Showing posts with label Tentang Agama. Show all posts
Showing posts with label Tentang Agama. Show all posts

Wednesday, November 17, 2010

ARKIB : 10/12/2010

Penjelasan umur Aisyah

PARA pembaca dan pengkaji serta pencinta ilmu yang budiman. Saya yakin ada pembaca budiman yang terperanjat dengan artikel yang diterbitkan sebelum ini, mengenai umur Aisyah.

Artikel itu disediakan dengan bantuan beberapa teman sepejabat. Mungkin ada yang kurang senang dengan artikel tersebut memandangkan isi kandungannya tidak menyebelahi penetapan umur Aisyah ketika bernikah dengan Nabi SAW.

Para pembaca harus faham bahawa untuk membincangkan sesuatu topik yang besar seperti ini perlukan ruangan yang lebih besar.

Jadi, dalam ruangan yang sempit, masa yang terhad dan kepakaran yang terbatas pastinya terdedah kepada kelemahan dan kekurangan.

Harapan saya, para pembaca tidak mengambil kesempatan mencela dan mengata di belakang. Kita semua bertanggungjawab menyebar dan mempertahankan ajaran Islam serta menjaga kesuciannya. Lebih-lebih lagi yang berkaitan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, pembawa syariat Allah.

Rupanya, kebanyakan kita lupa kepada ayat Allah SWT yang bermaksud: … dan hendaklah kamu bantu membantu dalam perkara-perkara kebajikan dan takwa dan jangan sama sekali kamu bantu membantu dalam perkara dosa maksiat dan pencerobohan…(al-Maidah: 2)

Menolak hadis-hadis yang sahih adalah jenayah dalam Islam. Kami yang berusaha mempertahankan hadis-hadis yang sahih tidak akan menolak hadis-hadis yang sahih. Lebih-lebih lagi hadis dari Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Apa yang berlaku adalah satu kecuaian yang tidak disengajakan dalam memilih pendapat dalam penetapan umur Aisyah r.a yang dirujuk.

Bagi membetulkan fakta dinyatakan pendapat yang rajah dan selari dengan hadis-hadis yang sahih seperti berikut.

Penetapan umur Aisyah r.a ketika dinikahkan dengan Rasulullah SAW adalah ketika Aisyah berumur enam tahun dan Rasulullah tinggal bersama berumur sembilan tahun bukanlah ijtihad ulama sehingga boleh ditentukan kesahihan dan kesalahannya.

Penetapan ini adalah daripada nukilan sejarah yang telah pasti kesahihannya dan mesti diakui dan diterima tanpa bantahan. Dikhuatiri bantahan dan penolakan terhadap penetapan umur Aisyah r.a dinikahi Nabi saw ketika berumur enam tahun mengundang kepada penolakan hadis-hadis yang sahih dari sudut sanad dan matannya.

Hal ini berdasarkan beberapa faktor yang akan dinyatakan sebagaimana di bawah.

l Penetapan atau pengakuan ini adalah bersumberkan kata-kata pemilik kisah sendiri iaitu Ummul Mukminin Aisyah r.a. Bukan juga sesuatu yang ditetapkan oleh ahli sejarah. Kisah perkahwinan ini diriwayatkan oleh Aisyah r.a sendiri:- Daripada Aisyah r.a. berkata: Nabi SAW. melaksanakan pernikahan denganku ketika aku berumur 6 tahun. Kami pergi ke Madinah dan tinggal sementara di perkampungan Bani al-Harith b. al-Khazraj. Kemudian aku ditimpa penyakit yang menyebabkan rambutku gugur. Lalu rambutku tumbuh semula. Ketika aku bermain-main dengan rakan-rakanku, ibuku Ummu Ruman memanggilku. Aku pun mendapatkan ibuku tanpa mengetahui apa yang dikehendakinya. Ibuku memegang tanganku dan membawaku sehingga memberhentikanku di hadapan pintu rumah. Aku merasa gementar dan sesak nafas, apabila gementarku semakin hilang, ibuku mengambil sedikit air dan membasahkan wajah serta kepalaku. Lalu ibuku membawaku masuk ke dalam rumah. Di dalam rumah aku dapati sejumlah wanita-wanita Ansar. Mereka berkata: Di atas kebaikan dan keberkatan, kebaikan yang akan datang. Ibuku menyerahkanku kepada mereka. Mereka mempersiapkanku dan memperelokkan keadaanku. Tanpa aku menyedari, pada waktu duha Rasulullah SAW tiba, maka aku diserahkan kepada Baginda. Ketika itu aku berumur sembilan tahun.

Riwayat daripada Aisyah r.a ini ada di dalam kitab hadis yang paling sahih selepas kitab Allah iaitu Sahih al-Bukhari (3894) dan Muslim (1422).

