan bahasa Melayu seperti debat dan pidato di peringkat sekolah rendah lagi perlu digerakkan semula secara aktif.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab banyak pihak termasuk ibu bapa dan sekolah memberi penekanan kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi ketika masyarakat sekarang disogok pula dengan ‘bahasa SMS’ menerusi penggunaan teknologi baru.

Sudah sampai masanya usaha ke arah memperkasakan bahasa Melayu diperhebatkan semula selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.

Sunday, September 4, 2011

Hilangnya pejuang bahasa Melayu






KEPADA pejuang bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan nasional, tidak usahlah menganggap kepulangan pejuang bahasa Melayu, Datuk Hassan Ahmad satu "kehilangan" kepada bangsa dan negara. Mereka tidak kehilangan apa-apa.

Dalam perjuangan memartabatkan bahasa Inggeris, kepulangan seorang yang bernama “Hassan Ahmad” pada 31 Ogos lalu pada usia 75 tahun bukan kehilangan.

Mereka yang berasa kehilangan adalah rakan seperjuangan dan pencinta bahasa Melayu. Ini kerana kepulangan Hassan adalah gugurnya tokoh yang berjuang meletakkan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan. Hassan lantang mengutarakan pandangan, penuh tanggungjawab tanpa bimbang kedudukan terjejas. Hassan sanggup turun ke jalan raya memprotes Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), satu-satunya pendekatan mengubah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, seterusnya meminggir bahasa Melayu secara terhormat dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Ada sesetengah pihak menganggap pejuang bahasa Melayu menolak bahasa Inggeris kerana mereka tidak mahir bahasa Inggeris. Ini salah sama sekali kerana banyak pejuang bahasa Melayu mahir bahasa Inggeris. Hassan juga mahir berbahasa Inggeris. Tetapi mahir berbahasa Inggeris bukan bermakna mahu menggantikan kedudukan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Buktinya Hassan bukan seorang yang menentang bahasa Inggeris, cuma yang ditentang ialah merendahkan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Hassan mendapat pencapaian peribadi tertinggi sebagai Duta Malaysia ke UNESCO pada 1988. Tetapi baginya , kejayaan sebenarnya ialah apabila berjaya meletakkan kedudukan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan. Bagaimanapun hingga hari terakhirnya bahasa Melayu terus dipinggirkan termasuk kalangan pemimpin Melayu sendiri.

"Dasar Bahasa Kebangsaan kita semakin melemah. Ini memusnahkan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sedangkan selama 30 tahun bahasa Melayu sudah terbukti mampu melahirkan banyak ahli sains dan perubatan serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang," demikian tegas kepada saya dalam satu wawancara pada tahun 2009 mengenai bahasa Melayu.

Jawatan

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1976 hingga 1988 ini seorang yang sangat mencintai bahasa Melayu. Buktinya Hassan sanggup meletak jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah Pontian pada 1962 untuk menjadi Pegawai Penyelidik di DBP pada 1963. Kalau memilih kedudukan dalam masyarakat, Allahyarham tentunya tidak meninggalkan jawatan itu untuk menjawat jawatan yang lebih rendah dan tidak popular.

Walaupun Hassan pulang terlalu awal dalam keadaan bahasa Melayu yang merempat di negara sendiri, setidak-tidaknya meninggalkan satu jalur perjuangan kebahasaan dan kesusasteraan kepada generasi selepasnya. Hassan tidak pernah jemu dengan perjuangan bahasa Melayu yang selalu menemui jalan buntu, malah terus bersemangat menyampaikan pidato, menulis dan memberi kenyataan kepada media tentang bahasa Melayu.

Menduduki kerusi panas Ketua Pengarah DBP memberi peluang kepada Hassan mentadbir institusi yang ditugaskan membina dan mengembangkan bahasa dan sastera. DBP diperhebat sebagai penerbit karya-karya kesusasteraan dan bahasa Melayu yang terbesar di negara ini. Kesungguhan dan pengalaman yang luas dalam lapangan penyelidikan menjadi pemangkin pentadbir yang cukup disegani.

