Saturday, August 14, 2010

Jangan jadi manusia rugi



Oleh RAMLI ABDUL HALIM Utusan Malaysia Online



Allah SWT memberi pahala berganda kepada hamba-Nya yang mengambil kesempatan keberkatan Ramadan. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------

SEMACAM menjadi suatu tradisi pada setiap kali Ramadan, kita akan fikirkan tentang apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur dengan kecurnya air liur.

Tidak hairanlah kalau pasar Ramadan tumbuh macam cendawan selepas hujan sepanjang Ramadan manakala setiap gerai pula rata-rata dikerumuni pelanggan macam semut mengerumuni gula.

Juallah apa sahaja, termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, acar pisang butir banyak, celur jantung pisang, ikan kering bakar dan pelbagai jenis makanan yang dianggap lekeh dan tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa.

Sekali gus bulan Ramadan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yang yang kata berniaga sebulan bulan Ramadhan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.

Pagi-pagi lagi di ruang-ruang pejabat atau bila dua sahabat bertemu di mana-mana sahaja, paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka. Juga juadah untuk bersahur.

Kononnya sekian-sekian juadah mesti kena ada sewaktu berbuka atau bersahur di samping akan diceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur.

Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran dengan 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca dihayati.

Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan sembahyang sunat terawih, dilipatgandakan sembahyang sunat tahajud, sunat tasbih dan macam-macam sembahyang sunat atau masih kekal pada bulan-bulan Ramadan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbagai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah, berterawih.

Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengumpat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighfar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas sembahyang subuh supaya cepat khatam.

Memang diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega sales dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tatap menyumbang kepada pembaziran.

Sebaliknya, Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega sales dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan daripada berkatnya Ramdaan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.

Selain para penjual mendapat laba hasil larisnya jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadan kalau kekalkan tabiat menjadikan ia sebagai pesta juadah sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan tetap juga kekal pada tahap biasa.

Apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha. Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah dan jika dibaca keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf dibaca kita akan dapat 12 juta kebajikan, bila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi.

Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighfar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredai-Nya akan diberi juga pahala yang berganda.

Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan.
Nanyang jadi Singapura kiblat


AKHBAR Nanyang Siang Pau keluaran 3 Ogos 2010 (lihat Utusan Malaysia 11 Ogos) telah menyeru Malaysia supaya memandang ke Singapura dalam usaha membantu kaum yang lemah. Lebih tepat ialah kerajaan Malaysia hendaklah mengamalkan sistem persaingan dan bukannya kroni dalam pembangunan ekonomi dan pelajaran.

Nanyang berpendapat menerusi sistem ini Malaysia akan menjadi maju seperti Singapura.

Hakikat yang mesti diterima ialah Malaysia tidak akan mencapai kemajuan yang seimbang seperti sekarang tanpa beberapa keistimewaan kepada Bumiputera dan tanpa Dasar Ekonomi Baru yang dinamik oleh kerana orang Melayu sememangnya manja dan malas seperti yang dicatitkan dalam tulisan Nanyang itu.

Kemanjaan dan kemalasan ini terbentuk oleh persekitaran negara yang makmur dan kaya, cukup makan dan pakai dengan kangkung tumbuh sendiri di depan rumah, sawah padi di belakang rumah dan ikan di sungai dan di lautan.

Orang Melayu hidup mudah sejak sebelum kedatangan penjajah lagi. Tidak seperti kaum pendatang dahulu yang datang dari alam persekitaran negara yang menyebabkan mereka terpaksa berkerja keras dan bermati-matian untuk hidup.

Maka mereka menjadi semakin industrious, lebih kreatif dan inovatif apabila berhijrah kerana melihat peluang yang terbuka luas yang tidak diteroka dan dipersiakan oleh anak tempatan.

Pendatang awal ini kemudiannya menyampaikan cerita ke tanah air mereka bahawa emas boleh dikutip di tepi jalan di Tanah Melayu menyebabkan semakin ramai orang Cina berhijrah ke negara ini di zaman penjajahan British.

