Wednesday, September 21, 2011

Bahasa Rojak Semakin Parah

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

AWANG bersetuju dengan Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang berpandangan penggunaan bahasa Melayu ‘rojak’ terutama di kalangan generasi muda semakin parah.

Bagi Awang, mutu bahasa Melayu akan terjejas apabila kita berbicara dalam bahasa itu tetapi dicampur aduk dengan kata-kata daripada bahasa lain. Keadaan menjadi lebih teruk apabila penggunaan singkatan yang tidak standard sama ada dalam tulisan mahupun pertuturan.

Amalan tersebut, jika berterusan tidak akan menyumbang kepada pemerkasaan bahasa Melayu. Akan berlaku banyak pelanggaran tatabahasa dan sebagainya. Lama kelamaan bahasa rojak itu diterima umum sebagai ‘bahasa standard’.

Pendedahan kanak-kanak pada tahap mencukupi dalam pembelajaran dan penulisan bahasa Melayu mungkin boleh memperbetulkan keadaan.

Aktiviti ke arah pemantapan penggunaan bahasa Melayu seperti debat dan pidato di peringkat sekolah rendah lagi perlu digerakkan semula secara aktif.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab banyak pihak termasuk ibu bapa dan sekolah memberi penekanan kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi ketika masyarakat sekarang disogok pula dengan ‘bahasa SMS’ menerusi penggunaan teknologi baru.

Sudah sampai masanya usaha ke arah memperkasakan bahasa Melayu diperhebatkan semula selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.