Sunday, May 9, 2010

Bahasa Malaysia 2

Prof. Dr. Awang Sariyan
Sabtu, 13 Februari 2010 13:41 | Ditulis oleh profabdullah |



Musibah PPSMI dalam Konteks Cabaran Bahasa Melayu sebagai Tunjang Tamadun


Akademi Pengajian Melayu

Universiti Malaya

dan

Beijing Foreign Studies University



Pendahuluan



Semua ahli bahasa, ahli falsafah, ahli sosiologi dan ahli psikologi dari zaman awal hingga kini sependapat bahawa bahasa merupakan cerminan kebudayaan dan tamadun sesuatu bangsa. Tamadun Barat yang dirintis oleh bangsa Yunani sejak lima atau enam abad sebelum Masihi tumbuh dan berkembang sehingga menjadi teras kebudayaan Barat melalui kekuatan bahasa Yunani. Demikianlah kemudian kebudayaan dan tamadun Barat ditunjang oleh bahasa Latin, bahasa Perancis dan kemudian oleh bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa Eropah yang lain. Tamadun Islam pun dengan jelas bertunjangkan keutuhan bahasa Arab, khususnya sesudah bahasa itu menjadi bahasa al-Qur`an dan bahasa Islam.



Bahasa Melayu sebagai Tunjang Tamadun



Bahasa Melayu sebagai asas utama kebudayaan Melayu dan kebudayaan negara telah mula berperanan sebagai bahasa kebudayaan dan tamadun selewat-lewatnya pada abad ketujuh, iaitu pada zaman kerajaan Sriwijaya dan kemudian secara lebih nyata dan luas dalam zaman kesultanan Melayu. Dalam zaman Sriwijaya, bahasa Melayu telah menjadi tunjang tamadun sekurang-kurangnya dalam tiga aspek utama, iaitu sebagai bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa pengembangan agama Buddha dan bahasa perdagangan. Dalam zaman kesultanan Melayu pula, bahasa Melayu telah menjadi wahana seluruh aspek kehidupan bertamadun, baik dalam bidang pentadbiran, undang-undang, ilmu, keagamaan, susastera, perdagangan, mahupun hubungan diplomatik.



Selain menjadi bahasa kerajaan-kerajaan Melayu yang meliputi Kepulauan Melayu, bahasa tersebut turut menjadi bahasa antarbangsa apabila bahasa itu digunakan dalam surat-menyurat dan perjanjian antara kerajaan Melayu dengan kerajaan asing, terutama dari Eropah. Malah sejarah mencatat bahawa bahasa Melayu menjadi lingua franca atau bahasa perhubungan umum antara masyarakat di alam Melayu dengan para pedagang, pendakwah dan golongan lain yang berurusan di rantau ini.



Apabila konsep negara baharu hendak diwujudkan bagi Persekutuan Tanah Melayu sesudah dimerdekakan oleh penjajah Inggeris, bahasa Melayu menjadi salah satu tunjang konsep kenegaraan, iaitu dengan peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi serta bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara. Maka wujudlah dasar negara yang dikenal sebagai Dasar Bahasa Kebangsaan. Itulah peranan bahasa Melayu yang selama hampir setengah abad dipupuk dan diupayakan menjadi salah satu asas pembinaan dan peneguhan konsep negara bangsa.



Cabaran kepada Bahasa Melayu



Dalam proses itu, tidak jarang dan tidak kurang ujian yang melanda bahasa Melayu sebagai teras tamadun bangsa dan negara, sama ada yang berpunca daripada sikap kalangan yang tidak yakin akan kemampuan bahasa itu sebagai bahasa ilmu, bahasa sains dan teknologi atau yang berakibat daripada kalangan yang jiwanya telah tertawan oleh segala yang unggul daripada kebudayaan Barat. Kalangan anglophile ini amat taksub akan segala nilai dan seluruh aspek kebudayaan Barat, termasuk bahasanya. Bagi mereka, bangsa dan negara tidak akan maju tanpa berteraskan kebudayaan yang telah menawan jiwa mereka itu. Wujudnya kalangan itu dapat difahami apabila kita membaca huraian Ibnu Khaldun, Malek Ben Nabi, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan pemikir Islam yang lain.



Bahasa Melayu yang telah lebih satu alaf menjadi wahana tamadun di rantau ini digerhanakan, mula-mula oleh penjajah yang meletakkan bahasa itu setaraf dengan bahasa vernakular Cina dan Tamil apabila bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar sekolah vernakular Melayu, jauh lebih rendah daripada bahasa Inggeris yang menjadi bahasa pengantar sekolah elit. Sesudah negara kita bebas daripada penjajahan, nasib bahasa Melayu digerhanakan pula oleh pihak-pihak tertentu daripada kalangan sebilangan kita sendiri. Malah amat malang halnya kerana antara yang menggerhanakan bahasa Melayu adalah sejumlah orang Melayu sendiri. Inilah bahayanya apabila kita kehilangan “makna diri” kita sebagai bangsa Melayu sehingga sanggup meremehkan tunjang kebudayaan dan tamadun yang penting, iaitu bahasanya sendiri.



Saya telah merumuskan kegerhanaan dan penggerhanaan bahasa Melayu dalam beberapa wacana (seminar, kongres, persidangan dan juga tulisan) dalam dua aspek utama, iaitu aspek taraf dan mutu bahasa Melayu.



Kemerosotan dalam aspek taraf bermaksud penyempitan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang, iaitu Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan mutakhir ini ternyata bukan semakin meluas tetapi kian mengecil. Apabila subjek-subjek yang berteraskan sains dan matematik diputuskan diajarkan dalam bahasa Inggeris (sehingga unjurannya menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Inggeris sehingga akan mencapai 80% dalam sistem pendidikan negara), misalnya, kita pasti tidak dapat memenuhi aspirasi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang telah diputuskan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.



Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat, terutama yang bertanggangjawab dalam bidang rasmi penggunaan bahasa Melayu, terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya percampuran kod, bahasa sms, bahasa sembang di internet, dan sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi. Demikian juga, semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing (misalnya pada suatu waktu dahulu kota pentadbiran negara Putrajaya dicemarkan oleh keghairahan Perbadanan Putrajaya menggunakan precinct, parcel dan boulevard untuk penamaan jalan dan kawasan).



Senario kini tentang kedudukan bahasa Melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa Melayu dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang fungsional, iaitu yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Senario itu tergambar pada beberapa perkara yang berikut:



1. Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi seperti mesyuarat, pekeliling, majlis rasmi dan sebagainya yang masih tidak mengutamakan bahasa Melayu seperti yang ditafsirkan sebagai “bahasa rasmi” dalam Perlembagaan.



