Tuesday, August 23, 2011

Kegigihan rakyat Jepun patut dicontohi umat Islam


MENAKJUBKAN apabila melihat bagaimana negara Jepun yang dilanda gempa bumi pada 11 Mac 2011 yang memusnahkan sama sekali bandar Tohuku, Miyoko dan Iwate di kepulauan Honshu kini pulih sepenuhnya malah lebih baik daripada sebelum malapetaka itu melanda.

Peristiwa yang sangat menyayat hati itu telah mengorbankan tidak kurang daripada 30,000 nyawa rakyat Jepun dan harta benda yang musnah adalah dianggarkan ratusan bilion ringgit.

Bagaimana dan macam mana Jepun dapat mengatasi segala bencana alam itu tidak sampai pun enam bulan adalah begitu mengkagumkan kita?

Itulah contoh terbaik untuk kita ambil sebagai iktibar kerana bangsa Jepun ini sangat dihormati oleh masyarakat dunia yang sungguh berdisiplin, tabah, cekal dan yang paling penting adalah amanah dan sikap patriotik mereka kepada tanah air.

Baru-baru ini dilaporkan ratusan juta yen dan barang kemas dan segala barang yang berharga bernilai ratusan juta dolar Amerika itu dikembalikan oleh masyarakat prihatin tempatan yang berpegang kepada amanah dan jati diri yang kuat.

Begitu juga apabila bantuan kemanusiaan terlewat sedikit sampai, walaupun mereka ini nampak agak kebuluran mereka masih mampu mendisiplinkan diri beratur mengikut giliran untuk mendapatkan makanan tanpa merungut dan berebut-rebut sebagaimana lazimnya berlaku di negara-negara lain.

Kalau diamati itulah tuntutan ajaran Islam yang sebenarnya. Walaupun rakyat Jepun bukan beragama Islam tetapi seolah-olah mereka ini mengikuti cara disiplin, tabah, cekal, amanah dan rasa cintakan tanah air sebagai prinsip hidup mereka.

Selain itu rakyat Jepun adalah pentingkan kebersihan dan terkenal sebagai bangsa yang gigih kuat bekerja dan selalu tepat pada segala jadualnya.

Tidak hairanlah mengapa Jepun kini adalah sebagai sebuah negara yang maju ke depan kerana kekuatan disiplin mereka.

Saranan supaya negara Malaysia pandang ke timur yang diperkenalkan pada zaman Tun Dr. Mahathir itu patut diteruskan lagi dengan kita secara serius mempelajari rahsia dan formulanya.

Bukan itu sahaja yg dipelajari, tetapi bagaimana bahasa kebangsaan mereka boleh bersaing dengan bahasa ingeris. Mungkin itu juga Malaysia harus pelajari.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya merujuk lebih mendalam lagi rahsia yang ada di dalam ayat-ayat suci al-Quran yang mempunyai 1001 rahsia kunci kejayaan itu. Kita mampu merealisasikannya jika kita usahakan bersungguh-sungguh ke arah itu.