Kisah ini diriwayatkan atau datang dari Aisyah r.a melalui jalur periwayatan (sanad) yang banyak selain riwayat yang paling masyhur iaitu daripada Hisyam bin Urwah bin al-Zubair, daripada bapanya Urwah bin al-Zubair, daripada Aisyah r.a dan jalur Hisyam bin Urwah ini merupakan riwayat yang paling sahih.

Urwah bin al-Zubair ialah antara perawi yang paling mengenali Aisyah, kerana Aisyah adalah ibu saudaranya.

Riwayat-riwayat lain berkenaan kisah ini adalah melalui:

l Riwayat al-Zuhri daripada Urwah bin al-Zubair dari Aisyah r.a. (Muslim 1422)

l Riwayat al-A'mash, daripada Ibrahim, daripada al-Aswad, Aisyah berkata: Rasulullah SAW mengahwininya ketika dia berumur 6 tahun, tinggal bersamanya ketika berumur 9 tahun dan Rasulullah wafat ketika Aisyah berumur 18 tahun. (Muslim 1422)

l Riwayat Muhammad bin Amr, daripada Yahya bin Abdul Rahman bin Hatib, daripada Aisyah. (Abi Daud 4937).

Para perawi yang menyokong riwayat Urwah bin al-Zubair pula adala: al-Aswad bin Yazid, al-Qasim bin Abd Rahman, al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr, Amrah binti Abdul Rahman dan Yahya bin Abdul Rahman bin Hatib.

Perawi yang menjadi mutabi' bagi Hisyam bin 'Urwah bin al-Zubair adalah Ibn Syihab al-Zuhri dan Abu Hamzah Maimun maula Urwah.

Perawi yang mengambil daripada Hisyam bin Urwah daripada penduduk Madinah Abu al-Zinad Abdullah bin Zakwan, anaknya Abd al-Rahman bin Abi al-Zinad, Abdullah bin Muhammad bin Yahya bin Urwah. (Ini menunjukkan Hisyam turut meriwayatkan kisah ini sewaktu dia berada di Madinah).

Di kalangan penduduk Mekah Sufyan bin Uyaynah; penduduk al-Ray, Jarir bin Abd Hamid al-Dobbi. Di kalangan penduduk Basrah ialah Hammad bin Salamah, Hammad bin Zayd, Wuhaib bin Khalid dan sebagainya.

Semua ini bagi menjawab sangkaan bahawa Hisyam bin Urwah bersendirian meriwayatkannya dan sangkaan bahawa Hisyam telah bertukar atau berubah hafalannya di akhir umurnya.

Imam al-Zahabi berkata: "Hisyam bin Urwah, salah seorang ulama tetapi apabila sudah berumur, hafalannya sedikit kurang, beliau tidak pernah al-Mukhtalid (bercampur @ berubah antara yang salah dengan yang benar dalam riwayat)."

Apabila beliau sampai di Iraq di akhir umurnya, beliau menyampaikan ilmu dan terdapat amat sedikit yang tidak dinyatakan ketepatannya. Perkara ini juga berlaku kepada Malik, Syu'bah, Waqi' dan ahli-ahli hadis yang terkemuka. (Mizan al-I'tidal 4/301-302)

Adapun pendapat yang mengatakan bahawa Hisyam bin Urwah dan Suhail bin Abi Sahih telah mukhtalid, benar seseorang itu akan berubah sedikit dengan hafalannya iaitu tidak seperti ketika mudanya, maka beliau tidak beberapa pasti akan hafalannya.

Begitu juga kisah perkahwinan Nabi SAW dengan Aisyah r.a ketika beliau berumur sembilan tahun. Diriwayatkan oleh selain Aisyah, di kalangan mereka yang sempat bersamanya dan lebih mengenalinya daripada orang lain.

Telah diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad daripada Muhammad bin Bisyr, berkata: "Muhammad bin Amr telah memberitahu kami, Abu Salamah dan Yahya juga telah memberitahu kami ….. Di dalam riwayat ini dinyatakan bahawa umur Aisyah ketika akad adalah 6 tahun dan tinggal bersama ketika 9 tahun. (Musnad Ahmad 6/24)."

Berkata Imam al-Bayhaqi, ketika mengulas hadis: "Aku tidak mengetahui tentang ibu bapaku melainkan mereka sudah memeluk agama Islam berkata Aisyah dilahirkan di dalam Islam, kerana bapanya memeluk Islam sewaktu permulaan Rasulullah SAW dilantik."

Maka jelas melalui hadis-hadis sahih di atas bahawa umur Aisyah ketika dinikahi oleh Nabi SAW adalah enam tahun.