2. Tidak tegasnya dan tidak selarasnya penguatkuasaan penggunaan bahasa dalam sektor tertentu seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam (melibatkan pihak berkuasa tempatan), penyiaran (melibatkan Kementerian Penerangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia).



3. Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan, seperti pengajaran subjek-subjek berasaskan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah, peningkatan dan peluasan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kursus di IPTA dan juga pengecualian pengajaran di IPTS dalam bahasa asing serta pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib.



4. Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadang kala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat (pemimpin, profesional dan orang awam) untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.



5. Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, sementara bahasa Inggeris dianggap menjadi kayu ukur taraf sosial dan pendidikan serta menjanjikan pulangan ekonomi, misalnya dalam hal peluang pekerjaan. Jika bahasa Melayu digunakan pula, masih besar jumlah anggota masyarakat, termasuk golongan yang berpengaruh yang menggunakannya pada tahap mutu bahasa yang tidak begitu mencerminkan budaya tinggi.



6. Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu. Sebagai contoh, dalam pada DBP mengusahakan pelibatan sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (menurut laporan The Star pada 1 Januari 2004) membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan dan iklan. Seorang menteri kanan pula, yang pada waktu itu menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa, melalui media juga, mengajak masyarakat mengabaikan pejuang bahasa yang didakwanya berfikiran sempit, lalu menyeru agar digiatkan usaha meluaskan penggunaan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan. Dengan tidak segan-silu dan berasa hormat kepada salah satu asas kenegaraan, iaitu bahasa kebangsaan, ia mengisytiharkan bahawa urusan di kementeriannya kebanyakannya dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Inggeris.



Cabaran Khusus dalam Bidang Pendidikan: Musibah PPSMI



Secara khusus, dalam sistem pendidikan, telah berlaku penurunan martabat dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila dilakukan tindakan yang jelas untuk mengurangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan, iaitu dasar yang diasaskan pada Penyata Razak 1956. Pada tahun 1993, Perdana Menteri pada waktu itu, Dr. Mahathir Mohamad membuat pengisytiharan bahawa semua kuliah sains dan tekonologi di universiti hendaklah disampaikan dalam bahasa Inggeris. Keputusannya itu bertentangan dengan pendiriannya pada awal tahun 1970-an ketika menjadi Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan yang dengan tegas menyatakan bahawa bahasa Melayu mestilah dijadikan bahasa pengantar utama untuk semua kursus di universiti.



Pada waktu itu, kumpulan-kumpulan cendekiawan yang faham dan masih kental semangat kebangsaannya mengadakan pertemuan demi pertemuan dan gerakan menasihati kerajaan agar tidak melaksanakan keputusan Perdana Menteri. Sebahagian besar memorandum, resolusi dan pernyataan serta makalah yang membantah keputusan telah diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 1996 dalam buku yang berjudul Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa, dengan Allahyarham Asraf sebagai editornya. Kebetulan ketika itu masih ada tenaga unggul dalam kepemimpinan negara yang menjadi penaung kepada gerakan kebangsaan sehingga akhirnya keputusan itu senyap begitu sahaja.



Tidak sampai 10 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2002, Perdana Menteri yang sama membuat pengumuman bahawa mata pelajaran sains dan matematik di sekolah akan diajarkan dalam bahasa Inggeris pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2003. Inilah rasanya kali pertama dalam sejarah negara ini satu dasar baru yang merombak dasar selama puluhan tahun dilaksanakan dalam tempoh yang cukup singkat, iaitu satu tahun. Orang yang tidak lupa kepada sejarah dasar dan sistem pendidikan di negara ini tentu masih ingat bahawa dasar pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan yang digagaskan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 hingga diterapkan dalam Akta Pelajaran 1961, baru dilaksanakan dengan pesat pada tahun 1970 apabila Abdul Rahman Ya`kub (Tun Datuk Patinggi) menjadi Menteri Pelajaran. Ertinya untuk pelaksanaan dasar yang menjadi acuan pembentukan generasi baru yang bersatu padu dan memperoleh ilmu serta sistem nilai melalui satu bahasa kebangsaan hanya dapat dimulakan berbelas-belas tahun kemudian.



Kemudian apabila kerajaan mendapati perlunya sistem pendidikan yang menekanakan pembinaan manusiawi, maka Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pelajaran ketika itu membuat kajian dan menerbitkan kajian itu pada tahun 1979. Sebagai hasil rumusan dan syor jawatankuasa tersebut, dirancang pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Ternyata bahawa pelaksanaan dasar dan sistem baharu itu mengambil waktu lapan tahun kerana hanya dilaksanakan pada tahun 1988 sesudah melalui kajian demi kajian, projek rintiss dan penyempurnaan prasarana.



Setelah terlaksana Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama selama kira-kira 30 tahun, dengan kejayaan melahirkan tidak kurang 5.4 juta lepasan di peringkat SPM yang sebahagiannya kemudian melanjutkan pengajian di peringkat tinggi dan menjadi tenaga penggerak pembangunan negara dalam pelbagai bidang, dilakukan perubahan yang cukup drastik. Tiada kajian yang dijalankan dan tiada perundingan yang dilakukan dengan pakar-pakar pendidikan. Bahkan tiada sama sekali dilakukan cuba uji melalui projek rintis di sejumlah sekolah seperti yang lazimnya dilakukan dalam pelaksanaan mana-mana sistem yang baharu.



Seminar, forum, dialog, memorandum dan pernyataan media yang mengemukakan bantahan atau sekurang-kurangnya permintaan agar ditangguhkan pelaksanaan dasar baharu itu hampir-hampir tidak diendahkan. Resolusi Kongres Pendidikan Melayu Kedua pada 26 – 27 Mac 2005 yang mendesak ditangguhkan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dipandang sepi, malah beberapa hari sesudah tamat kongres itu, Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri mengumumkan bahawa dasar itu diteruskan, walaupun dalam ucapan penutupan kongres beliau berjanji bahawa kerajaan akan membuat kajian yang mendalam untuk menimbangkan keputusan meneruskan atau menangguhkan dasar baharu itu. Sejarah baharu telah berlaku di negara ini sekali lagi apabila “kajian mendalam” selesai dalam tempoh tiga hari!