Orang Melayu memandang rendah kepada orang Cina yang menjadi pekebun sayur, penjaja, peniaga kecil, pelombong dan anggota kumpulan samseng tanpa menyedari bahawa mereka membina rangkaian kekayaan penjajahan ekonomi yang lebih dahsyat daripada penindasan British.

Bagaimanapun peluang pelajaran di bawah dasar drastik kerajaan Malaysia yang memikirkan keseimbangan ekonomi diperlukan untuk menjamin ekonomi orang Cina tidak diganggu-gugat oleh orang yang miskin, telah membangunkan generasi Melayu baru yang sedar dengan nilai-nilai yang seharusnya ada untuk hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

Kesedaran menerusi pelajaran inilah yang merasionalisasikan sikap orang Melayu dan memberikan sumbangan ke arah menstabilkan dan mententeramkan masyarakat Malaysia berbanding dengan sebelum peristiwa 13 Mei 1969 sekalipun isu yang dibangkitkan sekarang ini adalah lebih panas dari isu-isu yang pernah dibangkitkan sebelum peristiwa itu.

Jika kehidupan mereka tidak distabilkan maka jalan yang mudah bagi anak negeri ialah merompak harta orang Cina bagi kehidupan mereka. Kerajaan memikirkan langkah ke arah mengubah kehidupan mereka menerusi pelajaran dengan dasar kroni perlu disegerakan kerana orang Cina sebelum Merdeka tidak pernah memikirkan bahaya kepada hak mereka mencari makan kecuali selepas 13 Mei.

Pencapaian kemajuan Bumiputera di Malaysia telah diakui oleh Bank Dunia sendiri suatu masa dahulu sebagai begitu cepat dan masih tidak dapat dicapai oleh Bumiputera negara negara lain yang juga ada masyarakat Cina. Contohnya jelas dapat dilihat di Thailand, Indonesia dan Filipina.

Pencapaian pelajaran dan ekonomi orang Melayu setakat ini telah memberikan peluang kepada orang Cina dan Melayu sendiri untuk terus bebas berpolitik, berniaga dan bersekolah tanpa diganggu-gugat oleh orang Melayu yang miskin kecuali oleh orang Melayu dari negara jiran yang datang menyamun dan merompak dan mengancam kehidupan mereka.

Ini harus menyedarkan orang Cina tentang bagaimana jika banyak anak negeri ini sendiri yang miskin.

Ancaman konfrantasi Indonesia sendiri telah menggerunkan orang Cina dan menyebabkan mereka memberikan sokongan yang kuat kepada kerajaan BN dalam pilihan raya 1964 tetapi mereka cepat melupakan sejarah kerana perasaan perkauman dan bukan kerana perasaan kebangsaan.

Nanyang mengambil contoh keyakinan Melayu Singapura untuk hidup bersaing dengan kaum lain dengan memetik tulisan Editor Berita Harian Singapura, Guntor yang memuji Singapura kerana membantu Melayu tanpa menjalankan polisi memberi tongkat tapi siapa bijak akan diangkat.

Malaysia menggunakan dasar yang berbeza oleh kerana dasar asas Singapura berbeza dengan Malaysia.

Sebaik sahaja Merdeka, Singapura mencantas cauvinisme kaum terbesar di negara itu iaitu kaum Cina dengan menutup institusi-institusi kebudayaan utama Cina iaitu sekolah-sekolah rendah dan menengah Cina dan universiti teragung Cina (Nanyang University dan Nge Ann College) yang berkesan sekali dalam menghapuskan kesetiaan kepada negara Cina dan fanatisme kepada budaya Cina.

Sikap orang Cina Singapura berbeza dengan sikap orang Cina Malaysia. Oleh kerana itu jugalah masyarakat Cina Malaysia tidak begitu dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat Cina Singapura.

Di Malaysia kerajaan tidak bertegas dalam dasar pelajaran, tunduk kepada kehendak masyarakat Cina untuk mengekalkan institusi pelajaran mereka yang bererti membiarkan usaha untuk menyuburkan perasaan kecinaan di kalangan masyarakat Cina Malaysia.