Mudah-mudahan jawapan yang ringkas ini memberi manfaat kepada mereka yang ikhlas mencari kebenaran.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Usia Siti Aishah semasa kahwin


Susunan SITI AINIZA KAMSARI Utusan online


berkahwin adalah antara sunah nabi saw kepada umatnya yang berkemampuan.

--------------------------------------------------------------------------------

DISAMPAIKAN kepada kami (al-Bukhari) oleh Ubaid ibn Ismail yang mendengar daripada Abu Usamah daripada Hisyam daripada ayahnya (yang bernama Urwah) yang berkata: Khadijah meninggal dunia tiga tahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah dan baginda kemudiannya menduda selama dua tahun atau mendekati dua tahun sebelum hijrah (ke Madinah) setelah itu Siti Aishah menikah (dengan Nabi) pada umur enam tahun dan tinggal serumah (dengan Nabi Muhammad) tatkala berumur sembilan tahun.

Hadis di atas adalah satu-satunya hadis yang dianggap paling kuat mengenai umur sebenar Siti Aishah ketika bernikah dengan Rasulullah s.a.w, iaitu enam tahun.

Namun hadis inilah yang kesahihannya dipertikaikan walaupun ia dianggap muktabar kerana merupakan salah satu hadis yang terkandung dalam kumpulan hadis Sahih Bukhari.

Sebabnya, kita maklum bahawa setiap hadis yang dikumpulkan oleh Bukhari di anggap rujukan yang paling utama dalam Islam selepas al-Quran.

Terutama yang melibatkan soal halal dan haram serta perintah larangan dan suruhan maka segala aspek mengenai sanad dan perawi-perawi hadis akan diperiksa dengan ketat.

Bagaimanapun, apabila melibatkan riwayat mengenai kisah hidup Siti Aishah terutama umurnya waktu bernikah dengan Nabi Muhammad dikatakan hadis oleh Bukhari ini boleh disemak kembali kesahihannya.

Ini kerana ia tidak melibatkan soal hukum, halal atau haram maka dianggap kurang penting untuk dipastikan soal ketepatan perawi hadis mengenai Siti Aishah ini.

Lalu ini dijadikan alasan oleh sesetengah pihak untuk mendapatkan fakta yang sebenar di sebalik 'nikah 6' dan 'kumpul 9 tahun' - perkahwinan Ummul Mukminin dengan Rasulullah ini.

Kalau dikatakan Siti Aishah berkahwin dengan Rasulullah pada umur enam tahun dan baginda sendiri berumur 51 tahun ketika itu, maka ini bermakna isteri baginda itu dilahirkan ketika Rasulullah berusia 45 tahun. Iaitu lima tahun selepas baginda diangkat sebagai Rasul, pada usia 40 tahun.

Sedangkan dikatakan ketika baginda diangkat sebagai Rasul itu pernah disaksikan sendiri oleh Siti Aishah.

Sebabnya, beliau adalah antara yang golongan yang paling awal memeluk Islam, iaitu menduduki tempat ke-18 sebagaimana yang dicatat oleh Ibnu Ishaq dalam kitab sejarahnya Sirah An Nabawiyyah.

Dengan lain perkataan Siti Aishah memeluk Islam ketika usia masih kecil lagi (bukannya bernikah ketika usia yang sangat muda).

Urutan nama-nama sahabat Rasulullah yang awal memeluk Islam (As-Sabiqun al-Awwalun) menurut Ibnu Ishaq;

1) Ali ibn Abi Talib,

2) Abu Bakar As Siddiq,

3) Zaid ibn Haritsah,

4) Uthman bin Affan,

5) Zubair ibn Al Awwam,

6) Abdul Rahman ibn Auf,

7) Saad ibn Abi Waqas,

8) Thalhah ibn Ubaidillah,

9) Abu Ubaidah Al Jarrah,

10) Arqam ibn Al Arqam,

11) Utsman ibn Mazh'un,

12) Quddamah ibn Mazh'un,

13) Abdullah ibn Mazh'un,

14) Ubaidah ibn Harits ibn Muththalib,

15) Said ibn Zaid,

16) Fathimah binti Umar ibn Al Khattab,

17) Asma binti Abu Bakar,

18) Siti Aishah binti Abu Bakar.

Jadi tidak mungkin semasa Rasulullah diangkat menjadi nabi akhir zaman, Siti Aishah belum lahir.

Malah dikatakan Siti Aishah memeluk Islam ketika berusia tujuh tahun, satu angka yang dikatakan sesuai bagi seorang kanak-kanak memahami soal agama dan memilih agama yang dianggapnya benar dan boleh diikut.

