Sunday, May 23, 2010

Shaharir Mohamad Zain: Ahli Akademik Mesti Artikulasikan Ilmu Dengan Massa

November 21st, 2004 • Aqil Fithri • Wawancara • 153 views

Dalam dunia akademia tanahair, nama Shaharir Mohamad Zain (Prof Dr. ) tidak perlu diperkenalkan lagi. Profesor UKM ini bolehlah dianggap sebagai mewakili mazhab “sains Islam” di mana beliau telah mengemukakan idea bahawa sains itu tidak bebas nilai, sebaliknya ia identik dengan konteks budaya sesuatu bangsa. Idea-ideanya marak menerobos dan menguasai kancah perbahasan sains Islam di tanahair.

Jika anda tidak percaya, sorotilah saja pandangan beliau dalam beberapa kertas kerja pentingnya seperti “Simbiosis antara Sistem Nilai dengan Tabii Matematik”, “Sains Pribumi” dan “PeMelayuan, PengIslaman dan PeMalaysiaan ilmu sains dan teknologi dalam konteks dasar sains negara”. Nyata sekali, idea-idea yang beliau bentangkan memang berbeza, malah memikat.

Di samping itu, rekod pekhidmatan dan kecemerlangan intelektualnya telah mendapat pengiktirafan daripada banyak badan ikhtisas tempatan dan antarabangsa seperti menjadi Felo Institut Fizik Malaysia (FIFM) sejak 1978, Felo Akademi Sains Malaysia ( F.Ac.S.(M) ) sejak 1996, Felo Institute of Mathematics and its Applications (FIMA)-UK sejak 1989, Felo Islamic Academy (UK) sejak 1987 dan Hon. Member MAAS (India) sejak 1993. Manakala dalam organisasi yang bersifat akademik pula, beliau telah melibatkan diri secara aktif dengan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) dan Persatuan Sanis Matematik (Persama) ? kedua-duanya sebagai Presiden.

Demikian juga, adalah tidak lengkap kalau kita tidak berkongsi mengenai sumbangan beliau terhadap fokus keilmuannya. Antara sumbangan besarnya yang perlu disebutkan ialah kejayaan beliau membina teori baru dalam kefahaman mekanik kuantum menerusi kamiran fungsian, membina formulasi teori pengoptimuman multi-matlamat yang lebih serasi dengan Islam, membina Lagrangean baru bagi soliton yang memenuhi persamaan KdV, menemui sistem nombor, angka serta sistem sukatan Melayu, mengukuhkan gagasan teori dan formula yang spesifik dalam pempribumian dan pengIslaman ilmu terutamanya dalam sains matematik serta yang terakhir ialah membina model peruntukan sumber universiti.

Namun apa yang perlu dipertegaskan disini ? bagi membezakan antara peranan ahli akademik dengan intelektual ? ialah kegigihan dan keberanian beliau dalam mengadunkan fahaman ilmu beliau dengan keperluan dan kepentingan masyarakat. Sekalipun terhambat dengan pelbagai kekangan akta?akta yang dikenakan ke atas kakitangan akademik, beliau tetap tegar dalam menyuarakan pandangannya yang disifatkan oleh beliau sendiri sebagai pandangan yang berteraskan ilmu, bukannya pencak politik! Soal kepentingan pendidikan dan soal penegakan keadilan di tanahair telah diperjuangkan beliau semenjak sekian lama lagi, semata-mata atas kapasisti intelektual beliau.

Justeru itu, dalam interbiu Ummahonline.com dengan beliau ini di pejabatnya pada 26 Oktober 2004, kami sebenarnya mahu meninjau pandangan beliau dalam soal kebebasan akademik yang kini dilihat kian lumpuh dan tersudut. Inilah tema sebenar interbiu! Namun kami turut menyedari, sebelum kami pergi ke tujuan utama tersebut, maka adalah amat perlu untuk kita soroti terlebih dahulu sejarah kecemerlangan karier akademik beliau; bagi mengukuhkan lagi kelayakan beliau dalam memperbahaskan tema interbiu ini.

Justeru itu, interbiu ini bukan sahaja merumuskan tema tersebut, sebaliknya ia turut merangkumi autobiografi intelektualnya secara langsung. Jadi sudah tentunya, kesimpulan kami bahawa beliau memang melengkapi gelaran intelektual ? satu gelaran yang mulia – bukannya sebagai ahli akademik semata-mata (atau professor kangkung yang kian bercambah kini!). Maka, tentunya nilai intelektualisme seperti beliau ini sepatutnya dibanggakan oleh kita semua sebagai rakyat Malaysia!

Terlebih dahulu, boleh berkongsi evolusi perkembangan dunia akademik Prof hingga dewasa ini?

Pertamanya saya ingin menyatakan bahawa latarbelakang saya dalam dunia akademik ini bermula pada tahun 1974 bila saya balik dari Australia selepas menghabiskan pendidikan saya dalam bidang matematik-fizik. Bidang ini orang sering keliru kerana mereka ingat ia dua bidang berbeza iaitu matemetik dan fizik, sebaliknya ia sebenarnya merupakan matematik dalam fizik. Dalam bidang seupama ini ada dua aspek iaitu; satu aplikasi dan satu lagi bagaimana untuk mendapatkan idea baru matematik dari bidang fizik. Jadi, bidang ini dia boleh serasi dengan mana-mana bidang, cuma masyarakat sahaja yang tidak faham.

Manakala latarbelakang saya sebelum pergi Australia ialah saya dianggap sebagai baya pertamalah dalam aliran pendidikan Melayu; setelah lulus peperiksaan khas yang ditawarkan oleh UM untuk masuk UM sahaja. Kalau sekarang, ia kira setaralah dengan STPM. Entah macamana pada masa tersebut, kerajaan nak buat eksperimen untuk cuba aliran melayu ini samada boleh tak pergi belajar di seberang laut dalam aliran Inggeris. Jadi dia ambil beberapa orang di kalangan baya saya, lebih kurang 5-6 orang begitulah untuk buat ijazah pertama. Jadi dari situlah saya dapat tawaran biasiswa untuk ke seberang laut. Apabila balik ke sini pada masa 1974 itu, memang Malaysia pada ketika itu bergolak dengan demostrasi Baling, tetapi saya tak begitu mengikuti hingga ia memang mengejutkan saya. Ketika di Australia, saya terlibat dengan kegiatan aktivis pelajar tetapi berkaitan dengan isu seperti perperangan Amerika Syarikat ? Vietnam, perperangan Arab ? Israel dan beberapa lagi isu-isu yang bersifat antarabangsa.

Di sana Prof terlibat dalam front apa?

Hanya dalam bentuk kegiatan pelajar semata-mata, mungkin bolehlah di anggap terikut-ikut. Saya bukannya pemimpin di sana. Kembali Malaysia fokus saya berubah daripada terlibat daripada isu antarabangsa. Dengan melihat keadaan di Malaysia yang ketika itu di mana gerakan keIslaman begitu hebat pada masa tersebut, di mana kemuncaknya melalui Anwar Ibrahim sebelum beliau masuk politik. Jadi saya tertarik dengan isu-isu keilmuan, bukan politik sangat; isu-isu keilmuan yang dihubungkan dengan keIslaman. Jadi pada masa itu, istilah pengIslaman ilmu belum ada lagi, sekurang-kurangnya belum sampai ke sini. Cuma ada istilah seperti sains daripada perspektif Islam dan beberapa lagi.

Di Malaysia ini, rupa-rupanya saya tengok sudah ada satu persatuan yang diberi nama Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) yang ditubuhkan tahun 1977. Ketika itu saya baru tiga tahun di Malaysia, jadi kesempatan itu saya ambil untuk masuk dalam gerakan itu yang diasaskan antaranya oleh Osman Bakar, walaupun pada awalnya beliau bersama saya di UKM sebelum pindah ke UM. Pada masa tersebut, beliau begiat dengan ABIM sebagai setiausaha di samping cuba untuk membentuk akademi baru ini dimana beliau sebagai setiausaha manakala Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim sebagai Presiden. Kemudian selepas itu barulah Osman Bakar mengajak saya menyertainya.

Di Malaysia, kegiatan saya yang sesetengah orang kata ia politik, sebenarnya tidak. Semua fokus saya dikaitkan dengan ASASI, malahan apabila saya aktif dalam Persatuan Sains Matematik (Persama), saya cuba untuk memasukkan idea menjadikan matematik lebih dekat kepada Islam agar matematik itu lebih menjadi sebahagian daripada budaya kita. Ketika itu orang belum bercakap perkara itu lagi, jadi saya perjuangkan perkara ini sebagai perluasan terhadap apa yang ada dalam ASASI. Jadi, kalau ada keterlibatan saya dalam soal-soal yang secara tidak langsung menyentuh isu politik, adalah kerana saya lihat itu ada hubungan dengan perkembangan ilmu sains di Malaysia menurut perspektif Islam. Dan sekarang saya menjadi Presiden ASASI selepas Osman Bakar menarik diri apabila beliau pergi ke Amerika Syarikat.

Apakah detik-detik kritikal dalam karier, yang Prof sifatkan period penting dalam dunia akademik Prof. sendiri?

Dalam bidang akademik ini, kemuncak kejayaan saya bilamana saya mendapat Profesor pada tahun 1983. Masa itu anugerah ini dianggap satu percapaian yang bagus dimana umur saya agak relatif mudalah untuk dapat Profesor. Kemudian dalam tahun 1990-an, saya banyak dapat pengiktirafan dari seberang laut iaitu di UK di mana saya di lantik sebagai felo. Bagi saya, itu sebenarnya satu perhormatan yang tertinggi dalam dunia akademik di mana menjadi felo kepada satu institusi akademik dari negara maju itu tentunya merupakan satu idaman semua orang dalam dunia akademik. Jadi saya dapat anugerah ini pada tahun 1989 sebagai felo Institute of Mathematics and its Applications (FIMA).

Kemudian, saya juga mendapat beberapa pengiktirafan daripada institusi yang ada kaitan dengan Islam. Saya mendapat pengiktirafan felo daripada Islamic International Institute of Thouhgt (IIIT) yang sekarang ini terpaksa diam, tetapi pada masa itu IIIT agak aktif di New York dan dunia barat. Selain daripada itu, saya turut dapat felo dari Islamic Academy yang merupakan sebuah NGO Islam yang menjadi sekutu kepada Cambridge dimana Presidennya pada masa tersebut adalah seorang Professor di Cambridge.

Kemudian saya memperolehi satu lagi pengiktirafan yang setara dengan felo dari kumpulan ahli sains India dan Pakistan. Kumpulan ini telah menubuhkan satu persatuan yang dipanggil MAAS. Persatuan ini mempunyai jurnal yang agak terkenal juga yang dikenali sebagai Islamic Science Journal, dimana saya juga selalu memberi sumbangan terhadap jurnal tersebut. Di Malaysia, memang penghormatan tertinggi terhadap saya bilamana dilantik sebagai felo Akademi Sains yang ditubuhkan pada tahun 1993. Itu saya perolehi pada 1994 di mana saya adalah ahli matematik pertamalah yang mendapat anugerah felo tersebut.

Apakah tema ilmu dan karya-karya yang banyak mempengaruhi Prof samada dalam dunia akademia mahupun keIslaman?

Agenda pengIslaman ilmu ini sebenarnya sudah bermula lebih 30 tahun, kalau ia dikira semenjak penubuhan IIIT lagi. Terutamanya dalam bidang sains, boleh dikatakan belum ada bentuk pendekatan teks falsafah Islam lagi ketika tersebut. Ia masih belum ada, dan itulah yang menjadi kekosongan besar. Tetapi penulisan-penulisan dalam bidang falsafah dan sejarah memang ada di Malaysia. Itu sebab bidang ini tidak berkembang, kerana para sarjana sendiri tidak terlibat atau tidak berminat memandangkan mereka fikir bidang ini agak lambat untuk mendapat pengiktirafan. Bagi mereka, kerjayanya makin malap jika terlibat dan bidang ilmu yang berkaitan dengan Islam. Jadi karya sains Islam amat-amat kosong. Kalau dalam sains Islam, ia datangnya dari beberapa orang sahaja yang kemudiannya disiarkan dalam Jurnal ASASI iaitu Kesturi.

Buku tentang tema ini belum ada ketika itu. Jika buku yang saya tulis, saya masukkan perisa sains Islam ini, yang saya olah supaya nampak peranan Islam itu, meskipun subjeknya biasa diajar di universiti-universiti. Jadi pengolahan saya yang berbeza dengan melihat dari segi Islam dan sebagainya. Dalam kebanyakan karya berbentuk falsafah, karya Hossein Nasr dan Syed Naquid seringkali menjadi rujukan saya.

Dan sekarang dunia falsafah termasuk falsafah sains barat sekalipun, ia telah pergi kepada spiritual. Karya-karya itu saya baca; seperti kalau di Barat karya Thomas Kuhn manakala yang Islaminya daripada karya Hossein Nasr iaitu ?cosmological doctrine? yang kini telah diterjemahkan oleh DBP. Ia berkesan kepada saya, kerana ia membantu bilamana saya terlibat dalam ASASI ini, maka saya mencari-cari apakah dia pendekatan yang disebut sebagai sains Islam itu. Dan, buku ini menjawab sebahagiannya daripada apa yang saya cari.

Manakala buku Kuhn tentang bagaimana sains itu berkembang. Saya berminat mengenai Kuhn ini bilamana selepas membaca karya Hossein Nasr. Sebelum saya baca buku Kuhn ini, sebenarnya karya Hossein Nasr saya telah baca dulu di mana Nasr banyak menyentuh mengenai Kuhn. Kuhn menceritakan bahawa sains ini bukannya berkembang tidak putus-putus. Ia sebenarnya berkembang, melompat dan kemudiannya putus. Inilah apa yang dikenali ?paradigm?. Jadi, Kuhn perkenalkan istilah ?paradigm? itu. Jadi, jika buku tidak ada, mungkin saya tidak dapat kekuatan untuk memperjuangkan sains Islam kerana sains ia bermakna saya nak membentuk paradigma baru, ada ke tak? Jadi rupa-rupanya sains barat sudah berkembang seperti itu. Maknanya daripada Yunani, ia berkembang. Kemudian Islam mengambil dan ubah paradigma dan seterunya berkembang. Kemudian Eropah ambil dan berkembang serta ubah paradigmanya.

Baiklah, apa pandangan Prof pula mengenai tahap kemajuan aliran sains tulen berbanding sains sosial di Malaysia ini?

Dari segi bidang sains tulen pula, saya rasa Malaysia agak ke depan berbanding bidang sosiologi, antropologi, ekonomi dan sebagainya. Ini mungkin kerana di Amerika Syarikat terdapat IIIT yang mana kebanyakan ahli-ahlinya terdiri daripada aliran sains sosial ini. Jadi buku-buku pendekatan Islam tentang ilmu sains tulen ini tidak berapa saya tumpulah sebab ia bukan bidang utama saya. Tetapi buku-buku umum falsafah karangan tokoh-tokoh besar, hampir kesemuanya saya baca.

Berkait dengan perjuangan ASASI, kenapa rakyat tidak begitu terasa kesan kehadirannya? Apa puncanya?

Sebenarnya dalam ASASI sendiri, kita ada ahli lebih kurang 200 sahaja, walhal ahli akademik dalam bidang sains tulen lebih daripada 4000 orang di Malaysia, itu tidak termasuk lagi dalam kejuruteraan, perubatan dan lain-lain lagi. Kalau ahli cuma ada 200 orang sahaja, ia tidak dapat mencapai bilangan genting bagi orang lain turut merasa kesan persatuan ini.

Tetapi kalau kita tengok persatuan Sister in Islam (SIS) dan Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), ahlinya tidak sampai seratus orang kerana mereka ada ?god father?. Misalnya, kalau nak menyiarkan apa-apa pendapatnya, suratkhabar senang sahaja untuk siarkannya. Di sinilah pengaruh media dan politik memainkan peranan yang sangat penting. Kalau JUST itu, bukan sahaja di Malaysia, tetapi dunia luar sana turut melihat JUST memperjuangkan agenda yang sama dengan mereka tentang apa yang dimaksudkan dengan keadilan yang mana tidak semestinya kita bersetuju semuanya itu.

Manakala SIS ahlinya mungkin sekitar 40 orang sahaja, tetapi masyarakat begitu terasa ramainya ahli persatuan ini sebab dia boleh masuk dalam SUHAKAM dan MTEN atas nama SIS. Bayangkanlah, ABIM tidak boleh masuk walaupun ABIM lebih besar, tetapi SIS boleh! Jadi sebenarnya persatuan tidak semestinya besar, asalkan dapat menembusi institusi berpengaruh ini. Dulu kegiatan Islam ini ada ?god father? ? Anwar Ibrahim ? jadi ia senang nak buat aktiviti dan suratkhabar pun sedia menyiarkannya. Sekarang malap, sebab dunia kini mengutuk Islam jadi orang dalam pun dah menjadi takut.

Dalam soal kekangan kebebasan akademik, wujudkah akta yang menjadi hambatan kepada para ahli akademik di universiti-universiti tempatan?

Akta tatatertib Guru! Dalam akta ini ia meyatakan bahawa setiap pensyarah tidak dibenarkan untuk menerbitkan apa-apa, kecuali dengan kebenaran Naib Canselor. Itu memang hambatan yang besar sekali. Tetapi 99% sahaja pensyarah tidak ikut itu. Gila ke, bilalah Naib Canselor nak baca kesemua? Cuma peraturan tu boleh digunakan bila-bila msa ada masalah. Kalau sekiranya ada seorang menteri ke yang baca benda yang dia tidak senang, dia akan terus rujuk kepada Naib Canselor yang kau lulus ke tak ni? Jika tidak, maka kenalah. Sebab peraturan di sini jelas.

Jadi tentu sekali Akta Tatatertib Guru ini perlu dirombak kembali?

Memang, sudah banyak tahun ia tidak dinilai kembali. Memang patut untuk dihalusi dan di liberalkan. Cuma apa yang berlaku sekarang, kebanyakan orang tidak peduli atau ikut Tatatertib Guru ini. Lagipun kebanyakan penulisan akademik ini seperti penulisan laporan makmal, takkanlah nak beri pada Naib Canselor untuk baca. Dalam konteks ini, mereka berani. Apa, nak tunggu baca dulu baru nak diterbitkan?. Tetapi jika yang melibatkan tafsiran, hubungan dengan masyarakat, itu yang dirisaukan oleh pihak atasan. Jadi dalam konteks ini pula, akhirnya pensyarah tidak buatlah! Takut! Self sensation! Dia takut pasal tatatertib guru inilah!

Bagaimana pula dengan Akujanji?

Akujanji juga memberi kesan, cuma ia mengingatkan pensyarah kepada tatatertib itu sahaja sebab dulu orang tak kisah. Pada saya Akujanji ?is nothing?. Kalau tak ada Akujanji pun, kerajaan boleh ambil tindakan kerana tatatertib Guru itu sudah jelas. Banyak benda pensyarah tidak boleh buat tanpa kebenaran Naib Canselor.

Berdasarkan kepada pengalaman Prof sendiri; dari manakah datangnya tekanan ke atas kebebasan akademik?

Tekanan dari dalam, tetapi saya tahulah itu dari luar juga. Cuma, kebiasaannya tindakan dari dalam lebih awal daripada apa yang diluar cakap!

Umum menyedari Prof agak lantang dalam mengutarakan isu-isu yang bersifat kemasyarakatan. Namun hingga kini Prof masih di izinkan kekal dalam institusi akademik kerajaan. Jadi, apa kekuatan yang Prof ada untuk mampu bertahan sehingga kini?

Saya rasa sebab bidang akademik saya pun kuat. Mereka susah untuk membuat tindakan yang drastiklah. Maknanya, kalau intelektual sahaja tapi tidak ada ?substance? dari segi akademik ia lebih mudah untuk orang singkir, terutamanya dalam dunia akademik ini. Cukup senang! Tapi saya rasa susah, kalau seseorang itu dari segi hasil penyelidikannya, dan kerjanya jauh lebih baik dari mereka yang pro-kerajaan. Ia tidak ada sebab yang kuat. Cuma bila datang masanya, dia bolehlah disngkirlah tetapi taklah begitu drastik, macam saya tafsirkan tindakan universiti terhadap saya yang tidak memanjangkan tempoh kontrak saya sepanjang seperti rakan-rakan saya yang lain. Memang itu sebahagian daripadanya, tapi itu kita tak boleh ?challenge? sebab bila kita dah pencen, itu ehsan institusi semata-mata samada mereka nak ambil ke tidak. Jadi, kalau kita ahli akademik ada perjuangan sesuatu benda, maka kita kena kuatkan rekod akademik serentak dengan perjuangan kita.

Cuma kekadang timbul persoalan bahawa soal perjuangan kebebasan akademik ini dilihat agak ketinggalan berbanding dengan isu-isu yang sekelasnya seperti kebebasan media, hak asasi, hak bersuara dll. Apa komen Prof?

Di sini, masyarakat tidak beberapa faham maksud kebebasan akademik. Kebebasan akademik itu bermaksud ialah kebebasan untuk melahirkan pendapatnya dalam sesuatu isu sahaja. Bukannya untuk kita tunjuk perasaan atau memberi pengucapan umum bagi menyatakan sesuatu pandangannya. Kebebasan akademik ini memberi ruang untuk kita nyatakan pendirian kita dalam seminar dan penulisan, itu yang penting. Bukan nak jadi macam ahli politik. Kalau dulu, saya difahamkan bahawa pensyarah UM boleh masuk calon pilihanraya tanpa perlu meletak jawatan. Saya rasa itu tidak sesuai, ahli akademik bukannya ahli politik. Bukankah intelektual itu lain? Kalau di Malaysia ini, peranan intelektual tidak ada sebab kita telah di bahagi dua samada pihak kerajaan atau anti kerajaan, yang di tengah di antara ini tidak ada, dan tidak dibenarkan tumbuh. Itu yang saya selalu cakap, kenapa tidak dibenarkan tumbuh! Kadang-kadang nampak dia bercakap pro kerajaan, kadang-kadang nampak dia bercakap pro-pembangkang. Itu baru peranan intelektual. Jadi yang ada sekarang ialah istilah yang dikatakan professional intelektual di kalangan dunia akademik. Professional intelektual ini di mana parti politk akan membayar mereka ini untuk bercakap atas nama parti. Ini banyak berlaku, terutama yang UMNO lah sebab dia ada duit dan tak ada rasa takut. Kalau pihak lain, mereka tak nak pun bercakap sekalipun ada duit sebab takut. Jadi perbezaan kita dengan kebebasan akademik di Eropah ialah intelektual diberi peluang dan peranan.

Mungkin ahli akademik fikir, sebarang perubahan mustahil boleh dilakukan selain dari kerajaan?

Memang, oleh kerana tolenrasi pihak berkuasa itu terlampau rendah, maka akhirnya orang tidak kisah. Ahli akademik pun macam manusia biasa juga, kata apa apa pun, dia orang dah tak kisah dah. Bila sampai tahap tu memang bahaya. Maknanya dia rasa membuang masa sahaja bercakap ini sebab pihak berkuasa tidak akan berubah. Mereka fikir, apa tujuan kita bising-bising, ia tidak akan berubah. Jadi ia satu anggapan yang salah, sebab orang yang berkuasa manusia juga. Inilah sebab banyak sangat dia dengar benda yang tak bagus, maka dia akan berubah sedikit-sebanyak. Yang saya sedih tengok bila saya pergi ke kampung-kampung, masyarakat kampung kata macam itu, manakala di kalangan pensyarah juga macam itu. Jadi apa tujuan kita kritik mengenai sesuatu isu, dia tidak akan dengar. Akhirnya, senanglah! Ini yang salahnya yang perlu diperbetulkan kembali.

Dalam kes di Malaysia, bagaimana tahap kebebasan akademiknya?

Di Malaysia mereka cakap sahaja bebas, tetapi mereka ini sentiasa tuduh saya pembangkang, walhal banyak juga masa saya bercakap pro-kerajaan, tetapi tidak timbul dan dibesarkan. Jadi, saya rasa itulah keadaan, bila kita bercakap mengenai kebebasan akademik di Malaysia. Ahli akademik adalah golongan yang paling ramai yang berpontensi untuk membentuk golongan yang ketiga. Tetapi itu masih belum berlaku di Malaysia.

Jika di Indonesia, ia cepat berlaku iaitu selepas sahaja tercetusnya gerakan reformasi itu. Saya rasa ia didorong oleh beberapa sebab, mungkin ia telah lama sangat yang bergelojak dalam jiwa masyarakat Indonesia yang sering dikekang. Bila ada kebebasan, banyak golongan ketiga ini yang dapat bercakap. Pada saya, itu budaya yang baiklah di Indonesia yang jauh lebih baik dari sini.

Cuma di Indonesia ini ada masalah baru kerana terlampau banyak kelompok. Sepatutnya cuma ada satu, iaitu intelektual yang boleh menjadi jurucakap ummah tentang sesuatu isu. Kalau tengok forum di televisen mereka pun jelas, di sana mereka memang panggil yang kontra, manakala di Malaysia di panggil yang mono sahaja.

Tetapi dalam soal kebebasan media kita perhatikan ia lebih berani dan berpengaruh jika dibanding dengan kebebasan akademik. Apa pendapat prof?

Bagi saya suratkhabar yang agak berani ialah Malaysiakini. Mereka berani! Mungkin pihak berkuasa tidak nampak ada impak besar dari mereka. Di Malaysia yang paling sensitifnya ialah Utusan Melayu, sebab di sinilah ?hardcore? UMNO yang menjadi pekerja-pekerjanya. Jadi dia begitu sensitif. Lepas itu pergi kepada suratkhabar Inggeris. Berkenaan dengan suratkhabar Inggeris, pihak berkuasa tidak berapa tekan sangat sebab mereka fikir ia kurang pengaruh di mana mereka yang membaca suratkhabar Inggeris ini sudahpun tidak senang dengan kerajaan lagi. Jadi mereka takut ini suratkhabar yang boleh membentuk fikiran rakyat besar. Manakala kalau suratkhabar Cina bukannya ada apa signifikan yang besar terhadap perubahan politik negara. Sebab itu kalau kita boleh menguasai Mandarin, ia satu kelebihan.

Akhir sekali, mungkin Prof ada pesanan buat ahli-ahli akademik terutamanya di Malaysia, apa yang sewajarnya untuk kita lakukan bagi mengembalikan martabat golongan akademik di tanahair?