Malah telah memberikan perhatian yang serius terhadap perancangan bahasa dan sastera. Dari segi bahasa, DBP bawah pimpinannya berjaya memperkemas dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang moden dan saintifik. Serentak dengan tugas tersebut, DBP juga telah menumpukan lebih perhatiannya kepada masalah kesusasteraan, malah memperluas kegiatannya dan menjadi penerbit buku kesusasteraan Melayu yang terbesar di negara ini.

Hassan dilahirkan pada 8 Disember 1936 di Muar, Johor adalah anak sulung daripada lapan adik beradik dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Mersing (1942-1943) dan Sekolah Melayu Muar (1945-1948). Kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Muar hingga lulus peperiksaan Sijil Persekolahan pada tahun 1955. Memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan lulus Sijil Tinggi Pelajaran (1957). Mulai tahun 1959, Hassan melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera.

Hassan adalah antara 13 mahasiswa yang menentang cara pengajaran dan sistem pengajian Melayu di universiti ketika itu. Malah pernah berucap bagi pihak kumpulan 13 menyeru supaya diwujudkan suatu sistem pengajian terbuka. Turut terlibat sama dalam peristiwa itu ialah Allahyarham Ali Haji Ahmad dan Kassim Ahmad. Ternyata perjuangan Hassan terhadap bahasa dan kesusasteraan semarak sejak zaman remaja lagi.

Antarabangsa

Sebagai Ketua Pengarah DBP, Hassan kesempatan melawat ke luar negara atau menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa di Amerika Syarikat, Eropah, Rusia, India, Jepun, Korea, Filipina, Thailand, dan Indonesia. Pada tahun 1982, Hassan diundang oleh National Book Trust of India mempengerusikan salah satu sesi dalam Seminar on Book For All at Low Cost di New Delhi. Kemudian sewaktu Persidangan Editor Asia di Singapura pada 1982 Hassan diundang membentangkan kertas kerja mengenai masalah dan teknik terjemahan serta adaptasi.

 Ternyata tumpuan utamanya bukan sahaja terhadap lapangan perancangan bahasa dan sastera malah malah dalam bidang terjemahan. Setakat ini tiga buah buku tentang organisasi dan pengurusan telah diterjemahkan, masing-masing berjudul Eksekutif yang Berkesan (1984), Aspek Kemanusiaan dalam Perusahaan (1984), dan Sukarnya Membuat Pilihan (1986).

Di samping itu menghasilkan dua buku, Syair (1964) dan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan-Pertubuhan Khasnya (1966) yang kedua-duanya diterbitkan oleh DBP.

Setelah bersara dari DBP pada tahun 1988, Hassan dilantik sebagai Duta Malaysia ke UNESCO. Memandangkan pengalamannya yang luas dalam bidang penerbitan buku, sekembalinya ke Malaysia, Hassan dilantik sebagai Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan hingga akhir hayatnya.

Hassan pernah melahirkan kebimbangan kepada saya tatkala kami berjumpa tahun lalu mengenai sikap sesetengah orang Melayu terhadap bahasa Melayu. Pesannya saya ingat sampai hari ini, "Orang Melayu mesti sedar kalau mereka membiarkan bahasa Melayu musnah, perjuangan mereka juga berakhir sebab bahasa bukannya sistem linguistik sahaja tetapi alat membentuk pemikiran dan budaya bangsa. Kalau orang Melayu sudah tidak pandai lagi berfikir dalam bahasa Melayu, mereka akan jadi bangsa kacukan dalam berfikir."
-----------------------------------------------------------------
Hafiz Hasan Basri berpendapat  untuk menggalakkan semua warganegara menggunakan Bahasa kebangsaan terlebih dahulu perlulah disebut 'Bahasa Malaysia'.supaya tidak timbul prasangka sesetengah warga bahawa 'bahasa melayu' untuk kaum melayu sahaja.