Justeru apabila Aishah memeluk Islam berusia tujuh tahun ketika Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul dan menikah dengan baginda ketika baginda berusia 51 tahun ini bererti mereka bernikah ketika Siti Aishah berusia 18 tahun (51-40>11)+7 > 18 tahun.

Ini bermakna mereka tinggal hidup bersama sebagai suami isteri ketika Siti Aishah berusia 21 tahun ketika Rasulullah sendiri berusia 54 tahun.




ARKIB : 19/11/2010


Bilakah Nabi menikahi Aisyah?


perkahwinan Baginda Rasulullah SAW terbina di atas landasan iman dan Islam. -Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------
Soalan:
BarU-BARU ini saya terbaca kisah sirah dalam Utusan Malaysia yang memetik umur Saidatina Siti Aishah dikatakan enam tahun semasa berkahwin dengan Nabi SAW. Benarkah demikian kerana ada pandangan mengatakan umur itu terlalu muda dan dijadikan bahan oleh golongan kuffar membidas Nabi SAW?

Jawapan:

Sebahagian besar riwayat yang menceritakan hal ini terdapat dalam hadis di mana keseluruhannya hanya diriwayatkan oleh Hisham bin Urwah.

Asal periwayatan ini adalah daripada orang Iraq, di mana Hisham tinggal di sana dan pindah dari Madinah ke Iraq pada usia tua iaitu 71 tahun.

Menurut Ya’qub bin Syaibah: “Hisham seorang perawi yang dipercayai, riwayatnya dapat diterima, kecuali apa-apa yang dia ceritakan setelah dia berpindah ke Iraq”.

Dalam pernyataan yang lebih lanjut dinyatakan bahawa Malik bin Anas menolak riwayat Hisham yang dicatat daripada orang Iraq: “Saya pernah diberitahu bahawa Malik menolak riwayat Hisham yang dicatat dari orang-orang Iraq”. (Tahzib al-Tahzib, Ibn Hajar Al-Asqalani, Dar Ihya al-Turath al-Islami jil.2 hlm. 50).

“Ketika mencapai usia tua, ingatan Hisham semakin berkurangan”. (Mizan al-I’tidal, Al-Zahabi, Al-Maktabah al-Athriyyah, Pakistan, Jil. 4, hlm. 301).

Justeru, berdasarkan pernyataan dan sumber di atas, Hisyam mengalami masalah ingatan atau ingatannya kurang baik setelah dia berpindah ke Iraq dan periwayatannya diragui.

Sehingga riwayatnya mengenai umur pernikahan Aisyah adalah tidak tepat. Adapun pandangan mengatakan umur itu terlalu muda dan ia sebenarnya dijadikan bahan oleh golongan kuffar sebagai propaganda menjauhkan umat Islam kepada Rasulullah SAW.

Pertanyaan seperti ini akan mudah menipu bagi orang-orang yang awam mempercayainya. Sehingga, orang yang lemah imannya akan mudah goyah keimanannya dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW.

Dalam sejarah hidup Rasulullah disebutkan bahawa Aisyah dan Hafsah adalah puteri-puteri dua orang pembantu karibnya, Abu Bakar dan Umar.

Faktor inilah yang membuat Rasulullah memeterai ikatan dengan kedua-dua puteri Abu Bakar dan Umar.

Rasulullah meminang Aisyah melalui Abu Bakar tatkala Aisyah berusia sembilan tahun dan dibiarkannya selama dua tahun sebelum perkahwinan dilangsungkan (11 tahun).

Hal ini diperkuat lagi melalui perkahwinan Rasulullah dengan Hafsah binti Umar yang juga bukan kerana dorongan nafsu, dengan ayahnya sendiri sebagai saksi.

Peristiwa ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah mengahwini Aisyah atau mengahwini Hafsah bukan kerana cintanya atau kerana dorongan berahi, tetapi bertujuan memperkukuhkan tali persaudaraan Islam yang baru terbina dalam diri dua orang pembantu dekatnya (Abu Bakar dan Umar).

Justeru pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah mengahwini Aisyah pada umur enam tahun adalah pendapat yang tidak benar dan tidak tepat.

Menurut Tabari (juga menurut riwayat Hisham bin ‘Urwah, Ibn Hanbal and Ibn Saad), Aisyah dipinang pada usia tujuh tahun dan mulai berumah tangga pada usia sembilan tahun. Tetapi, di bahagian lain, Al-Tabari mengatakan: “Semua anak Abu Bakar (empat orang) dilahirkan pada zaman Jahiliah daripada dua isterinya”. (Tarikh al-Umam wa al-Mamluk, Al-Tabari jil. 4 hlm. 50, Dar al-fikr, Beirut, 1979).