Pertama sekali, ahli akademik mesti menumpukan 80% daripada kehidupannya dalam bidang masing-masing. Dan, 20% lagi itu ialah mengartikulasikan ilmu yang ada dalam diri dia untuk menghubungkan kepada keadaan masyarakat. Dengan itu, akan terpupuk diri dia untuk menjadi intelektual. Bila dia jadi intelektual, secara tidak langsung dia akan terlibat dengan massa. Itu yang saya selalu sebut di pelbagai ceramah di kalangan pensyarah. Tetapi apa yang berlaku, kalau ahli sainsnya, lebih 99% dari mereka berada di dalam bilik makmal sahaja. Dia tidak mahu masuk atau tidak mahu kisah terhadap apa yang berlaku di luar oleh kerana pelbagai faktor seperti takut dan materialistik. Bagi mereka, ia tindakan yang menyeksa diri. Saya pun boleh jadi professor juga, tetapi tidak ada masalah. Jadi, dia kena lebih seimbang hidup dia antara ahli akademik yang masyarakat boleh tumpang lebih dari sekadar sebagai ahli sains. Sebenarnya, ahli sains pun masyarakat boleh tumpang, tetapi ia memerlukan masa yang lama. Biasanya, satu-satu penemuan ahli sains ini mengambil masa 20 hingga 30 tahun baru dapat dinikmati oleh masyarakat. Tetapi kalau intelektual, ia cepat untuk masyarakat menikmati sumbangan itu. Jadi itu hasrat saya. Upamanya bagi bidang sastera ini, memang bidang itu bidang masyarakat, tetapi kerana keadaan yang tercipta, maka dia jadi tidak terlibat dengan masyarakat.
Hasil penyelidikan Kementerian Pendidikan dipertikai

Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) mempertikaikan hasil kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan yang mendapati penggunaan bahasa Inggeris telah berjaya meningkatkan prestasi pelajar dalam matapelajaran Sains dan Matematik Sekolah .

Setiausaha agungnya Prof Dr Shahrir Mohamad Zain berkata, hasil kajian itu tidak bernilai sama sekali kerana mengandungi "bohongan statistik"

Beliau yang juga profesor matematik fizik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ada sekurang-kurangnya empat sebab mengapa hasil penyelidikan Kementerian Pendidikan boleh dipertikaikan.

Pertama, katanya, penyelidikan itu tidak objektif kerana pengkaji yang ditugaskan menjalankannya sudah tentu tidak memberi hasil kajian sebaliknya kerana penajanya (kerajaan) telahpun membuat keputusan untuk melaksanakan dasar tersebut.

"Kedua, kajian ini bertentangan dengan kaedah sains (kaedah statistik) kerana tiada kawalan yang meyakinkan, iaitu tiadanya sekolah yang menjalankan kajian sains dan matematik dalam bahasa Melayu dalam persekitaran yang sama (guru yang sama berkebolehan, satu kumpulan pelajar yang boleh dibandingkan kemampuan mereka dengan kumpulan sasaran, alat-alat yang sama dan sebagainya).

"Ketiganya, jumlah ujikaji atau cubaan yang tidak mencukupi, iaitu hanya satu-dua kali ujian/penilaian sahaja.

Andaian palsu

“Keempat, hasil kajian ini bertentangan dengan intuisi atau dengan deria biasa pun, serta dengan kebanyakan hasil kajian yang dibuat di merata dunia sejak tahun 1970-an lagi sehingga kita sewajarnyalah mempersoalkannya,” katanya dalam satu kenyataan 22 Oktober 2003 lalu, yang turut ditandatangani oleh Profesor Kejuruteraan Kimia UKM, Prof Dr Ir Wan Ramli Wan Daud.

“Yang tidak kurang menjengkelkan ialah reaksi akhbar dan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) terhadap hasil penyelidikan itu sepertimana yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar perdana pada 8 September 2003 (Utusan Malaysia dan Berita Harian).”

Katanya, perdana menteri dilaporkan seolah-olah ‘memulangkan paku buah keras’ kepada penentang dasar tersebut sambil memberi ‘tambahan nilai’ terhadap hasil penyelidikan itu dengan berkata ‘bukankah lebih baik lagi jika kita belajar ilmu dalam bahasa asalnya (maksudnya Inggeris).’

Tambahnya lagi, perdana menteri kemudiannya dilaporkan merasionalkan lagi hasil kajian itu dengan berkata ‘jika kita terus menterjemah, berfikir dalam dua bahasa, maka kita akan dapati kemampuan kita untuk menyerap ilmu kurang sedikit.’

Menurut Prof Dr Shahrir lagi, perdana menteri juga berkata mempelajari (Sains dan Matematik) dalam bahasa Inggeris juga mengurangkan kekeliruan, contohnya ‘potassium’ yang diterjemahkan ‘kalium’ dalam bahasa Melayu.

“Andaian bahawa bahasa asal ilmu ialah bahasa Inggeris adalah andaian yang palsu yang datang dari jiwa-jiwa hamba yang tersekap mindanya, atau jiwa-jiwa yang tahu sejarah sebenar sains dan matematik tetapi sengaja mahu membuat fitnah demi kepentingannya sahaja," tambahnya.

Terjemahan

Prof Dr Shahrir berkata, bahasa asal ilmu sains dan matematik sekolah ialah bahasa Yunani, Arab, Latin dan Perancis, manakala Einstein yang disinonimkan dengan teori kenisbian hanya menggunakan bahasa Jerman.

“Sarjana Inggeris sendiripun berkarya sains dan matematik dalam bahasa Latin dan Perancis hingga abad ke-18. Sains dan matematik peringkat universiti sedikit sahaja asalnya dalam bahasa Inggeris. Ambil sahaja fizik universiti di mana fizik klasik asalnya hampir semuanya dalam bahasa Yunani, Arab, Latin, Perancis atau Jerman.

“Satu daripada unsur fizik klasik yang besar memang selalu disebut hasil sumbangan ahli sains agung Inggeris, Newton, tetapi itupun asalnya dalam bahasa Latin kerana beliau dan ahli sains Eropah pada zaman itu masih mengguna Latin sebagai bahasa ilmu,” katanya

Menurutnya lagi, unsur fizik klasik yang asalnya dalam bahasa Inggeris hanyalah fizik elektromagnet klasik kerana jaguhnya, Faraday dan Maxwell memang (orang) Inggeris yang berkarya dalam bahasa Inggeris pada abad ke-19, iaitu abad (orang) Inggeris mulai sedar perlunya mereka menggunakan bahasanya sendiri dalam Sains dan Matematik.

"Teori-teori besar dalam Matematik seperti teori set, teori fungsi, analisis, analisis fungsian, teori pengoperasi topologi dan homotopi, semuanya bukan ciptaan/binaan/karya dalam bahasa Inggeris tetapi dalam bahasa Jerman, Perancis, Russia, Belanda dan Poland. Sebenarnya, ilmu sains dan matematik sehingga peringkat universiti yang kita cuba kuasai itu semuanya ilmu terjemahan kepada bahasa Inggeris sahaja!," tambahnya.

Prof Dr Shahrir juga menyifatkan sebagai "sesuatu yang sengaja diadakan" andaian bahawa ketika Sains dan Matematik Sekolah diajar dalam bahasa Melayu, pelajar dan gurunya asyik menterjemah, berfikir dalam dua bahasa Inggeris-Melayu sehingga membantutkan pemahaman ilmu serta mengurangkan kemampuan menyerap ilmu itu.

Bahasa ibunda

Malah, katanya, Sains dan Matematik Sekolah telah begitu lama diajar dalam bahasa Melayu sehingga hampir semua guru begitu selesa mengajarnya dalam bahasa berkenaan sahaja.

Katanya, kemungkinan apa yang berlaku ialah apabila para guru dipaksa mengajar dalam bahasa Inggeris dan pelajar pula amat sedikit menghayati bahasa itu dalam kehidupan sehingga segala-galanya diproses dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda lain terlebih dahulu, sebelum diluahkan dalam bahasa Inggeris.

Menurut beliau lagi, kekeliruan juga tidak mungkin berlaku dalam soal terjemahan istilah kerana, pada amnya guru, apatah lagi pelajar, menerima sahaja segala macam istilah dalam buku teks.

“Malah sains dalam bahasa Inggeris pun banyak yang salah diterjemah (dari Arab, Latin, Perancis dan Jerman) tetapi tidak pernah menjadi masalah kepada pelajar dan guru Inggeris. Umpamanya, istilah dalam trigonometri (daripada bahasa Arab) banyak yang disalah terjemah oleh sarjananya dahulu tetapi dipakai hingga sekarang, tanpa masalah,” tambahnya.

Oleh itu, katanya, Asasi tetap berpendirian bahawa dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik Sekolah adalah suatu kesilapan dan tragedi besar kepada rakyat Malaysia.

"Kami kira umat Malaysia kini dan akan datang, akan bertambah sanjungan dan penghormatannya lagi kepada kerajaan kini jika kerajaan tidak teragak-agak mengaku kesilapan ini dan memperbaiki keadaan dengan seberapa segeranya," tambahnya.
Sakit mata, sakit hati, bahasa dan bangsaku

Sakit mata. Sakit hati. Setiap kali lalu MRR2 menuju tempat kerja, ada satu papan tanda sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berbunyi ''Another project by...''. untuk mengumumkan projeknya. Tak boleh ke tulis ''Satu lagi projek oleh...''

Untuk apakah papan tanda ditulis dalam bahasa Inggeris itu? Untuk pelancong? Untuk pelabur?

Memanglah syarikat itu gergasi multinasional, tetapi ia adalah syarikat Malaysia, milik kerajaan pula.

Ini bukan soal mendaulatkan bahasa kebangsaan, tetapi dari segi praktikal, semua penduduk negara ini tahu Bahasa Malaysia, papan tanda itu adalah untuk penduduk negara ini. Tentulah sewajarnya dalam Bahasa Malaysia.

Keadaan ini sama juga dengan pusat-pusat membeli belah baru di merata-rata tempat yang meletakkan papan tanda Keluar sebagai Exit. Merata-rata Exit.

Adakah pengguna dan pelanggan pusat-pusat membeli belah itu terdiri daripada pelancong semata-mata yang tidak tahu berbahasa Melayu.

Sedangkan hakikatnya kebanyakan pelanggan dan pengguna adalah dari kalangan penduduk negara ini, yang tentunya faham Bahasa Malaysia.

Dalam hal ini, untuk mengatasinya seringkali dilaungkan perlunya ada penguatkuasaan supaya Bahasa Malaysia digunakan di tempat-tempat awam.

Tetapi apa gunanya penguatkuasaan kalau segala apa yang dilihat sebagai mendaulatkan Bahasa Malaysia adalah kerana takut pada undang-undang?

Soal mendaulatkan Bahasa Malaysia bukan isu perkauman. Yang keberatan mendaulatkan Bahasa Malaysia bukan saja orang bukan Melayu. Banyak orang Melayu pun sudah tidak gemarkan Bahasa Malaysia. Macam-macam alasan diberikan untuk tidak mendaulatkan Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia tidak komersial. Bahasa Malaysia tidak kompetetif. Kurang bahan bacaan Bahasa Malaysia. Dan macam-macam lagi.

Tetapi kalau sudah tidak suka, cakap saja tak suka. Tidak perlu alasan. Memang banyak orang tidak suka Bahasa Malaysia. Hati mereka sememang begitu. Bukan boleh dipaksa orang yang sudah tidak suka.

Biarlah orang yang tidak suka Bahasa Malaysia hidup dengan dunia mereka. Tetapi kita yang sayang kepada Bahasa Malaysia marilah gunakannya dengan baik dan kembangkannya. Bahasa Malaysia ini indah dan mengungkapkan jati diri dan citra budi kita sebagai rakyat Malaysia. Tanpa mengira kaum.

Sementara ada pula orang yang tidak suka nama Bahasa Malaysia. Mereka mahu ia disebut sebagai bahasa Melayu saja. Memanglah Bahasa Malaysia itu bahasa Melayu. Tetapi begitu juga dengan Bahasa Indonesia. Ia juga adalah bahasa Melayu. Bahasa Melayu itu luas. Tetapi keluasannya adalah kerana besarnya penggunaan Bahasa Indonesia lantaran bilangan penduduk negara itu yang tinggi.

Indonesia mempunyai pelbagai bahasa suku kaum. Yang terbesar ialah Jawa dan sudah tentu penutur bahasa Jawa lebih banyak daripada Melayu. Tetapi Indonesia melalui Sumpah Pemuda pada tahun 1928 dalam mengisytiharkan Gagasan Nasional Indonesia menyatakan bahawa Indonesia bertutur satu bahasa, iaitu bahasa Melayu yang dinamakannya Bahasa Indonesia, sebagai bahasa penyatuan.

Tujuan bahasa Melayu di Indonesia dinamakan Bahasa Indonesia adalah untuk nasionalisme negara itu dalam membina bangsa mereka.

Tetapi nasionalisme bahasa ini menghasilkan kesusasteraan Indonesia yang merupakan gerakan budaya bagi tujuan memerdekakan negara.

Pengaruhnya sampai ke Tanah Melayu dan turut menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.

Semua parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan sepakat bahawa bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris yang dijadikan bahasa kebangsaan. Ini bukannya nasionalisme bahasa. Ia adalah nasionalisme Malaya itu sendiri. Pembinaan negara memerlukan satu bahasa jati diri. Bukannya saja kerana mahu membesar-besarkan bahasa sendiri sebagai hegemoni bahasa.

Apabila kemerdekaan dicapai, bahasa Melayu tentunya diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan Malaya. Tanah Melayu tentunya bertutur bahasa Melayu. Bukan saja ia merupakan bahasa penduduk majoriti dan merupakan lingua franca antara kaum, tetapi ia adalah bahasa penyatuan warga negara. Maknanya Melayu adalah bahasa pembinaan bangsa.

Bahasa Inggeris tidak boleh menjadi bahasa penyatu dan pembina bangsa. Ketika itu pastinya bahasa Inggeris akan menjadi bahasa pemecah, antara bandar dan desa, antara elit dan rakyat biasa.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, diisytiharkan bahawa bahasa Melayu adalah Bahasa Malaysia. Ia merupakan bahasa penyatu pelbagai kaum dan juga antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat yang ketika itu, termasuk Singapura.

Siapa yang mencintai negara dan bangsa Malaysia, wajar mendaulatkan Bahasa Malaysia.

Sesiapa yang memandang remeh kepada Bahasa Malaysia, mereka kurang cinta kepada negara. Ini kerana bagaimanakah hendak membina dan membangun bangsa dan negara tanpa Bahasa Malaysia?

Sebagai negara demokratik dan liberal sesiapapun bebas menggunakan bahasa yang mereka pilih. Tetapi dengan menjunjung bahasa-bahasa lain, adakah impian untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia akan berjaya?

Kegagalan komunikasi antara penutur bahasa yang berbeza akan memecah belahkan kalangan rakyat, yang dengan ditambah faktor lain boleh membawa perbalahan kerana kurang saling faham-memahami.

Tetapi apakah institusi utama bagi mendaulatkan Bahasa Malaysia? Maka tentunya institusi pendidikan dari peringkat rendah iaitu Sekolah Kebangsaan.

Rencana dari Utusan Malaysia Online  bertarikh 23/05/2010

Monday, May 10, 2010

Bertegas Perkara 152
Mingguan Malaysia, 21 Februari 2010

Saya bergegas pulang ke ibu kota pada 15.2.2010 untuk memenuhi jemputan GAPENA, KALAM dan PENA sebagai panelis Wacana Peradaban Bahasa Melayu sempena Hari Pejuang Bahasa 152 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun sedang bercuti Tahun Baru Cina, berpegang kepada prinsip bila mana berlaku pertembungan antara kepentingan negara dengan kepentingan bangsa, maka kepentingan negara mesti diutamakan.

Namun, alangkah hampa rasa hati kerana bilangan peserta yang hadir kurang dari 200 orang, sedangkan perkara yang dibincangkan merupakan masalah dasar negara. Di manakah sensitiviti kita sebagai warganegara di bumi tercinta ini? Tarikh 15.2 dipilih kerana mengambil roh perkara 152 perlembagaan persekutuan mengenai kedudukan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan. Pelik sungguh memikirkan, kenapa berforum membincangkan sesuatu yang telah menjadi dasar negara? Kenapa tidak dilaksanakan sejak dahulu lagi?

Sungguh amat terharu memberikan pandangan dalam forum sebegini, apatah lagi mendengar beberapa pandangan panelis gandingan. Maklumlah BM selaku bahasa yang termaktub dalam perlembagaan tidak terdaulat di bumi sendiri. Kita sibuk dengan bahasa lain, terutama bahasa Inggeris (BI) berbanding BM. Menggambarkan seolah-olah bahasa sendiri tidak penting. Persoalannya, bagaimanakah kita boleh mengharapkan orang lain menghormati BM jika kita sendiri tidak serius untuk memartabatkan BM yang menjadi tunjang pembinaan sebuah negara bangsa?

Kita sanggup berbelanja sejumlah besar wang sehingga berbilion ringgit untuk memperkasakan BI, tetapi sejauhmanakah sejumlah yang sama atau lebih, digunakan untuk memperkasakan BM? Kita juga sanggup berhabis membeli komputer serta segala kelengkapan makmal BI dengan peralatan canggih bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran BI, tetapi adakah perkara yang sama disediakan untuk BM? Terkadangkala terlalu pahit juga untuk menyalah sekolah vernakular kerana bersikap acuh tidak acuh terhadap BM, sedangkan kita tidak serius menyediakan platform untuk memandaikan mereka dalam bahasa perpaduan ini.

Saya fikir tidak ada seorang pun yang akan menolak akan kepentingan BI dalam mendepani arus modenisasi dan globalisasi. Adalah suatu tindakan yang bodoh jika kita menolak tuntutan belajar bahasa asing, kerana ia amat dituntut oleh agama. Tetapi janganlah terlalu ghairah dengan bahasa asing sehingga bahasa sendiri berdagang di bumi sendiri. Di manakah slogan bahasa jiwa bangsa yang tersemat disanubari selama ini?

Apakah BI satu-satunya faktor yang akan menentukan kemajuan sesebuah negara atau sikap kita yang perlu berubah? Terkenang saya kepada beberapa buah negeri maju seperti Perancis, kita tidak akan dilayan jika berbahasa Inggeris di sana, tetapi negara mereka tetap maju. Di Jepun pula, selepas negara ini musnah dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki 1945, mereka terus bangun dengan semangat kejepunannya. Hari ini, Jepun terus berada di persada dunia setanding dengan negara maju yang lain. Dalam kata lain, semangat sayangkan identiti dan bahasa jiwa bangsa telah melonjak negara mereka. Begitu juga dengan negara lain, mereka bangun dengan acuan jati diri dengan memperkasakan bahasa jiwa bangsa dari segala segi.

Kadangkala saya sendiri merasa terpukul, kenapa mesti sanggup bersusah payah mempertahankan BM, lagipun ia bukan bahasa ibunda saya? Kenapa perlu berhadapan dengan kutukan dan kritikan bangsa sendiri hanya semata-mata mempertahankan bahasa orang lain? Setelah difikirkan balik, baru saya sedar, rupa-rupanya semangat cintakan tanahair dan Islam mengatasi segala-galanya sehingga terlupa asal-usul sendiri. Saya tidak nampak ini satu dosa seperti yang dilabelkan oleh ultra kiasu.

Jika BI yang menjadi punca kelemahan anak bangsa kita, maka lakukan perubahan secara besar-besaran terhadap cara pengajaran dan pembelajarannya dari segi domain, kognitif, psikomotor, pedagogi dan berbagai aspek lagi, bukannya merubah asas sistem pendidikan itu sendiri. Kadangkala saya rasa pelik, kita begitu berani merubah sistem pendidikan kebangsaan yang melibat masa depan bangsa Melayu, tetapi kenapa kita tidak berani langsung menyentuh atau merubah struktur sekolah vernakular, sedangkan kita ada kuasa berbuat demikian berasaskan perkara 152 dan akta pelajaran 1996? Sehinggakan sampai ke peringkat menyeragamkan dan menambahkan kurikulum BM sekolah tersebut pun kita tidak boleh bertegas. Akhirnya sistem pendidikan kebangsaan yang menjadi mangsa.

Saya amat kagum dengan kehadiran seorang profesor daripada Korea dalam wacana tersebut, yang begitu fasih berbahasa Melayu. Beliau mencadangkan agar tulisan jawi turut diperkasakan dalam usaha untuk memartabatkan BM. Katanya BM dan jawi amat berkait rapat dan tidak dapat dipisahkan. Tidakkah kita malu dan terpukul dengan pandangan seperti ini? Begitu juga dengan pandangan Dr. S. Nathesan Sellapan yang turut menjadi panelis wacana tersebut. Katanya, perjuangan mendaulatkan BM adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia, bukan hanya orang Melayu sahaja. Ini bermakna, orang bukan Melayu mesti memikul tanggungjawab serupa seperti mana yang dilakukan oleh orang Melayu.

Persoalannya, bagaimanakah ia boleh berlaku sedangkan orang Melayu sendiri berbelah-bahagi dengan kedudukan bahasa mereka sendiri. Lihat sahaja, apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengembalikan semula pengajaran sains dan matematik dalam BM, berapa ramai NGO-NGO Melayu yang tampil menentang keputusan tersebut? Akibatnya, orang lain mengambil kesempatan. Kita juga yang rugi.

Kenapa kita tidak bertindak seperti NGO-NGO bukan Melayu? Bila tiba soal mempertahankan bahasa ibunda dan sekolah mereka, tidak ada perkataan TIDAK, tanpa berbelah bahagi, mereka secara bulat bersatu hati. Bilamana ada ura-ura atau tindakan hendak mengubah karakter sekolah mereka, seperti penambahan waktu dan menyeragamkan silibus BM, mereka bersatu hati menentang. Keputusan kerajaanpun tidak dapat mengubah pendirian mereka. Akhirnya kerajaan yang terpaksa tunduk kepada desakan dan pendirian mereka. Sama ada wajar atau tidak, kita fikirlah sendiri? Kenapa sikap ini tidak ada pada orang Islam?

Paling tidak, kita mengamalkan budaya merujuk pakar, seperti yang dilakukan oleh negara maju. Misalnya, jika kita sakit, maka rujuklah doktor perubatan, jangan pula merujuk kepada doktor falsafah. Begitu juga dalam bidang bahasa. Biarlah pakar-pakar bahasa yang menyelesaikan masalah bahasa jika terdapat kecacatan atau kekurangan dari segi perlaksanaannya. Ini tidak, yang bukan pakar beriya-iya benar mahu merubah sesuatu yang di luar kepakarannya, tanpa merujuk kepada pakar. Akhirnya, keputusan yang dibuat mula tersasar dan sedikit demi sedikit tamadun bangsa terhakis.

Lihat sahaja, papan-papan tanda, nama-nama kedai dan taman-taman perumahan, adakah ia mencerminkan perkara 152? Adakah mereka yang berada di Jabatan Perancang Bandar peka dengan jati diri seperti ini? Ini tidak termasuk kemudahan surau yang tidak disediakan, kalau ada pun surau diletakkan di kawasan parkir yang menjijikkan. Kadangkala saya rasa kagum bilamana barat lebih memahami kita daripada kita sendiri memahami diri sendiri. Kita lihat surau-surau Carrefour dan Tesco yang diletakkan di tempat yang cukup strategik, cantik dan bersih.

Tidakkah kita yang meluluskan bangunan ini sedar akan hakikat ini. Kita mahu banyak melihat dan mendengar nama-nama taman teratai, melor dan sebagainya, bukannya Ki Park, Monte Kiara, Country Height dan macam-macam Height lagi. Nama-nama barat dianggap sebagai ada standard, berebut-rebut kita membeli rumah di kawasan tersebut, nama-nama berbunyi BM dianggap lekeh. Adakah nama-nama ini mencerminkan semangat 1Malaysia dan perkara 152? Ini belum termasuk dominasi budaya asing yang telah menenggelam muzik, lagu, adat resam, dan seni budaya tempatan. Jika perkara-perkara kecil ini tidak terjaga, bagaimanakah perkara yang lebih besar akan terpelihara? Saya amat mengharap 1Malaysia benar-benar dapat menjunjung jati diri rakyat Malaysia.

Apapun, pendekatan top-down amat berkesan dalam menentukan hala tuju sesebuah negara, bukannya bottom-up. Kadangkala saya amat kagum dengan segelintir NGO yang begitu bersemangat memperjuangkan jati diri dan identiti negara bangsa, tetapi adakah ianya disokong dan didokong oleh semua pihak. Saya bimbang kita syok sendiri. Janganlah terlampau berpolitik sehingga mengenepikan kepentingan agama, bangsa dan negara. Jika begitulah keadaannya, saya amat khuatir kita akan pupus. Jangan hanya berpolitik sementara ada kuasa atau memerintah satu penggal atau lima tahun. Bila tidak terpilih lagi, kita duduk diam. Perjuangan bahasa jiwa bangsa adalah perjuangan seumur hidup bukannya action-oriented.

Akibatnya, orang lain mengambil kesempatan. Bila orang lain yang mendominasi, kita menyalah mereka, sedangkan sendiri yang salah kerana terlalu alpa dan tidak mahu bertegas. Ke manakah Melayu dan Islam akan pergi jika kekuatan mereka semakin hilang? Apakah benar ramalan saya selama ini bahawa tamadun Melayu akan pupus di buminya sendiri jika mereka tidak ada lagi keyakinan kepada kekuatan diri sendiri tetapi lebih mempercayai kekuatan orang lain. Sedangkan kita tahu bahawa Allah memberikan kekuatan kepada setiap makhluk jadiannya, yang penting makhluk tersebut mesti bersyukur dan bukannya kufur nikmat?

Kadangkala saya terpinga-pinga melihat kita begitu prihatin dalam soal kepupusan sesuatu spesies haiwan atau tumbuhan dan hak asasi manusia, tetapi kita tidak mempedulikan kepada pupusnya sesuatu bahasa dan kebudayaan bangsa. Apatah lagi kalangan kita yang terserkap mindanya tidak mahu ketinggalan bersama manusia yang dianggap maju. Atas nama globalissasi, mereka ini mudah akur, memberi laluan kepada tamatnya riwayat bahasa jiwa bangsa, malah turut memberi sumbangan ke arah mempercepatkan lagi proses itu. Sepatutnya mereka ini lebih waras lagi dengan bertindak sekurang-kurangnya sama dengan kumpulan penggiat alam sekitar dan hak asasi manusia itu.

Kebanyakan kita di dunia ketiga menganggap globalisasi itu sebagai suatu fenomena baru akibat ledakan teknologi maklumat atau pengaruh Barat, sehingga sanggup merubah segalanya seperti menggunakan BI dalam segala aspeknya. Kita mesti ingat, walaupun sekitar 50 peratus daripada orang Eropah mengetahui bahasa Inggeris dengan baiknya, namun mereka tidak meninggalkan bahasa ibunda mereka dalam sistem pendidikan sains dan matematik. Pemimpin Eropah seperti Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Rusia dan sebagainya, tetap menggunakan bahasa ibunda mereka dalam komunikasi rasmi. Di United Kingdom sendiri, bahasa Wales dan Scotland, berasaskan bahasa peribumi daerah – Seltik, digunakan dalam kehidupan harian dan sistem pendidikan di peringkat tadika dan sekolah. Mereka mulai sedar betapa teruknya nasib bahasa yang dihimpit oleh dasar penginggerisan United Kingdom selama ini.

