Saturday, January 15, 2011

Titik persamaan fokus Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia


KUALA LUMPUR 14 Jan. - Tiga aspek dalam hubungan Malaysia dan Indonesia akan dijadikan fokus perbincangan oleh Pensyarah Pelawat Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Amri Marzali pada Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia, esok.
Beliau yang merupakan salah seorang panel pada forum itu berkata, tiga aspek tersebut melibatkan isu yang sering bercanggah, isu yang dipersetujui dan hal-hal bercelaru dalam hubungan Malaysia-Indonesia.

Tambah Ahli Sosiologi Indonesia itu, ketiga-tiga aspek perlu dibincangkan supaya dilihat dari sudut rasional serta akademik dan bukannya secara emosi yang melampau.

"Ini supaya kita dapat mempelajari kesulitan dan kesukaran dalam hubungan antara dua negara serumpun dan seterusnya mencari usaha serta strategi mengatasi masalah itu secara bersama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai fokus perbincangannya pada forum anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Utusan Malaysia yang diadakan khusus bagi mengupas isu-isu semasa antara kedua-dua negara.

Forum yang diadakan di Rumah Gapena, Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka di sini bertujuan membincangkan pelbagai isu melibatkan aspek budaya, sosial dan politik dengan matlamat memperkukuhkan hubungan rakyat kedua-dua negara dan kalangan rumpun Melayu.

Forum yang julung-julung kali diadakan itu dibuka kepada orang ramai bermula pada pukul 10.30 pagi.

Amri menambah, kesempatan pada forum itu juga akan digunakan untuk memperjelaskan hakikat sebenar penentangan beberapa pihak di Indonesia terhadap Malaysia yang dilihat agak agresif kebelakangan ini.

Tindakan provokasi itu katanya, didalangi oleh pihak tertentu yang mengupah penduduk terutama dari Indonesia Timur yang tidak terlalu Melayu dan sering berlagak samseng di Jakarta.

"Pemimpin kedua-dua negara seharusnya lebih bertenang dalam menanggapi provokasi ini dan tidak boleh terpengaruh dengan tindakan tersebut kerana pada dasarnya isu itu sangat kecil," katanya.

Seorang lagi ahli panel forum tersebut, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pula berkata, kerangka hubungan masa kini dan masa depan antara kedua-dua negara akan menjadi fokus utama beliau pada forum tersebut.

Beliau yang juga Setiausaha Satu Gapena menambah, jika dilihat dari sudut sejarah, semangat setiakawan di antara Malaysia dan Indonesia tidak pernah terjejas meskipun pernah melalui episod perit dalam hubungan diplomatik ketika era 'Ganyang Malaysia' suatu ketika dulu.

Begitu pun katanya, elemen sejarah itu tidak begitu difahami oleh generasi muda Indonesia sehingga menyaksikan kebangkitan penentangan yang melampau golongan itu terhadap Malaysia ketika ini.

"Dari sudut hubungan kerajaan dengan kerajaan mungkin tiada masalah, tetapi dari sudut antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan di kalangan rakyat antara kedua-dua negara masih banyak ruang yang boleh diperbaiki," katanya.

Justeru katanya, beliau akan mencadangkan beberapa pendekatan dalam mengeratkan lagi hubungan antaranya dengan mempertingkatkan aktiviti dan pendekatan bersifat kebudayaan.

Tambah beliau, ia boleh dilakukan terutama di kalangan negeri di Malaysia yang mempunyai kaitan sejarah dengan wilayah di Indonesia seperti Johor dengan Riau, Pahang dengan Makasar dan sebagainya.

"Hubungan bersifat kebudayaan ini secara tidak langsung dapat mengendurkan ketegangan dan prasangka buruk antara kedua-dua negara," kata beliau.

------------------------------------------------------------------------------------------

Dialog Media Malaysia – Indonesia Perkukuh Semangat Setia Kawan


Sedangkan lidah lagi tergigit. Apatah lagi hubungan dua buah negara yang terpisah oleh sempadan politik dan sistem pemerintahan yang berbeza. Betapa banyak rakyat Malaysia yang datuk dan moyangnya berasal dari Indonesia. Masih banyak yang berulang-alik menemui sanak saudara di sana. Betapa banyaknya perhubungan baharu yang dijalinkan melalui perkahwinan dewasa ini. Situasi ini terus mengakrabkan warga kedua-dua buah negara menerusi jalinan budaya dan pertalian darah. Lebih-lebih lagi amalan budaya yang dibawa hijrah bersama dan asimilasi budaya yang berlaku memberikan roh kepada hubungan yang sedia wujud. Keeratan hubungan dua buah negara serumpun ini sentiasa mendapat perhatian.