Jika Aisyah dipinang 620M (Aisyah berumur tujuh tahun) dan berumah tangga tahun 623/624 M pada usia sembilan tahun, ini menunjukkan bahawa Aisyah dilahirkan pada tahun 613 M.

Berdasarkan tulisan Al-Tabari, Aisyah seharusnya dilahirkan pada 613M, iaitu tiga tahun sesudah zaman jahiliah (610M).

Al-Tabari juga menyatakan, Aisyah dilahirkan pada zaman jahiliah. Jika Aisyah dilahirkan pada zaman jahiliah, sewajarnya Aisyah berumur sekurang-kurangnya 14 tahun sewaktu dinikahkan. Tetapi al-Tabari turut mengalami pertentangan dalam riwayatannya.

Menurut Ibn Hajar: “Fatimah dilahirkan ketika Kaabah dibangunkan semula, ketika Nabi SAW berusia 35 tahun. Usia Fatimah lima tahun lebih tua daripada Aisyah”. (Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, Ibn Hajar al-Asqalani, jil.4,hlm. 377, Maktabat al-Riyadh al-Haditha: 1978).

Jika pendapat Ibn Hajar adalah yang tepat, Aisyah dilahirkan ketika Nabi berusia 40 tahun. Jika Aisyah dinikahkan oleh bapanya pada saat usia baginda 52 tahun, usia Fatimah sekurang-kurangnya 17 tahun, maka usia Aisyah ketika berkahwin adalah 12 tahun.

Melalui pernyataan Ibn Hajar, Tabari, Ibn Hisham, dan Ibn Hanbal menunjukkan riwayat mengatakan bahawa Aisyah berkahwin dengan Rasulullah ketika berusia enam tahun adalah tidak benar. Ia adalah fitnah dan tuduhan tidak berasas yang sengaja dilontarkan golongan yang hendak mengganggu-gugat kredibiliti Rasulullah sebagai insan terbaik pilihan Allah di dunia ini.

Menurut Abdul Rahman bin Abu al-Zinad: “Asma lebih tua 10 tahun berbanding Aisyah”. (Siyar A’lam al-Nubala, Al-Zahabi, Jil. 2, hlm. 289, Mu’assasat al-Risalah, Beirut, 1992).

Menurut Ibn Kathir: “Asma lebih tua 10 tahun daripada adiknya Aisyah”. (Al-Bidayah wa al-Nihayah, Ibn Kathir, Jil.8, hlm. 371,Dar al-Fikr al-Arabi, 1933).

Menurut Ibn Hajar Al-Asqalani: “Asma hidup sehingga usia 100 tahun dan meninggal pada 73 atau 74 H”. (Taqrib al-Tahzib, Ibn Hajar Al-Asqalani, hlm. 654, Bab Fi al-Nisa’, al-Harf al-Alif, Lucknow) Menurut sebahagian besar ahli sejarah, Asma, saudara tertua daripada Aisyah berbeza usia sebanyak 10 tahun. Jika Asma wafat pada usia 100 tahun pada tahun 73 H, Asma seharusnya berusia 27 atau 28 tahun ketika hijrah (622M).

Jika Asma berusia 27 atau 28 tahun ketika hijrah (ketika Aisyah berumah tangga), Aisyah seharusnya berusia 17 atau 18 tahun. Jadi, Aisyah, berusia 17 atau 18 tahun ketika hijrah pada tahun di mana Aisyah berkahwin. Berdasarkan pendapat Ibn Hajar, Ibn Katir, dan Abdul Rahman bin Abu al-Zinad, usia Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah adalah 19 atau 20 tahun.

Justeru, melalui pendapat ini juga menolak pendapat yang mengatakan bahawa Aisyah bernikah dengan Rasulullah ketika berusia enam tahun.

Kesimpulannya, riwayat (Hisham bin Urwah) yang mengatakan bahawa Aisyah berkahwin dengan Rasulullah ketika berusia enam tahun tidak benar dan bertentangan dengan riwayat-riwayat lain.

Selain itu, tiada alasan kuat untuk menerima riwayat Hisham bin Urwah sebagai riwayat yang boleh dipercayai kerana Hisyam mengalami masalah ingatan atau ingatannya kurang baik setelah dia berpindah ke Iraq dan periwayatannya diragui.

Seterusnya bertentangan dengan pernyataan-pernyataan ulama lain seperti yang telah dikemukakan. Golongan kuffar dan seumpama mereka sentiasa mencari ruang-ruang kosong dalam agama Islam sebagai bahan fitnah dan propaganda mereka.

Sebagai umat Islam yang sentiasa memandang dan mempertahankan baginda sebagai ikon dan insan teladan, kita perlu bangkit menepis fitnah daripada golongan kuffar dan terpengaruh dengan tipu helah mereka.