Sebaliknya, negara maju yang taksub dengan bahasa utama Amerika Syarikat dan United Kingdom, mula menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa lain seperti Arab, China, malah BM itu sendiri, untuk mengetahui psiki bangsa ini bagi tujuan ekonomi dan politik. Dasar pendidikan di negara ini membenarkan pendidikan menerusi kebudayaan sekurang-kurangnya di peringkat tadika dan sekolah rendah. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat komputer dan telekomunikasi hari ini seperti Microsoft, giat menterjemah segala keluaran atau produk dalam pelbagai bahasa di dunia atas alasan globalisasi.

Yang amat menyedihkan, reaksi kita hari ini kepada globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat berlainan daripada reaksi banyak pemimpin negara lain (termasuk negara maju) yang semakin menuju ke arah multi-budaya dan menonjol budaya sendiri. Malaysia semakin merendahkan budaya sendiri dan menuju ke arah eka-budaya yakni budaya barat. Janganlah kita menjadi negara Singapura yang mula menyesali tindakan mereka yang terlalu taksub dengan BI sehingga bahasa ibunda terpinggir dan mereka kini digelar sebagai Cina pisang (Chinese banana).


Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
Posted by RIDHUAN TEE at 10:21 AM


7:38 PM
MoHd HaFiZ HaSaN BasRi said...
Di negara kita, rakyat masih lagi mahu memperjuangkan bahasa masing2 dengan bahasa melayunya..bahasa cinanya...bahasa indianya dan sebagainya. Marilah kita sama2 membuang sifat 'EGO' yakni sifat\sikap yang terlalu mementingkan bahasa kaum masing2 demi perpaduan rakyat dalam erti kata lain sama2 memperjuangkan bahasa kebangsaan.

Mari..mari..mari rakyat Malaysia yg ku sayangi...bersatu hati kita mempergunakan perkataan bahasa 'MALAYSIA' demi menanam perpaduan dan patriotism\kenegaraan dan seterusnya bertutur dengan betul serta merasa bangga berbahasa kebangsaan dalam pertuturan seharian. Contohilah negara jiran kita dalam isu ini, Indonesia.

7:45 PM
Ordinary Joe said...
Hi Hafiz

I would like to share my view regarding your final statement: "Contohilah negara jiran kita dalam isu ini, Indonesia."

I believe Indonesia has done a good job adopting Malay as their national language. They have also learned to speak the language really well, very often much better than the native speakers when it comes to grammar and vocabulary. It is sheer pleasure to listen to them speak. The language is very widely spoken and we have even sought their help in the early days.

During one of my working trips to Djakarta, I met an engineer who shared with me his days in KL and told me that his dad was posted to KL to help Universiti Malaya adapt the engineering courses to BM. Such was their level of competency in BI.

On another trip, I presented a paper in a national conference in Bandung. The hall was full of engineers eager to learn new things from the speakers. I opened using BM but soon I had to switch to English. Saya dimaklumkan bahawa pada lazimnya, persembahan menggunakan Bahasa Malaysia boleh mengelirukan sebab penggunaan istilah yang berlainan dan perkataan yang sama mempunyai maksud yang berlainan. Contohnya, "pejabat" bermaksud "pemegang jawatan" dan sebagainya. Oleh itu, dengan izin, saya meneruskan persembahan menggunakan Bahasa Inggeris.

During the plenary break, I found out that most of the participants DID NOT understand English as they were trained locally and practiced locally. Only a few who were conversant in English came forward to exchange view with us.

Herein lies the dilemma. What is the right approach to the process of memertabatkan Bahasa Malaysia. The knee jerk reaction is to apply the same formula as one would 30 or 40 years ago. However, the world has changed. The world has changed tremendously. Information is now shared in the speed of a click. The Knowledge Industry has also taken the centrestage in a nation's economic wellbeing. We have to think out of the box. We have even suggestion to use Jawi for BM. Fine, I think it is a beautiful script. But do remember, whatever we do, we must look at all aspects of our national interests before plunging into it.

Hafiz, I hope we can discuss this objectively. If you would like me to use BM, I am more than happy to oblige. Saya fasih kerana saya juga orang Malaysia.


HaFiZ HaSaN BasRi said...
Menjawab dari balasan kesangsian(dilema)dr saudara OJ tidak lama dahulu,

Memanglah jelas dan betul apa yang saudara jelaskan, ketika ini arus pembangunan dari pelbagai segi\sudut mengalir dengan cepat dan pantas(zaman jalur bebas\tanpa sempadan).

Maka oleh yang demikian, janganlah kita rakyat Malaysia memberi alasan semedikian untuk sengaja terus menenggelam\menghanyutkan bahtera Bahasa negara yang kita cintai ini seumpama membiarkan ia terus hanyut dengan alasan arus ombak terlalu besar.

Untuk mengejar arus\gelombang yang deras, kita sebagai warganegara mestilah mempunyai semangat patriotik, kecintaan terhadap bahasa,jatidiri(integriti/identiti), kenegaraan, hormat, bangga dan tidak ada rasa menyerah kalah serta bertungkus lumus\bersemangat\bekerjakeras untuk bersaing dengan bahasa2 asing ini.

Ingat..pd saat dan ketika ini anakjati negara lain sedang bersusahpayah tanpa jemu untuk bersaing dgn BI dan adakalanya mendahului arus deras BI dengan ketekunan berpertabatkan bahasa negara mereka,

..tapi malangnya pd saat dan ketika ini juga di Malaysia segelintir rakyatnya masih lagi memberi alasan2 yang 'putus asa' dalam memperjuangkan bahasa negara/Bahasa Malaysia dan membiarkan ia tengelam dilautan BI.

MAHU SERIBU DAYA TIDAK MAHU SERIBU DALIH ;)


8:36 AM
Post a Comment
Bahasa Melayu Mesti DiPerkasakan

Saya menyokong penuh kenyataan Senator Dr Mohd Fuad Zarkashi dalam perhimpunan Agong UMNO semalam, agar bahasa Melayu dapat didaulatkan dalam segala aspek cara hidup di Negara kita, apatah lagi mengenai pengajaran bahasa Melayu dalam semua aspek akademik di sekolah. Beliau mengambil contoh bagaimana pelajar-pelajar Melayu menjadi mangsa apabila matapelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya kajian demi kajian telah dibuat oleh pakar-pakar akademik di universiti-universiti tempatan sebelum ini, akan padahnya pengajaran bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan matematik. Namun, kajian ikhlas bernas mereka tidak diendahkan, kita ‘tongsampahkan’ kajian mereka. Kita banyak bersangka buruk terhadap mereka. Malah kajian mereka dikecam. Mereka dituduh sebagai golongan anti pembangunan, chauvanism atau amat tebal perkauman Melayu.

Bagi saya, ini bukan soal anti pembangunan atau tebal semangat perkauman Melayu. Ini adalah soal maruah dan masa depan bahasa Melayu dalam sebuah Negara berakarkan bangsa Melayu (Tanah Melayu). Terus terang, saya adalah orang bukan Melayu, berbangsa Cina. Namun saya amat prihatin soal pembinaan bangsa Malaysia berakarumbikan bahasa Melayu. Inilah satu-satu caranya untuk mendaulatkan bahasa Melayu dan bangsa Melayu agar tidak pupus ditelan zaman. Adalah suatu yang amat malang apabila sesuatu bangsa atau bahasa pupus di tanahair sendiri. Mengikut sejarah Negara bangsa dunia,,semua Negara ditegakkan berasaskan kepada bangsa dan bahasa yang dijadikan oleh Allah SWT

Cuba bayangkan cantiknya kejadian Allah SWT. Apabila dijadikan atau dikumpulkan orang Cina, maka terbentuklah sebuah Negara yang bernama China. Bangsa India membentuk negara India. Bangsa Arab membentuk negara-negara Arab. Bangsa Melayu membentuk negara Melayu. Begitu juga dengan bangsa-bangsa lain. Pendek kata, sesebuah bangsa itu akan membentuk berasaskan nama bangsa dan bahasa mereka tersendiri. Usaha-usaha diambil oleh negara bangsa ini akan memperkasakan bahasa dan agama mereka dengan sebaik mungkin tanpa diganggugugat oleh anasir-anasir dan pengaruh luar.

Cuba kita kaji, berapa ramaikah orang bukan Melayu hatta menteri kabinet sendiri yang fasih atau boleh berbahasa Melayu dengan baik. Apabila ditanya atau diinterview oleh wartawan, bahasa Melayunya amat meloyakan. Apakah ini pembinaan bangsa Malaysia yang ingin kita jana? Kajian hendaklah dibuat secara serius mengenai penguasaan bahasa Melayu di kampung-kampung baru Cina atau di sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Berapa peratuskah yang boleh berbahasa Melayu dengan baik. Mengikut pengalaman saya, ada segelintir yang tidak boleh langsung bertutur dalam bahasa Melayu. Untuk fasih jauh sekali.

Kajian juga mesti dibuat terhadap keputusan UPSR pelajar-pelajar jenis kebangsaan. Rata-rata pelajar-pelajarnya tidak dapat menguasai bahasa Melayu. Untuk makluman, UPSR di sekolah jenis kebangsaan mempunyai 7 matapelajaran, tambah 2 matapelajara bahasa Cina. Sebenarnya tidak ramai yang mendapat 7A. Rata-ratanya 5A. Kerana mereka tidak dapat A dalam 2 matapelajaran bahasa Melayu. Majoritinya gagal dan mendapatkan skor yang amat rendah dalam bahasa Melayu.

Bayangkan, berapa ramai yang boleh menguasai bahasa kebangsaan ini dengan baik?. Berapa banyak kelas peralihan yang terpaksa disediakan untuk membantu mereka ini memahami bahasa Melayu. Itupun tidak banyak membantu kerana bila mereka tidak dapat memahami bahasa Melayu, segala apa yang diajar dalam Melayu di sekolah menengah tidak dapat difahami. Ini mengakibatkan pelajar bukan Melayu ketinggalan dan tercicir..

Pengalaman Negara jiran kita, Thailand sudah cukup memberikan pengajaran kepada kita. Thailand, adalah antara Negara yang paling cepat membangun dengan kekuatan semangat ‘kesiamannya’. Thailand telah menghapuskan sama sekali sekolah berasaskan kaum sejak 1930an, dan yang ada hanya sekolah satu aliran sahaja. Tujuannya tidak lain untuk memperkasakan bangsa dan bahasa Siam itu sendiri. Hasilnya, Thailand amat berjaya melahirkan sebuah negara Siam yang beridentiti dan bermaruah. Walaupun, ada berlaku kudeta, tetapi ia tidak menghalang negara ini untuk terus meningkat maju. Rakyatnya begitu unik sekali, menjunjung bahasa Siam dan agama Budhha. Ini senjata perpaduan nasional yang paling berkesan.
Kerajaan Thailand berjaya ’mensiamkan’ rakyatnya yang terdiri dari berbilang kaum, tidak kira Cina atau Melayu. Semua orang melayu dan Cina fasih berbahasa Siam. Selain dari sistem pendidikan mereka berteraskan bahasa Siam, semua urusan seharian mesti berakarumbikan bahasa Siam. Semua iklan, produk (barangan), drama dan filem dari luar akan dialihbahasakan ke dalam bahasa Siam termasuk cerita-cerita Bollywood dan barat. Tetapi, apa jadi dengan Negara kita?. Adakah bahasa Melayu didaulatkan? Kita menerima semua filem daripada luar, tanpa dialih bahasakan ke dalam bahasa Melayu. Lebih menyedihkan lagi, stesen-stesen TV dan radio kita kadangkala beroperasi seolah-olah kita tidak berada di Malaysia tetapi berada di Hong Kong, di Amerika atau negara lain.

Lebih menyedihkan lagi, kita membenarkan sekolah berasaskan kaum ini beroperasi dengan penuh semangat perkauman sebelum dan selepas merdeka tanpa dipantau dengan bersungguh-sungguh. Sekarang ini merebak kepada universiti perkauman (Universiti Tunku Abdul Rahman - MCA dan Universiti Terbuka Wawasan –Gerakan). Dasar ini amat merbahaya dan ancaman kepada perpaduan nasional. Kenapa kita tidak bangunkan Malaysia dengan semangat ’kemalaysiaan’ berakarumbikan bahasa Melayu. Kalaulah sekolah dan universiti perkauman sudah menjadi dasar kerajaan, maka pemantauan hendaklah dilaksanakan tanpa kompromi. Bahasa Melayu mesti didaulatkan dan diperkasakan ditempat-tempat sebegini.

Mengikut kefahaman saya, yang menganut berbagai agama sebelum memeluk agama Islam, tidak ada satupun agama didunia ini yang menolak untuk mempelajaran bahasa asing. Apatah lagi agama Islam. Tuntutan Islam mengenai perlunya mempelajari bahasa lain amat jelas. Nabi Muhammad SAW amat menuntut umatnya menuntut mempelajari bahasa lain sebagai mesej dakwah hatta sampai ke negeri China sekalipun. Tetapi janganlah sampai keghairahan mempelajari bahasa lain sehingga bahasa sendiri di kesampingkan. Kita mesti ingat, bahasa ini adalah anugerah Allah SWT. Setiap bangsa yang dijadikan oleh Allah SWT mempunyai kekuatannya tersendiri. Kita tidak boleh memperlekehkan bahasa atau agama sendiri. Kerana ia anugerah Allah. Apatah lagi jika ada yang sanggup mengatakan ‘saya kelihatan bodoh (stupid) jika bercakap dalam bahasa Melayu’.

Kita mesti ingat bahawa, Malaysia dari segi sejarahnya adalah sebuah negara Melayu. Malaysia berasal dari akar kata Tanah Melayu. Ini kerana kejadian asalnya. Allah kumpulkan orang Melayu di kepulauan Melayu, maka terbentuklah sebuah negara bangsa bernama Tanah Melayu. Malangnya, semua dasar negara kita tidak berasaskan Melayu malah berbau perkauman yang ketara, sekolah perkauman, universiti perkauman, parti perkauman, surat khabar perkauman, stesen radio dan tv perkauman, NGO perkauman dan berbagai contoh lagi.

Saya tidak kisah sama ada kementerian yang menjaga bahasa Melayu ini diletakkan di bawah menteri Melayu atau bukan Melayu, apa yang penting ktia mesti mempunyai DASAR yang mesti dipatuhi oleh semua kaum dan pihak. Tidak ada gunanya kita letakkan Menteri Melayu menjaga bahasa Melayu, jika orang ini tidak ada roh untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
Posted by RIDHUAN TEE at 11:11 AM

Ada Apa Pada Bahasa Malaysia?

Apa Ada Pada Bahasa Melayu?

By Shaharir Mohamad Zain • Apr 9th, 2009 • Category: Makalah
Melayu memang awal-awal lagi bermasalah. Namanya pun masih ada yang boleh dipolemikkan. Perkataan yang kini dieja sebagai “MELAYU” asalnya daripada huruf Jawi, mim lam alif ya,(kemudiannya berubah kepada adanya wau selepas ya itu) yang mengikut Wan Mohd Saghir dalam transkripsinya terhadap karya Ahmad al-Fatdany 1307H/1898 itu, sejajar dengan nahu ejaan Jawi/Arab, transkripsi ke Ruminya bukanlah “Melayu” tetapi Milayu. Kami belum ketahui bermulanya versi ejaan “Melayu”; malah akhbar Jawi di Singapura pada tahun 1930-an dahulu yang bernama “Berita Melayu” (jika ditranskripsi ke Rumi sekarang) telah diRumikan pada zaman pemerintahan Jepun sebagai “Berita Malai”. Perkataan dalam huruf Jawi itu pula asalnya daripada sebutan orang-orang Tiongkok sejak abad ke-5M dahulu terhadap bangsa di Palembang, Sumatera yang di dalam bahasanya, jika diRumikan, menjadi pelbagai bentuk ejaan termasuklah Mo-lo-yeu, atau Mali-yu-eul. Bangsa-bangsa Eropah mengeja Malaya (Inggeris; Malayan dan Malay untuk bahasa/bangsa), Malaiur (Marko Polo 1292), Malaio (Eredia 1613, di Melaka), dan kini Malayo (Sepanyol), Malaio (Ferenggi/Portugis), Malaeis (Belanda), Malais (Perancis), dan jiran (yang juga bekas penjajah) kita saam-laa-yoo (Siam), dan Malai (Vietnam). Ibn Battdutdaht/Battutah/Batutah/Batuta (berada di Asia Tenggara ini pada 1304M) menamakan Mul Jawa atau Jawah bagi merujuk kawasan “rumpun Melayu” ini dan orangnya al-Jawi. Makna “Melayu” dan ejaan-ejaan lain itu pun pelbagai seperti yang dibicarakan oleh Shaharir (2008b) dan satu daripadanya ialah yang berupa variasi ejaan kepada perkataan Tamil, Malaya, yang berupa terjemahan kepada “Gunung” (yang dahulunya Pnom, dan menjadi bahasa Khmer hingga sekarang) dan yang disebut oleh orang-orang Tiongkok sebagai Funan. Mengikut tafsiran ini, “orang Melayu” bermakna secara harafiahnya, “orang Gunung” yang mungkin menambahkan lagi kewajarannya, sinis atau tidaknya, persoalan yang setara dengan judul makalah ini: Apa ada pada bahasa orang Gunung?


Sejak Dr. Mahathir berjaya memberi nilai baru kepada bahasa Inggeris menerusi dasar paksaan mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2003 (terutamanya di sekolah Kebangsaan, yang beliau anggap sudah menjadi sekolah untuk orang-orang Melayu-Islam sahaja) maka, antara lainnya, muncullah para pendaruhaka (pendurhaka, penderhaka) bahasa sendiri dengan pelbagai ungkapan yang cukup lancang. Kami menggenerikkan cakap-cakap yang celupar itu kepada judul makalah ini, iaitu “Apa ada pada bahasa Melayu?”. Yang lainnya boleh sahaja dianggap hanya jelmaan ungkapan ini atau ekoran (implikasi) ungkapan ini sahaja. Contohnya, yang digemari oleh Dr. Mahathir sendiri tentang wajarnya PPSMI-nya (diulang dalam blognya 5 Januari 2009), “nanti apabila kita sudah melahirkan saintis yang hebat-hebat” (menerusi dasar barunya itu, kerana tersirat di dalam benaknya sejak dalam bahasa Melayu ini tiada yang hebatnya!) maka “barulah ramai yang akan belajar bahasa Melayu”. Sekarang ini, orang tidak mahu peduli bahasa Melayu kerana ramailah yang turut percaya ketua agungnya yang membuat kenyataan yang mengimplikasikan bahawa bahasa Melayu tiada ilmu sains dan matematik di dalamnya, walaupun di peringkat sekolah sekalipun, dan orang tak boleh pandai dengan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Satu lagi yang digemari oleh Dr Mahathir tenang status bahasa Inggeris ialah “Belajar dalam bahasa asal sains dan matematik itulah yang memudahkan pemahaman seseorang pelajar menguasai ilmu itu”. (Beliau menganggap bahasa Inggerislah bahasa asal ilmu “sains dan matematik”). Yang terbarunya (dalam blognya yang tersebut di atas) beliau menyatakan “sains dan matematik” dalam bahasa Inggeris itu bukannya bertujuan untuk meningkatkan prestasi bahasa Inggeris kanak-kanak sekolah itu tetapi untuk mengetahui istilah-istilah “sains dan matematik” yang katanya kebanyakannya bukan dalam bahasa Inggeris biasa (yang tak mungkin diperoleh jika belajar ilmu itu dalam aliran berbahasa Melayu!?). Semua tanggapan ini banyak menerbitkan pandangan yang pelik-pelik lagi yang cukup meraban statusnya. Contohnya, ada pihak berhujah kewajaran PPSMI pada orang Melayu sahaja pula kerana (setelah akur dengan permintaan kaum Tionghua) katanya walaupun bahasa bahasa Mandarin memang sudah terbukti menjadi bahasa perantaraan sains dan matematik yang meluas, sedangkan bahasa Melayu tidak demikian, maka tentunya pilihan bahasa Inggeris lebih sesuai untuk orang Melayu! Hujah yang sama digunakan untuk kononnya merasionalkan wajarnya Jepun menggunakan bahasanya sendiri kerana dia negara maju (“negara pembuat”) sedangkan kita belum maju, “negara pengguna”, maka tak sesuailah kita menggunakan bahasa sendiri, tetapi kena pilih satu bahasa yang sudah maju yang sesuai dengan kita, dan itu ialah bahasa Inggerislah! Yang lebih lumrah lagi, mereka ini mengajukan persoalan, “Mana ada buku sains dan matematik dalam bahasa Melayu?”, “Mana mampu kita menterjemah buku dan makalah yang mencurah-curah datangnya setiap hari dalam bahasa Inggeris itu?”. Pendeknya, “Apalah ada pada bahasa Melayu? Itulah hakikatnya diucapkan secara sinis atau seriusnya oleh para pejuang dan penyokong dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) itu.


Apa ada pada “bahasa jiwa bangsa”, “identiti bangsa” dan “jati diri”?


Para juak dan penyokong arkitek PPSMI, Dr. Mahathir, memang bersetuju dengan ungkapan keramat “bahasa jiwa bangsa” tetapi dengan makna yang baru. Mereka nampaknya melihat bahasa dan ilmu adalah dua perkara yang berbeza tanpa tindanannya. Bangsa yang menjiwai sesuatu bahasa itu perlu ditambah komponen ilmu kepada bangsa itu supaya bangsa itu menjadi bangsa yang mulia dan dihormati. Mereka ini juga nampaknya secara tidak langsungnya percaya bahawa bahasa itu menjadi identiti bangsa semata-mata kerana berbezanya sesuatu bahasa itu dengan bahasa yang lain, bukannya kerana setiap bahasa itu membawa nilai-nilai kemanusiaan yang berbeza. Akhirnya mereka juga nampaknya percaya bahawa ilmu terutamanya “sains dan matematik” tiada mengandungi budi atau nilai kemanusiaan atau ringkasnya sains dan matematik itu neutral, bebas nilai, bebas budaya dan bebas bahasa. Itulah sebabnya mereka ini sanggup menyatakan “Kita belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini hanya buat sementara sahaja. Apabila kita sudah menguasainya dan setengahnya menjadi ahli sains dan matematik yang hebat setanding dengan yang di Negara-Negara Maju itu nanti, maka dengan sendirinya bangsa dan bahasa kita dipandang tinggi dan banyaklah bangsa lain yang ingin belajar bahasa kita” (Kata-kata sebegini sering diucap oleh para penyokong PPSMI seperti yang terbarunya oleh jurucakap PAGE dalam akhbar Berita Minggu 1 Mac 2009, dan Dr. Mahathir sendiri beberapa kali, yang terbarunya dalam blognya 5 Januari 2009). Bagi mereka ini, bahasa yang mundur (seperti bahasa Melayu?) akan menjadi jiwa bangsa (Melayu?) yang mundur, maka orang mundur (Melayu?) sudah tiada pilihan lagi: mereka perlu menguasai bahasa yang maju (bahasa Inggeris) kerana bahasa itulah yang ada ilmu “sains dan matematik” yang akan memajukannya; dan untuk itu mereka mestilah belajar ilmu itu dalam bahasa yang maju (bahasa Inggeris) itu sejak bangku sekolah lagi sehinggalah bangsa itu menjadi maju. Begitulah gayanya dan bergayanya tetapi naifnya jurutera dan arkitek serta penyokong PPSMI menjual bahasa (dan bangsa) mereka secara ansurannya untuk memiliki bahasa barunya, bahasa Inggeris menerusi juru jualnya, “sains dan matematik”, bermula dengan bayaran, dengar-dengarnya, bernilai 5 bilion Ringgit untuk tempoh 5 tahun pertama (bermula 2003). Mereka tidak tahu dan tidak hendak tahu atau tidak sedar dan insaf agaknya bahawa nilai dan budi sesuatu bangsa itu bukanlah hanya ada dalam bidang sastera sahaja tetapi juga sarat ada dalam “sains dan matematik” menerusi bahasa sesuatu bangsa.


Sesuatu bangsa itu dikenali identitinya kerana bahasa dan ilmunya, sedangkan ilmu sesuatu bangsa itu ialah binaan struktur maklumat dan pengetahuan berasaskan semantik bahasanya. Inilah sebenarnya makna “bahasa jiwa bangsa” itu. Jikalaulah ditakdirkan benarlah orang Melayu berjaya membina ilmunya menerusi pemikiran berbahasa Inggeris yang dilaluinya dengan cukup gah itu maka sudah tentulah ilmu itu disalinfoto ilmu yang dibina atau ditafsir oleh orang-orang yang berbahasa Inggeris itu. Ahli falsafah dan sosiologi ilmu pengetahuan Barat dan bukan Barat (Islam dan bukan Islam) terutamanya sejak 1960-an secara ijmaknya sudah mendirikan sebuah tesis bahawa sains dan matematik sekali pun (kerana dahulunya dianggap cukup objektif dan neutral sifatnya, seperti yang nampaknya masih dipegang kuat oleh para pendokong PPSMI itu) adalah binaan sarjana yang sarat dengan nilai dan pandangan hidup sarjana berkenaan itu. Jadi mereka yang melalui pendidikan “sains dan matematik” dalam bahasa Inggeris dan berjaya rata-rata akan menjiwai nilai-nilai bangsa Inggeris menerusi “sains dan matematik” itu. Di sini kami menunjukkan atau memberi kefahaman dengan lebih jelas dan konkretnya lagi akan kebenarannya teori ini.


Apa ada pada “aku” dan “kau”?

