Thursday, August 11, 2011

MAS DI LANDASAN BETUL

KUALA LUMPUR 10 Ogos- Harga saham syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines System Bhd. hari ini melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih setahun setelah memeterai perjanjian pertukaran saham dan kerjasama semalam.

Saham MAS ditutup 7.5 peratus lebih tinggi kepada RM1.72 sesaham hari ini sejak Mei 2010.
Namun, nasib yang sama tidak memihak kepada AirAsia apabila sahamnya ditutup lebih rendah 10 peratus iaitu prestasi terburuk syarikat itu sejak Oktober 2008 kepada paras RM3.54.

Para penganalisis tempatan menyifatkan kerjasama itu melibatkan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah), pemegang kepentingan MAS dan Tune Air, syarikat induk AirAsia Bhd. dan AirAsia X akan memberikan situasi menang-menang kepada pihak yang terlibat.

Pakatan itu juga menyaksikan perjanjian Rangka Kerja Kolaboratif Komprehensif (CCF) dimeterai antara MAS, AirAsia dan AirAsia Xbagi meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang.
Menurut nota penyelidikan MIDF Research, perjanjian itu juga merupakan cara terbaik untuk mengembalikan semula MAS ke landasan yang betul.

''Ini menyaksikan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Timbalannya, Datuk Kamarudin Meranun sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas MAS, selain turut dilantik menyertai Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) bersama Datuk Azman Yahya dan Mohammed Rashdan Yusof yang bertindak sebagai pemantau pengurusan MAS sehingga peneraju baru dilantik.

''Kami percaya dengan pengalaman dan kejayaan menguruskan AirAsia oleh Fernandes dan Kamarudin mampu memberikan idea segar dan strategi baharu kepada syarikat penerbangan kebangsaan itu, tambahan pula kedua-dua tokoh tersebut akan lebih komited kerana mempunyai kepentingan sebanyak 20.5 peratus dalam MAS,'' katanya.

Sementara itu, OSK Research dalam nota penyelidikannya pula berkata, kerjasama tersebut juga diperlukan bagi persediaan polisi Langit Terbuka ASEAN pada 2015 dengan objektif kolaboratif itu bagi membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan menjadi lebih kuat di rantau ini.

''Sinergi yang terbentuk antara MAS dan AirAsia akan menjadikan mereka lebih kuat untuk bersaing dengan syarikat penerbangan besar yang turut berkembang secara agresif seperti SIA, Qantas dan Jetstar,'' katanya.

Secara keseluruhannya, kerjasama itu dapat akan meletakkan semula MAS sebagai syarikat penerbangan premier dan kemungkinan perubahan model perniagaan.

Manakala, AirAsia pula bakal mendapat manfaat terutama daripada segi penggunaan perkhidmatan MAS seperti infrastruktur penyelengaraan, membaik pulih dan rombak rawat (MRO).

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) berkata, kerjasama itu merupakan langkah positif kerana ia akan menghapuskan harga kompetitif yang tidak rasional, menyediakan ekonomi bidangan, kuasa tawar menawar yang tinggi dan mewujudkan sinergi.

Katanya, AirAsia, sebagai satu-satunya peserta penerbangan kos rendah Malaysia akan mempunyai kawalan yang lebih baik dalam penawaran dan hasil tanpa persaingan daripada Firefly.

Sementara itu, HwangDBS Vickers Research berkata, MAS diunjur boleh meraih semula keuntungan kerana janji niaga itu dijangka membolehkan pelbagai syarikat penerbangan untuk bekerjasama dalam bahagian berbeza, memanfaatkan kekuatan antara satu sama lain dan mengoptimumkan kecekapan.

"Kami percaya inisiatif ini akan memberi manfaat kepada MAS terutamanya dalam mencapai sinergi kos memandangkan kos/kilometer tempat duduk tersedianya (ASK) yang tinggi. Kesan itu dijangka segera dan besar yang berpotensi membawa MAS kembali meraih untung," kata firma penyelidikan itu.