Sesungguhnya perkahwinan Rasulullah bersama-sama para isterinya merupakan sebuah perkahwinan yang suci yang tidak berasaskan hawa nafsu dan perkara duniawi.

Malah perkahwinan baginda terbina di atas landasan iman dan Islam sebagai suri tauladan buat umat Islam sejagat.

Wallahu a’lam.

Sunday, October 10, 2010

RENCANA Suasana baru menunaikan Haji
Oleh Hafizahril Hamid




GAMBAR Mekah apabila Menara Abraj al-Bayt siap sepenuhnya tahun depan.

--------------------------------------------------------------------------------

SEMALAM rombongan jemaah haji pertama dari Malaysia menjejakkan kaki bagi menunaikan rukun Islam kelima. Ketibaan 350 jemaah haji ini hanyalah bilangan kecil dari jumlah sebenar jemaah haji Malaysia yang seramai 26,000 orang tahun ini.

Bagi jemaah ini ketibaan mereka ke Tanah Suci pada pukul 5.30 pagi hari Sabtu waktu Malaysia merupakan satu impian yang hampir terlaksana.

Hanya amalan mereka nanti dapat menentukan apakah hajat dan niat mereka untuk menyucikan diri dari segala dosa dan noda dengan menunaikan haji mabrur akan tercapai.

Bagi umat Islam tidak kira dari negara mana sekalipun, impian untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pastinya satu keinginan yang semahu boleh akan cuba dilaksanakan.

Lambaian Kaabah sememangnya menggamit keinginan bagi kita menyucikan diri dari pelbagai dosa yang mungkin dilakukan secara sengaja atau sebaliknya.

Sebagai manusia kerdil yang senantiasa bergelumang pelbagai asam garam dunia adakalanya kita tidak mampu menghindar dari melakukan dosa.

Dari sekecil-kecil dosa hinggalah yang dilaknat tuhan adakalanya kita terlupa akan suruhan dan larangan yang maha Esa.

Oleh itu hati akan menjadi hiba, keinsafan menyelubungi jiwa mengenang akan kebesaran tuhan dan betapa kerdilnya diri tatkala berada di Tanah Suci.

Firman Allah: Allah wajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (engkarkan kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatu daripada sekalian makhluk). (Ali-Imran; 97).

Lazimnya keselesaan hidup dikelilingi keluarga dan keasyikan kerja mengikat insan daripada menyegerakan panggilan Baitullah, walaupun syarat yang ditetapkan syarak lebih dari berkemampuan.

Hakikatnya, kemewahan dan nikmat yang melingkari hidup ketika di dunia pasti akan ditinggalkan apabila tiba masanya kelak.

Sebab itu Islam mewajibkan umatnya berhimpun di bumi Arafah, Mina dan Baitullah al-Haram di Tanah Suci Mekah dengan pakaian ihram yang sama bagi mengerjakan ibadah haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Sememangnya panggilan Kaabah itu bukan untuk calang-calang umat. Hanya mereka yang bersedia dari segi mental, fizikal dan yakin pada keimanan sahaja yang sanggup menyahut panggilan-Nya.

Jika tidak, masakan ramai yang hidup dilingkungi kemewahan melebihi keperluan asas harian, sihat tubuh badan dan sempurna akal serta terlebih baligh masih juga tidak melaksanakan ibadah yang fardu itu.

Berkunjung ke Tanah Suci Mekah tidak menjadi masalah bagi sesiapa sahaja yang mampu. Sama ada untuk melancong, berziarah atau melaksanakan ibadat umrah.

Malah, ramai yang menjadikan umrah sebagai ibadat tambahan tahunan sedangkan ibadah haji belum lagi ditunaikan.

Mengerjakan ibadat haji adalah satu fardu bagi mereka yang telah mencukupi syarat-syarat wajib menunaikan haji.

Jutaan manusia mengerjakan haji pada setiap tahun dengan harapan dan matlamat yang satu iaitu mendapat haji yang mabrur.

Mendapatkan haji mabrur bukannya satu perkara yang mudah. Inilah yang memerlukan persediaan ilmu yang bersungguh-sungguh, istiqamah serta beramal dengannya.

Ilmu berhubung ibadat haji yang maha luas ini tidak hanya terhenti pada perkara rukun sahaja,

malahan merangkumi perkara-perkara wajib, sunat dan sebagainya.

Syarat wajib haji ialah pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji. Jika tidak dikerjakan salah satu daripadanya, haji tersebut tetap sah, tetapi dikenakan dam menurut syarat-syaratnya, serta akan menanggung dosa jika meninggalkan perkara tersebut dengan sengaja.