Katalah, seorang pemimpin Melayu yang bersifat falsafawan-pekukubesi (diktator-failasof) pada suatu masa nanti mengeluarkan perintah yang tidak mengizinkan setiap rakyat Malaysia menggunakan “aku” dan “kau” tetapi mamaksa menggunakan “I” dan “you” sahaja (sekurang-kurangnya di sekolah, dengan pelbagai alasan yang diberi olehnya, juak-juaknya dan hamba sahayanya). Apa yang akan terjadi pada ilmu yang menggunakan istilah ini? Kalau ilmu itu asalnya daripada kebudayaan Melayu maka ilmu itu sudah hilang banyak nilainya kerana dalam bahasa asalnya (Melayu), “aku” dan “kau” hanya digunakan untuk ganti nama yang tidak rasmi terutama di kalangan sahabat yang akrab atau yang pentingnya apabila berhubung dengan Allah. Pemaksaan menggunakan bahasa Inggeris ke atas ilmu ini tiba-tiba menjadikan ilmu ini rosak ranahnya atau mandalanya (hilang konsep hierarkinya, tersalah guna dan sebagainya), dan lebih mudah menjadi ilmu sekular (tiada lagi hubungan tabii ilmu ini dengan agama). Sekaligus perlahan-lahan jugalah, kerana penghayatan ilmu ini dengan meluasnya nanti, semantik perkataan “aku” dan “kau” juga turut berubah ke arah yang sama dengan makna I dan you itu, iaitu terhakisnya dan akhirnya pupusnya nilai Melayu tentang ganti nama dalam kebudayaan Melayu yang tersirat di dalam dua perkataan itu. Ini yang tidak disedari atau diketahui oleh arkitek dan pendokong PPSMI itu. Sekarang katalah pula ilmu berkenaan itu asalnya bukan ciptaan sarjana Melayu (tetapi terjemahan daripada Inggeris yang telah berumur sekitar 30 tahun dalam bahasa Melayu); katalah asalnya daripada kebudayaan lain (yang sudah lebih lama juga diterjemahkan kepada bahasa Inggeris sehingga seolah-olah menjadi ilmu Inggeris), maka pada mulanya tentulah ilmuwan Melayu itu akan menghayati nilai-nilai I dan you dalam bahasa Inggeris itu sahaja kerana sarjana Inggeris itu pun mungkin telah mengukuhkan teori I dan you itu dalam konteks pandangan alamnya dan seterusnya kita pun akan terikut-ikut dengan kefahaman Inggeris itu. Sedangkan jika budaya berbahasa Melayu diteruskan dalam bidang ilmu ini, maka lambat laung lagi pengajar dan pendidik ilmu ini akan menjadi lebih kritis lagi terhadap ilmu ini dan besar kemungkinannya menjadikannya semakin berbeza daripada huraian yang sedia ada dalam bahasa Inggeris itu dan seterusnya kemungkinanlah pula bagi penyelidik berbudaya Melayu itu terpanggil melakukan penyelidikan terhadapnya lalu terjadilah sekurang-kurangnya inovasi ilmu itu atau lebih radikal lagi menggantikannya dengan yang lebih serasi dengan konsep “aku” dan “kau” dalam kebudayaan Melayu. Inilah contoh mudahnya peranan bahasa dengan ilmu (di peringkat pengajaran-pembelajaran dan peringkat penyelidikan).


Kebetulannya contoh I dan you atau “aku” dan “kau” ini bukannya diada-adakan kerana sarjana Barat abad ke-19M, Martin Buber ada mencipta sebuah teori (sebuah falsafah sains) tentang kewujudan, berjudul dalam bahasa Jerman “Ich und Du” yang penilaian kritisnya sudah pun dilakukan oleh sarjana Inggeris (dalam acuan Inggeris-Kristian, sedangkan falsafah ini asalnya dalam acuan Jerman-Yahudi). Pastinya peniliaan yang berlainan (lebih kritis lagi?) boleh dilakukan berasaskan pada semantik “aku” dan “kau” dalam bahasa Melayu oleh ahli falsafah Melayu yang insaf akan bahasa dan kebudayaannya. Ini belum ditemui berlaku kerana walaupun bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan ilmu peringkat tinggi sudah berlaku sekitar 40 tahun kerana bidang falsafah masih belum mendapat perhatian sarjana Melayu; dan tidaklah mungkin akan berlaku dengan dasar PPSMI yang sudahpun dihayati dengan gahnya di universiti-universiti termasuklah di universiti yang ditubuhkan khas untuk mengilmukan bahasa Melayu dan sekalgus memandaikan umat Malaysia dalam acuan berbahasa Melayu, iaitu UKM. Contoh yang lebih baru lagi tentang ilmu “aku” dan “kau” dalam sains ialah sebuah karya tentang keinsafan dalam sebutan “kebarangkalian” dan “aku” Inggeris oleh Wright W.C, Consciousness and the Probability of Being: The Origin of the Particular “I” yang terbit dalam tahun 2005. Karya ini pun tentunya dapat dihurai dan dikritik menerusi semantik “aku” Melayu dan “kebarangkalian” Melayu. Namun dengan PPSMI, mustahil perkara sebegini boleh berlaku! Sekaligus kita dijanjikan dengan kehilangan sumber penjanaan ilmu dalam acuan kita sendiri yang diimpikan selama ini.



Takkanlah ada bezanya “terbaik” dengan “the best”!
Satu contoh yang penulis sendiri memberi sumbangan terbarunya dalam matematik ialah kefahaman tentang yang “terbaik” dengan “the best” yang dimistikkan oleh ahli matematik Eropah dengan bahasa Latin, optimus, yang diInggeriskan sebagai “optimum” (sama seperti Belanda, Jerman dan Perancis) dan diterima sepenuhnya ke dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu juga sebagai optimum, mulai tahun 1960-an apabila pengajaran “sains dan matematik” dalam bahasa Melayu di peringkat Sekolah Menengah mula diperkenalkan. Bidang pengoptimuman menjadi ilmu besar dalam hampir seluruh ilmu ekonomi dan bidang besar dan berprestij dalam matematik (di peringkat sekolah matematik “optimum” mula diajar dalam Matematik Tingkatan 5 (sejak 1964) dan mengikut dasar PPSMI, sejak 2003, mestilah dalam bahasa Inggeris), manakala konsep yang sama (tetapi lebih secara naratif dan kualitatif) dalam subjek Ekonomi Tingkatan 6 (yang tidak tertakluk kepada PPSMI). Pemisahan dasar penggunaan bahasa dalam dua bidang ilmu ini menerusi PPSMI itu sudah pun menunjukkan kebebalan pembuat dasar itu, kerana terutamanya di peringkat universiti ekonomi dan pengoptimuman dianggap sinonim bagi sebahagaian besar ahli ekonomi Barat. Jika ditakdirkan pendidikan dalam bidang ekonomi dan matematik ini di Malaysia ini tidak dalam bahasa Melayu sudah selama sekitar sekitar 40 tahun ini dan bidang ini diwacanakan dalam bahasa Melayu di peringkat universiti (pengajaran yang mendalam dan seterusnya melakukan penyelidikan) sejak UKM ditubuhkan (baru selama suku abad) maka rasanya semua “sarjana” Malaysia (ahli ekonomi dan ahli matematik) tiada yang akan berminat atau terpanggil memikirkan makna baru optimum. Tegasnya, penghayatan bahasa Inggeris dalam ilmu pengoptimuman lebih memasungkan sarjana kita kepada ketuanan Inggeris yang tidak memungkinkannya memulakan pembinaan teori baru dalam bidang ini mengikut acuan yang dipengaruhi oleh kefahaman makna “terbaik” dalam kebudayaan Melayu yang cukup berbeza daripada makna “the best” dalam kebudayaan berbahasa Inggeris itu. Yang jelasnya “terbaik” dalam bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh ciri “terbaik” dalam Islam, iaitu wustdo, dan nilai Melayu “buat baik berpada-pada”, manakala “the best” mulanya banyak dipengaruhi oleh ajaran Kristian tetapi sejak terutamanya abad ke-20 sudah banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai daripada ideologi baru yang pada amnya bertonggakkan sekularisme, liberalisme, fahaman apeduli agama, sosialisme dan bahkan pascamodenisme dan ateisme. Shaharir (2005a, 2006a) telah pun mengupas pertentangan makna optimum mengikut teori sekarang yang berasaskan bahasa-bahasa Eropah berbanding dengan bahasa Melayu-Islam yang dibuktikan mampu melahirkan teorem yang baru yang mencetuskan sebuah program penyelidikan yang cukup menjanjikan buah-buah yang ranum yang boleh menyaingi ilmu ini masa kini. Malah sarjana Barat sejak akhir abad ke-20 seolah-olah menyerah kalah terhadap potensi bahasa dan kebudayaannya dalam mentakrifkan “optimum” (atau asalnya optimus dalam bahasa Latin itu) dan mengantikannya dengan konsep yang lebih sarat nilai lagi (lain bangsa/bahasa lain maknanya) iaitu konsep “kebahagiaan” (Inggeris: happiness; Arab: al-sa‘adah) bagi mewujudkan teori kebahagiaan untuk dijadikan asas ilmu ekonomi kerana asas ekonomi sekarang dianggapnya gagal. Perbezaan konsep bahagia dalam bahasa dan kebudayaan Melayu-Islam berbanding dengan kebahagian Barat atau Buddhaisme (yang nampaknya ramai sarjana Barat cuba mengambilnya, kerana muflisnya kosep ini dalam bahasa ibunda mereka) telah pun dihuraikan oleh Shaharir (2008a) tetapi tidaklah sesuai diulangi di sini.


Sebenarnya setiap penjelasan atau pengajaran kritis dan penyelidikan asas dalam sesuatu bidang sains dan matematik, pastinya melibatkan isu bahasa dan kebudayaan. Itulah sebabnya mereka yang terlibat dengan kegiatan sebegini amat perihatin kepada dasar pendidikan negara yang menyisih bahasa dan kebudayaan sendiri seperti dalam PPSMI itu. Kekurangan suara pembangkang PPSMI daripada kalangan ahli sains dan matematik kita selama ini hanyalah manifestasi kurangnya penyelidikan asas di kalangan sarjana itu.

Bahasa Melayu Bahasa Mundur dan Memundurkan Bangsa?


Para penyokong PPSMI berpendirian (sebenarnya sebelum adanya dasar ini lagi!) bahasa Melayu ialah bahasa yang tidak mampu memajukan bangsa Malaysia, khususnya orang Melayu, kerana kononnya bahasa Melayu bahasa mundur dan tiada tradisi ilmu sains dan matematik, tiada tulisan yang mencukupi dalam bidang ini dan tidak akan mampu melakukan terjemahan dan sebagainya. Sebenarnya mereka ini citawan budaya Inggeris selamanya yang tidak pernah mahu mengetahui sejarah tamadun bangsanya, tidak pernah mengikuti perkembangan bahasa Melayu dan tidak pernah mahu tahu tahap kemajuan dan kemampuan bangsanya yang terbina menerusi dasar bahasa kebangsaan selama ini. Yang tertanam dalam benaknya, ialah persepsi lamanya warisan persepsi zaman penjajah dahulu lagi, bahawasanya tiada apa yang ada dan boleh dibanggakan dengan bahasa Melayu dan bangsa Melayu sejak dahulu, kini dan selamanya. Malangnya mereka ini juga tidak mahu tahu sejarah bahasa dan bangsa yang dicita dan dicintai itu, bahasa Inggeris, selain daripada sejak bangsa ini datang menjajah tanah airnya ini sahaja yang besar kemungkinannya dianggapnya bangsa inilah yang memajukan seluruh dunia ini semata-mata kerana bahasa inilah bahasa komunikasi utama dunia kini. Mereka tidak mahu tahu atau mendengar pun bahawa orang Eropah inilah juga yang memusnahkan (secara halusnya) tamadun bangsanya yang pernah mengatasi sejarah kegemilangan bangsa-bangsa di Eropah itu. Merekalah sebenarnya yang memundurkan bahasa dan bangsa Melayu kerana menyokong dasar yang jelas memundurkan bahasa dan bangsa Melayu seperti yang ditunjukkan di bawah ini! Sejarah tamadun Melayu yang tidak atau kurang diketahui inilah yang cuba dipaparkan di bawah ini, sebahagian besarnya berupa congkelan dan anyaman asas-asas penemuan hasil kajian para Orientalis (terutamanya sarjana Perancis dan Belanda) pada awal abad ke-20 ini. Karangan di bawah ini adalah salinan hampir sepenuhnya karya penulis ini yang terdahulu (Shaharir 2008b).


Melayu Funan-Cenla
Memang selama ini tamadun Melayu bercitrakan tamadun sastera kemanusiaan dan keagamaan sahaja, dan itu pun sastera dalam bahasa Melayu klasik (bahasa Melayu zaman Islamnya). Tamadun Melayu seolah-olah bukan sahaja amat baru (zaman Islamnya bermula abad ke-13M) tetapi tiada sains, kesihatan, kejuruteraan dan teknologi (ringkasnya SAKTI). Sedangkan hakikatnya berlaku sebaliknya. Tamadun Melayu terawal (zaman Hindu-Buddha), diakui oleh ahli sejarah Orientalis terutamanya, wujud sejak abad ke-1M dengan munculnya dua kerajaan rumpun Melayu di Hindiationgkok/Indochina, iaitu Kerajaan Funan-Cenla berpusat di Kemboja (abad ke-1 hingga ke-9M), Kerajaan Campa yang berpusat di Vietnam (abad ke-2M hingga ke-15M). Kesejagatan Funan-Cenla terbukti dengan adanya artifak Roma, Persia dan Hindia di pusat-pusat kerajaan Funan-Cenla ini. Ketinggian kejuruteraan dan teknologi kerajaan-kerajaan ini diakui dunia dan terbukti daripada tinggalan senibina candi dan kuil mereka di Vietnam dan di Kemboja. Mengikut catatan Tiongkok, Funan ada tulisannya sendiri berasaskan aksara Sanskrit dan tulisan berilmu kerana mampu membina terusan untuk pengangkutan dan perairan, teknologi perkapalan dan ketenteraan laut yang hebat, seni bina yang kuat (daripada batu-bata) dan halus yang dapat disaksikan tinggalannya hingga hari ini. (Internet 1, dan lebih terperincinya dalam Shaharir 2006c, 2007a, 2008b). Di samping bahasa Melayu Funan, bahasa Sanskrit digunakan dengan meluasnya kerana dokongan mereka kepada agama dan undang-undang Hindu. Kemuncaknya abad ke-5M dan abad ke-9M lenyap di ambil alih oleh kerajaan Khmer yang bernama Kemboja (asalnya Kambujadesa). Saki-baki sarjana Funan-Cenla selepas abad ke-9 itu pun mula berkarya dalam bahasa dan aksara Khmer pula (internet 2). Antara sarjana Melayu Funan yang tercatat dalam rekod Tiongkok (mengikut sarjana kita, Dr. Alinor, yang gigih menggali ilmu Funan-Cenla, khususnya ilmu SAKTI) ialah Subhodi, Samghapala, Madrasena dan yang paling masyhurnya, Paramartha. Sarjana terakhir yang masih boleh dianggap sarjana Funan-Cenla ialah yang bernama Pravarasena.

Sungguhpun tulisan dalam Bahasa Melayu Funan-Cenla (yang dipercayai wujud serentak dengan bahasa Melayu Campa, dan Mon serta Khmer purba,) masih belum dijumpai tetapi mengikut rekod Tionghua tulisan itu telah wujud sejak abad ke-1M lagi, malah tahun mereka ini (tahun rumpun Melayu) bermula pada 78M yang dikenali sebagai tahun Saka itu (Sempena nama seorang ahli astronomi dari Hindia). Bahasa Melayu Funan (dan Campa) pada abad ke-2 M lagi dirujuk oleh penulis Yunani sebagai bahasa Kolan yang sama dengan rujukan penulis-penulis Tiongkok pada sekitar abad yang sama sebagai bahasa Kunlun (Ejaan lainnya ialah Kunlun/Koenloen/Kun-Lun/Koen-Loen/Coland/Coelan). Mengikut Manansala (t.t), ada sumber Tiongkok abad ke-3M lagi yang mengandungi rujukan kepada bangsa/bahasa yang sekarang dipanggil dengan ejaan sekarang sebagai Melayu ini, sebagai Kunlun. Mengikut internet 3, lebih awal daripada sumber Tiongkok ini, mengikut Manansala itu juga, dalam sebuah tulisan orang Yunani dalam abad pertama Masihi, Periplus Maris Erythraei, yang diterjemah kepada Inggeris 1912 sebagai The Periplus of the Erythraean Sea (Pelayaran ke Lautan Hindia) yang baru-baru ini diberi ulasan lagi oleh Casson dan diterbitkan semula oleh Princeton Univ. Press 1989, ada memerihalkan kapal-kapal dari tempat yang dinamainya Chryse (di Gugusan Pepulau Melayu ini) dan kapal itu dinamainya Kolan-diphonta (daripada bahasa Tiongkok, Kunlun Po) atau terjemahan harfiahnya “kapal-Kolan”, dan perkataan Kolan dan diphonta itu ialah versi Yunani kepada versi Tiongkok, Kunlun dan Po itu. Dalam terbitannya yang lebih baru (tahun 1995), penterjemah-pengulas buku ini, Schoff, menyatakan Colandia (nama kawasan orang berbahasa Colan itu) mungkin berasal daripada perkataan Melayu, koleh panjail (iaitu sejenis kapal layar). Walaupun sumber Tiongkok juga yang tercatat dalam buku Liang Liji (1996), ada merekodkan perutusan Mo-lo-yu, Molo-yoou, Mo-lo-yeu, atau Mali-yu-eul ke negeri Tiongkok buat kali ke-5 bertarikh 644M lagi, nama bahasa bangsa ini sejak zaman Funan itu kekal sebagi Kunlun atau Kolan sekurang-kurang hingga abad ke-12M.

Karya-karya ilmu atau catatan ilmu dalam bahasa Kolan/Kunlun ini pada zaman kerajaan Funan masih belum muktamad banyaknya, terutamanya berbanding dengan catatan atau karya ilmu dalam bahasa asing (seperti Sanskrit) dewasa itu. Namun nampaknya bahasa asing (Sanskrit) itu menjadi bahasa janapada (bahasa nasion, iaitu bahasa pembangunan, yang mungkin berbeza dengan bahasa yang berstatus bahasa nasional/kebangsaan sahaja) bersama dengan bahasa Melayu Purba/Kuno atau Kolan/Kunlun itu. Sehingga kini, karya pada prasasti yang terhasil pada zaman Kerajaan Funan-Cenla adalah berjumlah 200 buah yang terdiri daripada 80 buah dalam bahasa Mon-Khmer purba dan selainnya dalam Sanskrit tetapi prasasti zaman Kerajaan Funan berjumlah hanya 11 buah sahaja, iaitu dalam bahasa Sanskrit dan Mon-Khmer (Shaharir 2000a, Alinor 2004a). Ketiadaan prasasti dalam bahasa Funan yang dijumpai setakat ini sungguh menghampa para pengkaji tamadun ini. Namun kehampaan ini terubat juga apabila catatan sarjana Tiongkok menyatakan adanya buku/manuskrip Funan dalam bahasa Kunlun. Malah mengikut kompilasi Alinor (2004a & b; 2005a-c), pada 546M raja Funan menitahkan seorang sarjana besarnya, Paramartha, menghantar 240 buah karya ilmu (dalam bahasa Sanskrit dan Kunlun) untuk dihadiahkan kepada kerajaan Tiongkok atas permintaan Maharaja negara itu bagi tujuan penterjemahannya; dan sejak itulah juga 76 buah buku dalam bahasa Sankrit dan Kunlun itu berjaya diterjemah ke bahasa Tiongkok (Tonghua) oleh sarjana Melayu Funan itu (dan kini sudah diketahui adanya 36 buah terjemahan ini yang tersimpan di Tiongkok sekarang). Raja yang sama menghantar dua orang sarjana Funan bernama Mandra atau Mandrasena dan Sanghapala/Sanghavarman atau nama Tionghuanya Kang Sang-k’ai ke Tiongkok untuk tujuan pengajaran dan penterjemahan. Antara buku/manuskrip yang dihantar ke Tiongkok itu dikatakan termasuklah sebuah kitab Buddhaisme yang masyhur berjudul Tarkasastra karya Vasubandhu, yang dikatakan telah diterjemah (ke dalam bahasa Kunlun) oleh sarjana Funan.

Beberapa orang sarjana Cenla (warisan darah kerajaan Funan itu) ada dicatat pada prasasti-prasasti Cenla bertarikh 810-840M, dan seorang daripadanya bernama Pravarasena menghasilkan (setengahnya mengatakan karya terjemahan) sebuah buku mantik Hindu-Buddha yang besar berjudul Nyayasutra Gautam dalam bahasa Kunlun/Kolan. Ada pula rekod Tiongkok yang menunjukkan adanya tradisi kerajaan Funan menghantar sarjananya ke Tiongkok bermula sejak pertengahan abad ke-3M lagi. Ini menunjukkan betapa tingginya dan antarabangsanya ilmu dalam bahasa Kunlun/Kolan pada zaman kerajaan Funan itu. Malangnya, setakat ini hanya beberapa buah karya terjemahannya dalam bahasa Tiongkok sahaja yang ditemui (karya asal, atau dua bahasa lain lagi yang dijangka pernah ada terjemahannya, iaitu bahasa Jepun dan Tibet, belum ditemui).

Walau bagaimanapun, sehingga kini pun tiadalah dijumpai karya dalam bahasa Funan itu sehingga tiadalah yang tahu bentuk sebenar bahasa itu. Namun bahasa Mon-Khmer boleh memberi gambaran bahasa dan ilmu pada zaman Kerajaan Funan itu kerana mengikut Diffloth (1974, 2005) dan Peiros (2004) bahasa Mon-Khmer cukup akrab dengan bahasa Aslian (daripada perkataan Arab-Melayu, asli, dan bahasa ini dikumpulkan sebanyak 19 buah bahasa daripada suku kaum rumpun Melayu di Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand) dan oleh itu bolehlah dianggap amat akrab dengan bahasa Funan. Keakraban raja-raja Cenla (yang dianggap kerajaan purba Khmer terawal dalam sejarah tamadun Khmer atau Kemboja) dengan kerajaan Sailendra di Jawa yang ditubuhkan oleh keturunan raja Funan itu juga menunjukkan keakraban bahasa Mon-Khmer dengan Funan. Sebuah kamus bahasa Mon-Khmer purba yang kata masukannya dianggap oleh penyusunnya, Pou (1992/2004), berasaskan pada prasasti Kemboja purba/Khmer purba (Zaman Kerajaan Cenla dan kemudiannya Angkor bermula pada abad ke-10M) bolehlah dianggap banyak kesamaan dengan bahasa Funan. Penulis ini dapat mengenal pasti secara sepintas lalu sahaja (tanpa perbandingan teliti dengan kamus bahasa Melayu Kuno dan bahasa-bahasa rumpun Melayu lain selain daripada Melayu Malaysia dan loghat/dialek Melayu Kelantan) adanya sekitar 10% perkataan dalam kamus itu ialah juga bahasa Melayu Malaysia dan/atau loghat Melayu Kelantan. Jika digunakan kamus bahasa Melayu Kuno dan Jawa Kuno dan lain-lain kamus rumpun Melayu, kami percaya dalam kamus itu akan ada sekitar 30% bahasa Melayu Kuno dan rumpun Melayu. Ini boleh dijadikan bukti terbaru Melayunya Funan itu.

Satu perkataan yang ingin ditimbulkan di sini yang ada dalam kamus Pou itu ialah perkataan son dan soh yang bermaksud tiada apa-apa, hampa atau kosong; sedangkan perkataan Sanskrit untuk istilah ini ialah sunya (yang pernah menjadi istilah “kosong” bagi Jawa kuno seperti yang terbukti pada catatan tahun di Masjid Sunan Kalijaga di Demak, dan yang entah sejak bila menjadi “sunyi” dalam bahasa Melayu sekarang). Hipotesis penulis ini ialah perkataan kosong Melayu sekarang itu datangnya daripada perkataan Funan ini (yang dianggap sama dengan bahasa Kemboja Purba), son atau soh itu; dan yang sesuai pula dengan istilah ini dalam bahasa Campa?-Vietnam iaitu khuong atau khong (Kamus dwibahasa Campa-Perancis, Dictionnaire Cam-Francais oleh E. Aymonier & A. Cabatin terbitan L’ecole Francaise D’Extreme-Orient, MDCCCCVI pun tiada perkataan Campa untuk kosong atau zero Perancis/Inggeris; dalam bahasa Campa di Kemboja sekarang ialah son atau soan yang sama dengan bahasa Khmer sekarang). Jelaslah (sebuah hipotesis kami) kedua-dua istilah inilah yang ber-evolusi menjadi perkataan “kosong” itu. Jika istilah ini digandingkan dengan prasasti-prasasti zaman Funan, kemboja Purba dan Campa, maka jelaslah Melayu Funan itulah pencipta angka kosong terlebih awal daripada yang biasa disebut dari Hindia itu. Malah pasasti yang ada simbol son/khong/kosong/sunya/sifar yang bertarikh 604M (asalnya dalam tahun Melayu bernama tahun Saka (S) itu, 526S) dan kemudiannya muncul pada prasasti Campa (di Vietnam selatan sekarang) bertarikh 531S=609M; sedangkan prasasti tertua di Hindia yang tercatat angka ini hanya bertarikh 870M sahaja. Fakta ini diketahui oleh banyak pihak (lihat Shaharir 1985, 2000b, Alinor 2007a,b) dan yang baru kami jumpai, Lansing (1983,1994) yang menegaskan, “konsep son Khmer nampaknya bukan diambil daripada tamadun lain, tetapi berupa hasil daripada perincian kamiran tentang seluruh struktur kosmologinya”. Pendeknya, Tamadun Melayu Funan-lah nampaknya menjadi pencipta sistem angka perpuluhan yang bersimbol kosong yang pertama di dunia.

Orang Melayu Funan atau keturunannya itu bukan sekadar mendahului bangsa-bangsa lain dalam penciptaan kosong itu tetapi juga mencipta dalam ilmu-ilmu lain juga yang mendahului bangsa-bangsa lain dewasa itu. Malah catatan Tiongkok menyatakan raja Funan menghadiahkan ratusan buah buku dalam bahasa Sanskrit dan Kunlun yang telah disebut itu. Kehebatan ilmu Funan terbukti dengan adanya prasastinya berkenaan dengan hora (istilah Funan?-Campa tentang astrologi-astronomi) dan karyanya, horasasatera, di samping rasi (dalam bahasa Funan?-Mon-Khmer-Purba) untuk istilah zodiak sekarang (rasi dalam Melayu moden masih ada surih makna begini), dan istilah Melayu purba (Funan juga?) yang berhubung dengan hora dan rasi ini, iaitu poda dan kutika (kini menjadi ketika), yang berupa ilmu ramalan seperti astrologi, horoskop, mantera dan azimat (yang diwarisi oleh Melayu-Islam keranan cukup banyak manuskrip Jawinya tentang perkara ini (Shaharir 2003); atau wawatekan dan wariga (masing-masingnya istilah Jawa purba bagi taqwim/kalendar dan almanak sekarang yang diperihalkan oleh Baharudin 2007) yang mungkin diketahui/dipakai juga oleh orang-orang Funan (mengenangkan adanya orang-orang Funan yang menuntut ilmu di Jawa (malah membina kerajaan Jawa Purba bernama Sailendera itu).

