Friday, November 19, 2010

Cerai: Atur hubungan rumah tangga


Oleh Aziz Jamaludin Mhd. Tahir


GAMBARAN sistem kekeluargaan dalam masyarakat Melayu-Islam semakin berantakan dan menuju parah. Pendedahan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha berdasarkan kajian yang dibuat pada tahun 2008, tempoh selama sepuluh tahun perkahwinan amat kritikal sekali kerana potensi penceraian adalah besar.

Dalam kajian pada tahun 2007, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian. Bagi tempoh enam hingga sepuluh tahun pula mendapati 27.7 peratus bercerai. Ini bererti tempoh sepuluh tahun pertama merupakan tahun yang paling kritikan kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan penceraian.

Sekali imbas nampaknya perangkaan tersebut amat menggerunkan. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria turut bimbang kerana ia boleh mengakibatkan gambaran keruntuhan keluarga Melayu-Islam seolah-olah tidak dapat diselamatkan lagi. Kalau menggunakan taakulan berdasarkan penemuan tersebut, dapat dirumuskan bahawa hanya 40 peratus sahaja perkahwinan pasangan Melayu-Islam dapat terus kekal sehidup semati, bahagia sampai ke anak cucu.

Keadaan ini mengingatkan kita apa tujuan sebenarnya seorang lelaki dan seorang perempuan dipenuhi dengan naluri ingin berkahwin. Teras penciptaan Allah SWT berbeza jantina adalah untuk membolehkan kedua-dua melayari sebuah kehidupan dalam satu kelainan jantina. Kelainan jantina itulah seterusnya dapat memenuhi fungsi gandaan, iaitu mendapat zuriat sebagai sebuah kelangsungan ummah.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia telah menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepada mereka dan Allah jadikan di antara kamu perasaan mesra dan kasih sayang.” (ar Rum:21)

“Mereka (isteri-isteri) adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka.” (al Baqarah:187)

Penemuan kajian oleh Jakim itu walaupun boleh dipersoalkan berdasarkan prinsip hubungan dengan permasalahan, sekurang-kurangnya memberikan kita sedikit gambaran bahawa perkahwinan pasangan Melayu-Islam perlu dilakukan sesuatu tindakan pembetulan agar ia dapat diselamatkan. Islam meletakkan kekuatan sesebuah keluarga sebagai asas penting, menjadi semakin longgar dan mudah dalam perspektif masyarakat Islam sendiri.

Kajian tersebut turut memberikan kita sedikit gambaran bahawa dengan meletakkan syarat bahawa sebelum pasangan itu dibenarkan berkahwin secara sah, mereka terlebih dahulu perlu memperoleh sijil.

Sijil kebenaran berkahwin itu perlu diambil dan mempelajari ilmu perkahwinan, nampaknya juga telah gagal untuk menurunkan tahap penceraian masyarakat Melayu-Islam.

Perlu ada rasa tanggungjawab dan benar-benar boleh menasihati pasangan yang ingin bercerai berfikir secara lebih mendalam. Apabila seorang teruna dan dara diijab kabulkan maka terbinalah apa yang disebutkan sebagai rumah tangga. Mungkin inilah tafsiran kebanyakan orang apabila ditanyakan maksud rumah tangga.

Akan tetapi Islam melihat rumah tangga lebih daripada itu. Bahkan Islam merupakan sistem keluarga. Islam memandang rumah tangga sebagai tempat perlindungan, pertemuan dan kediaman. Di bawah naungan rumah tangga, berlaku pertemuan di antara hati-hati iaitu pertemuan yang ditegakkan di atas lunas-lunas kasih mesra, saling simpati, saling lindung melindungi, saling berbudi, juga ditegakkan di atas lunas menjaga dan memelihara kesucian diri.

Di bawah lindungan rumah tangga juga lahirnya kanak-kanak dan suburnya muda mudi. Dan dari rumah tangga memanjangnya tali hubungan kasih sayang dan hubungan saling bantu membantu.