Bagai hubungan adik-beradik, keserumpunan budaya dan keeratan hubungan itu ada kalanya berkocak dek rasa hati dan perselisihan faham. Kedua-dua buah negara harus bijaksana mengawal badai yang sekali-sekala melanda supaya tidak terus memusnahkan benteng persaudaraan dan persahabatan yang telah wujud. Semangat setia kawan justeru diperteguh agar segala kendala dapat ditangani dengan berhemah.

Pihak media turut boleh memberikan sumbangan dalam menyuntik roh persahabatan supaya persepsi yang terbina dalam pemikiran rakyat kedua-dua buah negara bersumberkan maklumat yang betul. Ledakan emosi dapat dikendurkan jika kedua-dua belah pihak cepat memperoleh maklumat daripada mereka yang bertanggungjawab. Peranan media sangat besar kerana mempunyai kuasa mempengaruhi yang cukup berkesan. Maklumat yang tidak benar jika sering disiarkan dan diuar-uarkan akhirnya akan dianggap benar oleh pembaca dan akan menimbulkan prasangka dan persepsi negatif tentang satu sama lain. Pihak ketiga pula, yang khuatir dengan hubungan serumpun ini, akan tersenyum lebar.

Atas semangat untuk mengukuhkan hubungan ini, pihak media Indonesia juga mengambil langkah menubuhkan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia – Indonesia (ISWAMI). Mereka memahami bahawa perubahan besar dalam perkembangan media di Indonesia tidak akan terjejas dengan adanya ISWAMI. Malah dalam keterbukaan itu, ISWAMI memainkan peranan menentukan bahan berita yang disiarkan tentang kedua-dua buah negara benar dan boleh dipertanggungjawabkan.

Penubuhan ISWAMI Malaysia dan ISWAMI Indonesia memberikan senario baharu dalam hubungan bilateral, khususnya dari segi persefahaman dan penyebaran maklumat. ISWAMI Malaysia dipengerusikan oleh Datuk Ahmad A. Talib, Pengarah Eksekutif Berita Media Prima, manakala ISWAMI Indonesia diketuai Ketua Pengarang Agensi Berita ANTARA, Saiful Hadi. Kedua-dua pihak media memahami keperluan adanya persefahaman dan jalinan persahabatan bagi menjamin ketenteraman dan kestabilan yang memberikan implikasi yang besar kepada dua buah negara di Asia Tenggara yang membangun ini.

Bagi mengukuhkan hubungan baik ini, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dalam lawatan rasminya ke Indonesia telah meluangkan waktu untuk mendengar pandangan dan gejolak rasa editor kanan media Indonesia tentang isu yang melibatkan Malaysia dalam Dialog Persahabatan Editor Kanan Media Malaysia dan Indonesia di Hotel Shangri-La, Jakarta, pada 29 Jun 2010. Dialog yang julung-julung kali diadakan itu dihadiri Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dato’ Termuzi Haji Abdul Aziz dan editor kanan media lain yang mewakili akhbar, majalah, media elektronik, dan media baharu Malaysia dan Indonesia. Dialog yang mempertemukan peringkat tertinggi media Malaysia dan Indonesia ini memberikan peluang kepada pihak media dua buah negara mengungkapkan pendirian masing-masing berkaitan dengan isu yang melibatkan kedua-dua buah negara.

Kehadiran Muhyiddin dalam dialog tersebut menyemarakkan lagi harapan bagi mewujudkan benih baharu dalam hubungan persahabatan antara media Malaysia dengan Indonesia. Beliau memberikan penekanan terhadap peranan media yang dapat membibitkan hubungan dua hala yang teguh antara kedua-dua buah negara. Dalam hal ini, beliau akan mempertimbangkan cadangan pihak media Indonesia supaya Kerajaan Malaysia menempatkan jurucakap atau atase penerangan di Indonesia. Penempatan atase penerangan di Kedutaan Malaysia, Jakarta, amat penting supaya media Indonesia dapat memperoleh penjelasan yang tepat dan cepat jika timbul isu yang boleh menggugat hubungan negara. Muhyiddin turut mencadangkan keperluan yang sama di Kedutaan Indonesia di Malaysia supaya apa-apa isu yang timbul dapat ditangani dengan segera.