Pendeknya, walaupun bahasa Sanskrit begitu dominan dalam tamadun Melayu Funan-Cenla, tetapi bukti yang agak mencukupi juga menunjukkan karya dalam bahasa Kunlun itu cukup berpengaruh sehingga tercatat judulnya sebagai sebuah karya yang dipastikan ada terjemahannya dalam bahasa Tiongkok. Bahasa Kunlun telah mencapai taraf bahasa ilmu sejajar dengan bahasa ilmu lain pada masa itu, iaitu Sanskrit dan Tionghua yang memang amat dikuasainya oleh sarjana Funan itu. Sarjana Melayu Funan ternyata menguasai tiga buah bahasa ilmu semasa, iaitu Sanskrit, dan Tiongkok di samping bahasanya sendiri, Kunlun.


Melayu Campa dan Sriwijaya

Sebuah kerajaan Melayu yang lebih dikenali dan dapat bertahan lebih lama dan hebat lagi sejarah tamadunnya ialah yang berpusat di Vietnam sekarang (bermula pada abad ke-2M di utara Vietnam sekarang yang pada masa itu dikenali sebagai Amaravati/ Amarawati) tetapi kerajaan itu dikenali atas nama bangsanya sahaja, kerajaan Campa (walaupun pada peringkat awalnya Tiongkok merujuknya sebagai Lin-yi dan Houan-wang). Tanah takluknya ketika kemuncaknya (abad ke-8M) hampir seluruh Vietnam dan timur Kemboja sekarang. Kekuatan kerajaan ini berakhir setelah dikalahkan dengan desisifnya oleh bangsa Viet dari selatan Tiongkok pada 1471M, yang mendirikan kerajaannya yang diberi nama Viet Nam (diInggeriskan menjadi Vietnam). Ketika itu kerajaan Campa berpusat di Wijayapura di pesisir Vietnam tengah sekarang yang kini namanya Binh-dinh. Pada tahun 1471 itu Campa hanya hilang 1/3 drp seluruh jajahanannya tetapi pada 1832 nama Campa dengan rasminya hilang sama sekali (ketika kerajaan Campa berpusat di Panduranga atau kini Phan Rang, Vietnam Selatan). Pelarian besar-besaran orang Campa ke Kemboja (Kambujadesa) berlaku sejak tarikh kekalahan teruknya pada 1471 itu sehingga hampir pupusnya Campa di Vietnam sekarang. Walaupun gerakan kemerdekaannya di wilayah di Vietnam tengah masih berlaku sehingga kini, seperti yang perihalkan oleh Po Dharma (2005), dunia lani mengenali orang Campa sebagai suku kaum Kemboja sahaja.

Berbeza dengan Funan, KeMelayuan orang/bahasa Campa tidak pernah dipertikaikan. Malah bahasa Melayu bertulis yang tertua diiktiraf tertinta di batu bersurat (prasasti) di Campa bertarikh sekitar abad ke-4M di Dong Yen Chau , Vietnam sekarang dan transliterasinya ada dalam INTAN (1993) yang antara lain sudah ada perkataan tjuh/tujuh dan sarivu/seribu). Keseluruhan prasasti Campa jelas menunjukkan multibahasanya sarjana Melayu Campa tetapi bahasa Melayu agak mengatasi bahasa-bahasa lain itu khususnya bahasa terbesar dan berpengaruh (sebuah bahasa ilmu) di rantau Asia pada masa itu, iaitu Sanskrit, kerana daripada 210 buah prasasti yang dijumpai ada 127 buah dalam bahasa Melayu (bahasa Kunlun atau Kolan), 56 buah dalam Sanskrit dan 27 buah bahasa campuran Melayu-Sanskrit (Mohamad Zain & Alinor 2008). Semua prasasti yang diketahui bahasanya itu sudah diterjemah ke dalam bahasa Perancis dan beberapanya sahaja yang juga diterjemah ke dalam bahasa Inggeris. Kini, atas usaha terutamanya Alinor dan Mohamad Zain (ahli kumpulan penyelidikan etnomatematik Melayu, KuPELEMA, yang diprakarsai (dimangkin-mulai) penubuhannya oleh penulis ini di INSPEM, UPM pada akhir 2005) hampir kesemua prasasti dalam bahasa Kunlun itu telah diterjemah-tafsir ke dalam bahasa Melayu lani. Kajian terperinci tentang kandungan sains bagi setiap prasasti itu masih belum dilakukan, kecuali beberapa buah sahaja yang satu daripada dikaji oleh penulis ini dan diperihalkan di bawah ini.

Tamadun Campa dan Funan wujud serentak sehingga abad ke-9M dan malah kerajaan Cenla/Chenla pernah tunduk kepada kerajaan Campa dalam abad ke-9 itu hinggalah pembebasannya dianggap oleh ahli sejarah Khmer sebagai permulaan kerajaan Khmer sebenar yang memulakan nama Kemboja (Kambujadesa) dan seterusnya dikenali juga sebagai Kerajaan Angkor itu. Namun mengikut Maspero (2002) ahli-ahli senibina umpamanya dapat membezakan candi/wat Funan dengan Campa umpamanya. Tingginya tamadun Campa terbukti dengan senibina candi/wat yang kebanyakannya dibina sejak abad ke-5M lagi di daerah yang bernama Mison/Myson, Vietnam, malah diiktiraf dunia sebagai candi/wat yang tertua dan berseniukir yang menakjubkan.

Maspero (2002) menyebut adanya sebuah prasasti yang bertarikh 1003S (iaitu 1081M) mengandungi sifat-sifat pemimpin agung Campa, iaitu rajanya yang bernama Sri Jaya Indravarmadeva, dan ini mencetuskan kami mencari prasasti itu dan mengkajinya dengan lebih teperinci. Kami dapati prasasti itu berpendahuluan dalam bahasa Sanskrit tetapi kemudian semuanya dalam bahasa Kunlun/Kolan itu. Prasasti ini ternyata begitu tinggi ilmunya, iaitu tentang aksiom kepemimpinan atau kepengurusan yang diistilahkan oleh penulis prasasti itu sebagai cakravantin (=tok batin sejagat, atau pemimpin sejagat) yang mengatasi ilmu ini di tamadun-tamadun lain dewasa itu (Shaharir 2008b). Buku Maspero itu merakamkan rekod perakaunan (bilangan benda) dan unit-unit fizik (panjang, masa, berat, luas, isi padu dan sebagainya) dan ilmu pengurusan Campa itu kami dapati semuanya dalam bahasa Melayu Campa atau pengubahsuaian atau inovasi istilah Sanskrit (Alinor 2005d, 2007a dan Shaharir 2007a, 2008b). Antara unit sukatan Campa itu yang ingin disebut di sini ialah sukatan berat dram ( = 12 thil=tahil?); yang kami belum jumpa adanya unit ini dalam sains Hindia tetapi unit ini diperkenalkan di Barat (yang kita kenali drp Inggeris, dram juga) beberapa kurun kemudian sebagai unit berat terutamanya cecair, pertamanya dalam bahasa Yunani, drakhma (bermaksud sukatan berat), kemudiannya dalam Latin: drachma dan dramma diikuti oleh Italia: dramma, Jerman/Perancis: drachme (tetapi anehnya tiada unit sebegini dalam Portugis, Belanda dan Sepanyol). Walaupun mengikut Wikipedia mata wang Roma dan Timur Tengah, dirham itu pun asalnya daripada perkataan Yunani dirkham itu, tetapi kehampiran bunyi itu tidaklah bermakna perkatan itu berasal drp kata akar yang sama. Mungkinkah semua sukatan berat Eropah dan Campa ini adalah hasil interaksi antara tamadun Campa dengan tamadun di Mediteranean, kerana kapal-kapal Melayu sudah sampai di Yunani sejak abad ke-2M lagi dan begitu juga kapal-kapal Yunani ke Alam Melayu ini?

Mengikut Maspero itu juga, yang katanya bersumberkan daripada catatan Tiongkok, seorang jeneral Viet yang menyerang dan mengalahkan Campa buat kali pertamanya pada abad ke-6M mendapati ada 1350 buah buku dalam bahasa Kunlun. Bilangan khazanah ilmu bertaraf antarabangsa pada zaman Campa ini nampaknya dapat mengalahkan khazanah buku peringkat tinggi dalam bahasa Melayu sekarang pun, yang pada pertengahan 1990-an dahulu berjumlah hanya sekitar 1200 buah buku teks pengajian tinggi yang tidaklah berupa buku besar Melayu sebesar buku-buku Melayu Campa itu! Mengikut Alinor (2005a-c) di antara buku-buku ini bukan sahaja berkenaan dengan agama Buddha tetapi juga ada buku epistemologi dan mantik yang diistilahkan sebagai nyaya (daripada Sanskrit dan menjadi perkataan Melayu lani dalam bentuk negatifnya sahaja, aninyaya atau aniaya (daipada anyaya), tetapi sering pula diucapkan secara tak formal dan ringkasnya sebagai “nyaya”). Sumber Campa kemudian ada melaporkan bahawa kesemua kitab rampasan itu dibakar oleh tentera Viet itu; namun ada pula catatan lain di Tiongkok yang menyatakan raja Tiongkok memerintah sarjananya mengkompilasi kitab-kitab itu dan diminta supaya menerjemahkannya ke dalam Bahasa Tiongkok sehingga sejumlah 74 buah buku daripadanya berjaya diterjemah, termasuklah karya besar epistemologi Hindu yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu Campa (Kunlun) berjudul Nyayamukha (karya Dignaga) dan Nyayapravesa (karya Dignaga atau Samkarasvamin). Besarnya karya ini dapat dibayangkan dengan adanya ratusan ulasan terhadapnya dalam bahasa Tiongkok, Korea dan Jepun.

Yang menariknya lagi, sepertilah pada zaman kerjaaan Funan, kerajaan Tiongkok sering mengundang sarjana Melayu Campa membantu penterjemahan buku-buku dalam bahasa Kunlun, Sanskrit atau mungkin sekali Pali ke dalam bahasa Tiongkok. Ini menunjukkan hebatnya bahasa dan sarjana Melayu Campa yang telah berjaya menjadikan bahasanya (Kunlun) sebagai bahasa ilmu dan keilmuannya dapat menyaingi (setengahnya jelas mengatasi) yang di dalam bahasa Sanskrit atau Pali dan ilmuwan Hindia dan Tiongkok pada masa itu.

Dengan mengumpul beberapa sumber sejarah yang sedia ada, Alinor (2004a,b, 2005a-c) mencatatkan kesah catatan terkenal sarjana Tiongkok bernama I’-Cheng (bersama 4 orang pembantunya) pada sekitar awal abad ke-8 M menyatakan ribuan buah buku di Palembang dalam bahasa Kunlun dan Sanskrit sehingga sarjana Tiongkok itu sendiri berada di pusat kerajaan Sriwijaya itu selama 14 tahun (setengah sumber 7 tahun) untuk mengumpul, menyalin atau menterjemah buku-buku tersebut dan berguru dengan seorang mahaguru Melayu Sriwijya bernama Sakyakirti. Buku-buku pilihannya itu di bawa pulang ke Tiongkok. Antaranya ratusan kitab agung agama Buddha dalam bahasa Melayu (Kunlun) termasuk kitab termasyhur Buddha bernama Tripatika itu sahaja pun berjumlah 500 gatha atau ganthra dalam bahasa Kunlun jika diterjemah kepada bahasa China pada masa itu akan berjumlah ribuan jilid. Antaranya juga termasuklah 7 buah kitab karangan sarjana Hindu yang bernama Dharmakirti (yang lain daripada seorang sarjana Melayu zaman Sriwijaya yang serupa namanya dan bergelar “Sarjana Akbar”) yang diterjemah kepada bahasa Melayu (Kunlun) oleh sarjana Sriwijaya bernama Atisa atau Atica yang berasal dari India, tetapi pernah belajar dengan Dharmakirti, “Sarjana Akbar” Sriwijaya itu. Atisa ini pernah dibawa ke Tibet pada 1010M untuk mengajar di sana. KeMelayuan Atisa ini sama seperti Melayunya sarjana agung Melayu abad ke-17 yang bernama Nur al-Din al-Ranyry atau ejaan biasanya Nuruddin al-Raniri itu (iaitu sarjana berbangsa bukan Melayu tetapi berkarya hebat dalam bahasa Melayu).

Berdasar pada tinggalan prasasti Sriwijaya yang hanya berjumlah 12 buah yang 7 buah daripadanya dalam bahasa Kunlun dan 5 buah dalam bahasa Sanskrit (Mohamad Zain & Alinor 2008), jelas sekali terbayangnya tentang dwibahasanya sarjana Melayu pada zaman itu (bahasa Sanskrit dan bahasanya sendiri, bahasa Kunlun) dalam penulisan ilmu dan sekaligus menunjukkan persaingan dua bahasa ini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa janapada berlaku hebat pada zaman Tamadun Melayu Sriwijaya ini. Sedikitnya prasasti Sriwijaya ini berbanding dengan prasasti pada zaman Campa itu sekali-kali tidak membuktikan kurangnya karya (atau ilmu) pada zaman Sriwijaya ini sebagaimana yang sudah pun dibuktikan oleh I’Ching itu. Ketiadaan prasasti Sriwijaya ini mungkin benar juga rasionalnya oleh sesetengah sarjana sebagai akibat pemusnahan oleh golongan Islamis baru pada zaman dahulu dalam gerakan pengIslaman mereka (Ini dibicarakan lagi secara berasingan di bawah ini). Malah memang ada ulama masyhur Malayuwiyyah (nama rantau kediaman rumpun Melayu mengikut istilah ulama besar Melayu Fatdany (Petani) abad ke-19) yang tidak menggalakkan seseorang Islam menyimpannya prasasti dan ilmu sebelum Islam. Contoh ulama itu ialah ‘Abd al-Qadiy al-Fatdany atau ‘Abd al-Qadiyr Bukit Bayas atau ‘Abd al-Qadiyr Duyung mengeluarkan hukum haram terhadap seseorang yang menjual-beli atau membaca hikayat atau dongeng-dongeng tempatan (seperti “Hikayat Sri Rama, Surat Jawa dan Syair Ken Tabuhan dan barang sebagainya”), kitab-kitab yang tiada memberi manfaat, kitab nujum, dan kitab orang kafir..dan katanya lagi “larilah segala malaikat sebab busuk bau yang keluar daripada mulut orang yang membaca akan segala hikayat dan syair” itu. (Hukum ini ada dalam karyanya sekitar 1820-an (dalam bahasa Melayu), “al-Taghrib wa al-Tarhdib li al-Bai‘i Wa al-Syiray (Menggemari dan Menakuti bagi Berjual dan Beli” yang diperihalkan oleh Wan Mohd Shaghir (1421H/2000). [Istilah Malayuwiyah itu disyorkan oleh ulama, ahli bahasa dan pejuang bahasa Melayu awal abad ke-19M, Syaykh Ahmad al-Fatdany, dalam bukunya Hadiqaht al-Azhar wa al-Rayahin: ms 135 , dengan rumpun bangsanya diistilahkannya sebagai Milayu (bukannya ejaan sekarang, Melayu].

Antara sarjana Melayu Sriwijaya yang diketahui masyhur kehebatannya ialah Atisa, Dharmakirti dan Sakyakirti. Sementara itu seorang tukang Melayu Sriwijaya bernama Ci-lo-lo (Chi-lo-lo) dicatatkan pada tahun l079 di kuil Taois di Kanton yang dihantar oleh maharaja Sriwijaya yang bernama Divakara untuk membaiki kuil tersebut. Kerja sebegini dicatatkan oleh banyak rekod Tiongkok sepanjang zaman kerajaan-kerajaan Melayu Funan hingga ke zaman Sriwijaya. Bagaimanapun, sehingga kini kami belum memperoleh seorang pun nama sarjana Melayu Campa, walaupun karya-karya SAKTI zaman Campa begitu banyak dan bertaraf antarabangsa.

Kesimpulannya, sudah agak cukup buktinya untuk menyatakan bahawa bahasa Melayu pada zaman kerajaan Campa (terutamanya dalam tempoh abad ke-6M hingga ke-11M) dan Kerajaan Sriwijaya (abad ke-7 hingga ke-12M) sudah mencapai taraf bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa (sekurang-kurangnya dunia Asia ini) bersekali dengan bahasa ilmu semasa, iaitu bahasa Sanskrit. Sarjana Melayu pada masa itu mahir dan berkarya dalam tiga bahasa, iaitu bahasanya sendiri (Melayu/Kunlun), Sanskrit dan Tionghua. Tiada bukti bahwa bahasa Tionghua menjadi bahasa antarabangsa setaraf dengan bahasa Sanskrit dan Melayu, tetapi demi besarnya umat Tionghua itu agaknya maka sarjana Melayu juga mahir dalam bahasa tersebut sehingga boleh menjadi penterjemah ikhtisas Sanskrit dan Melayu kepada bahasa Tionghua. Tradisi ini berlaku sejak zaman kerjaan Melayu Funan itu lagi.


Pengelasan Ilmu Rumpun Melayu Pra-Islam


Bagaimana hebatnya ilmu yang wujud pada rumpun Melayu pra-Islamnya, dipersaksikan oleh para sarjananya dan pustakawannya (telah ada istilah Pustakarakshaka yang bermaksud Ketua Pustakawan Negara pada zaman Funan-Cenla-Campa, Sailendra-Sriwijaya dan Jawa Kuno dahulu lagi) apabila mereka mengelaskan ilmu-ilmu mereka seperti berikut yang jelas menunjukkan kayanya tamadun Melayu pra-Islam dalam SAKTI (Guillon 1999, Maspero 2002, Alinor 2005a & 2006, KuPELEMA 2008):


Pengelasan Ilmu Mon-Funan (asalnya Pengelasan Ilmu Mon)

MF1: Slapat (ilmu agama, sastera, sains dan puisi; istilah ini secara harfiahnya bermakna “pelepah yang dimampat”),

MF2: Gran (perubatan; istilah berasal drp Sanskrit, grantha (yang secara harfiahnya bermakna buku sahaja),

MF3: Prakuih (ilmu-ilmu teknik seperti astrologi, tatabahasa, sejarah, Veda, Abhidhamma, pertukangan, perikanan, penjinakan gajah, dan lain-lainnya; istilah ini drp Sanskrit, prakarana yg bermaksud tulisan),

MF4: Traai/Nissaya (keagamaan Budha yang juga mengandungi unsur sains bidang falsafah dan mantik/lojik/nyaya),

MF5: Dvak/Grak (puisi dan doa),

MF6: Likh/Lekh (puisi yang tidak berbentuk doa; istilah ini drp Sanskrit, lekha yg bermakna menghasilkan tulisan),

MF7: Kativat (sejarah; istilah drp Pali, katikavata yg secara harfiahnya bermakna perkara yg lepas), dan

MF8: Skemi (karya pendek-pendek yang nampaknya bertindan dengan Kativat; istilah ini sejarah harfiahnya bermakna setapak tangan).


Pengelasan Ilmu Campa

Cam1 : Tatabahasa Panini dan ulasannya Kashikavrtti,

Cam2 : Horasastra, iaitu Astrologi dan Astronomi,

Cam3 : Enam sistem falsafah iaitu Samkhya, Yoga, Mimamsa, Vedanta, Nyaya dan Vaisesika,

Cam4 : Doktrin-doktrin Buddha,

Cam5 : Dharmasastra, terutamanya Manavadharmasastra, juga disebut sebagai Manu Smrti atau Bharggavija Dharmasastra, dan Narada Smrti. (Rujuk prasasti Myson Indravarman II bertarikh 1010S/1088M dan prasasti Myson Jaya Indravarman IV bertarikh 1092S/1170M),

Cam6 : Kesusasteraan mazhab Vaisnaya dan Saiva, terutamanya buku Uttarakalpa dan Caktanandatarangini (Rujuk prasasti Hoa-Que Bhadravarman III bertarikh 831S/909M dan prasasti Lai-trung Indravarman III/Jaya Indravarman I bertarikh 843S/921M),

Cam7 : Empat Veda,

Cam8 : Epik, iaitu Ramayana dan Mahabharata. (Rujuk dua prasasti Myson Prakasadharma bertarikh 579S/657M, prasasti Myson Vikrantavarman, prasasti Yang Tikuh Indravarman I bertarikh 721/799M, prasasti Phu-Luong Rudravarman III bertarikh 83xS dan prasasti Myson Jaya Harivarman I bertarikh 1079S/1157M),

Cam9 : Purana, terutamanya Artha-puranasastra atau Puranartha yang merupakan ulasan asli sarjana Campa. (Rujuk dua prasasti Myson Jaya Harivarman I, satu daripadanya bertarikh 1079S/1157M),

Cam10 : Kesusasteraan Sanskrit, termasuklah Kavya dan puisi-puisi romantik. (Rujuk prasasti Myson Vikravarman dan prasasti Po-Nagar Jaya Paramesvaravarman I bertarikh 972S/1050M).


Pengelasan Ilmu Jawa Kuno/Kuna

JK1. Wiracarita, iaitu cerita-cerita kepahlawanan yang berdasarkan kepada Ramayana dan Mahabharata.

JK2. Tutur, iaitu karya-karya agama seperti Sang Hyang Kamahayanikan.

JK3. Castra, iaitu karya-karya tentang hukum dan undang-undang seperti Agama, Dustakalabhaya, Swarajambu/Swayambhu, Dewadanda, Yajnasadna, Dharma upapati, Casra Menava, Kutaramanava-sastra, Devagama/Krtopapati, Sarasamuccaya, Sivasana dan Adhigama,

JK4. Casana, juga tentang hukum tetapi lebih luas cakupannya. Dibahagikan kepada empat, iaitu Dharmacasana (panduan pemimpin), Dewacasana (panduan agamawan), Rshicasana (panduan petapa) dan Rajacasana (panduan Raja, contohnya Kumandaka, Nitipraya, Smaratantra dan Anggulipraweca).

JK5. Purana, iaitu karya-karya falsafah, teologi, kosmologi dan lain-lainnya seperti Brahmanda-purana dan Agastyaparva.

JK6. Sejarah, seperti Tantu Panggalaran dan Pararaton.

JK7. Usada (Perubatan).

JK8. Wariga (Almanak).

JK9. Wawatekan (Daftar tahun).

JK10. Pasasangkalan (Kata-kata bernilai angka).

JK11. Krtabhasa (Kamus).

JK12. Cantakaparwa (Kamus berpuisi).


Pengelasan Ilmu Sailendra-Sriwijaya dalam Sanskrit

SaSri1 : Sejaraisme atau Purvvante ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara lepas), Kelakisme atau aparante ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara kelak/mendatang) dan Kinisme iaitu purvvaparante ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara lepas-mendatang=kini);

SaSri2 : Sains Pengurusan iaitu vaksamskarah (daya bicara), karmmany ajnanam (pengetahuan tentang tindakan), karmmavipake ajnanam (pengetahuan tentang mematangkan tindakan), swami (tuan), valaddhyaksah (komander tentera), amatya (menteri), puram (negara), grham (rumah), panca kamagunani (lima keseronokan badan), mitramitrodasinadi (rakan, lawan dan berkecuali), parasparajiyamsah (kejayaan menakluk), atmabhedadandandavapradani (rundingan, perbalahan, usaha dan hadiah), aicvaryasampattir (mendapat kuasa memerintah), aicvaryyavipattir (hilang kuasa memerintah);

SaSri3 : Teologi iaitu Vuddhe ajnanam (pengetahuan tentang Buddha), dharmme ajnanam (pengetahuan tentang dharma), samghe ajnanam (pengetahuan tentang Samgha), duhkhasamudayanirodha [marggesv] ajnanam (pengetahuan tentang kesengsaraan, Awal, Perhentian dan Jalan), heto ajnanam (pengetahuan tentang Sebab), hetusamutpannesu dharmmesv ajnanam (pengetahuan tentang dharma-dharma yang terhasil daripada Sebab), kucalesu dharmesv ajnanam (pengetahuan tentang dharma-dharma baik), akucalesu dharmesv ajnanam (pengetahuan tentang dharma-dharma jahat), kucalakucalesu dharmmesv ajnanam (pengetahuan tentang dharma-dharma baik dan jahat), savadyesu dharmesv ajnanam (pengetahuan tentang dharma-dharma salah), anavadyesu dharmasv ajnanam (pengetahuan tentang dharma-dharma betul), savady[anavadyesu] dharmasv ajnanam (pengetahuan tentang dharma-dharma salah dan betul), asevitavyesu dharmmesv ajnanam (pengetahuan tentang dharma-dharma larangan) dan sevitavyesu dharmesv ajnanam (pengetahuan tentang dharma-dharma amalan);

SaSri4. Epistemologi : (i) Sumber pengetahuan iaitu addhyatmany ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara dalaman) dan vahye ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara luaran), (ii) Alat menerima pengetahuan iaitu caksuhcotghranajihvakayamanamsy (mata, telinga, hidung, lidah, kulit dan fikiran); (iii) Fungsi alat pengetahuan iaitu caksurvijnanam (kesedaran-mata), crotravijnanam (kesedaran-telinga), ghranavijnanam (kesedaran-hidung), jihvavijnanam (kesedaran-lidah), kayavijnanam (kesedaran-kulit), manovijnanam (kesedaran-fikiran)/ manasssamskarah (daya fikiran); (iv) Jenis pengetahuan iaitu vedanaskandhah (tahap perasaan), samskaraskandhah (tahap daya/tenaga), samjnaskandhah (tahap idea) dan vijnanaskandhah (tahap kesedaran);

SaSri5. Psikologi iaitu sukhavedana (perasaan suka), dukhavedana (perasaan duka), aduhkhasukhavedana (perasaan suka duka), kamatrsna (berkehendak keseronokan), kamopadanam (minat keseronokan), kamabhavah (wujud keseronokan badan);

SaSri6. Ontologi iaitu bhavatrsna (berkehendak kewujudan), vibhavatrsna (berkehendak ketiadaan), atmavadopadanam (mengikut doktrin kewujudan Atman), rupabhavah (kewujudan rupa/bentuk tulen), arupyabhavah (wujud ketiadaan rupa/bentuk);

SaSri7. Etika dan Moral iaitu drstyopadanam (derhaka/engkar), cilavratopadanam/ cilavrataparamarcah (mengikut hukum moral dan ikrar bebas), satkayadrstih (salah tanggap personaliti yang dibahagikan kepada 20 jenis iaitu rupe caturvvidha (4 jenis rupa), vedanayan caturvvidha (4 jenis perasaan), samjnayan caturvvidha (4 jenis idea), samskaresu caturvvidha (4 jenis daya) dan vijnane caturvvidha (4 jenis kesedaran)), antagrahadrstih (salah tanggap melampau yang dibahagikan kepada 3 jenis iaitu vidha (kemusnahan), ucchedatma (kewujudan abadi Atman) dan cacvatatma (keraguan terhadap kewujduan Atman)), mithyadrstih (salah tanggap menyeluruh yang dibahagikan kepada 2 jenis iaitu satnatanaci (?)), drstiparamarcah (mengikut salah tanggapan);

SaSri8. Embriologi iaitu samjnajatih (menjadi), avakrantih (turun kedalam rahim ibu), abhinirvrttih (tumbesaran), skandhapratilabho (menguasai kumpulan dharma), dhatupratilabhah (menguasai 18 wilayah), ayatanapratilabhah (menguasai asas tanggapan), skandhabhinirvrttih (perkembangan kumpulan dharma), jivitendriyapradurbhavah (munculnya pancaindera);

SaSri9. Sains Kesihatan : (i) Kayasamskarah (daya badan). (ii) Tua yang bermaksud yat (botak), khalatatvam (kelabu), valitatvam (kedut), valipracurata (lisut), jirnata (tunduk), bhugnata (bongkok), kubjata (bengkok), gopanasivankata (bertongkat), dandaviskambhanata puratah pragbharakayata (berat badan kehadapan), tilakadikagatrata (tanda hitam pada tubuh), mandatvam (lambat), andhatvam (rabun), hanih (letih), parihanih (habis tenaga), indriyanam paripakah paribhedah samskaranam (pancaindera melemah), puranibhavah (nyanyuk) dan jarjaribhavah (musnah). (iii) Mati yang bermaksud satvanikayacyutih (keluar daripada erti manusia), cyavanatabhedah (mereput), antahanih (hilang tenaga dalaman), ayuso hanih (hilang kehidupan), jivitendriyanirodhah samskaranam (fungsi pancaindera berhenti), niksepo (hilang upaya) dan maranakalaksaya (nazak);

SaSri10. Kosmologi : Empat benua iaitu jambhudvipah, utttarakurukodvipah, purvvavidehadvipah dan avaragodhanidvipah. Lapan neraka iaitu sanjiva, kalasutra, samghata, raurava, maharaurava, tapana, sampratapaka dan avicic. Lapan langit iaitu caturmaharajika, trayastrimca, yama, tusita, nirmanarati, parinirmitavacavarttinac, ceti pretalokah dan tiryyagjatic. Lima unsur asas dan terbitannya iaitu catvari mahabhutani catravi ca mahabhutany upadaya ca rupam (air, api, tanah, angin dan akasa, dan bentuk-bentuk yang terhasil daripadanya berjumlah lima organ dan lima kategori);

SaSri11. Botani iaitu vijad ankuram (biji menghasilkan tunas), ankurat patram (tunas menghasilkan daun), patrat kandam (daun menghasilkan batang), kandan nalam (batang menghasilkan cabang), nalad garbhah (cabang menghasilkan ranting), garbhat puspah (ranting menghasilkan bunga), puspat palam (bunga menghasilkan buah).