Kerana itulah al-Quran menggambarkan rumah tangga dengan gambaran yang halus dan lembut iaitu gambaran hubungan yang terpancar darinya rasa kasih mesra. Gambaran hubungan yang memperlihatkan bayang yang teduh dan embun-embun yang basah, dan gambaran hubungan yang melepaskan bau-bau yang semerbak harum.

Itulah hubungan di antara jiwa dengan jiwa, hubungan ketenteraman dan kemantapan, hubungan kemesraan dan kasih sayang dan hubungan perlindungan dan budi baik, malah daripada ungkapan kata-kata al-Quran itu sendiri kita dapat merasakan perasaan kerinduan dan kemesraan.

Islam memberi segala perhatian dan jaminannya kepada rumah tangga ini sebagai sel atau tapak semaian atau tempat pertemuan keluarga.

Oleh itu banyak ayat al-Quran jika diteliti, jelas menghubungkan persoalan keluarga itu secara langsung kepada Allah. Ini menggambarkan betapa besarnya kedudukan keluarga dalam sistem Islam dan betapa tingginya nilai keluarga di sisi Allah SWT.

Perhatian yang amat besar terhadap kedudukan keluarga adalah sesuai dengan kehendak takdir Ilahi yang sejak dari mula menegakkan kehidupan umat manusia di atas asas keluarga, iaitu ketika takdir Ilahi memutuskan bahawa sel pertama dari kewujudan bangsa manusia di alam ini ialah keluarga Adam a.s dan isterinya, dan dari sel pertama inilah umat manusia berkembang biak.

Allah SWT memang berkuasa untuk menciptakan berjuta-juta manusia dengan sekali gus sahaja, tetapi takdir Allah telah menentukan bahawa kewujudan mereka adalah bermula daripada keluarga Adam a.s kerana satu hikmat yang tersembunyi di sebalik tugas besar keluarga dalam kehidupan manusia, di mana ia memenuhi kehendak fitrah manusia dan kesediaan-kesediannya, juga menyuburkan sahsiahnya dan budi pekertinya yang mulia, malah menerima kesan-kesan yang paling mendalam dalam hidupnya.

Kemudian perhatian berat Allah SWT terhadap urusan kekeluargaan dalam sistem hidup Islam selaku agama Allah yang terakhir ini adalah selaras dengan takdir Allah yang mula-mula mengatur penciptaan manusia, sama seperti keselarasan yang wujud dalam setiap ciptaan Allah, di mana tidak terdapat keadaan-keadaan yang tidak seimbang dan bercanggah.

Islam juga memberi perhatian yang sebegitu besar terhadap hubungan suami isteri dan keluarga kerana Islam berhajatkan ketinggian hubungan-hubungan insaniyah ini ke taraf kesucian yang merapatkan hubungan dengan Allah dan menggunakan hubungan ini sebagai sarana untuk membersihkan roh dan perasaan, bukannya seperti hubungan yang dipandang oleh agama-agama paganisme dan pengikut agama-agama yang sesat yang menyeleweng jauh daripada fitrah manusia yang telah diciptakan Allah.

Islam tidak memerangi dorongan-dorongan keinginan semula jadi dan tidak memandang keinginan-keinginan semula jadi itu sebagai kotor. Malah Islam mengawal keinginan-keinginan itu dengan peraturan-peraturan, juga membersih dan mengangkatkannya dari taraf haiwan ke taraf menjadi paksi kehidupan, di mana beredar sekitarnya peradaban peribadi dan sosial, juga menegakkan hubungan-hubungan seksual di atas asas perasaan kemanusiaan yang luhur yang menjadikan pertemuan dua badan itu sebagai pertemuan dua jiwa, dua hati dan dua roh. Atau dengan ungkapan yang lebih syumul ialah pertemuan dua manusia yang terikat dengan kehidupan bersama, cita-cita bersama, senang susah bersama, dan masa depan bersama yang bertemu dengan zuriat keturunan yang ditunggu-tunggu atau dengan generasi baru yang akan lahir di dalam rumah tangga yang sama, di mana mereka dijaga ayah dan ibu yang tidak bercerai.