Yang bangkit bersuara orang-orang yang sama, yang telah dianggap fanatik, ekstrem, jumud dan pernah didakwa pengkhianat, kerana kononnya menghalang anak bangsa menjadi pandai dan menghalang anak bangsa menguasai bahasa asing. Untunglah masih ada dalam kalangan UMNO yang prihatin akan peranan bahasa Melayu dalam pembinaan tamadun bangsa dan negara. Resolusi Badan Perhubungan UMNO Johor dalam Konvensyen UMNO Johor pada penghujung bulan Oktober tahun 2006 meminta disemak dasar meritokrasi dan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Sayangnya suara UMNO Johor itu tidak mendapat perhatian daripada UMNO pusat dan ironis pula halnya kerana yang melaksanakan PPSMI ialah menteri yang datang dari Johor! Demikianlah resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7 (6-8 November 2006) yang turut mendesak dikaji dasar pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris pun ditolak dengan kenyataan tegas pemimpin negara bahawa dasar tersebut tetap diteruskan.



Beberapa kajian ilmiah peringkat sarjana dan kajian institusi serta individu tertentu menunjukkan bahawa pelaksanan dasar baharu itu membawa bencana dan padah yang bukan kecil. Implikasi negatif yang cukup segera dirasakan daripada pelaksanaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, terutama oleh anak-anak di luar bandar yang majoritinya orang Melayu ialah gangguan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik disebabkan oleh faktor penggunaan bahasa asing. Pelajar mengalami masalah kerana terpaksa memindahkan konsep-konsep sains dan matematik daripada bahasa asing ke dalam bahasa ibundanya dalam keadaan pelajar tidak atau belum menguasai bahasa asing itu.



Bilangan pelajar yang terlibat dengan pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sehingga tahun 2004 ialah 1.88 juta orang dan menjelang 2010 dijangka jumlahnya menjangkau 2 juta orang. Jika sekalipun 50% daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar dianggap menguasai bahasa Inggeris, namun terdapat hampir 1 juta (0.94 juta), terutama pelajar di luar bandar yang menghadapi masalah pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hakikat yang penting ialah bahawa golongan pelajar yang paling banyak menjadi mangsa daripada pelaksanaan dasar tersebut terdiri daripada anak-anak bangsa Melayu.



Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Nor Hashimah Jalaluddin (2004) menunjukkan ketidaksediaan pelajar belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggerus. Kenyataan tersebut tergambar pada dapatan kajian bahawa 75% pelajar tidak setuju sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris, 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan sains dan matematik dengan berkesan, 71% meminati sains dan matematik kerana diajarkan dalam bahasa Melayu, 70% yakin akan cemerlang dalam sains dan matematik jika diajarkan dalam bahasa Melayu. Kajian DBP-UKM pada tahun 2004 tentang persepsi pelajar menunjukkan bahawa amat rendah tahap kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kesediaan mereka belajar sains dan matemtik sepenuhnya dalam bahasa Inggeris hanya 5.9% (untuk sains) dan 5% (untuk matematik).



Yang lebih malang lagi, kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM (2004) menunjukkan penurunan prestasi yang cukup mencemaskan dalam kalangan pelajar yang terlibat dalam mata pelajaran sains, matematik, bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Melayu. Dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 2 pada tahun pengajian 2004 (pelajar yang mula belajar sains dan matematik di tingkatan 1 pada tahun 2003 dalam bahasa Inggeris), peratus pelajar yang mendapat gred cemerlang (gred A) bagi mata pelajaran sains hanya 11.9% dan bagi mata pelajaran matematik hanya 16.9%. Hampir separuh daripada sampel yang dikaji (45.49%) mendapat gred gagal dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Bagi mata pelajaran bahasa Inggeris pula, hanya 10.4% yang mencapai gred A. Malang sekali apabila yang mencapai gred A dalam mata pelajaran bahasa Melayu hanya 18.7% dan 16.7% malahan gagal (mendapat gred E). Kejatuhan prestasi dalam mata pelajaran bahasa Melayu itu barangkali disebabkan kekeliruan yang terjadi pada guru dan juga pelajar dalam tempoh peralihan yang mengejut pelaksanaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik.



Pihak yang sangat penting dalam pelaksanaan dasar tersebut, iaitu guru sendiri menghadapi masalah yang amat besar. Daripada sejumlah 181,340 orang guru di sekolah rendah pada tahun 2004, dianggarkan kira-kira 80,000 orang terlibat dalam pengajaran sains dan matematik dan semuanya terlatih dalam bahasa Melayu yang dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara sejak tahun 1970. Dengan pelaksanaan dasar tersebut secara mendadak, dapat dipastikan berlakunya masalah pengajaran yang dihadapi oleh guru-guru. Kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM pada tahun 2004 di 242 buah sekolah menengah di seluruh negara menunjukkan bahawa guru tidak mempunyai kesediaan untuk mengajarkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hanya 54.7% guru sains dan 62.2% guru matematik yang mampu menerangkan konsep sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kajian Norhashimah Jalaluddin yang dijalankan pada tahun 2004 dengan jelas menunjukkan bahawa 81% guru mahu sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu, 72% mengatakan bahawa pencapaian pelajar dalam sains da matematik akan lebih cemerlang jika diajarkan dalam bahasa Melayu, dan 79% berpendapat bahawa pelajar lebih dapat menumpukan perhatian jika kedua-dua mata pelajaran itu diajarkan dalam bahasa Melayu.



Kini peribahasa “lulus jarum luluslah kelindan” sudah mula berlaku di Institut Pengajian Tinggi Awam apabila semua universiti kerajaan telah mula melaksanakan dasar ke arah pengajaran subjek-subjek sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, sebagai suatu kesinambungan yang logis daripada dasar yang dilaksanakan di peringkat sekolah. Universiti seakan-akan tiada pilihan lain kerana pelanggan yang diterima merupakan mereka yang telah dilatih dalam bahasa Inggeris.



Kesan Buruk PPSMI



Akhirnya, sebagaimana yang dirumuskan oleh Kumpulan Prihatian (2005), kita akan menyaksikan kesan-kesan yang berikut daripada penarikan semula dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama:



1. Akibat kepada Bahasa Melayu

Proses menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu dan bahasa moden akan terhenti. Sebaliknya bahasa Melayu akan terperosok sebagai bahasa pasar sahaja. Istilah yang telah dicipta yang telah mencecah satu juta untuk ratusan bidang ilmu, termasuk ilmu terkini seperti aeroangkasa, tidak akan digunakan dan istilah baharu tidak ada keperluannya untuk dicipta lagi. Buku dalam bidang sains, perubatan, ekonomi, perniagaan dan teknologi tidak akan diterbitkan dalam bahasa Melayu kerana tidak akan ada lagi pembacanya. Kedudukan bahasa Melayu dalam semua bidang, terutama dalam bidang ilmu dan perniagaan di negara bertuah Malaysia ini akan jatuh ke nombor tiga di bawah bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.



