Sunday, August 15, 2010

Guna merit bukan kuota – MCA


Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Ogos – MCA meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera mencapai matlamatnya.

Ini kerana, jelas Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, dalam perniagaan di kebanyakan sektor seperti pembinaan, peniaga bumiputera lebih banyak mendapat kelebihan berbanding bukan bumiputera.

Katanya, perkembangan itu tidak sihat dan memerlukan perhatian serius daripada kerajaan kerana jika ia berterusan, peniaga bumiputera tidak akan mampu disaingi oleh pihak lain yang lebih layak.

“Gunakanlah pendekatan berdasarkan kepada merit atau marginal preference dengan memberi peluang sama rata kepada semua pihak untuk bersaing secara sihat dan adil.

“Ia lebih baik kerana banyak kes terutama kontraktor kelas F yang semuanya adalah bumiputera apabila mendapat projek akan ‘mengalibabakan’ kepada pihak lain. Lebih baik berikan kepada mereka yang lebih layak berdasarkan rekod dan prestasi (tanpa mengira kaum),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Kongres Ekonomi Cina bertajuk Peranan Masyarakat Cina Mencapai Sasaran Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di sebuah hotel di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Hadir sama beberapa pimpinan tertinggi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Terdahulu dalam ucapan aluannya, Soi Lek menggariskan beberapa cadangan kongres itu bagi memantapkan pelaksanaan MBE dan RMK-10. Antaranya:

•Liberalisasi ekonomi

Membenarkan lebih ramai pelabur bukan bumiputera menjadi rakan kongsi dan kontraktor dalam kerja-kerja berkaitan dengan sektor minyak dan gas.

•Peranan syarikat milik kerajaan (GLC) dalam MBE

Menggesa GLC membuka lebih banyak ruang kepada bukan bumiputera dan tenaga pakar luar menganggotai ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan dengan tujuan melestarikan perkongsian kepakaran.

•Mengekalkan bakat berpotensi daripada mengalir keluar

Meminta kerajaan tidak melupakan kebajikan sekolah vernakular dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh.

•Merebut peluang dalam perdagangan dengan negara menggunakan bahasa Mandarin
Nilai perdagangan negara-negara utama di dunia dengan negara yang menggunakan bahasa Mandarin ialah sebanyak RM9.5 trilion setahun (AS$2.5 trilion) tetapi penglibatan Malaysia dengan negara berkenaan hanya sekitar dua peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan itu.

•Penggalakkan lebih banyak sekolah vernakular akan membolehkan negara menghasilkan lebih ramai pelajar yang mahir berbahasa Mandarin dan kebolehan mereka boleh dioptimumkan bagi merebut peluang yang terhidang dalam pasaran dunia.

•Rasionalisasi subsidi, gaji minimum dan pekerja mahir

Untuk mengatasi masalah pergantungan kepada tenaga buruh asing, MCA menggesa kerajaan melaksanakan dasar gaji minimum.

Gaji minimum perlu dilaksanakan selari dengan langkah rasionalisasi subsidi bagi menghadapi kesan buruk yang timbul akibat pengurangan itu.