Terdapat enam syarat wajib haji iaitu, berniat ihram di Miqat, meninggalkan larangan ihram, bermalam di Muzdalifah, melontar anak batu di Jamrah Kubra, bermalam di Mina dan akhir sekali melontar anak batu di tiga Jamarah, iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.


Menampung

Difahamkan sejumlah tiga hingga lima juta umat Islam membanjiri Tanah Suci hanya pada musim haji sahaja. Di bahagian dalam masjid pula ia menampung kira-kira 350,000 jemaah pada satu-satu masa.

Bagaimanapun jumlah ini dijangkakan bertambah kepada lapan hingga 10 juta, manakala bahagian dalam mencecah 1.5 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Oleh itu atas tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam itu sendiri bandar Mekah, Madinah dan bandar-bandar lain kini sedang diperluas dan diperindah oleh kerajaan Arab Saudi.

Di Mekah pelan komprehensif sentiasa dilakukan bagi menjaga kebajikan, keselesaan dan keselamatan para jemaah setiap kali tiba musim haji.

Tidak ketinggalan kemudahan pengangkutan awam, penginapan serta kemudahan asas lain termasuk bekalan air bersih.

Sejak awal tahun 2008 kerja-kerja pembesaran kawasan Masjidil Haram dilakukan di samping menaik taraf kemudahan di Padang Arafah dan Mina.

Selain itu dalam usaha untuk memperindahkan lagi kota Mekah satu bangunan yang dikenali sebagai Menara Abraj al-Bayt kini dalam pembinaan dan bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.

Bangunan berkenaan yang juga menempatkan kompleks hotel gergasi akan turut dibina atasnya sebuah jam yang enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London.

Di kota Madinah, pihak kerajaan melancarkan pelbagai projek pembangunan termasuk pembesaran kawasan Masjid Nabawi, projek bekalan elektrik, air, kesihatan dan sebagainya yang dianggarkan menelan kos 12 bilion Riyal Saudi.

Dalam bidang kesihatan pula, jumlah katil di hospital juga akan ditambah. Begitu juga dengan pembesaran lapangan terbang di Madinah.

Langkah ini bukan sahaja untuk keperluan penduduk tempatan tetapi juga bagi menjaga kebajikan para jemaah yang semakin meningkat setiap tahun.

Selain itu Arab Saudi turut mempunyai pelan pembangunan perumahan komprehensif bernilai lebih AS$6 bilion (RM20.4 bilion). Projek ini merangkumi pelbagai kawasan perumahan untuk penduduknya.

Negara itu juga merancang untuk melaksanakan sebuah “projek super” yang menelan belanja sebanyak AS$87.8 bilion (RM298 bilion) bagi membina enam bandar ekonomi.

Bandar-bandar ini akan menempatkan 2.5 juta penduduknya yang dijangka mampu memberi pendapatan sebanyak AS$150 bilion (RM510 bilion) dan memberi peluang pekerjaan kepada 1.5 juta penduduknya menjelang tahun 2020.

Apa yang boleh digambarkan ialah Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya akan berubah menjadi lebih luas, mesra alam dan selamat. Bagaimanapun reka bentuk baru itu harus tidak menyumbang kepada pemanasan global dan pembaziran, selain mempunyai sentuhan kerohanian apabila berada di dalam masjid.

Walaupun projek-projek ini akan mengambil masa yang panjang tetapi matlamatnya adalah untuk kemudahan umat Islam dari seluruh dunia yang setiap tahun berebut-rebut mahu menunaikan haji di Mekah sambil melakukan ziarah di kota Madinah

Saturday, August 14, 2010

Jangan jadi manusia rugi



Oleh RAMLI ABDUL HALIM Utusan Malaysia Online



Allah SWT memberi pahala berganda kepada hamba-Nya yang mengambil kesempatan keberkatan Ramadan. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------

SEMACAM menjadi suatu tradisi pada setiap kali Ramadan, kita akan fikirkan tentang apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur dengan kecurnya air liur.

Tidak hairanlah kalau pasar Ramadan tumbuh macam cendawan selepas hujan sepanjang Ramadan manakala setiap gerai pula rata-rata dikerumuni pelanggan macam semut mengerumuni gula.

Juallah apa sahaja, termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, acar pisang butir banyak, celur jantung pisang, ikan kering bakar dan pelbagai jenis makanan yang dianggap lekeh dan tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa.

Sekali gus bulan Ramadan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yang yang kata berniaga sebulan bulan Ramadhan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.

Pagi-pagi lagi di ruang-ruang pejabat atau bila dua sahabat bertemu di mana-mana sahaja, paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka. Juga juadah untuk bersahur.