Amatlah mencemaskan bahawa pada satu waktu kelak bahasa Melayu hanya menjadi bahasa pengantar bagi kira-kira 20% sahaja, iaitu bagi mata pelajaran yang bukan tergolong dalam sains dan teknologi. Selalu dihujahkan bahawa perubahan ini hanya bagi dua mata pelajaran sahaja. Hakikatnya jauh berbeda.Yang berikut ini ialah unjuran yang dapat dirumuskan daripada perancangan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran:



Sekolah Rendah:

BM 60%; BI 40%



Sekolah Menengah:

Tingkatan 3: BM 62%; BI 38%

Tingkatan 4 & 5 Sastera: BM 56%; BI 44%

Tingkatan 4 & 5 Sains: BM 36%; BI 64%

Tingkatan 4 & 5 Biologi: BM 33%; BI 67%

Tingkatan 4 & 5 Reka Cipta: 32%; BI 68%

Tingkatan 4 Akaun: BM 47%; BI 53%

SPM: BM 29%; BI 71%



Tingkatan 6 Sastera:

BM 60%; BI 40%



Tingkatan 6 Sains dan Matrikulasi:

BM 20%; BI 80%



Peringkat Universiti:

BM: Kursus Sastera dan Pengajian Islam; BI: Semua kursus lain



Malah ada kursus sastera di universiti tertentu yang wajib dikuliahkan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris. Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya sendiri pada tahun 2007 diarahkan memulakan pengajaran 30% peratus dalam bahasa Inggeris sehingga akhirnya mencapai 70% dari tahun ke tahun, tetapi syukurlah dengan perjuangan kepimpinannya arahan itu dapat dihindarkan, tetapi soalnya sampai bila kita perlu memerangi sikap karut seperti itu.



2. Akibat kepada Pelajar Melayu

Kesannya kepada pelajar, terutama pelajar Melayu daripada sudut penguasaan ilmu sains dan matematik buruk sekali. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang masih belum mempunyai kemahiran kecekapan bahasa yang asas akan menghadapi masalah untuk membaca buku teks, berdailog, berdebat dan memberikan gerak balas bertulis dalam ujian dan peperiksaan. Inilah masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Melayu kini. Masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya menuding jari kepada pelajar dan guru bahawa mereka mahu mencari jalan mudah. Belum terbukti di mana-mana pun alat teknologi mampu menggantikan guru di bilik darjah. Yang perlu diingat, wajarkah kita memperjudikan nasib masa depan anak bangsa kita dengan menggunakan kaedah yang belum terbukti berhasil di mana-mana di muka bumi ini? Seorang bernama Steven Lee telah membangkitkan hal ini dalam Berita Harian 19 April 2005 bertajuk, “Pendekatan Pembelajaran Bukan Boleh ‘Dicuba-cuba’”.



3. Akibat kepada Media Massa Berbahasa Melayu

Pada tahun 1960-an dahulu tulisan Jawi dikeluarkan daripada bilik darjah. Sebagai akibatnya, hari ini sebahagian besar orang Melayu buta Jawi. Akhbar Utusan Melayu yang asalnya dalam tulisan Jawi dahulu menjadi lidah dan alat perjuangan bangsa Melayu. Tulisan Jawi menjadi hina apabila akhbar Utusan Melayu terpaksa ditutup dan kemudian diselamatkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan dijadikan sisipan dalam akhbar Utusan Malaysia pada setiap hari Isnin. Lambat-laun akhbar berbahasa Melayu tidak lagi mampu menjadi wadah ilmu, pemikiran dan penyatuan umat Melayu. Inilah yang besar kemungkinannya akan berlaku kepada media berbahasa Melayu 20 tahun dari sekarang. Akhbar Melayu tidak akan lagi memuatkan ruangan teknologi, kesihatan, ekonomi, perniagaan, komputer dan lain-lain kerana tidak akan ada pembacanya. Pembaca akhbar nanti tidak lagi menguasai istilah dalam bidang-bidang ini dalam bahasa Melayu. Dapatkah akhbar hidup tanpa ruangan ekonomi, perniagaan, kesihatan, sains, teknologi dan sebagainya?



Pada hari ini pun, di negara Malaysia yang majoritinya bangsa Melayu dan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, edaran akhbar terbesar berbahasa Melayu jatuh ke nombor tiga di bawah akhbar berbahasa Mandarin dan Inggeris. Bayangkan 10 tahun dari sekarang akibat penukaran bahasa pengantar 80% mata pelajaran di sekolah ke dalam bahasa Inggeris.



Penutup



Kos budaya, pendidikan dan politik bagi penyelewengan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan ini terlalu menggerunkan untuk diabaikan. Apa yang dikatakan sebagai perubahan bahasa pengantar dua mata pelajaran sahaja sebenarnya akan membawa malatpetaka kepada bangsa Melayu. Mampukah bahasa Melayu bertahan sebagai tunjang kebudayaan dan tamadun apabila secara jelas peranannya kian dihakis dan dipinggirkan dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun di negara ini? Adakah sanggup kita membayangkan bahawa pada suatu waktu kelak anak cucu bangsa Melayu terpaksa menangisi hikmah yang hilang – hikmah dalam bentuk bahasa, sastera dan budayanya, sebagaimana yang dialami oleh diaspora Melayu di Thailand selatan, di Filipina selatan, di Sri Lanka, di Kampuchea dan di tempat lain? Kita yang membayangkan rasa cemas sedemikian pasti dicap pesimistik, tetapi apatah ruginya kita berhemah dan berhubaya-hubaya agar tidak tertimpa kepada kita nasib ”Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.

Bahasa Malaysia 3

Shaharir bin Mohamad Zain
Sabtu, 13 Februari 2010 13:42 | Ditulis oleh profabdullah |

PENCAPAIAN SAKTI MELAYU MALAYSIA 1958-2002: SEBUAH TRAGEDI DALAM PERADABAN MELAYU MODEN

Pusat Sains Matematik UKM, dan

Presiden Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)



Fakta yang tidak diketahui?


