Tuesday, November 15, 2011

Penangguhan PPSMI yang terlalu lama!

ISMA tuntut pemansuhan penuh PPSMI disegerakan


Abdullah Zaik Abdul Rahman
10:18PM Nov 7, 2011

Keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah sangat dialu-alukan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Walau bagaimanapun, tarikh pemansuhan sepenuhnya yang hanya berkuatkuasa pada 2021 dilihat kurang wajar.

ISMA menganggap pengumuman ini adalah satu penangguhan. ISMA bimbang sikap tidak konsisten pembuat keputusan akan menimbulkan keresahan berterusan majoriti rakyat, terhadap masa depan pendidikan anak-anak mereka dan nasib bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi telah diperjudikan.

Ia berdasarkan kajian kementerian pendidikan sendiri menunjukkan hanya 5-7 peratus sekolah seluruh negara telah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebelum ini, manfaat daripada penangguhan ini adalah kurang jelas.

Di samping itu, kajian-kajian lain juga jelas menunjukkan pencapaian pelajar dalam sains dan matematik lebih baik sebelum dasar PPSMI dilaksanakan. Oleh itu, penangguhan ini akan lebih banyak memberi kesan buruk.

ISMA berpandangan pemartabatan bahasa Melayu tidak dapat dicapai hanya melalui slogan-slogan dan saranan-saranan yang dilaungkan dalam Bulan Bahasa Kebangsaan sahaja. Iltizam yang kukuh perlu ditunjukkan melalui polisi pendaulatan bahasa Melayu yang konsisten.

ISMA memberi amaran agar tidak ada pihak-pihak yang terus menerus mengambil kesempatan dalam senario politik semasa untuk mengugut kerajaan dengan risiko kehilangan sokongan, jika tidak meneruskan dasar PPSMI.

ISMA menuntut agar kerajaan tidak berlembut dalam mempertahankan prinsip kenegaraan, terutama berkaitan kedudukan bahasa Melayu, hanya disebabkan tekanan politik. Ini kerana, jika semua prinsip asas dan dasar kenegaraan dijadikan bahan berpolitik, negara akan terdedah kepada bahaya besar.

ISMA yakin kekayaan bahasa Melayu sebagai bahasa intelektual dan bahasa kebangsaan dan ia mampu menjadi bahasa pengantar yang berkesan untuk pelajaran Sains dan Matematik. Ia adalah bahasa yang setanding dengan pelbagai bahasa bangsa lain di dunia.

Oleh itu, Malaysia akan tetap mampu menjadi negara maju seperti Jepun, German, Itali dan Perancis, walaupun tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa sains dan teknologi.

ISMA menyeru agar seluruh rakyat Malaysia terus memupuk rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu kerana ia merupakan lambang jatidiri unggul dan unik yang perlu dipertahankan.

--------------------------------------------------------------------------------

Penulis adalah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Sunday, November 6, 2011

PPSMI dimansuhkan pd 2016 dan 2021

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya lima tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2016.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Nov 2011 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2016 dan 2021.

Saturday, November 5, 2011

pemansuhan PPSMI disekolah menengah dimansuhkan thn 2021..kenapa terlalu lama utk dimansuhkan??

Pemansuhan PPSMI kekal


Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 4 Nov. - Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada tahun 2016 dan untuk Sekolah Menengah pada 2021.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan murid-murid tahun dua tahun ini akan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga tamat tingkatan lima.

''Murid-murid tahun tiga hingga tahun enam tahun bagi sesi 2012 dibenarkan meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan (SK).

''Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, mereka dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa manakala SJK Tamil pula boleh menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa.

''Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar mengenai pelaksanaan peralihan secara mudah (soft-landing) PPSMI di sini hari ini.

Serentak itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, keputusan pemansuhan PPSMI adalah kekal kerana kerajaan tidak bercadang melaksanakannya semula seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.

''Pelajar yang baru masuk dalam sistem pelajaran kita mulai tahun ini, mereka akan ambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bahasa Melayu.

''Tetapi kita yakin dengan keputusan itu pencapaian murid di bawah kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM tidak akan terjejas," katanya.

Muhyiddin berkata, kajian kementerian mendapati hanya 6 hingga 7 peratus sekolah yang melaksanakan PPSMI.

Ini kata beliau menunjukkan kebanyakan sekolah mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu dan ia membuktikan PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

Jelas beliau, kajian mendapati pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual murid-murid menunjukkan mereka sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Katanya, murid mengambil masa lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana tidak faham bahasa Inggeris sehingga memaksa guru mengajar dalam bahasa Melayu supaya murid dapat memahaminya dan masalah itu turut dialami di bandar.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris melalui pengenalan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Di bawah MBMMBI itu, beliau menambah, kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

''Antara inisiatif itu adalah penambahan masa Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru mahir dan penyediaan bahan sokongan yang berkualiti.

''Sehubungan itu, kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik dalam kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan," katanya.

Muhyiddin menambah, kementerian itu juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan meningkatkan penguasaan lisan kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.