Bahasa Melayu Kaya dengan SAKTI dalam Zaman Tamadun Rumpun Melayu-Islam .


Rantau yang didiami rumpun Melayu yang membentuk rantau Tamadun Islam Melayu memperoleh banyak namanya seperti Nusantara (istilah daripada kerajaan Majapahit abad ke-13M yang dihidupkan kembali oleh para pejuang kemerdekaan Hindia Timur abad ke-20), Nosa Koncana (daripada Nakula yang rujukannya ada dalam Shaharir 2000b), Malayuwiyah (daripada sarjana-ulama rumpun Melayu abad ke-19), Malayonesia (daripada ahli etnografi Inggeris abad yang sama), Indunesia/Indonesia (daripada ahli etnografi Jerman abad yang sama), Malaisea/Malaysia (daripada ahli etnografi Perancis/Inggeris abad yang sama), Gugusan Pepulau Melayu (the Malay Archipelego, oleh ahli sains hayat Inggeris, Wallace 1868), Alam Melayu (the Malay World, oleh penulis Inggeris abad ke-20), Bumantara (1960-an oleh Sutan Takdir Alisjahbana, drp bumi+antara), Pascabima (akronim oleh penulis ini pada 1998, berasaskan negara-negara yang didiamai oleh rumpun Melayu yang pernah wujud dahulu dan lani), dan Alam Melayu). Nama-nama lain yang dinamai oleh ahli-ahli etnografi Eropah sebelum nama the Malay Archipelago itu muncul dengan bergayanya ialah (dalam bahasa Inggerisnya) the Indian Archipelago, the Asiatic Archipelago, the Eastern Archipelago, the Indo-Australian Archipelago dan yang paling lama bertahan ialah the East Indies/Hindia Timur (yang kemudian dibahagia tiga, the Dutch East Indies/Hindia Timur Belanda, yang menjadi Indonesia 1945 dan the British East Indies/Hindia Timur Inggeris yang menjadi Malaysia pada 1963, dan selebihnya Filipina, Papua Niugini dll. pulau yang kecil-kecil itu yang biasanya dilupai dalam istilah the East Indies itu). Nama-nama rantau rumpun Melayu sebelum Islam pun banyak sama ada yang dirujuk poleh orang-orang Yunani, Hindia, atau orang Tionghua seperti Aurium Chorsenesis, Suwarnabumi (dan beberapa variasi ejaannya; kini menjadi nama lapangan terbang antarabangsa Thailand, Suvarnabhumi), Yavadvipa/Javadvipa, Ye Diao dan lain-lain lagi (Lihat Shaharir 2008b). Nama yang melekat hingga sekarang ialah Nusantara, Gugusan Pepulau Melayu dan Alam Melayu (the Malay World, yang merujuk kepada wilayah berbahasa rumpun Melayu yang ahli linguistik menamainya Austronesia atau Malayo-Polinesia yang cukup luas itu: dari Madagaskar ke Pulau Easter hingga merangkumi pulau-pulau Polinesia hingga ke Hawai, ke utara berhenti di Taiwan, dan ke “bawah” berhenti di New Zealand tempat kediaman rumpun Melayu Maori).

Di dalam makalah ini hanya istilah Malayuwiyyah dan Malayonesia sahaja yang digunakan terutamanya di dalam seksyen ini, sesuai dengan zamannya dan kehendak sarjana watannya, dan selain itu dirujuk Alam Melayu dan bangsanya secara generiknya dirujuki sebagai rumpun Melayu. Ciri utama tamadun rumpun Melayu Islam (TaRMI) ini ialah penggunaan bahasa Melayu dengan aksara Jawi sebagai alat komunikasi rasmi dan penulisan ilmu. Tempoh TaRMI kami ambil bemula abad ke-13M (apabila Pasai/Aceh beraja Islam) dan berakhir dengan jatuh bangunnya beberapa kesultanan rumpun Melayu selepasnya seperti Melaka (1402-1511 tetapi warisan kesultanannya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia dan Johor-Riau-Lingga (1528-1824)), Demak (1478-1561) dan sambungannya Mataram (berakhir pada 1830 tetapi kesultanan/kekratonannya hidup sehingga munculnya Indonesia 1945), Petani/Fatdany (dikalahkan Siam pada tahun 1671 tetapi kesultanannya hanya lumpuh pada 1785 di bawah telunjuk Siam dan akhirnya hilang sepenuhnya 1909 menjadi sebahagaian drp negara Siam/Thailand sepenuhnya tanpa sultan), Sulu (1390 hingga jatuh kpd Sepanyol pada1567), Manguidanao/Mindanao (abad ke-13 hingga kepada Sepanyol pada 1543), dan kerajaan-kerajaan yang lebih kecil seperti Banjar (1370an sehingga jatuh ke tangan Belanda pada awal abad ke-19), Brunei (abad ke-14 hingga 1888), Ternate dan Tidore (abad ke-15M hingga ke-19M). Dalam konteks perkembangan ilmu dan bahasa Melayu, TaRMI ini dikira berlaku dalam tempoh abad ke-13M hingga menjelang abad ke-20M (1900M) sahaja. Pemilihan tahun 1900 itu berdasarkan sekitar berakhirnya kuasa kesultanan rumpun Melayu Islam di Malayuwiyah/Malayonesia yang besar-besar (1824 Johor-Riau-Lingga, 1830 di Jawa, 1874 di Tanah Melayu, 1899 di Sulu dan Mindanao, 1909 di Petani) dan lebih penting lagi tersisihnya aksara Melayu Islam yang dikenali huruf Jawi (terutama sebelum tertubuhnya Indonesia), atau Pegon oleh Bugis dan Gundil oleh Jawa, dan dikenali sebagai Arab-Indonesia oleh generasi baru Indonesia (Wikipedia dan Wan Mohd Saghir 1991). Ini lebih-lebih lagi dengan tersebarnya kaedah peRumian oleh van Ophuysyen pada tahun 1901 di Hindia Timur Belanda (Indonesia sejak 1945) dan oleh Wilkinson pada tahun 1904 di Hindia Timur Inggeris (Malaysia dan Brunei sekarang). Selepas 1900 juga kami dapati hanya seorang-dua sahaja sarjana-ulama besar rumpun Melayu yang berkarya dengan baik dan biaknya (dalam Jawi). Oleh itu kami ambil Tamadun Melayu-Islam ialah suatu tempoh antara 1300 hingga 1900 sahaaja.

Bahasa Melayu mendapat lonjakan kemajuan yang besar dalam zaman tamadun Islamnya. Banyak perkataan baru diambil bagi mengungkapkan benda-benda yang dahulu tiada keperluannya, banyak pula yang diambil bagi menggantikan perkataan Melayu-Sanskit yang sedia ada kerana perubaan cita rasa dan nilai, dan banyaklah pula perkataan Melayu Sankrit itu diubah atau berubah maknanya mengikut acuan Islam. Ringkasnya, pengIslaman bahasa dan ilmu rumpun Melayu pra-Islam itu berlaku dengan pesat dan hebatnya sehingga banyaklah pula ilmu pra-Islam itu yang tersalah saring atau tidak disaring langsung dan banyak pula yang tidak sepatutnya disingkirkan tetap juga tersingkir dalam keghairahan mendokong bahasa dan ilmu baru dari Tamadun Islam. Kesah pengIslaman kebudayaan Melayu ini (tidak termasuk sains dan teknologi) dijelaskan dengan teliti dan bergayanya oleh Prof. Syed Naguib al-Attas dalam syarahan pemasyhuran profesornya di UKM pada 1972 dahulu. (Lihat al-Attas 1972). PengIslaman kebudayaan Melayu dalam sains dan teknologi baru dikaji terutamanya oleh Kumpulan Penyelidikan Etnomatematik Malaysia (KuPELEMA) di INSPEM, UPM, mulai 2005 dan hasilnya sehingga lani dilaporkan dalam KuPELEMA (2008) dan Shaharir (2007a) yang dipaparkan semula dengan ringkasnya di sini kerana di dalam laporan inilah terbuktinya tamadun Melayu Islam adalah juga tamadun SAKTI.

Apabila Islam bertapak di Alam Melayu mulai abad ke-13M, persaingan bahasa Melayu dengan Sanskrit dalam merebut takhta bahasa ilmu rumpun Melayu dengan pantasnya berubah kepada persaingan bahasa Melayu dengan bahasa Arab. Karya dalam bahasa Sanskrit dalam bentuk prasasti di Malayuwiyah ini boleh dikatakan lenyap sejak abad ke-15M lagi, malah saki-baki aksara Palava/Palawa dalam bahasa Melayu yang terakhir nampaknya muncul di prasasti batu Nisan Ahmad Majanu di Pangkalan Kempas Port Dickson bertarikh 1385S (aksara Palawa)/1463M, dan juga bertulisan Jawi dengan tarikh 872H. (Lihat prasasti ini dalam Othman & Halim 1990), dan tulisan Arab dengan terjemahan dalam bahasa Melayu Campa berhuruf Palawi di prasasti Pandurangga (Campa, atau Phan Rang di Vietnam sekarang) pada sekitar tarikh yang sama. Prasasti dalam bahasa Sanskrit di Indonesia masih ada hingga ke abad ke-16M; dan warisan aksara Palawi yang dikenali sebagai huruf Kawi hidup dalam bahasa Jawa hingga kini; begitu juga prasasti Campa dalam bahasa Campa beraksara Palawi yang terakhir yang ada dalam pungutannya ialah yang bertarikh 1436, tetapi dalam bentuk manuskrip, manakala Melayu Campa (di Vietnam dan di Kemboja) masih ada yang tahu menulis dalam bahasa Sanskrit hingga abad ke-19M. namun semua ini bersifat susah mati sahaja kerana peranannya dan pengaruhnya sudah amat sedikit.

Zaman pengIslaman kebudayan Melayu ini, ternyata hebat berlaku antara bahasa Melayu dengan bahasa Arab pada tahap yang agak bitara seperti yang dapat disaksikan daripada karya-karya sarjana Malayuwiyah sejak abad ke-16M hingga abad ke-19M yang kami kumpul (Shaharir 2007b) daripada khazanah simpanan Wan Mohd Shaghir (WMS 1991-2000). Dalam tempoh tersebut ramailah munculnya sarjana-ulama dengan karya agungnya masing-masing yang kami dapati berjumlah 115 orang dan yang selalu disebut-sebut oleh (selama ini) oleh orang sastera dan agama ialah yang berikut (Tidak termasuk yang tidak diketahui namanya tetapi berkarya besar seperti penulis Hikayat Raja Pasai itu):


‘Abd al-Rauf al-Fansury/al-Sinkyly (Abdul Rauf Singkel) 1615-1693M dng karya besarnya Mir-aht al-Tdullab dan terkenal sebagai penterjemah al-Qur’aan yang pertama ke bahasa Melayu.
‘Abd al-Shamad al-Falimbany(Abdussamad Palimbang). Syahid 1785M dgn karya agungnya, Hdidayaht al-Salikin 1778M dan Siyar al-Salikin (ila ‘Ibdati Rabb al-‘Aalamin) 1780M-1788M

Ahmad al-Fatdany (Ahmad Petani) 1856-1908M dgn karya agungnya Faridaht al-Fara‘id 1893M

Bukhary al-Jawhary (Bukhari al-Jauhari) dgn karya agungnya Taj al-Salatin 1603 M

Dawud al-Fatdany (Daud Petani) 1769M hingga 1847M dgn karya agungnya Ward al-Zawahir li Hilli Alfazi ‘Iqdil Jawahir 1829M dan Hdidayaht al-Muta‘allim wa ‘Umdaht al-Mu‘allim 1828M
Hdamzah al-Fansury (Hamzah Fansuri) 1592M-1607M? dengan karya agungnya ’Asrar al-‘Ariffin fi Bayaan al-‘Ilm al-Suluk al-Tawhid

Isma’il al-Mankabawy (Ismail Minangkabau, mati 1864M) dengan karya agungnya al-Muqaddimaht al-Kubray

Muhammad bin ‘Ismail Dawud al-Fatdany (Syaykh, lahir1829M) dng karya agungnya Matla‘ al-Badryn 1885M

Muhammad Arsyad al-Banjary (Arsyad Banjar) 1710M-1812M dng karya agungnya, Sabil al-Muhtaddin li al-Tafaqquhi fi Amrid Din 1780M

Nur al-Din al-Ranyry/Nurruddin al-Raniri 1637-1644M dgn karya agungnya Bustan al-Salatin

Raja ‘Aly/Ali Haji, lahir 1809M dng karya agung Tuhfaht al-Nafis

Syams al-Din al-Sumatra-iy/al-Sumatrany (Syamsuddin Sumatera, mati 1630M) dgn karya agungnya Anwar al-Daqa’iq fi Kasyfi al-Haqa’iq/Asrar al-Raqaiq

Tun Sri Lanang dgn karya agungnya Sejarah Melayu/Sulalaht al-Salatin 1624


Sumbangan sarjana-ulama ini dalam SAKTI memanglah tidak kurang pentingnyaa terutamanya bidang kosmologi-kosmogeni, falsafah/tashawuf dan falak/astronomi tetapi selama ini tidak begitu digembar-gemburkan. Contohnya ialah yang berikut:


Nur al-Din al-Ranyry memang banyak sumbangannya dalam mantik dan teori atom (manuskripnya baru ditemui di PNM, MS781(2) yang ditranskripsi ke Rumi oleh Shaharir 2007c serta sedikit sebanyak dikaji oleh Alinor 2007c); falak dlm Shirat al-Mustaqiym 1640-an; kosmologi-kosmogeni (teori Nur Muhammad dalam karyanya Akhbar al-Akhiraht fi Ahwal al-Qiyamaht 1642;. martabat alam dalam Asrar al-Insan [fi Ma‘rifaht al-Ruh wa al-Rahman] 1640M atau judul Melayunya “Pada Menyatakan Ma‘rifah akan Roh dan Tuhan yang Bernama Rahman”, kosmologi amnya dalam Bad‘u Khalq al-Samawat wa al-Ardh, tabii alam dalam Hill/Hall al-Zhill (Menghuraikan Perkataan Zhil dan Kejadian) 1638-1644M; tentang Martabat Tujuh dalam Jawahir al-‘Ulum [fi Kasyf al-Ma‘lum] 1642M (Manikam Segala Ilmu Pada Menyatakan Maklum) dan Ma’ al-Hayat li Ahl al-Mamat 1638-1644, dan falsafah sains dalam Hujjaht al-Siddiq [li daf‘ al-Zindiq] 1638-1641 yang dikupas dengan tuntasnya oleh al-Attas (1975) itu.

‘Abd al-Rauf Singkel (kosmologi-kosmogeni khususnya teori Martabat Tujuh dan Nur Muhammad ada dalam Bayaan al-Itdlaq/al-Tajally, Kifayaht al-Muhtajyn [ilay Masyrab al-Mawahhidyn al-Qaa’ilyn bi Wigdaht al-Wujud],. Mun-yat al-I‘tiqad; tashawuf dlm Pindahan dari Otak ‘Ilm Tasawuf, dan falsafah ilmu dlm Risalaht Simpan.

Arsyad al-Banjary (falak/astronomi dalam karya agungnya itu).

Ahmad al-Fatdany (kosmologi, matematik, perubatan masing-masing dalam karyanya , Badr al-Tamam [wa al-Nujum al-Thawaqib] 1887M, ‘Ilm al-Hisab, Matan al-Syakhawiyyah fi ‘Ilm al-Hisab 1886M & Syarah Matn al-Syakhawi 1884M dan Luqtah al-‘Ajlan 1884M & Tdayyibul Ihsan [ fi Tibb al-Insan] 1895M).

Bukhary al-Jawhary dan al-Ranyry (kepemimpinan & kepengurusan, masing-masing dalam karya agungnya itu);

Dawud al-Fatdany (tashawuf/falsafah, kosmologi-kosmogeni/Nur Muhammad) dalam ‘Ilm Tasawuf 1817M dan al-Muswaddah, Manha al-Syafi‘ fi Bayan al-Ramzi Ahl al-Shufy.

Hdamzah al-Fansury (falsafah sains dan kosmologi) dalam karya agungnya itu.

Muhammad bin ‘Ismail Dawud al-Fatdany, Syaykh (kosmologi-kosmogeni) dlm al-Kawkab al-Durr fi al-Nur al-Muhammadi 1886M;

Syams al-Din al-Sumatra-iy/al-Sumatrany (kosmologi & falsafah) dlm Kasyf al-Sirri Rububyyaht fi Kamal al-‘Ubudiyyah dan Risalah pada Menyatakan Kelebihan Insan daripada Sekelian Sekalian Alam yang Lain


Ada beberapa orang sarjana-ulama lain yang memberi sumbangannya dalam SAKTI yang setengahnya lebih menyerlah lagi. Mereka itu ialah yang berikut:


Ibn Shaddad al-Himyary dengan karya agungnya dalam falak/astronomi, Tuhfat al-Zaman 1175H/1762 M

‘Abbas Kutukarang/Kuta Karang atau Teungku Cik Kutukarang atau Syaykh ‘Abbas Aceh dengan karya agung falaknya, Siraj al-Zhalam fi Ma‘rifaht al-Sa’di wa al-Nahasi fi al-Syhur wa al-Aiyam 1266H/1849M dan karya perubatannya, Kitab al-Rahman

‘Abd al-Majid al-Marhum Sri Maharaja Wangsa Hj Mohd Salleh Baqar Husyn dengan karya falsafah dan kosmologinya, Kitab tashawuf 1310H (sekitar 1890M).

‘Abd al-Muhyi Pemijahan (Syaykh) 1660M-1738M dengan karya kosmologi-kosmogeni beliau dalam sebuah manuskrip tentang Martabat Tujuh

Ahmad Khatib bin ‘Abd al-Latdif Minagkabau (Syaykh) dengan karya matematiknya, Raudaht al-Hussab, akhir abad ke-19M

Isma‘il bin ‘Abd al-Lah al-Khalidi Minangkabau/al-Minkabawi (Syaykh). Mati 1281H/1864M dengan tinggalan beberapa buah karyanya dalam bidang tashawuf

Kemas Fakhr a-Dyn al-Falimbany (Kiyai) dengan karyanya di bidang falak/astronomi, Tuhfat al-zaman fi Zharf Ahdl al-Yamaan 1175H/1761M

Muhammad ‘Aly Aceh, (Syaykh) dengan karyanya dalam kosmologi-kosmogeni, Mafatih al-Ghuyub Bi‘awn al-Malik al-Ma‘bwud atau dinamakan juga sebagai Ku‘wus Muhaqqiqin

Muhammad bin Isma‘il Dawud al-Fatdany (Syaykh) dengan karyanya di bidang kosmologi-kosmogeni, al-Kawkab al-Durr fi al-Nur al-Muhammadi 1308H/1888M

Muhammad bin Khatdib Langien (Syaykh) dengan beberapa buah karyanya di bidang tashawuf dalam akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20

Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari (Syaykh) dengan karya agungnya di bidang tashawuf, al-Durr al-Nafis 1200H/1785M

Muhammad Shalih al-Fatdany (Kiyai Haji/Syaykh). Mati 1309H/1891M) dengan tinggalan karya falak/astronominya, Hisab dan Falak yang Dapat Digunakan Selama-lamanya

Sirajuddyn bin Jalaluddyn (Syaykh) dgn karyanya Mir-aht al-Asrar li Ahl al-Taraqqi wa al-Akhyar yang berupa karya tashawuf, falsafah dan kosmologi-kosmogeni (Martabat Tujuh)

Syafiyuddyn al-‘Abbasi (Syaykh) abad ke-16 dengan karya perubatannya, Kitab Sia-Sia Berguna

Wan Musa al-Fatdany dengan syarah dlm BM terhadap karyanya ‘Ilm Mantiq 1002H/1593 (bahasa Arab)


Dalam kajian kami, KuPELEMA (2008), setakat ini kami dapati lebih rinci lagi unsur-unsur sains Melayu yang berikut:


IM1. Mantik

Mantik Melayu-Islam abad ke-16M lagi sudah begitu tinggi wujudnya yang dalam kategori mantik moden ini diistilahkan sebagai Pernyataan Konjungsi, Pernyataan Penafian dan Kontrapositif, Pengkuantiti Wujud dan Semesta, serta Pernyataan Berimplikasi. Struktur mantik ini nampaknya yang terawalnya dibicarakan oleh al-Ranyry (Manuskrip Ms781(2)) dan contohnya termanifestasi dalam Hikayat Raja Pasai, ringkasnya HRP abad ke-16M (Shaharir 2006b). Manuskrip mantik ‘Ilm Mantiq 1002H/1593 karya Wan Musa al-Fatdany (yang dimiliki oleh Wan Mohd Saghir) yang bertarikh lebih awal daripada karya al-Raniri ini yang dikatakan ada catatan tepi/jedar dalam bahasa Melayu terhadap manuskrip mantik dalam bahasa Arab masih belum dapat ditelaah.


IM2. Ketakterhinggaan

Konsep ketakterhinggaan Melayu-Islam abad ke-16M yang digambarkan dalam HRP dengan istilah “tiada terkira-kira”, “tiada terbilang”, “tiada berhingga”, “tidak terpemenai” yang secara kasarnya sama sahaja tetapi, jika dihalusi, penggunaaannya agak berbeza mengikut konteksnya. Ini dapat dipadankan dengan teori ketakterhingga Barat abad ke-20 yang membeza dua jenis ketakterhinggaan: ketakterhinggaan boleh bilang dan ketakterhinggaan tak boleh bilang; bahkan nampaknya lebih canggih daripada ini lagi.


IM3. Unsur Fizik

Unsur Fizik Melayu-Islam abad ke-17M lagi sudah ada dibicarakan perkara yang kini dinamai kategori dan unsur asas benda (yang nampaknya dibicarakan oleh al-Ranyry (Manuskrip Ms781(2)) dan dihuraikan juga dalam Bukhary al-Jawhary 1603, Manuskrip Ms505 dan Ms1514. Mereka ini mewarisi unsur fizik Tamadun Islam tentang andaian wujudnya empat unsur asasi benda yang dinamainya “anasir arba‘ ”, atau “anasir kejadiaan”, iaitu tanah/bumi, air, api dan haway/angin (telah meninggalkan warisan pra-Islamnya yang ada satu lagi “anasir”, iaitu akasa, dan dalam Tamadun Islam yang lebih terkehadapan, al-athir). Mereka (al-Raniri dan al-Jawhary) juga membicarakan suatu teori atom menerusi konsep ’aradh dan jawhar, jisim dan jahiz, iaitu sebuah teori yang diwarisinya daripada Tamadun Islam. Teori sebegini juga diambil dan diubahsuai oleh Barat dengan nama teori kesempenaan/sempenaisme atau accasionalism dan teori monad sebelum terbitnya teori atom Dalton abad ke-19M. Mengenangkan adanya keretakan dalam teori atom kini, maka teori atom Melayu-Islam ini berpotensi mencetus idea baru terhadap teori atom semasa.


IM4. Kosmologi-Kosmogeni

Kosmologi-Kosmogeni Melayu-Islam ialah yang terkandung di dalam teori Nur Muhammad dan Martabat Tujuh yang diperihalkan oleh sarjana besar Melayu-Islam sekurang-kurangnya sejak abad ke-16M (yang nama-namanya telah disebut sebelum ini) dan juga dalam beberapa manuskrip Melayu yang lebih baru (atas nama tashawuf) seperti dalam Manuskrip MSS1812 . Kosmologi-kosmogeni ini mampu dipersaingkan dengan teori kini yang masih bergelora itu.


