Monday, July 12, 2010

Malaysia mudah amal dasar Islam jika Pas, UMNO bersatu


Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR

utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 11 Julai – Hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan UMNO bersatu dan bekerjasama.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam berkata, hasrat itu menjadi lebih mudah jika Pas bekerjasama dengan UMNO berbanding dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, kedua-dua parti pembangkang itu jelas mempunyai perjuangan yang berbeza iaitu DAP menolak Islam manakala PKR pula adalah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi pemimpinnya.

“Jika UMNO dan Pas bekerjasama banyak perkara boleh dilaksanakan termasuk hukum hudud berbanding tindakannya bekerjasama dengan DAP dan PKR yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Perdana bertajuk Bolehkah Melayu Bersatu? di Dewan Balai Islam Lundang di sini malam tadi.

Ahli panel lain ialah bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusoff Rawa dan Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Mohd. Affandi Yusoff.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff bertindak sebagai moderator wacana itu yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang.

Lokman yang juga bekas ahli PKR berpendapat, Pas tidak mungkin dapat menubuhkan negara Islam seperti diharapkan kerana tidak mempunyai kuasa dua pertiga di Parlimen kecuali bersatu dengan UMNO yang mempunyai suara majoriti orang Melayu dan Islam.

“Tiada sebab Pas tidak menyahut salam UMNO untuk berbaik-baik dan melupakan sejarah hitam menyebabkan kedua-dua parti itu berpecah daripada gabungan dalam Barisan Nasional (BN) pada 1977,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Asri berpendapat, bersatu untuk menyokong sesebuah parti politik tidak membawa makna kecuali ia berasaskan visi perjuangan Islam tulen.

“Semangat perpaduan dan bersatu dalam konteks bangsa sahaja tidak menjamin perpaduan sebenar.

“Buktinya dapat dilihat apabila masih ramai umat Islam di dunia yang berpecah-belah dan tidak bersatu kerana tidak meletakkan asas perpaduan Islam,” katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas itu, Mohd. Asri tidak menafikan bahawa Pas dan UMNO adalah parti Islam dan akidah mereka adalah akidah Islam.

“Kalau ada pun individu itu dan ini, itu adalah masalah individu bukan masalah dasar.

“Pada asasnya kedua-dua parti ini menerima al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan. Pada umumnya menerima, cuma interpretasinya kadang-kadang berubah,” katanya.

Tambah Mohd. Asri, yang menjadi pertikaian rakyat ialah masalah akhlak dan cara membuktikan penerimaan itu.

“Pada cakap mulutnya semua orang cakap dia terima al-Quran dan Sunnah, tapi yang orang pertikaikan ialah bagaimana ia dilaksanakan,” ujarnya.