Thursday, November 11, 2010

 Obama puji evolusi Indonesia

Obama diberi sambutan hangat ketika menyampaikan ucaptama semasa melawat Universiti Indonesia di Jakarta, semalam. - AFP



--------------------------------------------------------------------------------



JAKARTA 10 Nov. - Presiden Barack Obama menerima sambutan hangat di Universiti Indonesia hari ini, di mana beliau berjaya memikat hadirin dengan ucapan yang diselang-seli dengan bahasa tempatan dan mesej pembaharuan.

Ucapan Obama itu menutup lawatan nostalgia ke Indonesia, yang mana beliau menghabiskan masa empat tahun semasa zaman kanak-kanak ketika berada di negara ini yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.

"Assalamu'alaikum. Salam sejahtera. Pulang kampung nih," kata Obama ketika memulakan ucapan disambut dengan tepukan gemuruh oleh mereka yang hadir dan kagum dengan kefasihan beliau.

Seramai 6,000 pelajar, kakitangan dan pegawai universiti yang memenuhi dewan penyampaian ijazah untuk mendengar ucapan beliau, bersorak girang ketika Obama bercakap dalam bahasa Indonesia atau merujuk kepada mercu tanda Jakarta seperti gedung beli-belah Sarinah.

"Indonesia adalah sebahagian daripada diri saya," kata Obama dalam bahasa Indonesia sebelum meninggalkan negara ini untuk sidang kemuncak G20 di Korea Selatan pada pukul 10.45 pagi (pukul 11.45 pagi waktu Malaysia).

Selepas menceriakan suasana dengan kisah kanak-kanaknya iaitu penjual sate yang ramah, bermain layang-layang dan mengejar pepatung di sawah padi, beliau memberi penekanan kepada topik lebih serius seperti agama dan demokrasi.

Obama memuji keharmonian agama di Indonesia dan berjanji bahawa Amerika Syarikat (AS) akan bekerja keras untuk memperbaiki 'hubungan keruh' antara AS dan dunia Islam.

Ucapan beliau merupakan pengemaskinian kepada ucaptama yang disampaikannya 17 bulan lalu di Kaherah semasa mengisytiharkan 'permulaan baru' dalam hubungan AS-Islam.

Obama juga memuji evolusi Indonesia daripada pemerintahan 'kuku besi' kepada demokrasi yang menurutnya turut memberi kesan kepada kehidupannya sendiri, 40 tahun selepas meninggalkan negara ini sehingga kembali sebagai Presiden AS.

Sementara itu, Michelle Obama kelihatan anggun dan sopan semasa beliau melawat Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara, bersama suaminya hari ini, sehari selepas seorang menteri Indonesia menyatakan keberatan untuk berjabat tangan dengan beliau.

Imam Besar Masjid Istiqlal, Mustafa Ali Yaqub membawa Obama dan isterinya melihat sekitar struktur berkubah itu, yang masih dalam pembinaan sewaktu Obama tinggal berdekatan kawasan Menteng pada zaman kanak-kanaknya pada akhir 1960-an.

Mustafa berkata, seni bina masjid yang direka oleh seorang arkitek Kristian. Obama tertarik dengan cerita mengenai kesudian pihak pentadbirannya membenarkan tempat letak kereta masjid digunakan oleh penganut Kristian dari gereja Katolik berhampiran pada hari Krismas. - AFP/ REUTERS