IM5. Falak/Astronomi

Bidang falak atau astronomi Melayu-Islam nampaknya menjadi ilmu yang agak tinggi pencapaiannya nisbah zamannya terutama bidang falak yang berhubung dengan amalan keagamaan Islam, falak syar‘i. Bidang ini muncul terawalnya dalam karya al-Raniri, Bustan al-Salatin (Bab 1) dan Manuskrip Ms781(1), Fi Khlaq al-Samawat waa al-Ardh… sebelum pertengahan abad ke-17M itu. Mengikut al-Raniri, alam ini ada 9 “lapis langit” bukannya 7 yang biasa disebut di dalam astronomi Barat warisan astronomi Yunani itu (7 lapis langit yang sepadan dengan 7 buah “bintang” (planet dan Bulan) yang mengelilingi Bumi). Langit ke-8 itu bernama “Falak al-Tawabik yang perkitarannya sakaliannya drp Maghrib”; langit ke-9 bernama Falak al-Atlas dan Falak al-A’zam, iaitu arasy, yg tiada bintang padanya, dan “perkitarannya dari Masyrik ke Maghrib”. Di Barat teori sebegini (Warisan Yunani menerusi Islam) juga dihayati sehingga abad ke-16M iaitu sebelum munculnya teori Kopernigk/Copernicus. Teori Kopernigk atau yang lebih awal oleh sarjana Tamadun Islam sendiri Teori al-Syatir nampaknya tidak sampai di Alam Melayu ini. Walaupun teori pergerakan planet ini nampak tertinggal, tetapi sarjana-ulama Melayu nampaknya membuat sumbangan yang agak bermakna dalam falak syar‘i seperti yang dijelaskan di bawah ini.

Sejak 2005 hingga 2007, seorang anggota KuPELEMA (Baharuddin Zainal) telah mentelaah sekitar 30-an buah manuskrip Falak (yang diperoleh di perpustakaan dalam negara dan pungutan individu) yang ditulis antara abad ke-17 hingga abad ke-19. Kesimpulannya seperti berikut (Lihat KuPELEMA 2008 dan Baharudin 2009):


(a) Bidang utama ilmu falak Melayu-Islam mengandungi aspek pengukuran waktu, taqwim, arah kiblat, jadual falak, penggunaan sukuan sinus atau rubuc mujayyab dan ilmu Bintang Dua Belas. Antara sumbangan aslinya ialah sistem daur dan jadual falak syar‘i keperluan umat di Alam Melayu seperti waktu-waktu solat, arah kiblat, fenomena gerhana dan melihat Anak Bulan. Kitab Sabil al-Muhtadin oleh Muhammad Arsyad al-Banjary dianggap yang bermutu tinggi dalam bidang ini. Manuskrip Jawi ilmu falak tertua yang dijumpai setakat ini ialah karya berjudul Tuhfat az-Zaman oleh Ibn Shaddad al-Himyary 1175H/1762 M yang membicarakan perkara yang berkaitan musim, taqwim yang berasaskan ramalan dan kaedah penyusunan taqwim syamsiah dan qamariah.

(b) Antara sumber Ilmu falak Melayu-Islam daripada ilmu falak Tamadun Islam ialah karya abad ke-15M, Risalah al-Maridyny fy Acamaly Rubuc Mujayyab (karya Muhamad bin Ahmad Badrudyn al-Maridyny yang juga mendapat nama Sibt al-Maridyny, al-Mishry dan al-Dimsyiqy) yang pernah disalin semula oleh Syaykh Ahmad al-Fatdany abad ke-18M dan Syeikh Ahmad al-Khatib abad ke-19M, dan Zij Ulugh Beg abad ke-14M yang disalin semula oleh Syaiykh Muhammad Mansur Damiry al-Batawy (berkatalog MS 812 di PNM) yang diubahsuai bagi keperluan setempat.


(c) Imu falak Melayu-Islam ada ciri-ciri etnosains Melayu tersendiri yang asal yang dapat dikesan dalam bentuk sains rakyat rumpun Melayu sehingga terciptalah beberapa proses sintesis kaedah falak oleh ilmuwan Alam Melayu yang berikut:

(i) Kaedah sains rakyat dalam konteks kegunaannya dalam ibadat disesuaikan dengan kepercayaan asal dan keadaan geografi Alam Melayu seperti dalam naskhah Shiratd al-Mustaqim oleh al-Ranyry 1644 dan Sabil al-Muhdtadin oleh Arsyad al-Banjary 1780
(ii) Taqwim Hijri dengan sistem daur lapan huruf merupakan kaedah taqwim yang diubah suai supaya sepadan dengan sistem taqwim Jawa-Hindu kepada Jawa-Islam. Sistem daur disorot dengan agak komprehensifnya oleh Baharuddin (2007)

(iii) Ahli falak Jawa pada kurun ke-17 M telah melakukan pengubahsuaian jumlah hari purata pergerakan qamariah tahunan untuk direkonsiliasikan dengan sistem taqwim Jawa-Hindu.

(iv) Beberapa rumus trigonometri melalui penyelesaian dengan peralatan sukuan sinus atau rubu‘ mujayyib menggunakan rumus yang diubahsuai dengan lokasi latitud rendah Alam Melayu dilakukan. Kejituannya didapati memadai untuk kegunaan praktik dalam penentuan arah yang dituntut oleh Islam.


IM6. Ontologi/Kewujudan, Kebarangkalian dan Kemungkinan

Bidang teori Ontologi/Kewujudan, Kebarangkalian dan Kemungkinan Melayu-Islam nampaknya telah wujud pada awal abad ke-16M yang diterokai oleh al-Ranyry (Manuskrip Ms781(2)). Dalam Manuskrip Ms1514 yang lebih baru, terdapat konsep wujud yang lebih komprehensif lagi yang perlu ditelaah dan dipersaingkan dengan teori kewujudan dalam sains moden. Konsep wujud itu ialah wujud khatdab, a‘yan khaarijaht dan tajally. Dalam Manuskrip MS1659 (sebuah antologi risalah) ada risalah yang berjudul Mutiara yg Putih (judul Arabnya tak boleh dibaca) oleh Syeikh ‘Abdul Ra’uf Ibn Syeikh [? tak boleh baca; mungkinkah Abdul Rauf Ibn Ali al-Fansury atau Abdul Rauf Singkel abad ke-17M itu] kerana katanya atas titah perintah “Negeri Inderagiri dengan segala daerah takluknya” [kerajaan Inderagiri 1658-1838, di Riau] mengandungi penjelasan takrif sifat nafsiyaht dan salbyaht Allah SNWT yang membawa kepada bicara konsep wujud, wajib, mustahil, ja’yz dan mumkin yang dalam, canggih dan sukar. Risalah ini nampaknya berpotensi melahirkan teori kewujudan dan kemungkinan atau kebarangkalian yang dapat dipersaingkan dengan teori Barat sekarang.


IM7. Hierarki Kemahuan Dalaman Manusia

Dalam manuskrip MS1659 (yang tersebut di atas) ada risalah tentang nafs yang juga agak menarik kerana pengarangnya membicarakan kategori nafs yang lebih halus daripada yang yang biasa disebut orang, iaitu nafs ammaraht, lawwamaht, mutdma’innaht kerana ada satu lagi yang dinamainya nafs sawyyaht, dan setiap satunya dijelaskan fi‘il-nya. Sementara itu, dalam manuskrip Ms147 berjudul Jami‘ al-Jami‘ al-Muntaqaraby‘aht, ada sebuah risalah berjudul Minha al-Showfy fi Bayan min Ahl al-Showfy sebanyak hanya 4 halaman sahaja dan bertarikh salinan 1292H (sekitar 1914M) daripada karya asalnya dalam abad ke-19M juga mengandungi perihal nafs ini yang lebih terperinci lagi, iaitu adanya 6 tingkat hati dan nafs: qalb yang nur-nya kelabu dan sepadan dgn nafs amarah, hati yang nur-nya merah yg sepadan dgn nafs lawwamah, fu’ad yg nur-nya kuning lagi kelabu sepadan dgn nafs mul-hdamah, hasib al-qalb dgn nur putih dan sepadan dgn nafs mutdmainnah, (tak dapat dibaca) al-qalb dgn nur hitam sepadan dgn nafs raa-dhyah, dan bijih qalb dgn nur Muhammadyah yg sepadan dgn nafs mar-dhyah. Di dalam manuskrip yang sama ada risalah kedua tanpa judul yang memerihalkan maqam nafs dan nama-nama nafs yang sepadannya yang jumlahnya satu lebih daripada dalam risalah pertama itu, iaitu dgn tambahan nafs kamal di samping nama-nama maqam yang sepadannya: maqam zulumat untuk nafs amarah bissu’, maqam nuura untuk nafs lawwamah, maqam israr untuk nafs marhdumah, maqam kamal untuk nafs tdam’h, maqam wushl untuk nafs raa-dhyaht, maqam tajallyaht al-af‘al untuk nafs mar-dhyah, dan maqam tajallyaht al-shuffan untuk nafs kamal. Namun pada hujung risalah ini nama-nama ini berbeza lagi: maqam alamat yang aghya wujuudan? yang sepadan dgn raa‘n nafs amarah, raa‘n nafs lawwamah (yg tiada dicatatkan nama maqam-nya), maqam isra dengan nafs mar-hdumah, maqam kamal dgn nafs raa‘n mutdmainnaht, maqam washl dgn nafs raa‘n dhyfaht, maqam tajallyaht al-af‘al dgn nafs raa‘n mar-dhyaht, maqam asma’ dengan nafs raa‘n kamalaht.Semua teori ini berpotensi untuk dipersuakan dengan teori kini seperti yang terkenalnya, teori Maslow itu.


IM8. Hati (berhubung dengan intuisi dsn heuristik)

Dalam manuskrip Ms147 dan Ms1514 yang tersebut di atas ada memerihalkan konsep hati yang amat penting dalam epistemologi Melayu-Islam. Dalam epistemologi Barat perkara yang menghampiri konsep hati ini ialah intuisi dan heuristik. Mereka berdua ini membahagikan hati kepada beberapa bahagiannya: ashdar, qalb, fu’ad, labt? atau lub, sfaf atau syafaf dan sir atau sirri. Ilmu Melayu-Islam yang terfosil ini tentunya dapat dipersaingkan dengan teori intuisi dan heuristik Barat kini yang menjanjikan pertikaian yang akan membuahkan sintesis yang bermanfaat.


IM9. Unit-unit sukatan Melayu-Islam

Unit-unit sukatan kejasmanian umat Melayu-Islam banyak dipengaruhi oleh unit-unit daripada Tamadun Islam seperti unit astronomi yang dinamai tahun perjalanan dan farsakh yang ukurannya 1 farsakh=3 mil Hasyimi, (ada dinyatakan farsakh Habsyah, farsakh Rom, farsakh Farsi/Parsi, farsakh Arab, farsakh Turki dan farsakh Tiongkok/China yang setiap satunya berbeza), selain daripada sukatan jarak biasa mil. (daripada Arab) dan unit Melayu asli: langkah, tapak, hasta dan jari (1 mil = 400 langkah, 1 langkah= 3 tapak, 1 tapak=15 jari, 2 tapak= 1hasta). Unit mil (dari Arab) itu diambil oleh Inggeris (melalui Latin; walaupun ada yang berpendapat drp Roma Purba yang bermakna seribu langkah) menjadi mile yang diterjemahkan kepada bahasa Melayu Malaysia zaman penjajahnya (Inggeris abad ke-19M) sebagai “batu” tanpa kesedaran umat Melayu telah menerima mil sejak berkurun-kurun sebelum itu lagi daripada bahasa Arab. Unit-unit lain cukup banyak dan asli dipaparkan dalam HRP (Shaharir 2006b):

Unit-unit sukatan pada zaman kesultanan Pasai/Aceh abad ke-14 lagi itu agak komprehensif sehingga kepada unit banyaknya lombong emas (makdan, atau transkripsi yang lebih tepatnya sepatutnya mikdarun/makdurun/ mukaddirun), dan banyaknya dakwat (koci) dan kalam/alat tulis (berkas). Unit sukatan lainnya ialah peti (unit kertas atau pakaian), galang (unit kuantiti rotan), sebu (sukatan penuhnya), dan rantau (sukatan panjang/jarak selain drp jengkal, depa, hasta, pendakap dan jambar), kunca (unit luas dan isipadu), nalih dan kampit (unit isi padu). Orang Melayu abad ke-14 (Zaman kesultanan Pasai) juga telah ada istilah-istilah tentang arah atau mata angin atau kompas sekarang iaitu “timur” (atau “bawah angin”, “wetan”), “barat” (atau “atas angin”, “kulon”), utara, selatan, ilir, mudik atau hulu. Unit masa yang sudah ada pada abad ke-14 lagi itu ialah saat, jam , malam , hari , bulan, musim angin, ketika, ketika selatan, netiasa (=sentiasa), penah (=pernah), datang sekarang (=hingga sekarang), sekali persetua, dan daur kecil. Selain daripada itu HRP juga menunjukkan orang Melayu dalam abad ke-14 sudah mahir dengan astrologi-astronomi yang ditandai oleh kewujudan “ahlul nujum” diraja, malah nama bintang kutika atau ketika disebut dalam HRP.


Selain daripada itu ada tiga unit astronomi/falak yang disebut dalam manuskrip MS505, yang transkripsi Ruminya kyn (kian?, daripada Jawi kap ya nun) yang berupa unit saiz yang belum dapat dipastikan maknanya, peti (unit banyak benda tidak semestinya pakaian dan kertas sahaja yang dipakai dalam HRP), dan kdk (drp kap dal kap yang tak pasti bacaannya, kuduk?, tetapi dinyatakan yang 1 kdk =70 ribu peti).


Orang rumpun Melayu juga mmpunyai unit bilangan yang bitara dan banyak yang mendahulu Eropah, khususnya unit bilangan Inggeris (Ini selain daripada keaslian bilangan Melayu: kosong, satu, dua,… sepuluh berbanding dengan Inggeris zero,one, two,.. ten). Umpamanya orang Melayu abad ke-7M sudah ada unit laksa (bersamaan sepuluh ribu) yang dalam bahasa Perancisnya myriade (diambil Inggeris kemudiannya menjadi myriad dalam abad ke-16M), dan sekurang-kurangnya abad ke-15M sudah ada unit keti (bersamaan seratus ribu) yang tiada dalam bahasa Inggeris. Bahasa Melayu juga memiliki unit bilangan gandaan imbuhan bukan sahaja yang terkenal eka- , dwi- dan tri- mendahului Inggeris tetapi seterusnya catur-/katur-, panca-/sanki-, sisi-/sita-, witi-/wita-, nuka-/nuki-, wisyi/wisya-, dwidasa- (patanga-) yang setiap satunya memang mendahului bahasa Inggeris quarter-/quadra-/tetra-, penta-/quinti-, sexta-, octa-, septa-, nano-/nani-/noni- deci-/deca- dan duodeci- (Lihat perbincangan terperincinya dalam Shaharir 2004).


Sementara itu kajian unit menerusi peribahasa Melayu (Shaharir 2009) yang dipercayai muncul dalam tamadun Melayu-Islam itu lebih banyak lagi unit-unit sukatan yang selama ini belum pernah ditonjolkan. Contohnya, kutuk [= 4 genggam beras], cercah [= sinar yg dapat ditangkap mata], kerek [saiz piawai kepingan gula Melaka atau 10 kerat gula enau, kabung dsbnya], ketiding [=bakul besar empat segi drp rotan/buluh untuk menyimpan padi/beras], piak [=sukatan banyaknya emas], pukal [=gumpal, bongkah benda terutamanya yang berharga seperti emas dsbnya], sayak [sesayak=separuh tempurung], tungkai [=bahagian badan drp pangkal paha hingga tapak kaki], pura [= pundi-pundi yg diperbuat drp kain untuk tempat wang, emas dan barang-brang berharga], dan tungku sejerangan [= empat orang pakar]. Unit-unit dalam sebutan penjodoh bilangan begitiu banyak sekali (terutamanya yang gharib-gharib) yang banyak pula tiada padanannya dalam bahasa Iggeris seperti bongkol (sebongkol bawang), gagang (segagang sirih), kaki (sekaki bunga), pantun (sepantun kasau), rangkap (serangkap tombak) dan tapik (pecak setapik).



Pencapaian bahasa dan bangsa Melayu Malaysia dalam SAKTI sejak 1974


Bahasa dan bangsa (rumpun) Melayu yang menggunakan bahasa Melayu moden kini sudah dikenali dengan sekurang-kurangnya atas nama 4 buah negara-bangsa, iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Oleh sebab ketiadaan data yang mencukupi maka pencapaian bahasa dan bangsa rumpun Melayu yang mendiami di negara-bangsa yang dikenali sebagai Malaysia sahaja yang dirujuk sebagai Melayu Malaysia sahaja yang dibicarakan di sini. Pemilihan tahun 1974 ialah tahun penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (universiti berbahasa pengantar bahasa Melayu) dan tahun 2002 dipilih sebagai tahun terakhir pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sains dan matematik di Malaysia. Sebahagian besar tulisan ini dipetik daripada makalah penulis ini yang terdahulu (Shaharir 1996, 2006d).


Sarjana Muda SAKTI berbahasa Melayu

Sejak kemeriahan bahasa Melayu mencapai kemuncak pertamanya dalam abad ke-20, iaitu tahun 1987 itu (tahun lenyapnya sekolah aliran Inggeris di semua peringkat), dianggarkan (sehingga 2003, tahun bermulanya kemeriahan berbahasa Inggeris) sekurang-kurangnya secara puratanya 4 ribu prasiwazah SAKTI aliran Melayu dihasilkan oleh universiti-universiti awam kita setiap tahun (jadi sehingga 2002, sudah seramai 60 ribu siswazah SAKTI aliran Melayu). Kini berganda-ganda sebab bilangan universiti awam pun sudah berganda-ganda (tetapi bahasa pengantranya tiba-tiba telah diubah sejak 2004 kpd bahasa Inggeris ekoran PPSMI) Jika dilihat dalam bidang teknologi maklumat (TM) pula, suatu bidang yang sering difitnahkan sebagai tidak layak diajar apatah lagi dimajukan atau dibangunkan dalam bahasa Melayu kerana kepantasan perkembangan ilmu itu dalam bahasa asing (Inggeris) dan kononnya pelajar aliran Melayu tidak mampu mengikutinya, maka data di UKM sahaja pun menyangkal keras prasangka buruk dan jahat ini. Pertamanya, bidang TM telah diajar dalam bahasa Melayu di UKM sejak tahun 1975 lagi di bawah program sains komputer, dan ijazah dalam bidang ini pertama kali dikeluarkan oleh UKM mulai 1979, walaupun Fakulti Teknologi Maklumat hanya ditubuhkan pada tahun 1994 sahaja. Akan tetapi fakulti TM, sains maklumat, sains komputer atau gabungannya di IPTA lain telah beberapa tahun ditubuhkan lebih awal daripada itu lagi yang semua programnya dijalankan di dalam bahasa Melayu juga. Umpamanya Fakulti Sains Komputer dan Sains Maklumat (FSKSM), di UTM ditubuhkan pada 1984 lagi. Namun sebelum tertubuhnya fakulti ini pun, sejak 1985 lagi UTM sudah pun melahirkan puluhan prasiswazah TM dalam aliran Melayu setiap tahun (Sila rujuk sesawang UTM). Sejak 1994 kira-kira 200 orang prasiswazah TM setahun dapat dikeluarkan oleh UKM dan sekitar itu jugalah di lima buah universiti awam yang lain itu (semuanya dalam bahasa Melayu juga terutamanya selepas 1982). Contohnya, dalam konvokesyen UKM 2001 seramai tidak kurang drp 2500 orang pelajar SAKTI dianugerahi ijazah pertamanya masing-masing termasuklah bidang TM seramai tidak kurang drp 400 orang (Buku cenderamata konvokesyen UKM 2001).


Tesis Sarjana dan Doktor Falsafah SAKTI berbahasa Melayu

Siswazah Sarjana aliran Melayu (tesisnya dalam bahasa Melayu) dalam bidang sains dihasilkan pertama kalinya pada tahun 1980 (geologi) dan Doktor Falsafahnya tahun 1985 (sains hayat) yang kedua-duanya di UKM. Sarjana dalam TM (teknologi, bidang yang paling kerap dikatakan tidak sesuai/mampu dalam bahasa Melayu) dihasilkan mulai 1985 di UKM atas nama sains komputer; manakala peringkat D.Fal. dihasilkan mulai 1998. Sejak 1980 hingga 2002, UKM sahaja telah menghasilkan kira-kira 2 ribu buah tesis Sarjana dan Doktor Falsafah (D. Fal), dan dalam bidang TM sahaja sejak 1995 hingga 2002, UKM telah menghasilkan hampir 300 buah tesis. Jika universiti awam lain dianggap juga menghasilkan siswazah Sarjana dan D.Fal. dengan tesisnya dalam bahasa Melayu sekurang-kurangnya sejak 1990 (7 tahun selepas semua program ijazah pertamanya dalam bahasa Melayu) maka ribuan tesis lagi terhasil dari universiti-universiti awam lain itu.


Istilah dan Konsep SAKTI yang Asli Melayu

Istilah SAKTI yang asli Melayu memang wujud sejak abad ke-5M dahulu lagi ketika bahasa Melayu (bahasa Kunlun/Kolandia) mencipta SAKTI mendahulu tamadun-Tamadun lain pada masa itu. Umpamanya istilah kosong, satu, dua, hingga sepeuluh itu semuanya istilah asli Melayu kecuali mungkin “satu” dan “dua” sahaja. Bertentangan dengan keadaan ini, istilah Inggeris yang sepadannya: zero, one, two, hingga ten semuanya bukan asli Inggeris (transkripsi atau terjemahan daripada bahasa Arab, Yunani, Latin, Sanskrit, Perancis dan Jerman). SAKTI Melayu terfosil sejak abad ke-19, apabila penjajah mencengkamnya dan huruf Jawi perlahan-lahan terfosil sejak 1900. Namun, sejak 1958 digemburkan kembali dalam huruf barunya, Rumi, dan dengannya SAKTI seolah-olah dibina semula bermula dengan sumber Inggeris sahaja (terjemahan daripada Inggeris) kerana rumpun Melayu telah mengalami amnesia yang hebat. Perkembangan yang pesat berlaku sehingga SAKTI Melayu muncul kembali dipersada dunia. Kini sudah ada ratusan perkataan Melayu telah dijadikan istilah antarabangsa dalam dalam bidang sains hayat (tatanama pokok dan haiwan yang baru dijumpai di Alam Melayu). Umpamanya Mohamad Salleh (2002) mengambil perkataan daripada warna (seperti biru, hijau, hitam, bopeng, tompok dan lain-lain), perkataan sifat biasa (seperti ajaib, indah, kenit, lawa, molek dan lain-lain) dan nama-nama orang Melayu dan tempat di Malaysia ini dijadikan sebahagian daripada nama serangga yang dijumpainya mengikut sistem tatanama antarabangsa. Beberapa buah istilah bermatematik (bukan tatanama) berasaskan perkataan Melayu seperti resapion, optiwus, optimah, pemeribumian dan lain-lain lagi diperkenalkan dipersada dunia dengan harapan akan menjadi seperti istilah sosiologi ciptaan Sayed Hussin al-Attas, bebal, bebalist (bebalis) dan bebalism (bebalisme) dalam tahun 1970-an dahulu itu. Buku dan makalah sains dan matematik (termasuk sejarah dan falsafah sains dan matematik) dalam bahasa Melayu telah juga mula dibaca oleh sarjana di luar Malaysia. Malah beberapa buah jurnal dwibahasa (Melayu dan Inggeris) keluaran UKM dan persatuan Sains Matematik Malaysia, Persatuan Fizik Malaysia dan Akademi Sains Malaysia mula mendapat perhatian seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan lonjakan pengiktirafan terhadap jurnal dwibahasa ini telah bermula dengan penyenaraian jurnal Sains Malaysiana (sebuah jurnal sains dan matematik keluaran UKM sejak 1970-an) oleh pendokumentasi jurnal terbesar dan berprestij di dunia, Scopus, mulai 2009 telah berjaya meletakkan bahasa Melayu setaraf dengan beberapa buah jurnal dwibahasa (tribahasa dan caturbahasa) di dunia keluaran negara-negara yang bertradisi lebih lama dan agak lebih maju (tetapi belum mencapai taraf Negara Maju) daripada Alam Melayu ini termasuklah Tiongkok dan Ceska/Czech. Oleh itu hujah sesetengah pihak yang mengatakan bahasa Melayu tidak layak menjadi bahasa sains antarabangsa, tidak seperti bahasa Mandarin, adalah sikap dan pandangan melulu semata-mata yang tidak tahu betapanya bahasa Melayu dahulu (antara abad ke-5 hingga ke-12) pernah mengatasi bahasa Tiongkok, kemudian merosot ke bawah, dan kini nampaknya semakin setaraf dengan Mandarin pula. Pengembangan ini tentunya akan segera menguncup dengan dasar PPSMI; dan oleh itu memanglah amat tepat dikatakan mereka yang memperkenalkan PPSMI ini ialah penguncup, pemundur dan pengkhianat bahasa dan bangsa Melayu.


Pengiktirafan dunia terhadap produk sarjana aliran Melayu

Malaysia juga mempunyai puluhan orang sarjana dalam setiap bidang sains asas (sains fizik, sains kimia, sains hayat dan sains matematik) yang mencipta teori di persada dunia (seperti dalam sains matematik: konjektur Razak, splin Said, kaedah Abdullah, batas Darus, rumus mudarabah Maheran); dan sejak alaf ini, tidak kurang daripada puluhan orang setahun sarjana Malaysia yang memenangi pingat emas dalam pertandingan reka cipta sains di luar negara terutamanya di Eropah; puluhan sarjana Malaysia yang beroleh taraf Felo atau Zamali dari persatuan ilmuwan di negara-negara maju. Sebahagain besar mereka berpendidikan “sains dan matematik” dalam bahasa Melayu, sekurang-kurangnya hingga ke peringkat SPM, malah ke ijazah pertama dan kedua. Contohnya, pada tahun 2002, empat orang sarjana sains fizis dan seorang ahli sains kejuruteraan dari UKM (Muhamad Mat Salleh, Muhammad Yahya, Sahrim Ahmad, Sarani Zakaria dan Mohd Sabri Takrif) memenangi Pingat Emas dan Perak di International Exhibition of Invention di Geneva, tiga orang sarjana perubatan (Hapizah Mohd Nawawi, Khalid Abdul Kadir dan Khalid Yusof) memenangi Anugerah Ahli Sains Cemerlang di International Clinical Chemistry and Laboratory Medical Congress Kyoto, dan seorang sarjana biokimia (Azimahtol Hawariah Lope Pihie) memenangi Pingat Emas di Seoul International Invention Fair. Kecuali 4 orang daripada mereka ini (2 orang ahli sains fizis dan dua orang pakar perubatan), semuanya yang lain itu adalah sarjana yang berupa lulusan sains dalam aliran Melayu sehingga ijazah pertama; dan dua daripada empat orang sarjana yang mendapat ijazah pertama dalam aliran Inggeris (di seberang laut) sebenarnya perpendidikan sains dan matematik sekolah dalam aliran Melayu. Pendeknya sebahagian besar sarjana Malaysia di UKM yang “bertaraf dunia” itu berpendidikan aliran Melayu. Sarjana-sarjana dari universiti lain (di Malaysia) juga ada yang berprestasi seperti ini, yang latar belakangnya sekurang-kurang belajar “sains dan matematik” dalam bahasa Melayu sehingga peringkat SPM.