Suara-suara yang bersifat kecinaan di negara ini masih terdengar dengan bantahan terhadap kerajaan kerana tidak membantu sekolah Cina dan juga mengutamakan Sekolah Kebangsaan.

Mereka tidak faham erti kebangsaan kecuali yang sesuai dengan cauvinisme Cina.

Kenapa Nanyang tidak mahu menunjukkan betapa tegasnya Kerajaan Singapura dalam menentang desakan seumpama ini sejak awal kemerdekaannya.

Kenapa Nanyang tidak menyeru supaya kerajaan Malaysia memandang ke Selatan dalam soal ini?

Di Singapura tidak ada perasaan ketakutan orang Melayu kepada kaum lain untuk menjadikan Singapura sebagai negara Cina tetapi di Malaysia, inilah yang diperjuangkan oleh masyarakat Cina.

Benar kata Guntor beliau tidak perlu menghunus keris untuk dapatkan kuasa di Singapura, tetapi tingkah laku kebanyakan orang Cina Malaysia yang kecinaan menyebabkan orang Melayu terpaksa mengingatkan mereka bahawa negara ini perlu terus berkeris.

Tan Melaka
Putrajaya
Perkauman, hipokrasi hidup subur dalam politik negara

Oleh Jamhariah Jaafar

2010/08/12 Berita Harian Online

ISU perkauman terus menjadi perbualan. Seorang demi seorang ahli politik membuat kenyataan, yang akhirnya menjurus isu ini kepada krisis yang jika tidak dikekang akan membawa padah amat buruk kepada keharmonian negara yang dihuni rakyat pelbagai kaum dan agama.

Dalam suasana politik kini, rata-rata ahli politik bermain dengan sentimen bangsa dan kaum demi meraih simpati dan sokongan rakyat, dalam usaha mereka untuk merebut kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Setiap parti politik tersepit dengan permainan politik perkauman masing-masing. Setiap parti sedar mereka tidak boleh bergerak bersendirian, sebaliknya perlu bekerjasama dengan parti politik lain sekiranya mahu mencapai agenda dan matlamat masing-masing. Catatan terbaru bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, To Be or Not To Be A Racist (Untuk Menjadi atau Tidak Menjadi Seorang Rasis) dalam blognya amat menarik apabila beliau menamatkan tulisannya dengan mengatakan: Hipokrasi sesungguhnya amat hidup di dalam politik Malaysia.

Ramai pemerhati politik berbelah pendapat apabila membaca tulisan Dr Mahathir, malah beliau sendiri mengaku terkejut apabila seorang bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bangun menyoalnya mengapa BN tidak memberi lebih banyak jawatan kepada kaum Cina dan melantik mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri atau pembantu menteri besar, seperti yang dibuat pembangkang di negeri yang dikuasai mereka hari ini.

Saya terperanjat dengan kritikan seorang bekas wakil rakyat kerajaan negeri atau Persekutuan ini ke atas BN. Adakah saya perlu menjawab dengan jujur atau tidak menjawab, sebaliknya memberi pandangan baik dalam usaha tidak kedengaran begitu rasis? Tapi dengan bertanyakan soalan ini, bukankah si penyoal juga bersikap rasis? soal bekas Perdana Menteri Malaysia itu.

Dr Mahathir nyata tidak menjawab soalan itu secara langsung pada forum dihadiri ramai bekas wakil rakyat BN itu, tetapi soalan itu menghantui dirinya sehingga beliau membuat keputusan untuk menjawab mengapa tidak banyak jawatan diberi kepada China di dalam pentadbiran Kerajaan BN, serta mengapa Umno kelihatan kurang memberi perhatian kepada amalan agama bangsa Cina.

Nyata, beliau tidak boleh lari daripada faktor ekonomi yang akhirnya menjurus kepada pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) 40 tahun lalu, yang menyaksikan bangsa peribumi masih belum lagi mencapai sasaran 30 peratus dalam pemilikan korporat, manakala bangsa Cina semakin galak menguasai ekonomi negara.