Di samping itu, wakil media juga mengutarakan keperluan program jangka pendek dan jangka panjang yang melibatkan program sangkutan dan pertukaran kemahiran yang melibatkan pertukaran wartawan. Dengan cara ini, kumpulan wartawan muda khususnya akan belajar memahami nilai budaya satu sama lain. Kesedaran persefahaman budaya ini dapat memberikan perspektif baharu terhadap masyarakat kedua-dua buah negara. Contohnya program Titian Muhibah antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan Televisyen Republik Indonesia. Program ini seharusnya digerakkan semula dalam format baharu yang sesuai dengan peredaran masa dan memenuhi kehendak pasaran. Hubungan kerjasama seperti ini dapat memperteguh ikatan setia kawan dan persaudaraan serumpun di Nusantara ini.

Sebelum itu, Muhyiddin menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Media Prima Berhad, diwakili Pengerusinya Datuk Johan Jaaffar, dengan PT Surya Citra Televisi (SCTV) yang diwakili Presiden Pengarah Fofo Sariaatmadja. Johan dalam ucapannya mengatakan bahawa perjanjian persefahaman ini mengambil semangat ISWAMI bagi menggalakkan pemahaman yang lebih baik.

Persefahaman ini juga dikatakan memperlihatkan keeratan hubungan setia kawan antara Malaysia dengan Indonesia, selain mewujudkan kerjasama secara berterusan melalui program hiburan dan kandungan berita yang disediakan oleh kedua-dua organisasi media berkenaan. Sinergi dua buah organisasi media ini bakal membuka ruang pemahaman yang lebih luas tentang aspirasi dan pemikiran rakyat Malaysia dan Indonesia demi memperkukuh hubungan simbiotik yang sekian lama terjalin.

ISWAMI dengan semangat kesetiakawanannya akan terus melaksanakan kerjasama yang boleh memberikan manfaat kepada ketenteraman dan keharmonian dua bangsa serumpun Malaysia dan Indonesia.

Padilah Haji Ali
padilah@dbp.gov.my

-----------------------------------------------------------------------------

 Mencari makna serumpun

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

HAKIKAT bahawa pihak ketiga turut mempengaruhi dalam citra hubungan antara Malaysia dan Indonesia barangkali sudah dipersetujui secara meluas oleh pemerhati hubungan antara kedua-dua negara berjiran ini.

Pihak ketiga itu boleh menjadi sebuah negara, seorang individu, pertubuhan-pertubuhan di sebalik pelbagai nama, atau pihak tidak kelihatan yang bergerak di alam maya.

Siapa pun mereka, pihak ketiga ini boleh dianggap berjaya mengeruhkan ikatan 'adik- beradik' yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia seperti yang dapat dilihat sejak kebelakangan ini.

Kehadiran pihak ketiga itu sekali lagi disebut pada Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia anjuran Gapena dan Utusan Malaysia yang diadakan di rumah Gapena, Sabtu lalu.

Forum yang julung-julung kali diadakan itu membariskan dua tokoh yang tidak asing lagi dalam kajian sosial dan kebudayaan Malaysia-Indonesia.

Mereka ialah Setiausaha Satu Gapena, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan Pensyarah Pelawat Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Amri Marzali.

Ahli Jawatankuasa Kerja Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling pula bertindak sebagai pengerusi.

Memperkukuhkan teori kehadiran pihak ketiga itu seperti yang ditegaskan oleh Zainal Abidin ialah kerana rasa bimbang dan cemburu dengan keakraban Malaysia-Indoensia yang sudah terikat secara sejarah panjangnya.

Kebimbangan itu berasaskan kepada dua faktor utama iaitu kebangkitan Islam dan pengukuhan kuasa ekonomi di rantau ini yang disumbangkan menerusi jalinan hubungan Malaysia-Indonesia.

Sebagai sebuah negara dengan jumlah penduduk Islam terbesar di dunia, Indonesia sering menjadi rujukan dalam banyak perkara berkaitan perkembangan Islam.

Dalam masa yang sama, kesederhanaan Islam di Malaysia pula telah melonjak negara ini sebagai sebuah negara Islam moden yang cukup disegani.

Acap kali juga disebut, kebangkitan Islam dalam dekad mendatang tidak mustahil boleh terjadi dari sebelah rantau ini.

Dengan kekuatan Islam di Malaysia dan Indonesia, kebangkitan itu mungkin menjadi lebih cepat menerusi keakraban dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara ini.

Kemungkinan inilah yang tidak disenangi oleh pihak ketiga yang boleh jadi sebuah negara di rantau Asia Tenggara ini.

Kebimbangan lain ialah dari sudut kekuasaan ekonomi. Perlu diketahui Indonesia merupakan antara negara yang sedang mengalami pertubuhan ekonomi yang luar biasa ketika ini.

