Tuesday, October 25, 2011

Sikap pengotor orang Malaysia dipertonton oleh dunia di MotorGP 2011

Sikap penonton buang sampah ke litar dikesali


Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my





PENONTON yang naik berang selepas perlumbaan MotoGP dibatalkan akibat kemalangan bertindak membaling botol dan sampah ke dalam litar pada pusingan kedua di Litar Antarabangsa Sepang, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Grand Prix Malaysia 2011 melabuhkan tirainya kelmarin, namun ada berita duka yang tercatat pada penganjuran kali ini.

Tragedi yang menimpa pelumba MotoGp Itali, Marco Simoncelli sehingga meragut nyawanya ketika sedang bersaing di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sudah pasti akan tercatit dalam lipatan sejarah sukan pemotoran dunia.

Tarikh 23 Oktober 2011 bukan sahaja akan diingati oleh ahli keluarga, pelumba dan krew pasukan San Carlo Honda Gresini tetapi seluruh peminat sukan pemotoran dunia pasti akan mengingati tarikh tersebut yang merupakan hari malang buat pelumba berusia 24 tahun itu.

Namun, di sebalik tragedi hitam itu, berlaku peristiwa memalukan sebaik sahaja pengumuman pembatalan perlumbaan MotoGP dibuat oleh Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Peminat yang hadir seawal pukul 10 pagi untuk menyaksikan GP Malaysia bertindak tidak wajar apabila membaling botol dan sampah sarap ke dalam litar sebagai memprotes saingan MotoGP dibatalkan.

Sikap kurang sensitif masyarakat Malaysia cukup memalukan iaitu pada saat Simoncelli ketika itu sedang bertarung nyawa setelah mengalami kecederaan parah di kepala, tengkuk dan dadanya.

Penulis yang berada di Pusat Media SIC turut terkejut apabila melihat sendiri sikap liar penonton yang tidak segan silu menunjukkan kelakuan kurang cerdik itu.

Tambah memalukan, tindakan mereka melempar sampah sarap ke litar turut mengundang perhatian media antarabangsa.

Tindakan itu sedikit sebanyak mencemarkan imej Malaysia sebagai tuan rumah yang selama ini terkenal dengan sikap sopan santun.

Malah, Wartawan Sukan Utusan Malaysia, Ferzalfie Fauzi yang menyaksikan perlumbaan GP Malaysia, kelmarin turut melahirkan rasa kesalnya terhadap insiden memalukan itu.

"Saya terkejut melihat tindakan keterlaluan penonton, seolah-olah mereka tidak boleh menerima hakikat perlumbaan dibatalkan.

"Tidakkah mereka terfikir pada ketika itu, mungkin sesuatu yang buruk telah berlaku apabila FIM mengumumkan berita pembatalan perlumbaan melalui pembesar suara," katanya.

Diharap peminat motosikal negara menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran, dan tidak mengulangi perbuatan yang boleh mencemarkan maruah Malaysia pada masa akan datang.