Dalam bidang politik, bangsa Melayu kelihatan masih menguasai. Kebanyakan jawatan tertinggi seperti PM, MB dipegang Melayu. Sekiranya jawatan ini dipegang bangsa Cina, maknanya bukan saja ekonomi di bawah kawalan Cina tapi arena politik juga akan terletak di bawah mereka. Apakah pegangan Melayu di dalam negara ini? soal Dr Mahathir di dalam blognya.

Jelasnya, DEB bertujuan memberi peluang kepada bangsa Melayu mencapai tahap ekonomi lebih adil dan hanya selepas mencapai kedudukan lebih baik, mereka tidak lagi akan menghadapi masalah bertolak ansur mengenai pengagihan kuasa di bidang politik.

Tapi kerana belum mencapai kedudukan yang adil dalam bidang ekonomi, mereka (Melayu) perlu dibenarkan mengekalkan kuasa lebih besar dalam politik, katanya.

Dr Mahathir berkata, Pas lebih bertolak ansur dengan amalan keagamaan bangsa Cina, semata-mata kerana ingin undi bangsa Cina yang hari ini semakin ramai dengan lantang mengkritik pemerintahan BN yang didakwa tidak berlaku adil apabila terus memberi perlindungan dan layanan istimewa kepada kaum Bumiputera.

Ingat, dulu Pas pernah mengutuk Umno kerana mengambil MCA sebagai rakan kongsi. Sekarang Pas sanggup menerima DAP sebagai rakan. Ia adalah hipokrasi politik, bukan perkongsian yang jujur.

Saya bercakap mengenai isu perkauman hanya kerana penyoal saya bertanya isu kaum. Dikatakan prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum 2008 disebabkan rakyat Malaysia bosan dengan parti dan politik perkauman. Saya meraguinya. Sejak 2008 lebih banyak perdebatan mengenai bangsa terjadi, berbanding sebelumnya dan penyoal saya sudah membuktikannya. Perkauman jelas masih menjadi satu isu di Malaysia.

Sekiranya PAS begitu melampau dalam menyokong bangsa Cina hari ini, bukan kerana parti berkenaan sudah tidak lagi dipengaruhi isu bangsa dan agama. Ia hanya kerana ia mahu bermain dengan sentimen perkauman bangsa Cina dalam usaha untuk memenangi undi Cina. Sikap hipokrit sesungguhnya amat hidup di dalam politik Malaysia.

Tulisan Dr Mahathir sudah pasti akan diterima penyokong kerajaan, dipandang sinis pembangkang terutama Pas dan DAP, manakala majoriti bangsa Cina sudah pasti marah kerana berasa mereka terus dianaktirikan walaupun Malaysia sudah lebih 50 tahun merdeka.
Pengotor punca denggi: Nik Aziz


2010/08/12 Berita Harian Online

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, menyifatkan sikap segelintir penduduk yang tidak mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW mengutamakan kebersihan dalam kehidupan harian, menjadi punca peningkatan kes denggi di negeri ini.

Beliau melahirkan rasa bimbang terhadap peningkatan kes demam denggi di negeri ini yang mencatat 1,399 kes sepanjang enam bulan lalu, berbanding 807 kes sepanjang tempoh sama tahun lalu. Katanya, lebih membimbangkan lagi sudah enam orang meninggal dunia akibat denggi sepanjang tempoh itu, sedangkan pada tempoh sama tahun lalu satu kematian dicatatkan. Denggi ini bahaya kepada kita dan saya merasa amat bimbang kerana kes itu sudah semakin meningkat berbanding tahun lalu.

Malah keadaan kini menjadi lebih menakutkan lagi kerana sudah enam kematian, sedangkan tahun lalu seorang saja, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ihya Ramadan Masjid Kota Darulnaim, di sini, semalam.
Pembanci hadapi masalah sikap masyarakat Cina


2010/08/11 Berita Harian Online

PUTRAJAYA: Masalah sikap orang ramai, khususnya masyarakat Cina merupakan cabaran utama pembanci melakukan tugas pembancian sepanjang gerakan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 setakat ini, kata Pesuruhjaya Banci dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof.

