Wednesday, August 17, 2011

MASIH RAMAI PELAJAR YANG LEMAH BERBAHASA MALAYSIA

Isu kurang dibincang berbanding gagal kuasai bahasa Ingeris


PERSOALAN kegagalan penguasaan bahasa Inggeris yang baik oleh kebanyakan pelajar Malaysia selepas 13 tahun mempelajarinya, ikut mencetuskan pelbagai soalan, selain mengundang banyak komen. Ada yang menyoal keberkesanan kurikulum bahasa Inggeris sedia ada, kesesuaian dasar baru untuk memartabatkan bahasa Malaysia, memperkukuh bahasa Ingeris pada awal tahun ini.

Ada juga yang mencadangkan pengembalian sekolah aliran Inggeris, menyalahkan guru yang dikatakan tidak cekap, mengaitkan sikap negatif pelajar dengan pen-capaian yang lemah dan menuduh Kementerian Pelajaran enggan mewajibkan kelulusan mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Kita boleh terus menyoal dan mengulas persoalan ini, lebih-lebih lagi untuk mempromosikan bahasa Inggeris. Sebetulnya pada masa sama, kebanyakan pelajar kita termasuk Melayu sendiri, apatah lagi yang bukan Melayu juga tidak menguasai bahasa Malaysia iaitu bahasa negara ini dengan baik. Namun, hal ini tidak banyak diperkata dan kalau cuba diperkata, ia tidak mendapat sambutan serta tempat untuk dibincangkan dengan rinci.

Ikut bersikap begini ialah pihak media, antaranya akhbar bukan bahasa Malaysia yang kurang bersedia untuk memberi liputan adil mengenai bahasa ini. Bahasa Malaysia yang menjadi bahasa leluhur, etnik dan ibunda orang Melayu, dianggap sebagai kualiti bangsa Melayu. Justeru, ia adalah tanggungjawab dan kewajipan bangsa Melayu saja.

Dalam kes bahasa Malaysia di Malaysia, ideologi begini adalah salah. Bahasa Malaysia diangkat menjadi bahasa negara, yakni sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sehubungan ini, martabatnya hendaklah dipertahan setiap masa oleh semua warga negara.

Sebenarnya, persoalan ketiadaan kecekapan berbahasa Inggeris, pengetahuan dan penguasaan rendah terhadap bahasa Malaysia, termasuk kegagalan memahami sejarah tanah air oleh kebanyakan pelajar antara tanda dan gejala kemerosotan sistem pendidikan kita. Hal ini dapat dilihat pada bahkan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang.

Kebanyakan mereka tidak mampu menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris, tidak cekap berbahasa Malaysia persuratan ketika bercakap dalam situasi formal, dan tidak memahami hubung kait peristiwa lampau negara yang penting dengan masa kini baik dalam konteks tempatan mahupun sejagat.

Kelemahan sistem pendidikan kita disedari kerajaan dan sedang dikaji semula untuk diperbaiki.
Dalam konteks kecekapan berbahasa Inggeris, kita perlu berpijak di bumi nyata bahawa kecekapan yang bakal generasi muda kita peroleh, mungkin tidak dapat menandingi tahap yang diperlihatkan golongan lama. Ini antaranya adalah pada masa dulu, bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar, manakala kini ia hanya satu mata pelajaran.

Walaupun begitu, dengan penekanan serius kerajaan melalui pelbagai usaha pendidikan untuk memastikan generasi muda cekap berbahasa antarabangsa yang paling penting ini, golongan ini dengan sikap belajar yang betul serta bimbingan dedikasi guru, pasti memperlihat kecekapan yang jauh lebih baik daripada yang ada sekarang.

Dalam pada kita berikhtiar untuk menguasai bahasa Inggeris pada tahap baik, kita tidak boleh sekali-kali mengetepikan bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan. Pengetahuan dan penguasaan bahasa Malaysia yang baik oleh rakyat Malaysia bukan saja penting, tetapi wajib.

Bahasa Malaysia adalah maruah dan citra, selain jati diri bangsa dan negara. Maruah bahasa Malaysia terletak pada martabatnya. Oleh itu, ia perlu diperlakukan dengan penuh tertib, sesuai dengan syiarnya sebagai bahasa utama di negara ini. Dengan ini, bahasa Malaysia hendaklah selalu diutamakan dan tidak boleh diketepikan dalam sebarang ranah penggunaan yang sememangnya menjadi hak dan kuasanya.

Perilaku kita semua terhadap bahasa Malaysia, khususnya yang bertentangan dengan syiarnya, sudah pasti akan menimbulkan pelbagai tanggapan. Oleh itu, tindakan yang boleh merendahkan citra bahasa Malaysia hendaklah dihindari kerana ia boleh ikut merendahkan citra kita semua sebagai bangsa berharga diri dan negara berdaulat.

Sesungguhnya dalam bahasa Malaysia tersimpan nilai, salasilah serta akar kita sebagai bangsa Malaysia. Dengan ini, hanya bahasa Malaysia mampu memberi capaian langsung kepada warisan budaya serta pandangan dunia kita sebagai bangsa Malaysia, untuk melengkapi dan juga menolak perspektif yang disaji oleh tamadun lain.

Bahasa Malaysia juga satu-satunya warisan budaya yang dengan penuh keyakinan dan pengertian, boleh bukan saja mempertahan tetapi menjamin kemuliaan kita sebagai satu bangsa bermaruah dan negara yang berdaulat di dunia ini.