Dalam masa empat dasawarsa sahaja, Malaysia mampu melahirkan sarjana bertaraf dunia dalam pelbagai bidang SAKTI. Sekaligus perkembangan dan kemajuan yang berlaku pada bahasa Melayu adalah pada tahap fenomenal. Hanya mereka yang terbenam ria dalam budaya berbahasa lain sahaja yang tidak sedar atau tidak mahu mengakui hakikat ini. Malangnya itulah yang nampaknya sedang berlaku di kalangan para pemimpin Melayu yang berkuasa sekarang yang mewarisi pemupukan dan pemagaran bahasa Melayu tetapi nampaknya sedang memakannya pula sehingga SITC , simbol pencapaian pendidikan Melayu pertama pada abad ke-20, telah menjadi mangsanya, dan dijangka tidak lama lagi UKM, simbol mercu pendidikan Melayu, turut musnah dengan tangisan tidak berlagu lagi.


Pencapaian prasiswwazah

UKM ditubuhkan pada 1970 bagi memajukan ilmu dalam bahasa Melayu dalam kebanyakan bidang ilmu dan sekaligus menjadi penyatu bangsa dan penyinambungan asas penubuhan SITC 1922 dan Kolej Islam Kelang 1955, dua institusi tertinggi yang menjadi kebanggaan Melayu sebelum merdeka! (Lihat sejarah UKM oleh Mohd Ali 1981). UTM pula menjadi pelopor pendidikan kejuruteraan dan teknologi dalam bahasa Melayu sejak 1978. Universiti-universit awam yang lain turut berada dalam aliran ini sejak 1983. Walaupun bidang perubatan, belum lagi dijalankan dalam bahasa Melayu sepenuhnya hingga kini, termasuklah di UKM, malah bidang ini hanya dijalankan dalam bahasa Melayu sehingga tahun ketiganya sahaja (tahun praklinik) dan dua tahun kemudiannya (peringkat klinik) hampir semuanya dalam bahasa Inggeris, namun semua universiti awam sudah menjadi universiti Melayu (bahasa pengantarnya dominan Melayu, dan begitulah juga dengan komposisi pelajar dan pekerjanya) sekurang-kurangnya sejak 1987 (tahun keramat semua universiti awam melahirkan prasiswazah aliran Melayu dalam semua bidang kecuali perubatan). Satu-satunya universiti swasta pada masa itu ialah UIA yang menggunakan bahasa Inggeris dan Arab sebagai bahasa pengantarnya.


Sejak kemeriahan bahasa Melayu 1987 itu, dianggarkan sekurang-kurangnya secara puratanya 4 ribu prasiwazah SAKTI aliran Melayu dihasilkan oleh universiti-universiti awam kita setiap tahun. Jika dilihat dalam bidang teknologi maklumat (TM) pula, suatu bidang yang sering difitnahkan sebagai tidak layak diajar apatah lagi dimajukan atau dibangunkan dalam bahasa Melayu kerana kepantasan perkembangan ilmu itu dalam bahasa asing (Inggeris) dan kononnya pelajar aliran Melayu tidak mampu mengikutinya, maka data di UKM sahaja pun menyangkal keras prasangka buruk dan jahat ini. Pertamanya, bidang ini telah diajar dalam bahasa Melayu di UKM sejak tahun 1975 lagi di bawah program sains komputer, dan ijazah dalam bidang ini pertama kali dikeluarkan oleh UKM mulai 1979, walaupun Fakulti Teknologi Maklumat UKM hanya ditubuhkan pada tahun 1994 sahaja. Fakulti TM, sains maklumat, sains komputer atau gabungannya di IPTA lain telah beberapa tahun ditubuhkan lebih awal daripada 1990 lagi yang semua programnya dijalankan di dalam bahasa Melayu juga. Umpamanya Fakulti Sains Komputer dan Sains Maklumat (FSKSM) di UTM ditubuhkan pada 1984 lagi. Tetapi sebelum tertubuhnya fakulti ini pun, sejak 1985 lagi UTM sudah pun melahirkan puluhan prasiswazah TM dalam aliran Melayu setiap tahun (Sila rujuk sesawang UTM). Sejak 1994 tidak kurang daripada 2 ribu orang prasiswazah SAKTI setahun, termasuk kira-kira 200 orang prasiswazah TM setahun, dapat dikeluarkan oleh setiap lima buah universiti awam besar (UKM, UM, UPM, USM dan UTM) dan semuanya dalam bahasa Melayu, tertutamanya selepas 1982). Contohnya, dalam konvokesyen UKM 2001, seramai tidak kurang drp 2500 orang pelajar SAKTI dianugerahi ijazah pertamanya masing-masing termasuklah bidang TM seramai tidak kurang drp 400 orang (Buku cenderamata konvokesyen UKM 2001. Perincian data prasiswazah UKM sehingga 1994, lihqat risalah Intisari UKM 1995). Kejayaan Malaysia dalam pembangunannya sejak 1974 (semenjak prasiswazah aliran Melayu wujud) dan dengan pesatnya dalam tahun 1980-an dan 1990-an itu tentunya sebahagian besarnya berupa sumbangan para lulusan aliran Melayu juga, sekurang-kurangnya mereka yang memperoleh pendidikan sains dan matematik sehingga ke peringkat SPM. Kenapalah pemimpin kita lupa bahawa dalam tempoh itu juga, menerusi pendidikan alairan Melayu inilah puluhan ribu setahun pelajar Malaysia mampu bersaing di universiti antarabangsa (di negara-negara berbahasa Inggeris, negara-negara di Eropah, Jepun, negara-negara Arab dan lain-lain lagi) dengan membawa pulang ijazah masing-masing (termasuklah Melayu sekitar 5 ribu setahun itu).


Pencapaian Siswazah

Sementara itu, siswazah Sarjana aliran Melayu (kursus dan/atau tesisnya dalam bahasa Melayu) dalam bidang sains dihasilkan pertama kalinya pada tahun 1980 (geologi) dan Doktor Falsafahnya (D. Fal.) pada tahun 1985 (sains hayat) yang kedua-duanya di UKM. Sarjana dalam TM (teknologi maklumat, bidang yang paling kerap dikatakan tidak sesuai/mampu dalam bahasa Melayu) dihasilkan mulai 1985 di UKM atas nama sains komputer; manakala peringkat D.Fal. dalam bidang TM dihasilkan mulai 1998. Sejak 1980 hingga 2002 UKM sahaja telah menghasilkan kira-kira 2 ribu buah tesis Sarjana dan D. Fal., dan dalam bidang TM sahaja sejak 1995 hingga kini UKM telah menghasilkan hampir 300 buah tesis. Jika universiti awam lain dianggap juga menghasilkan siswazah Sarjana dan D.Fal. dengan tesisnya dalam bahasa Melayu sekurang-kurangnya sejak 1990 (7 tahun selepas semua program ijazah pertamanya dalam bahasa Melayu) maka ribuan tesis lagi terhasil dari universiti-universiti awam lain itu. Sejak 1990-an juga setiap tahun beberapa orang sarjana SAKTI Malaysia yang berpendidikan aliran Melayu sekurang-kurangnya sehingga SPM berjaya menggodol hadiah rekacipta bertaraf dunia yang diadakan di Eropah. Yang lainnya, ada yang beroleh hadiah tesis Ph.D yang terbaik dan sebagainya di universiti-universiti terkemuka di seberang laut. Semua ini menyangkal dakwaan jahat yang kononnya lulusan aliran Melayu tidak berdaya saing atau tidak bertaraf dunia.


