Tuesday, October 5, 2010

Muhyiddin seru korporat, PBT perkasa bahasa kebangsaan


2010/10/05

IPOH: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua pihak termasuk sektor korporat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membantu kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan agar hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komersial, ekonomi, memupuk perpaduan serta digunakan secara meluas di tempat awam tercapai.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sehingga kini bahasa kebangsaan belum dilestarikan sepenuhnya sebagai bahasa ilmu tinggi dan komunikasi, justeru usaha memasyarakatkan penggunaan bahasa itu mencakupi pelbagai bidang termasuk perundangan, perkhidmatan kewangan, sains dan teknologi mesti diperkasakan. Katanya, selain usaha promosi penggunaan bahasa Melayu yang betul, 146 PBT turut berperanan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam. "Sekiranya setiap PBT menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan premis perniagaan yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam, saya percaya tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan selain mengelakkan kesalahan dalam penggunaannya.

"Saya juga menyeru semua pemimpin syarikat korporat supaya tidak meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian. Penggunaan bahasa itu oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi perbankan, kewangan dan insurans seperti penggunaan dalam dokumen rasmi, papan tanda dan borang digunakan mesti diberi penegasan.

"Ini penting bagi memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan perdagangan hari ini serta mempunyai nilai ekonomi yang tinggi," katanya berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 peringkat kebangsaan bertemakan '1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara' di Stadium Indera Mulia di sini, semalam.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa Kebangsaan kepada Felo Penyelidik Akademi Pengajian Melayu dan Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar dan Hadiah Khas Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 kepada Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof Dr Ding Choo Ming sebagai mengiktiraf serta menghargai sumbangan mereka dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 kemudian melancarkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) iaitu enjin carian yang dibina Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membolehkan pengguna mencari maklumat secara holistik merentasi semua pengkalan data DBP, laman DBP serta laman Bahasa dan Persuratan Melayu yang ditentukan DBP.