Negara ini merupakan antara sebuah daripada lima buah negara yang dikelompokkan sebagai BRIIC iaitu negara-negara yang bakal menguasai ekonomi dunia. Negara lain ialah Brazil, Rusia, India dan China.

Malaysia pula meskipun tidak termasuk dalam kelompok itu tetapi pertumbuhan pesat ekonomi kita sememangnya dicemburui negara-negara membangun lain sejak sekian lama.

Kerjasama ekonomi yang erat antara Malaysia dan Indonesia dalam situasi ekonomi kedua-dua buah negara ketika ini dengan mudah boleh menenggelamkan kekuatan ekonomi negara-negara lain.

Selain sebuah negara, pihak ketiga yang dirujuk sebagai individu juga banyak menyumbang dalam keretakan hubungan Malaysia dan Indonesia.

Dengan pengaruh yang ada, individu ini sengaja mencetuskan ketegangan untuk meraih sokongan luar dan mengalihkan isu yang sedang dihadapi dalam negara.

Begitu pun pengaruh individu ini bukanlah sesuatu yang serius kerana seperti mana di Malaysia, sokongan terhadap individu itu di Indonesia juga sudah semakin pudar.

Namun dalam menuding jari kepada pihak ketiga di sebalik keretakan hubungan Malaysia-Indonesia, faktor masalah dalaman antara kedua-dua negara juga tidak boleh dipandang sebelah mata.

Hakikatnya dalam sejarah hubungan antara kedua-dua negara, terdapat beberapa isu yang telah mewujudkan suasana tidak harmoni dan sangat ketara sejak 2003.

Antaranya isu perselisihan pulau Sipadan-Ligatan yang akhirnya menjadi milik Malaysia serta kes perebutan wilayah di sekitar Ambalat yang masih lagi berpanjangan.

Begitu juga dengan isu tarian tradisional pendet yang didakwa dicuri Malaysia sehingga mencetuskan gelombang kemarahan di Indonesia tahun lalu.

Isu-isu lain seperti penderaan ke atas pembantu rumah dan provokasi menerusi alam siber menerusi laman web seperti 'I hate Indon' dan Malingsia.

Kemuncaknya ialah pada perlawanan akhir bola sepak Piala Suzuki AFF bulan lepas yang tidak lagi dilihat dari sudut semangat kesukanan.

Sebaliknya satu pertarungan mempertahankan maruah dan kedaulatan bangsa serta negara.

Dari sudut hubungan antara pemerintah, isu-isu ini mungkin tidak menimbulkan masalah kerana ia boleh diselesaikan di meja rundingan dan menerusi semangat diplomatik.

Tetapi di kalangan rakyat, mereka tidak melihat isu ini dari sudut yang rasional, sebaliknya lebih kepada emosional.

ni jugalah faktor yang menyebabkan mengapa kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) sanggup memenuhi jalan raya di Jakarta dengan buluh runcing memburu rakyat Malaysia seperti yang berlaku baru-baru ini.

Apa yang berlaku itu membayangkan kelemahan kedua-dua negara dalam menerapkan semangat setiakawan di kalangan rakyat.

Kita sering menyebut bahawa orang Melayu Malaysia dan Indonesia itu adalah serumpun dan saudara sebangsa.

Tetapi apa pula usaha kita dalam menyemai semangat bersaudara itu? Kerana pada hakikatnya di kalangan rakyat kedua-dua negara terutama di kalangan generasi muda, semangat itu boleh dikatakan langsung tiada.

Forum sebegini mungkin boleh menjadi salah satu usaha memupuk kembali semangat seperti itu.

Tetapi kelompok sasarannya sangat terhad dan kehadirannya pula lebih banyak dari kalangan ahli akademik yang sudah sedia maklum mengenai sejarah perkongsian budaya antara dua negara.

Perlu ada usaha yang lebih besar seperti memperkayakan hubungan kebudayaan antara negeri dan provinsi yang mempunyai kaitan sejarah secara langsung.

Kerjasama antara badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu diperhebat kerana pergerakan seumpama itu lebih dekat dengan rakyat.

Begitu pun ada sesuatu yang menarik disentuh oleh Amri yang juga merupakan ahli sosiologi Indonesia.

Katanya, perbincangan mengenai hubungan antara orang Melayu Indonesia dan orang Melayu Malaysia tidak dapat dituntas dengan mendalam kerana kedua-dua belah pihak mentakrifkan Melayu secara berbeza.

Di Malaysia katanya, Melayu itu didefinisikan sebagai ras, etnik dan agama. Seperti yang disebut oleh Perlembagaan, orang Melayu di Malaysia ialah seorang Islam, lazim bercakap Melayu dan mengamalkan adat Melayu.