Pencapaian Dunia Akademia

Sekurang-kurangnya sejak 1994 lagi peratusan akademiawan bidang SAKTI universiti-universiti di Malaysia yang berijazah pertamanya dalam aliran bahasa Melayu dari UKM sahaja pun cukup ramai, iaitu melebihi 30% (UKM 44% bidang S & T dan 29% bidang kesihatan, UPM 24% , UTM kira-kira 46%). Kini dianggarkan lebih daripada 50% kaki tangan akademik universiti-universiti kita terdiri daripada mereka yang sekurang-kurangnya berijazah pertamanya dalam aliran Melayu. Ramai daripada mereka ini sudah membuktikan kehebatan pendidikan dalam aliran bahasa Melayu di antarabangsa pun menerusi forum-forum akademianya (penerbitan, persidangan dan sebagainya yang bertaraf dunia) dan peggondolannya hadiah di pertandingan rekacipta antarabangsa dan sebagainya.


Pencapaian Pengimbangan Kaum dalam Dunia Keikhtisasan SAKTI

Kejayaan pendidikan aliran Melayu juga dapat dilihat daripada segi kejayaan kita mengimbangi komposisi kaum dalam pelbagai sektor selain daripada sektor akademik. Dalam tahun 1999, arkitek Melayu 29% (tahun 1970 hanya 4%), doktor gigi Melayu 35% (tahun 1970 hanya 3%), doktor haiwan 43% (tahun 1970 hanya 4%), doktor perubatan lain 37% (tahun 1970 hanya 4%), juru ukur 45% (tahun 1970 tiada datanya tetapi dipercayai tidak banyak jauhnya dearipa 4% itu) dan jurutera 27% (tahun 1970 hanya 7%). Pemimpin-pemimpin persatuan berasaskan SAKTI kini kira-kira 50% orang Melayu (tahun 1970 dahulu datanya tiada, tetapi tentunya tidak lebih daripada angka 4%-7% itu). Dalam dunia akademik dan penyelidikan SAKTI, peratusan Melayu dikira sudah tidak seimbang lagi, iaitu melebihi 80% kecuali kesihatan sekitar 50%, geologi sekitar 60% dan farmasi 70%. (Lihat juga Rajah 1, manakala perincian data ini ada dipaparkan dalam Shaharir 2002).


Pencapaian dalam Pengantarbangsaan SAKTI Melayu

Selain daripada kejayaan dalam pencapaian pertandingan rasmi atau tidaknya di arena antarabangsa di kalangan para lulusan atau sarjana Malaysia beraliran Melayu yang tersebut di atas, pengantarabangsaan bahasa SAKTI dan bahasa Melayu juga berlaku menerusi puluhan ribu tesis Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bahasa Melayu yang disebut di atas itu. Ini berlaku apabila para sarjana luar negara terpaksa merujuk tesis-tesis ini apabila mereka ingin mengetahui dengan lebih terperinci lagi akan ilmu ciptaan siswazah Malaysia itu apabila mereka mengetahui kewujudannya menerusi penerbitan atau forum-forum ilmiah (seminar dan sebagainya). Satu lagi kejayaan besar pendidikan SAKTI aliran Melayu ialah kejayaan kita mewujudkan para sarjana yang berfikir secara nasional walaupun bekerja di antarabangsa sehingga mereka ini mengantarabangsakan bahasa Melayu menerusi istilah bidangnya masing-masing. Dalam bidang zoologi umpamanya kini sudah lebih daripada 300 istilah haiwan dalam bentuk L M dengan L dalam bahasa Latin dan M dalam bahasa Melayu daripada warna seperti hijau, jalur, tompok, dan sebagainya (contohnya, Arthrotus hijau); atau kata sifat seperti ajaib, cantik, lawa, indah dan sebagainya; atau daripada nama tempat di Malaysia seperti pahangi (drp Pahang); atau nama orang Melayu seperti ismaili (drp Ismail) seperti yang dipaparkan oleh Muhammad Salleh (2002). Penulis ini sendiri memperkenalkan istilah resapion (drp resap + ion) dalam karyanya yang telah diantarabangsakan. Ini mustahil berlaku jika SAKTI kita tidak dalam aliran Melayu sebagaimana yang terbukti pada sarjana kita di Universiti Malaya sebelum 1983. Sekaligus terbuktilah juga kekosongan dakwaan “maju bangsa majulah bahasa” itu.


Masalah Pendidikan SAKTI dalam Aliran Melayu

Di samping kejayaan demi kejayaa yang tercapai menerusi pendidikan SAKTI dalam bahasa Melayu itu, sepertilah juga dengan aliran bahasa lain di dunia ini (termasuk aliran Inggeris di UK dan Amer. Syarikat pun!), pendidikan dalam bahasa Melayu telah tidaklah menghapuskan semua masalah pendidikan orang Melayu yang dihadapinya selama ini. Malangnya, bagi pencita dan pengagum bahasa Inggeris (dan mungkin sekali kebudayaannya) masalah-masalah ini kononnya disebabkan oleh bahasa Melayu secara intrinsiknya. Mereka percaya pula masalah-masalah yang masih wujud itu kononnya semuanya dapat diselesaikan menerusi penghayatan bahasa Inggeris dalam pendidikan “sains dan matematik” dalam bahasa Inggeris bahkan dalam seluruh kehidupan ini seperti yang nampaknya diimpikan oleh pemimpin besar Melayu Selangor.



Pihak-pihak yang memang gembira atau terpaksa bersetuju dengan dasar baru kerajaan mengenengahkan pelbagai helah untuk menegakkan akan wajarnya dasar itu dan ini dibicarakan satu persatunya di bawah ini.