Beliau berkata terdapat antara mereka mengatakan mereka tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris. "Rungutan kebiasaannya datang dari masyarakat Cina yang mengatakan mereka hanya tahu berbahasa Mandarin. "Itu tidak harusnya terjadi kerana kita sebagai rakyat Malaysia, sebagai penduduk Malaysia sejak Merdeka hampir 53 tahun, sudah pasti tahu untuk menggunakan salah satu bahasa itu," katanya.

Borang soal selidik yang mengandungi 51 soalan dengan empat bahagian dibuat dalam dua bahasa Melayu dan Inggeris.

Banci 2010 dijalankan dalam tiga fasa dan kini ia berada terakhir yang sedang berlangsung bermula pada 7 Ogos berakhir 22 Ogos ini.

Fasa I dan II telahpun dijalankan, masing-masing dari 6 Julai hingga 22 Julai dan 23 Julai hingga 6 Ogos lalu.

Wan Ramlah berkata bahawa dalam Fasa I Banci 2010, 70 peratus daripada mereka yang tidak memberikan respon adalah masyarakat Cina.

"Kita bukan mahu bersikap perkauman dalam mendedahkan masalah ini. Perdana Menteri sendiri menyatakan Konsep 1Malaysia adalah untuk kebaikan semua kaum.

"Kalau kita mahu laksanakan konsep ini untuk semua, ia mesti ikut statistik berdasarkan kaum dan kumpulan etnik," katanya.

Wan Ramlah berkata Jabatan Perangkaan terpaksa mendapatkan kerjasama media berbahasa Cina, petugas jabatan berbangsa Cina dan persatuan-persatuan mewakili masyarakat itu bagi memberi respon kepada pembanci.

"Malah, seperti apa yang berlaku di Johor, hampir setiap hari muka Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri Johor, Tiew Chin Tong, terpampang di surat khabar Cina bagi memberi penerangan tentang pentingnya pembancian ini," katanya.

Wan Ramlah berkata masyarakat Cina tidak boleh mengatakan mereka tidak memahami soalan yang disediakan kerana kebanyakan mereka tinggal di bandar dan mendapat akses kemudahan pendidikan.

"Kita faham sekiranya ia melibatkan masyarakat seperti Iban, Kadazan, Murut yang berada di Sabah dan Sarawak yang kurang mendapat akses pendidikan," katanya.

Wan Ramlah berkata, jabatan telah menyediakan pembanci daripada kalangan masyarakat setempat bagi membantu penduduk di Sabah dan Sarawak mengisi borang soal selidik, dengan menggunakan bahasa mereka sendiri.

"Kita bimbang komuniti di daerah tertentu seperti ini, bukan saja Cina, tidak akan diambil kira) jika mereka tidak respon, dan kibatnya, pembangunan di tempat tertentu tidak dapat dilaksanakan dengan tepat kerana masalah penduduk yang tidak dapat dikira ini.

"ini juga melibatkan negeri lain. Kalau negeri itu tidak mahu respon, mereka akan rugi," katanya.

Masalah sikap ini juga telah dialami sendiri oleh Wan Ramlah apabila ketika membuat tinjauan, beberapa anjing dilepaskan bagi menghalang pembanci mendekati rumah.

Beliau berkata jabatan boleh mengambil tindakan terhadap orang ramai yang enggan memberi kerjasama berdasarkan Akta Banci 1960.

"Mengikut undang-undang, orang ramai dikehendaki beri kerjasama. Ramai penduduk yang tidak tahu tentang tindakan yang boleh diambil ini. Jika kami ingin ambil tindakan, sememangnya boleh," katanya.

Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan, sejumlah 28.3 juta penduduk dan 7.5 juta tempat kediaman di Malaysia akan dibanci.

Setiap fasa akan membanci 2.5 juta tempat kediaman dan setakat Fasa I, 2.4 juta tempat kediaman telah dibanci, kata Wan Ramlah.

Kos Banci 2010 adalah sebanyak RM200.2 juta dengan kira-kira 26,000 pembanci dan 3,000 penyelia