Friday, October 15, 2010

Gesa tubuh Suruhanjaya Bahasa Kebangsaan

Utusan Online


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Suruhanjaya Bahasa Kebangsaan ditubuhkan segera agar undang-undang berkaitan bahasa diseragam dan dipantau oleh kerajaan.

Ketua Wira Perkasa, Arman Azha Abu Hanifah berkata, langkah itu dapat mengelakkan pihak tertentu daripada meminggirkan penggunaan bahasa Melayu dalam apa juga urusan.

"Kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya itu supaya hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan dilindungi undang-undang dan tidak diperkotak-katikkan mana-mana pihak," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Selasa lalu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar menyarankan kerajaan agar menubuhkan suruhanjaya itu supaya kedaulatan bahasa Melayu akan terus terjamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Menurut Jamawi, ia akan berperanan sebagai penguat kuasa yang boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang supaya bahasa Melayu digunakan secara menyeluruh dalam semua urusan.

Arman Azha berkata, suruhanjaya itu mesti diberi kuasa mengambil tindakan undang-undang tanpa perlu perbicaraan mahkamah.

"Suruhanjaya itu juga mesti diberi kuasa untuk mengarahkan penukaran nama, menurunkan papan tanda atau iklan dan menarik balik segala bahan cetak daripada pasaran jika didapati tidak mematuhi garis panduan yang disediakan," katanya.

Katanya, denda, penalti atau kompaun perlu dikenakan kepada syarikat yang mengulangi kesalahan dan jika terus berdegil, lesen perniagaan mereka harus ditarik balik.

Beliau berkata, pihaknya sedih dengan penggunaan bahasa Inggeris yang meluas oleh kebanyakan syarikat milik kerajaan (GLC) dan bank yang mengutamakan bahasa kedua itu berbanding bahasa Melayu.

"Justeru, kami mahu kerajaan lebih proaktif dalam menubuhkan suruhanjaya ini. Jangan berlengah demi memastikan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh menangani penyalahgunaan bahasa Melayu.

"Media cetak dan elektronik juga perlu memainkan peranan mereka dalam mendidik masyarakat dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam penerbitannya," katanya