Pantasnya sains dan matematik berubah


Helah kewajaran dasar bahasa baru di sekolah yang sering disuarakan ialah betapa sains dan matematik kini pantas berubah dan tidak mungkin dikejar dalam bahasa Melayu. Mereka ini lupa bahawa seseorang perlu menguasai asas-asas sains dan matematik itu dahulu sebelum terlintas atau termampunya seseorang itu mahu mengejar ilmu berkenaan itu. Jikalau diajar dalam bahasa sendiri pun kebanyakannya tidak dapat menguasai asas-asa itu, masakan berlaku sebaliknya jika diajar dalam bahasa bukan bahasa ibundanya? Mereka juga lupa atau jahil betapa sains dan matematik sekolah adalah ilmu asas ynag berumur ratusan tahun dan tidak berubah sedikit pun, apatah lagi kononnya berubah-ubah menerusi bahasa Inggeris sahaja, sehingga tidak dapat dikejar dalam bahasa selain daripada bahasa Inggeris itu. Ini satu pembohongan semata-mata! Malah sains dan matematik di peringkat universiti (peringkat ijazah pertama) pun hampir tidak berubah juga. Yang berubahnya, selain daripada ilmu di peringkat pasca-siswazah, ialah teknologi terutamanya teknologi komputer sahaja, dan itu pun bikan menerusi bahasa Inggeris sahaja, tetapi banyaklah siswazah aliran Melayu (dan tidak semua aliran Inggeris pun) selama ini memang mampu mengikuti perkembangan itu. Mungkin yang boleh diterima tak mampunya Malaysia (di bawah sistem pendidikan Melayu selama ini dan Inggeris sebelum itu!) ialah membuat inovasi sendiri atau mencipta yang baru sendiri. Tetapi penginovasian dan penciptaan tiada memihak kepada bahasa Inggeris sahaja! Malah sehingga kini orang Inggeris sendiri umpamanya bukanlah penginovasi atau/dan pencipta yang biak/produktif atau terhandal!



Bahasa Inggeris kunci ajaib-sakti penguasaan sains dan matematik


Satu lagi helah pewajaran dasar bahasa di sekolah ialah kononnya belajar dalam bahasa Inggeris boleh mempercepatkan dan meningkatkan pencapaian orang Melayu khususnya menguasai sains dan matematik. Mereka ini mengeluh (seolah-olah merekalah sahaja yang prihatin!) kerana dengan pendidikan dalam bahasa Melayu selama lebih 40 tahun pun pencapaian Melayu yang cemerlang masih ketinggalan berbanding dengan kaum Cina. (Memang! Mengikut perkiraan penulis nisbahnya kira-kira 1: 9 di peringkat SPM dan 1:19 di peringkat universiti tempatan). Mereka ini berhujah dengan yakin dan sombongnya (mungkin kerana kuasa di sebelahnya!) bahawa kononnya dengan dasar pengInggerisan pendidikan sains dan matematik sekolah, pada mulanya orang-orang Melayu mungkin akan menurun lagi pencapaiannya kerana masalah bahasa Inggeris itu, tetapi kemudiannya, atas kesedarannya, tekanan dan sebagainya, orang Melayu (di luar bandar sekali pun) akan menguasai bahasa Inggeris dan seterus dapat menguasai sains dan matematik dengan lebih baiknya. Tidak lama selepas itu kononnya kita akan menjadi pencipta SAKTI! Hujah taajub inilah juga yang menyebab mereka ini mencanangkan slogan “maju bangsa majulah bahasa” kerana kononnya bahasa Melayu sekarang tak maju-maju dan tiada siapa yang mahu belajarnya kerana orang Melayu mundur, sedangkan apabila Melayu maju kelak (menerusi bahasa Inggeris itu) maka baharulah bahasa Melayu pun akan turut menjadi maju dan ingin dipelajari oleh orang-orang lain seperti bahasa-bahasa negara maju sekarang. Ini memang hujah sewel, membodohkan rakyat dan berharapan kosong sahaja. Tiada bukti dalam dunia ini, dan tidak masuk akal sesiapa pun yang waras dan ikhlas, yang kaedah sebegini memang berjaya seperti yang di-Mat-Jeninkan itu.


Kejayaan lebih daripada 5 ribu setahun pelajar Melayu dalam aliran Melayu memperoleh ijazah dalam aliran pelbagai bahasa di seberang laut, terutamanya dalam bahasa yang kerajaan begitu perihatin dan sangsi kebolehan anak Melayu, iaitu bahasa Inggeris, menyangkal tohmahan yang kononnya pendidikan dalam bahasa Melayu semakin melemahkan Melayu, tidak berdaya saing dan sebagainya itu. Pencapaian anak-anak Melayu berbanding dengan bukan Melayu di semua peringkat sebenarnya jauh meningkat berbanding dengan zaman pendidikan bukan dalam aliran Melayu dahulu, walaupun jurangnya masih luas. Sudah ramai anak Melayu yang malah dapat berada di universiti-universiti terkemuka di dunia, di Amerika Syarikat dan di United Kingdom, dan bersama-sama dengan yang di universiti lain ramai pula yang beroleh kelas pertama pun. Jika pencapaian ini dicampurkan dengan yang di dalam negara, maka jurang pencapaian Melayu dengan suku kaum lain di Malaysia tidaklah seburuk yang digambarkan itu, malah mungkin sekali sama dengan jurang di peringkat SPM itu sahaja (yang perlu diakui masih luas jurangnya). Tetapi hipotesis yang nampaknya begitu dipercayai oleh UMNO bahawa jurang ini dapat disempitkan apabila bahasa pengantar ilmu sains dan matematik dijadikan dalam bahasa Inggeris adalah suatu yang di luar khayalan dan kefahaman orang-orang yang tidak terserkap/terpesona dengan bahasa Inggeris. Malah hampir semua kajian berhubung dengan hal ini yang dilakukan di luar negara memang menunjukkan sebaliknya! Tidak ada sebab seseorang tidak mahu mempercayai kajian ini. Lebih-lebih lagi apabila seseorang menyedari sebahagian besar negara maju sekarang (apatah lagi dahulu) bukannya negara yang sistem pendidikannya dalam aliran Inggeris!


