Saturday, November 5, 2011

pemansuhan PPSMI disekolah menengah dimansuhkan thn 2021..kenapa terlalu lama utk dimansuhkan??

Pemansuhan PPSMI kekal


Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 4 Nov. - Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada tahun 2016 dan untuk Sekolah Menengah pada 2021.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan murid-murid tahun dua tahun ini akan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga tamat tingkatan lima.

''Murid-murid tahun tiga hingga tahun enam tahun bagi sesi 2012 dibenarkan meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan (SK).

''Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, mereka dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa manakala SJK Tamil pula boleh menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa.

''Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar mengenai pelaksanaan peralihan secara mudah (soft-landing) PPSMI di sini hari ini.

Serentak itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, keputusan pemansuhan PPSMI adalah kekal kerana kerajaan tidak bercadang melaksanakannya semula seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.

''Pelajar yang baru masuk dalam sistem pelajaran kita mulai tahun ini, mereka akan ambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bahasa Melayu.

''Tetapi kita yakin dengan keputusan itu pencapaian murid di bawah kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM tidak akan terjejas," katanya.

Muhyiddin berkata, kajian kementerian mendapati hanya 6 hingga 7 peratus sekolah yang melaksanakan PPSMI.

Ini kata beliau menunjukkan kebanyakan sekolah mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu dan ia membuktikan PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

Jelas beliau, kajian mendapati pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual murid-murid menunjukkan mereka sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Katanya, murid mengambil masa lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana tidak faham bahasa Inggeris sehingga memaksa guru mengajar dalam bahasa Melayu supaya murid dapat memahaminya dan masalah itu turut dialami di bandar.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris melalui pengenalan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Di bawah MBMMBI itu, beliau menambah, kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

''Antara inisiatif itu adalah penambahan masa Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru mahir dan penyediaan bahan sokongan yang berkualiti.

''Sehubungan itu, kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik dalam kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan," katanya.

Muhyiddin menambah, kementerian itu juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan meningkatkan penguasaan lisan kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.