Sedangkan di Indonesia, seluruh bangsa Indonesia itu adalah ras Melayu tanpa mengira agama, adat dan bahasa lazimnya.

Maka Melayu di Malaysia itu tidak sama seperti Melayu di Indonesia. Kerana itu juga, semangat serumpun tidak begitu terasa di kalangan rakyat apabila mereka tidak lagi melihat Melayu Malaysia dan Melayu Indonesia itu adalah bersaudara.

Perkara ini perlu diperhalusi oleh ahli sejarah kerana pemahaman sebegini sebenarnya sangat berbahaya lebih-lebih lagi dalam suasana perhubungan antara rakyat kedua- dua negara yang keruh ketika ini.

Sekiranya pemahaman ini dibiarkan berkembang dalam pemikiran generasi muda kedua-dua negara, maka perkataan serumpun yang sering digunakan untuk menggambarkan ikatan saudara antara kita tidak lagi mempunyai makna.
Kes seludup dadah ke KLIA kritikal


Oleh ZULKIFLI JALIL
utusanputrajaya@utusan.com.my


PUTRAJAYA 14 Jan. - Penyeludupan dadah ke Malaysia oleh warganegara asing kini di tahap sangat membimbangkan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak pernah 'rehat' untuk mengekang dan membanteras kegiatan itu di pintu- pintu masuk utama.

Mengambil perhatian serius isu itu, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Mohamed Khalid Yusuf (gambar) memberitahu, peningkatan kegiatan itu sehingga menyebabkan penguat kuasa kastam dengan dibantu anggota Polis Diraja Malaysia terpaksa menunggu sehingga operasi pesawat selesai setiap hari.

Ini khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau turut menarik perhatian mengenai kebimbangan kastam terhadap kebanjiran warga Iran di negara ini berikutan tangkapan tertinggi terhadap warga negara terbabit dalam kes-kes penyeludupan dadah ke KLIA.

"Pada 2009, hanya tujuh warga Iran ditangkap tetapi tahun lepas sahaja, bilangannya mencapai 32 orang.

"Saya tidak mahulah timbul tanggapan bahawa Kastam mengesyaki warga Iran semuanya terlibat dalam kegiatan dadah tetapi cuba kita perhatikan kebanjiran mereka yang terlalu ramai di Seri Kembangan dan Balakong, ada tu sampai tiga apartment penuh dengan warga Iran.

"Jadi, kita tidak pernah 'rehat' sehingga flight (penerbangan) habis (operasi), keutamaan Kastam pada masa ini ialah meletakkan dadah sebagai bahan risiko pertama untuk dikesan dan dibanteras di pintu-pintu masuk utama negara terutama di KLIA," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Sindiket dadah Iran tumpas


Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 25 Jan. - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa setelah menahan 15 warga Iran termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan minggu lalu.

Kesemua mereka yang ditahan dipercayai kurier dan pengedar dadah berusia 20 hingga 40 tahun.

Ekoran kejayaan itu, pihak polis merampas 78.7 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang bernilai RM15.7 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah kondominium di Ampang, Selangor, Selasa lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga Iran serta merampas 13kg dadah jenis syabu.

Beliau berkata, serbuan ke atas kondominium itu turut membongkar sebuah makmal mini yang dipercayai digunakan suspek bersama beberapa lagi rakannya memproses dadah sebelum diedarkan.

"Hasil soal-siasat kita menahan tiga lelaki dan seorang wanita juga warga Iran yang merupakan ahli kumpulan itu.

"Mereka dikesan aktif menjadi kurier membawa masuk dadah ke negara ini melalui KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Noor Rashid, susulan itu, pihaknya telah membuat tangkapan ke atas dua lelaki warga Iran di KLIA yang dipercayai baru tiba ke negara ini dan membawa dadah dengan cara menelan ketulan kapsul syabu itu.

Katanya, kedua-dua suspek terbabit dibawa ke hospital dan pihaknya berjaya mengeluarkan 174 ketulan kapsul dadah jenis syabu seberat 1.5kg.

Tambahnya, pada hari sama, pihaknya menahan tiga lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah di Pandan Indah, Ampang dan merampas 984 gram syabu.

"Kesemua dadah itu diisi dalam dua peket plastik dan disembunyikan di dalam sebatang besi," katanya.

Beliau memberitahu, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua lagi lelaki warga Iran di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, kelmarin.

"Soal-siasat kemudian membawa polis ke sebuah kondominium di Sentul, di sini yang dijadikan stor menyimpan dadah dan menahan dua lelaki serta menemui 33 bungkusan syabu seberat 63.19kg," katanya.