Monday, August 8, 2011

Air Asia Bakal Ambil Alih MAS?

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) hari ini menafikan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Timbalannya, Datuk Kamarudin Meranun akan menjadi pemegang saham terbesar dalam Malaysia Airlines System Bhd. (MAS).

Khazanah dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, sektor penerbangan yang strategik kepada ekonomi negara akan kekal sebagai pegangan teras dalam portfolio pelaburan syarikat itu.
“Khazanah akan terus mengekalkan kedudukan sebagai pemegang saham terbesar tunggal di dalam MAS.

“Sebagai pelabur strategik yang aktif, Khazanah sepanjang masa akan meninjau cara-cara untuk menambah baik prestasi syarikat, portfolionya dan juga daya saing sektor-sektor strategik dalam ekonomi,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pengumuman lanjut mengenai kedudukan Khazanah dalam rancangan transformasi MAS yang berterusan akan dibuat pada masa yang bersesuaian.

Dalam perkembangan sama, Tony dan Kamaruddin hari ini turut menafikan laporan media bahawa mereka akan menjadi pemegang saham tunggal terbesar MAS.

“Kami ingin menjelaskan bahawa perkara ini adalah tidak benar. Sebagai pemegang saham utama AirAsia Berhad dan AirAsia X Sdn. Bhd,, kami komited untuk meningkatkan nilai pegangan saham dalam kedua-dua pelaburan teras kami secara berterusan dan menerokai pelbagai peluang untuk meningkatkan francais kami,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan Khazanah, Tony dan Kamarudin itu merujuk kepada laporan sebuah portal pembangkang yang mendakwa Tony akan mengambil alih operasi MAS dengan menjadi pemegang saham individu terbesar apabila membeli 20 peratus saham syarikat penerbangan negara itu.

Desas-desus mengenai pembelian saham MAS oleh Tony juga dilaporkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang turut mendakwa perjanjian tersebut akan dimuktamadkan minggu depan.

Sementara itu, sumber dalaman Khazanah hari ini berkata, pertukaran saham seperti yang dilaporkan tidak mustahil berlaku, namun menolak Tony dan Kamarudin akan mengambil alih operasi MAS.

Ini kerana kata sumber itu, jika Tony dan Kamarudin membeli saham MAS sebanyak 20 peratus sekali pun, Khazanah masih memiliki kira-kira 49 peratus saham di dalam syarikat penerbangan itu iaitu daripada 69 peratus ketika ini.

“Khazanah juga dalam hasrat untuk mengekalkan penguasaan di dalam MAS, tidak memerlukan jumlah saham yang tinggi sehingga 69 peratus,” katanya.

Bagaimanapun kata sumber itu lagi, pertukaran saham tersebut jika berlaku perlu dilihat dari sudut positif yang mana kerjasama itu bakal membawa banyak manfaat kepada kedua-dua pihak.

MAS kata beliau, boleh belajar daripada kecekapan AirAsia menjadi peneraju dalam industri penerbangan manakala syarikat tambang murah itu pula dapat berkongsi kepakaran kejuruteraan canggih yang dimiliki MAS.

“Paling utama kerjasama kedua-dua syarikat penerbangan tempatan ini boleh memberi saingan kepada syarikat penerbangan antarabangsa lain,” katanya.

Tegas sumber itu, MAS dan AirAsia juga akan tetap kekal sebagai sebuah entiti yang berbeza jika berlaku pertukaran saham berkenaan.