Islam menganggapkan perkahwinan sebagai sarana untuk membersih dan meningkatkan diri. Ia menyeru umat Muslimin supaya mengahwinkan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan mereka untuk merealisasikan sarana yang perlu untuk membersihkan dan meningkatkan kehidupan seseorang.

Islam menamakan perkahwinan itu sebagai ‘Ihsan’ atau langkah pemeliharaan dan kawalan diri, dan dengan itu tersematlah di dalam hati orang-orang Mukmin bahawa hidup tanpa kahwin atau tanpa kawalan diri itu, walaupun dalam masa yang singkat, tidak mendapat keredaan Allah. Ujar al Imam Ali Karramallahu wajhahhu apabila beliau segera berkahwin selepas kewafatan isterinya Siti Fatimah puteri Rasulullah SAW; “Aku takut menemui Allah dengan keadaan bujang.” Kerana perkahwinan dalam adat resam orang-orang yang beriman termasuk dalam amalan-amalan ketaatan untuk mendampingkan diri kepada Allah dan meningkatkan dirinya ke mertabat yang suci.

Yang menjadi pokok pangkal dalam hubungan perkahwinan ialah kemantapan hidup dan kelanjutannya, kerana itu Islam mengawal hubungan ini dengan segala jaminan yang boleh menjaminkan kemantapan hubungan itu dan kelanjutannya.

Untuk mencapai matlamat ini Islam mengangkatkan hubungan perkahwinan ke taraf amalan-amalan ketaatan kepada Allah dan memberi bantuan kepada orang-orang yang miskin lelaki dan perempuan dari wang negara untuk membolehkan mereka mendirikan rumah tangga.

Di samping itu Islam mewajibkan peradaban-peradaban yang melarang perempuan menunjuk-nunjukkan kecantikan diri mereka supaya perasaan lelaki tenteram dan supaya hati mereka tidak tertarik kepada panggilan-panggilan kejelitaan yang mempesona yang didedahkan di pasar-pasar.

Islam juga menetapkan hukuman zina dan hukum menuduh perempuan dengan tuduhan yang curang. Islam telah menetapkan kehormatan bagi rumah tangga. Ia tidak boleh dimasuki melainkan terlebih dahulu meminta izin.

Islam mengatur hubungan-hubungan suami isteri dengan undang-undang yang tertentu. Ia menegakkan sistem rumah tangga di atas dasar lelaki sebagai penguasa kerana lelaki merupakan rakan kongsi yang lebih kuat dan lebih mempunyai kemampuan untuk menjadi penguasa rumah tangga.

Langkah ini adalah untuk mengelakkan berlakunya kacau-bilau, kucar-kacir dan pertelingkahan rumah tangga dan lain-lain lagi dari berbagai-bagai jaminan dan peraturan untuk memelihara rumah tangga dari segala kegoncangan selain dari nasihat-nasihat dan bimbingan-bimbingan untuk mengawal perasaan, selain menghubungkan hubungan itu dengan takwa kepada Allah dan pengawasan-Nya.

Namun demikian, realiti hidup manusia membuktikan bahawa di sana terdapat keadaan-keadaan yang membawa keruntuhan dan perpecahan dalam rumah tangga walaupun di sana terdapat berbagai-bagai jaminan dan bimbingan-bimbingan yang dituju untuk mengelakkan keruntuhan itu.

Keadaan-keadaan yang seperti ini perlu dihadapi secara amali sebagai mengiktirafkan logik realiti yang tidak lagi berguna dilawan apabila kehidupan suami isteri tidak dapat diteruskan dan apabila usaha untuk mengekalkan hubungan itu menjadi satu usaha yang sia-sia dan tidak dapat ditegakkan lagi di atas mana-mana asas pun.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (Yadim)