Kononnya sekian-sekian juadah mesti kena ada sewaktu berbuka atau bersahur di samping akan diceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur.

Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran dengan 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca dihayati.

Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan sembahyang sunat terawih, dilipatgandakan sembahyang sunat tahajud, sunat tasbih dan macam-macam sembahyang sunat atau masih kekal pada bulan-bulan Ramadan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbagai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah, berterawih.

Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengumpat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighfar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas sembahyang subuh supaya cepat khatam.

Memang diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega sales dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tatap menyumbang kepada pembaziran.

Sebaliknya, Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega sales dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan daripada berkatnya Ramdaan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.

Selain para penjual mendapat laba hasil larisnya jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadan kalau kekalkan tabiat menjadikan ia sebagai pesta juadah sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan tetap juga kekal pada tahap biasa.

Apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha. Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah dan jika dibaca keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf dibaca kita akan dapat 12 juta kebajikan, bila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi.

Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighfar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredai-Nya akan diberi juga pahala yang berganda.

Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan.

Wednesday, August 11, 2010

Bacaan Niat Puasa 1 Hari & Sebulan
Bacaan Doa Berbuka Puasa


Doa berbuka untuk seorang :



Lafaz : Allahumma laka suomtu wa bika amantu wa ‘alaa rizqika afthortu birahmatika ya arhamarrohimin..

Maksud : Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.



Doa berbuka untuk berjemaah / sekeluarga / beramai ramai ;




Yang atas ni untuk ber seorangan, untuk ramai ramai sila tukar perkataan "tu (ta + wau)" kepada "na ( nun +alif). Barulah maksud ayat "aku" bertukar kepada "kami". Contoh nya seperti dibawah :

Lafaz : Allahumma laka suomna wa bika amanna wa ‘alaa rizqika afthorna birahmatika ya arhamarrohimin..

Maksud : Ya Allah bagi Engkau Kami berpuasa dan dengan Engkau beriman Kami dengan rezeki Engkau Kami berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Monday, July 12, 2010

Malaysia mudah amal dasar Islam jika Pas, UMNO bersatu


Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR

utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 11 Julai – Hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan UMNO bersatu dan bekerjasama.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam berkata, hasrat itu menjadi lebih mudah jika Pas bekerjasama dengan UMNO berbanding dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, kedua-dua parti pembangkang itu jelas mempunyai perjuangan yang berbeza iaitu DAP menolak Islam manakala PKR pula adalah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi pemimpinnya.

“Jika UMNO dan Pas bekerjasama banyak perkara boleh dilaksanakan termasuk hukum hudud berbanding tindakannya bekerjasama dengan DAP dan PKR yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Perdana bertajuk Bolehkah Melayu Bersatu? di Dewan Balai Islam Lundang di sini malam tadi.

Ahli panel lain ialah bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusoff Rawa dan Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Mohd. Affandi Yusoff.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff bertindak sebagai moderator wacana itu yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang.

Lokman yang juga bekas ahli PKR berpendapat, Pas tidak mungkin dapat menubuhkan negara Islam seperti diharapkan kerana tidak mempunyai kuasa dua pertiga di Parlimen kecuali bersatu dengan UMNO yang mempunyai suara majoriti orang Melayu dan Islam.

“Tiada sebab Pas tidak menyahut salam UMNO untuk berbaik-baik dan melupakan sejarah hitam menyebabkan kedua-dua parti itu berpecah daripada gabungan dalam Barisan Nasional (BN) pada 1977,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Asri berpendapat, bersatu untuk menyokong sesebuah parti politik tidak membawa makna kecuali ia berasaskan visi perjuangan Islam tulen.

“Semangat perpaduan dan bersatu dalam konteks bangsa sahaja tidak menjamin perpaduan sebenar.

“Buktinya dapat dilihat apabila masih ramai umat Islam di dunia yang berpecah-belah dan tidak bersatu kerana tidak meletakkan asas perpaduan Islam,” katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas itu, Mohd. Asri tidak menafikan bahawa Pas dan UMNO adalah parti Islam dan akidah mereka adalah akidah Islam.

“Kalau ada pun individu itu dan ini, itu adalah masalah individu bukan masalah dasar.

“Pada asasnya kedua-dua parti ini menerima al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan. Pada umumnya menerima, cuma interpretasinya kadang-kadang berubah,” katanya.

Tambah Mohd. Asri, yang menjadi pertikaian rakyat ialah masalah akhlak dan cara membuktikan penerimaan itu.

“Pada cakap mulutnya semua orang cakap dia terima al-Quran dan Sunnah, tapi yang orang pertikaikan ialah bagaimana ia dilaksanakan,” ujarnya.