Cabaran budaya berbahasa Inggeris

Cabaran terhadap siwazah aliran Melayu memang berlaku sejak awal UKM mengeluarkan siswazah sulungnya dalam tahun 1974 dan tidak pernah padam, malah pantas semaraknya apabila sejagatisme/globalisme muncul dalam tahun 1990-an dan menggunung lagi apabila PPSMI dilancarkan. Laporan jejak prasiswazah UKM yang dilakukan oleh Sham Sani et al. (1983) dan Faridah et al. (1987), memang antara lainnya untuk mengetahui keadaan sebenarnya cabaran ini. Kedua-duanya mendapati tiadanya asas merendahkan siswazah dalam bahasa Melayu (lulusan UKM itu), malah ada kemahiran lulusan UKM yang mengatasi lulusan dari universiti-universiti lain (dari luar atau dalam negara seperti aspek penyelidikan). Namun kedua-dua laporan itu menimbulkan budaya komunikasi dalam bahasa Inggeris di swasta yang tidak cocok dengan lulusan UKM. Ekoran daripada kajian itulah UKM memperbaiki pengajaran kaedah pengajaran bahasa Inggerisnya dan sekaligus juga mengimpikan agar masyarakat, khususnya swasta, mengubah budaya berbahasa, dengan harapan kerajaan memperkenalkan beberapa insentif ke arah perubahan ini sehingga negara ini menjadi seperti budaya berbahasa di Negara-Negara Maju seluruh dunia. Jelas ini tidak berlaku, malah kerajaan nampaknya berpusing 180 darjah ke arah penghayatan bahasa Inggeris sepenuhnya sejak 2003 itu atas nama “kemajuan” dan “sejagatisme”/ “globalisme” yang tunduk kepada politik hegemoni Anglo-Saxon sahaja, sedangkan sejagatisme alternatifnya yang menggalakkan perkongsian kebudayaan itu telah diabaikan begitu sahaja.

Sejak bermulanya era pensejagatan/globalisasi tahun 1990 lagi citawan kebudayaan Inggeris menyemarakkan lagi kelemahan pelajar universiti tempatan dan pensyarahnya sekali daripada pencapaian sebagai cendekiawan dan kedudukannya di arena antarabangsa (seperti kononnya tiada kedengaran ahli sains negara yang memenangi hadiah atau anugerah besar-besar di luar negara umpamanya). Kritikan akademia ini melarat kepada pencapaian prasiswazah aliran Melayu itu dalam bahasa Inggeris dan bidang ilmu masing-masing sehinggalah kepada tuduhan kononnya akademiawan selepas peMelayuan sistem pendidikan negara kurang bermutu berbanding dengan yang di UM pada zaman berbahasa Inggeris dahulu. Semua ini digembar-gemburkan dengan hebatnya dalam media massa dalam tahun 1990-an dan lebih-lebih lagilah setelah dasar PPSMI diperkenalkan!

Tindakan balas daripada keadaan inilah, maka penulis makalah ini telah membuat sedikit penyiasatan tentang kekuatan akademia di UM pada zaman sebelum berbahasa Melayu (iaitu 1966-1971) dengan akademiawan di UKM (1980-1985) yang melambangkan akademia berbahasa Melayu serta mendidik/terdidik dalam bahasa Melayu dan yang dianggap ‘asal boleh’ sahaja itu. Kajian itu berasaskan pada karya-karya akademik mereka, iaitu di mana karya itu diterbitkan (antarabangsa, atau tempatan). Hasilnya (lihat Shaharir 1996) menunjukkan daya pengeluaran dan mutu karya ahli akademik di kedua-dua universiti itu (dalam tempoh kajian itu) tidaklah berbeza dengan berertinya kecuali daya pengeluaran dalam bidang perubatan dan sains kejasmanian/fizis kerana masing-masingnya berdaya pengeluaran purata 3 makalah per sarjana setahun di UM tetapi 2 makalah per sarjana setahun di UKM. Dalam bidang sains hayat, daya pengeluaran di UM lebih rendah pula, iaitu purata 3 makalah per sarjana setahun, sedangkan di UKM ialah 4 makalah per sarjana setahun. Jika dilihat dari segi sumbangan sarjana dalam penyebaran ilmu dan peneguhan tradisi ilmu menerusi penulisan buku, jelaslah sarjana UKM mengatasi sarjana UM, kerana sarjana UM (dalam tempoh kajian itu) nampaknya tidak menulis buku langsung. Mengenai mutu penerbitan pula sebenarnya tidaklah mudah diperkatakan selagi kajian yang lebih mendalam drp pakar-pakar dalam bidang masing, tetapi dalam bidang matematik umpamanya, jurnal luar negara yang menjadi medan penerbitan sarjana matematik di UM pada tempoh kajian itu boleh dianggap lebih rendah mutunya dengan jurnal-jurnal dalam dan luar negara yang berbagai-bagai yang diterbitkan oleh sarjana UKM. Pendeknya, dakwaan para pengkritik bahawa sarjana kita pada zaman pendidikan aliran Melayu kurang bermutu daripada yang pada zaman aliran Inggeris dahulu adalah curahan sentimen melulu semata-mata. Mungkin sekali juga tuduhan itu di pengaruhi oleh perkauman kerana sebelum 1980-an sarjana SAKTI di UM majoritinya bukan Melayu, manakala di UKM hampir semuanya Melayu, dan sejak 1980-an majoritinya Melayu di mana-mana universiti awam di Malaysia. Mungkin kritikan ini akan mati apabila komposisi para ahli akademik di universiti awam dan swasta semakin keMalaysiaan dan semakin seimbang kaumnya; atau apabila budaya berbahasa Melayu di universiti sekarang diambil alih sepenuhnya oleh budaya berbahasa Inggeris, baik atau buruknya sekalipun.

Kedaifan penghayatan bahasa Melayu di kalangan sarjana juga sedikit sebanyaknya memberi gambaran kerendahan taraf bahasa Melayu di dalam dunia akademik (dunia pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan). Dalam tahun 1970-1988, ahli “sains dan matematik” UKM (didominasikan Melayu) berkarya dalam dwibahasa dengan peratusannya kira-kira 40% dalam bahasa Melayu (Shaharir 1991). Peratusan ini dalam tahun 1990-an pun tidak banyak berubah kerana mengikut kajian Shaharir (1996). Keadaan ini mungkin sekali semakin teruk. Jelas, kecuali bidang sains fizik dan matematik, penghayatan bahasa Melayu dalam forum akademia (penulisan jurnal dan persidangan tempatan) masih jauh drp memuaskan terutamanya dalam kejuruteraan dan perubatan. Jelas para jurutera Melayu dan ahli sains hayat Melayu sekalipun sengaja tidak mahu berkomunikasi dalam bahasanya sendiri. Komuniti perubatan tentunya lebih hebat lagi keInggerisannya keranan pendidikan bidang ini pada peringkat penyudahnya selama 2 tahun di UKM (sebelum 2003) sekalipun memang dalam bahasa Inggeris. Sebab-sebab golongan ini bersikap demikian perlulah diselidiki agar keadaan ini tidak berterusan selama-lamanya, walaupun “pembetulan” tabiatnya itu semakin sukar kerana dasar-dasar bahasa yang dianjurkan oleh kerajaan kini.



Muflisnya Ilmu SAKTI dalam Bahasa Melayu?


Jelaslah tulisan ilmu dalam sesuatu bahasa itu menjadi ukuran kayanya ilmu dalam bahasa tersebut. Tidak cukupnya tulisan ilmu dalam sesuatu bahasa dianggap tidak cukupnya ilmu dalam bahasa tersebut. Dalam keadaan kedua ini ada orang mengatakan bahasa itu muflis ilmu atau ilmu itu muflis dalam bahasa berkenaan. Pada keseluruhan tahap keperluan ilmu, bahasa Melayu memang boleh dianggap satu daripada bahasa yang berada dalam kategori muflis ilmu. (Kali pertama kami dengar istilah ini daripada ahli linguistik UKM tahun 1980-an, Azhar Simin yg rujukannya masih kami belum temui). Keadaan inilah yang sentiasa digunakan untuk merendahkan kemampuan penyebaran ilmu menerusi bahasa Melayu. “Apa ada dalam bahasa Melayu?” memang mudah dilemparkan kepada pihak yang mahu memelihara bahasa Melayu dan mengembangkannya lagi. Ini ialah kerana dua kelompok manusia ini amat berbeza pandangan hidup dan wawasan bangsanya: satunya amat utililitarianis dan satu lain berfikiran jauh, romantis sejarah dan berfalsafah perenis/perenial (peduli agama dalam semua perkara). Golongan pertama tidak mahu mempedulikan sejarah, nilai dan ideologi selain daripada nilai dan ideologi yang membawa kepada kekayaan segera, dan tidak percaya kepada keperluan membina tamadun bangsanya dalam acuannya sendiri, tetapi hanya mahu mengikuti rentak bangsa yang sudah maju dengan slogan “ilmu itu kuasa” dan “ilmu itu kekayaan” dengan menumpang kenderaan negara itu; tetapi golongan kedua itu amat mementingkan sejarah tamadun dan peradaban, serta nilai keperenisan yang dibawa oleh ilmu. Kembali kepada isu muflis ilmu ini, benarkah bahasa Melayu muflis ilmu? Setelah 50 tahun bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa perantaraan ilmu di peringkat sekolah, seseorang tidaklah mudah mengatakan bahasa Melayu muflis ilmu peringkat sekolah. Perbukuan ilmu dalam bahasa Melayu peringkat sekolah telah menjadi suatu industri yang lumayan yang agak memuaskan golongan pertama, golongan utilitarianis itu (walaupun tiadalah istilah “sebu” untuk mereka ini). Yang tidak memuaskan golongan kedua ialah tidak muncul-munculnya budaya ilmu di peringkat itu yang membawa nilai-nilai keperenisan dalam penulisan ilmu di peringkat itu. Aspek ini yang muflisnya. Kemuflisan ini tidak mungkin diubati dengan penukaran bahasa perantaraan ilmu daripada bahasa keibundaan majoriti (bahasa Melayu, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil) kepada bahasa ibunda minoriti (bahasa Inggeris) walaupun penukaran bahasa itu akan memberi lonjakan nilai utilitarianis yang luar biasa itu, dan khayalan kekayaan tulisan berilmu yang tersedia melimpah ruah menunggu untuk dimanfaati pelajar di peringkat itu. Malah kemuflisan baru akan muncul: muflisnya pelajar yang menjangkau kefahaman ilmu kerana amalan perantaraan bukan bahasa keibundaan majoriti itu seperti yang dibuktikan seluruh dunia dan oleh para penyelidik kita sendiri tentang hasil PPSMI selama 6 tahun ini. Berkenaan budaya menulis dan membaca, jika ketika pendidikan sains dan matematik dalam bahasa sendiri pun masyarakat kita belum berkarya dan belum cukup ghairah membaca, apatah lagi dalam bahasa yang baru mereka kenal untuk lulus periksa pada masa persekolahannya? Hasilnya “yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran” sahaja.

Berkenaan dengan SAKTI di peringkat pengajian tinggi situasi kekurangan buku (berbentuk tradisi) dalam bahasa Melayu memanglah benar. Berdasarkan penerbitan buku tahun 1990-an, daya pengeluarannya buku ilmiah dalam bahasa Melayu hanya sekitar 80 buah setahun oleh hampir 2 ribu akademia bidang SAKTI, iaitu kira-kira 1 buah buku setahun bagi setiap 25 orang sarjana SAKTI (Shaharir 1996). Rata-rata para sarjana ini tidak percaya perlunya dan tidak berbaloinya mereka menulis buku dalam bahasa apa pun kerana mereka percaya pelajarnya boleh dan patut membaca buku dalam bahasa Inggeris sahaja. Ini masalah budaya ilmu kita yang telah disentuh di atas. Tidak hairanlah begitu banyak kursus yang belum ada sebuah bukupun dalam bahasa Melayu. Malah, mengikut kajian Shaharir (1991) hanya 30% daripada mata kursus dalam program bidang sains fizis dan sains matematik yang ada sekurang-kurangnya sebuah buku teks dalam bahasa Melayu; manakala bidang sains hayat hanya sebanyak 17%, kejuruteraan hanya 6%. dan mengikut buku panduan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM 2002, bidang TMK/ICT sekitar 10%. Dengan data yang seperti ini memang jelas bahasa Melayu muflis ilmu. Bagi pihak citawan Inggeris dan utilitarianis, keadaan inilah yang dijadikannya senjata yang ganas bagi memijak dan mengenyahkan bahasanya sendiri tanpa segan silu lagi dengan tidak mahu membuka mata, hati dan telinganya lagi tentang sejarah tamadun Inggeris itu sendiri. Mereka juga tidak sedar akan peranan teknologi Maklumat sekarang yang sebenarnya menjadikan penerbitan buku secara tradisi ini semakin tidak relevan lagi bagi, dan oleh itu sukatan kewujudan teks SAKTI berbahasa Melayu tidak lagi sesuai dengan semata-mata melihat bilangan buku dalam bentuk tradisi itu (keluaran dalam bentuk salinan liat menerusi sebuah penerbit buku atau percetakan tradisi itu). Mereka juga tidak mahu melihat bagaimana positifnya keadaan ini kerana keadaan inilah juga yang selama ini menggalakkan pelajar menjadi manusia dwibahasa dengan pertolongan pusat-pusat bahasa yang disediakan dan mewajibkan pelajar itu mempelajari bahasa Inggeris sehingga ke tahap yang seperlunya. Model inilah yang diamalkan di Negara-Negara Maju bukan berbangsa Anglo-Saxon (kecuali Negara Maju kosmopolitan, Andurra dan Singapura), khususnya negara-negara di Eropah itu yang juga kekurangan buku dalam bahasanya sendiri tetapi tetap tidak meninggalkan bahasanya menjadi melukut dalam dunia pendidikan peringkat pengajian tingginya. Tentunya kita belum standing dengan Negara-Negara Maju itu, tetapi kejayaan yang kita capai seperti yang telah diperihalkan secara ringkasnya di atas menunjukkan selama ini (sebelum 2003) kita berada di landasan yang betul dan kukuh dan insyaallah juga akan sampai ke tahap impian itu. Oleh itu rungutan sesetengah pihak terutamanya pihak citawan bahasa Inggeris dan utilitarianis itu bahawa sistem pendidikan dalam bahasa Melayu selama ini tidak melahirkan pelajar yang tahu berbahasa Inggeris dan berdaya saing lebih merupakan pandangan tangkap borong yang tidak berasaskan kajian yang tuntas. Diakui kita masih banyak kelemahan dalam sistem penyampaian pendidikan di semua peringkat dan impian menjadikan kebudayaan kita kebudayaan berilmu sama seperti Negara-Negara Maju itu masih jauh tercapai. Namun, kita tidak harus menjadi pengecut lalu lari daripada perjuangan ini dan berlindung di bawah bumbung yang mengasingkan diri kita daripada kebudayaan kita sendiri pula. Kita masih banyak ruang untuk memperbaiki pelaksanaan dasar pendidikan pra-2003 itu terutamanya segi pencapaian bahasa Inggeris di sekolah dan di pusat-pusat pengajian tinggi itu seperti memastikan peratusan lulusan MUET (untuk masuk ke pusat-pusat pengajiantinggi itu) dengan menyelidik dan mencari rumus pengajaran bahasa Inggeris daripada amalan-amalan terbaik di negara-negara Eropah, bahkan rumus pengajaran bahasa Inggeris di British Council yang begitu berjaya dan banyak dimanfaati oleh para pelajar yang ingin belajar ke negara-negara berbahasa Inggeris itu pun rasanya masih belum diterokai. Satu daripada matlamat PPSMI, iaitu meningkatkan pencapaian berbahasa Inggeris di sekolah, bukan sahaja sudah dibuktikan oleh para penyelidik tidak tercapai, tetapi juga sudah diakui oleh akitek PPSMI, Dr. Mahathir, dalam blognya 5 Januari 2009 yang menegaskan bahawa

“Mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukan untuk mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris. Untuk ini sudah ada matapelajaran bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik adalah kerana ilmu ini mengguna perkataan-perkataan yang berlainan daripada bahasa Inggeris biasa”.

Walaupun, tujuan baru PPSMI itu pun meleset (kerana istilah-istilah yang bukan dalam bahasa Inggeris biasa itu juga dipakai dalam pengajaran dalam bahasa Melayu) tetapi itu tidak sesuai diperkatakan lebih lanjut lagi di sini. Kerajaan perlu sanggup berbelanja berbilion ringgit untuk penambahbaikan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah daripada berbilion ringgit untuk mengInggeriskan sains dan matematik dan sekaligus memelukutkan bahasa Melayu dalam ilmu ini.

Tentang pembinaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu dalam bentuk penulisan buku itu selama ini tidak begitu berjaya kerana kelemahan perancangnya, atau ketiadaan perancangannya, dan ketiadaan kudrat politik negara. Sebabnya berlaku demikian sudah dibincangkan beberapa kali dan kali terakhir (agaknya?) dalam seminar khas berkenaan dengan perkara ini pada 2001 (lihat kumpulan kertas kerja di Seminar Penerbitan Buku Sains dan Teknologi 2001 terbitan DBP) yang seperti biasa hanya tinggal berkulat di situ sahaja. Satu daripadanya yang ingin diulangi di sini ialah kekurangan keiltizaman kerajaan (dan oleh itu rakyatnya) terhadap penerbitan buku dalam bahasa Melayu. Umpamanya, kerajaan kita tidak pernah beriltizam atau berwawasan mahu melahirkan sebuah institusi penterjemahan yang setara dengan Bait al-Hikmah pada Zaman Tamadun Islam, dan Pusat Terjemahan Toledo pada Zaman Pertengahan Eropah yang bergerak cergas setiap satunya tidak kurang daripada 150 tahun sebelum tamadun-tamadun itu menghasilkan karya asli mereka sendiri, atau mempelajari rahsia kejayaan penterjemahan di Jepun. Institut Terjemahan Negara (ITN) kita baru sahaja ditubuhkan, iaitu 1993, tetapi ironinya mulai tahun yang sama jugalah negara mula mengubah dasar bahasanya, seperti membenarkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar dalam SAKTI mulai 1994, mewujudkan Akta Pendidikan IPTS 1995 yang memberi laluan yang mudah untuk penubuhan kolej atau universiti swasta dalam bahasa Inggeris sahaja (istilah “pengecualian” dalam akta IPTS sudah disalahguna oleh Menteri Pendidikan/Pelajaran sehingga merosakkan makna perkataan itu dan semangat akta itu). Dasar bahasa yang lebih dahsyat lagi kesannya setakat ini ialah dasar pengInggerisan pendidikan “sains dan matematik” seluruhnya menjelang 2003/2005 ini dengan biaya yang begitu besar, sehingga kini dilaporkan sekitar 5 bilion. Keadaan ini tentunya hanya menggersang atau mengembirikan ITN, DBP dan penulis ilmu SAKTI dalam bahasa Melayu! Kalaulah sebanyak itu dibelanjakan untuk pembangunan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik tentunya lonjakan yang amat besar kpd bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pasti akan berlaku. Jelaslah, jika trend ini tidak dapat dibendung dan dasar pengembalian peMelayuan sistem pendidikan SAKTI di sekolah dan IPT awam dan swasta tidak diwujudkan secara beransur-ansur pula, maka tiadalah esoknya untukmu bahasa Melayu. Bahasa Melayu di Malaysia akan menerima nasib seperti tulisan Jawi!

Perkara yang lebih asas lagi yang dihadapi oleh sarjana kita ialah budaya menulis ilmu yang sedia ada padanya. Budaya ini belum wujud di negara ini sehingga kemudahan teknologi maklumat masih belum mahu dipergunakannya sepenuhnya. Ini bukan masalah bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Walaupun kini sudah hampir setiap pensyarah ada lamannya masing-masing dan banyak yang memasukkan catatan kuliahnya di situ, dan ini mampu memperbaiki kekurangan bahan rujukan dalam bahasa Melayu (bayangkan sekarang ada sekitar 10 ribu pensyarah dan setiap orang memasukkan bahan kuliahnya dalam lamannya, biasanya seorang pensyarah memberi kuliah sekurang-kurangnya 4 mata pelajaran, yang bermakna sudah ada 40,000 buku teks maya dalam bahasa Melayu), tetapi penulisan bahan kuliah atau buku teks berbeza dengan penulisan umum yang dimaksudkan dalam pengisian budaya penulisan itu. Penulisan umum itulah yang diperlukan supaya internet juga penuh dengan tulisan keilmuwan dalam bahasa Melayu kelak. Dasar PPSMI yang sudah pun dilakanakan di peringkat pengajian tinggi sekarang (seperti yang dikehendaki oleh kerajaan, walaupun Dr. Mahathir pernah mengatakan di UKM, itu bukan rancangannya!?) tidak menyelesaikan masalah budaya ilmu ini, bahkan memancung perkiraan penghasilan 40 ribu buku tekas maya dalam bahasa Melayu itu. Dasar PPSMI yang diperluaskan ke IPT sejak 2004 itu telah memaksa pensyarah menulis catatan kuliahnya dalam bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan KPI dan ISO sahaja (dua singkatan istilah Inggeris yang digila-gilakan di IPT sejak beberapa tahun kebelakangan ini). Jadi akhirnya jangkaan 40 ribu buku teks maya itu bukannya dalam bahasa Melayu pun. Kita hanya memperbanyakkan lagi tulisan dalam bahasa Inggeris yang sebenarnya suatu sumbangan yang amat tidak bererti kepada dunia tamadun berbahasa Inggeris apatah lagi kepada tamadun bangsa sendiri.

Beberapa projek pengkhazanahan ilmu dalam bahasa Melayu yang segera boleh dilakukan dengan belanja yang cukup sedikit berbanding dengan 5 bilion ringgit yang dibelanja/diperuntukkan kepada projek PPSM itu ialah yang berikut:

0. Kementerian Pengajian Tinggi memastikan setiap IPT mewujudkan sistem penghargaan yang sewajarnya kepada ahli akademik yang menghasilkan buku teks mayanya dalam bahasa Melayu, sekalipun dasar PPSMI diteruskan.

1. Menerbitkan semua kajian ilmiah peringkat tahun akhir (ijazah pertama, dalam bahasa Melayu) pelajar SAKTI universiti awam yang mendapat gred B ke atas yang berjumlah ribuan itu.

2. Menerbitkan semua tesis Sarjana dan D.Falsafah dalam bahasa Melayu di universiti-universiti awam itu yang berjumlah ribuan itu.

3. Institut Terjemahan Negara mengumpul kelompok-kelompok sarjana dalam bidang SAKTI untuk menyenaraikan buku-buku teks utama atau karya-karya agung dalam bahasa asing (terutamanya Inggeris) untuk diterjemah semuanya dalam masa 5 tahun.

4. Kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan khazanah buku kebangsaan (buku dalam bahasa Melayu) setiap tahun berdasarkan kemampuan sarjana kita dan sarjana di alam Melayu ini berkarya.

5. Kerajaan mewujudkan sistem insentif keniagaan (seperti pengecualian cukai dsbnya) kepada IPTS yang terbukti menawarkan kursus dalam bahasa Melayu.


Kami percaya jika keenam-enam projek kecil ini (nisbah projek-projek mega kerajaan selama ini) dilakasanakan dengan jayanya maka dalam masa 10 tahun sahaja bahasa Melayu tidak lagi boleh dicap sebagai bahasa muflis ilmu, walaupun kumpulan citrawan Inggeris tetap tidak akan berdiam diri mengungguli bahasa Inggeris selamanya.


Kesimpulan

Tamadun Melayu bukan sahaja tamadun sastera dan tidaklah baru usianya seperti yang biasa dipaparkan itu. Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa ilmu sains dan teknologi antarabangsa (setidak-tidaknya di Asia) sekurang-kurangnya sejak abad ke-5M hinggalah abad ke-14M. Bahasa Melayu terus menjadi bahasa ilmu SAKTI dalam zaman tamadun Melayu-Islam yang kami ambil antara 1300-1900, walaupun keantarabangsaan ilmunya nampaknya tidak sehebat/seluas zaman pra-Islamnya itu. Bahasa Melayu mengalami zaman kegenangannya dalam setengah abad ke-20 pertama, tetapi melonjak kemajuannya dalam pertengahan kedua abad ke-20. Di Malaysia hal ini berlaku dengan hebatnya apabila UKM ditubuhkan pada 1970 dan siswazah sulungnya (termasuk bidang “sains dan matematik” muncul pada 1974. Antara 1974 hingga 2003 IPTA Malaysia melahirkan ribuan siswazah dan pascasiswazah dalam bidang SAKTI menerusi perantaraan bahasa Melayu. Sejak 1990-an ramai ahli SAKTI yang berpendidikan dalam bahasa Melayu itu memberi sumbangan dalam SAKTI dengan meninggalkan nama-nama mereka, nama-nama orang kenamaan dan tempat di Malaysia dan perkataan-perkataan Melayu dalam bentuk produk teori (dalam lipatan jurnal antarabangsa) serta rekacipta pelbagai bidang di peringkat antarabangsa dengan menggondol pelbagai hadiah yang berprestij di Eropah dan di Jepun. Hubungan bahasa dengan sains dan matematik dipaparkan dengan contoh-contoh yang konkritnya. Kekurangan yang masih ketara dalam tahap kemahiran berbahasa Inggeris di kalangan siswazah yang tidak cukup meluas dan kekurangan buku yang diakui berlaku itu ditunjukkan dapat diatasi dengan perancangan dan iltizam yang kental daripada pihak kerajaan (dengan 6 syor yang diutarakan) yang selama ini ditunjukkan bertindak sebaliknya. Dasar PPSMI yang diperkenalkan dalam tahun 2003 itu ditunjukkan sebagai suatu dasar yang tidak akan berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dalam SAKTI seperti negara idaman perancang dasar ini (Negara Maju yang berbahasa Inggeris) apatah lagi negara maju dalam acuan sendiri, bahkan tidak kira berjaya atau pun tidaknya dasar itu yang pastinya dasar itu akan memufliskan bahasa dan kebudayaan Melayu. Maka hal ini perlulah dipersedarkan seluruh rakyat Malaysia sehingga langkah-langkah yang sewajarnya dapat diambil bersama agar negara ini tidak lagi dipimpin oleh mereka yang menyokong dasar seperti PPSMI ini disegenap lapisan kepemimpinan.