Di dalam ketaasubannya kepada kebudayaan Inggeris, mereka ini sengaja enggan menerima hakikat tiada apa yang istimewanya bahasa Inggeris dalam penentuan tahap kejayaan atau pencapaian pendidikan atau penciptaan/pembangunan SAKTI. Mereka ini seolah-olah lupa bahawa setiap negara maju di dunia ini yang bahasa ibundanya/natifnya bukan bahasa Inggeris tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kehidupannya atau bahasa pengantar pendidikan SAKTI negaranya. Dalam pembangunan/penciptaan SAKTI amatlah jelas perkara ini kerana para ahli SAKTI besar dunia tidak didominasi oleh mereka yang berbahasa ibundanya Inggeris, atau mereka yang melalui sistem pendidikan aliran Inggeris sahaja, walaupun benar bahasa Inggeris semakin meluas penggunaannya sebagi bahasa komunikasi antarabangsa. Ini dibuktikan lagi oleh hasil ujian berkala empat tahun terhadap pencapaian pelajar-pelajar sekolah menengah seluruh dunia (kira-kira 40 buah negara yang mengambil bahagian) oleh pengkaji di Amerika Syarikat di bawah tajaan NSF-nya. Kini sudah 4 kali dilakukan dan kali terakhirnya setakat ini ialah 1999 (lihat Newsweek December 2, 1996 dan Internet 1; sepatutnya ada ujian ini tahun 2003 tetapi tiada berita yang kami peroleh setakat ini). Setiap kali kajian itu, hasilnya sepatutnya menyedarkan para pemabuk bahasa Inggeris di Malaysia ini kerana pencapaian negara-negara berbahasa Inggeris sekalipun (Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, Kanada, dan Ireland) mendapat kedudukan yang ke bawah daripada negara-negara lain (yang tidak berbahasa Inggeris).. Yang menariknya lagi Thailand (yang menggunakan bahasa sendiri) berprestasi yang sebanding dengan negara-negara berbahasa Inggeris itu, dan negara yang menggunakan bahasa asing (bahasa penjajahnya seperti Sepanyol, Pertugis, Perancis dan Inggeris) dalam sistem pendidakannya mendapat tempat corot. Negara kita (yang masih menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan sehingga kini dan oleh itu kononnya tidak berdaya saing itu) masuk dalam penilaian ini hanya tahun 1999 dan pencapaian kita juga agak baik, iaitu dapat mengatasi kebanyakan negara yang berbahasa yang para pemimpin kita citai dan kagumi itu (bahasa Ingeris) dan mengatasi Phillipina (yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pendidikannya). Satu-satunya negara yang tidak menggunakan bahasa sendiri dalam sistem pendidikannya tetapi berprestasi baik ialah Singapura. Tetapi ini pun sepatutnya tidaklah begitu merayakan golongan pencita bahasa Inggeris di Malaysia (dan di mana-mana jua) kerana prestasi Singapura dalam pertandingan-pertandingan antarabangsa yang lain lagi tidaklah pula membanggakan seperti dalam Olimpiad subjek-subjek sains sekolah yang dibicarakan di bawah ini. Tidak hairanlah, sejak 1999, Singapura sendiri tidak lagi percaya dasar ekabahasanya (bahasa Inggeris sahaja) dalam sistem pendidikannya boleh menjayakan Singapura pada masa hadapan kerana penyelidikannya membuktikan hanya sekitar 40% sahaja rakyatnya yang berpotensi menguasai bahasa Inggeris walaupun jumhur rakyat Singapura memang mengimpikan menjadi Barat lalu semakin ramai menjadi karikatur Barat. Ekoran daripada itulah pemerintah Singapura mengubah sistem pendidikannya kepada dwibahasa (Inggeris & Mandarin; atau Inggeris & Melayu) sambil mewujudkan kempen besar-besaran kepada keperluan nilai-nilai Konfusisme/Gong-Fu-Tzeisme) sehingga 1999 dikatakan sekurang-kurangnya 60% pelajar Sekolah Singapura berpendidikan sekolah rendahnya dalam dwibahasa Cina-Inggeris (Lihat internet 3).


Kedudukan negara-negara dalam pertandingan tahunan Olimpiad Antarabangsa Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi juga lebih kurang seperti kedudukan dalam ujian yang tersebut di atas juga, iaitu kedudukan pertama hingga sepuluh 10 digondol oleh negara-negara yang bahasa pengantar sekolahnya dalam bahasa ibundanya. (lihat internet 4). Umpamanya, Olimpiad Matematik Antarabangsa 2002 menintakan Republik China sebagai johan, diikuti oleh Rusia dan Amerika Syarikat, Bulgaria, Vietanam, Korea Selatan, Taiwan, Romania, India (satu-satunya bukan bahasa ibunda), dan Jerman. Olimpiad dalam Fizik 2002 tidak dapat diketahui tetapi dalam 2001, pemenangnya pertamanya dari Rusia diikuti oleh Iran, Belarus, India, Poland, Republik China, Amerika Syarikat dan Taiwan. Olimpiad dalam Kimia 2002 dimenangi oleh Republik China diikuti oleh India, Poland, Taiwan, Ukrain dan Korea Selatan. Olimpiad dalam Biologi dimenangi oleh Republik China diikuti oleh United Kingdom, Rusia, Taiwan, Korea Selatan. Dalam pertandingan-pertandingan Olimpiad ini, Singapura mengatasi negara-negara ASEAN hanya dalam bidang Biologi sahaja dan Phillipina (satu lagi sistem pendidikan yang nampaknya diidami oleh Malaysia kerana Inggerisnya) berada di corot! Mungkin para citawan Inggeris menonjolkan India pula, tetapi kenapa tidak negara-negara lain itu? Semuanya ini hanya manifestasi hukum sosial tentang kerelevanannya bahasa sendiri dalam pembangunan dan juga menunjukkan adanya faktor lain lagi dalam pencapaian ilmu, bukannya soal kesuperioran bahasa Inggeris seperti yang dibayangkan oleh dasar bahasa kerajaan yang baru ini. Tetapi, pemimpin Malaysia kini nampaknya membayangkan sikapnya yang berpendirian “lebih baik rakyat Malaysia ramai berbahasa Inggeris dalam kehidupan hariannya daripada berilmu tetapi tidak tahu Inggeris seperti Jepun”.


Aliran Melayu monyok, lemah dan tak boleh kerja dalam negara sendiri apatah lagi bersaing di antarabangsa


Pandangan bahawa lulusan aliran Melayu adalah lemah, tak boleh bekerja dan tidak boleh bersaing secara seluruhnya itu adalah satu tohmahan yang berniat jahat sahaja. Kejayaan lulusan sekolah pelajar-pelajar aliran Melayu yang diperihalkan pada awal makalah ini jelas menyangkal dakwaan ini. Kelemahan sana-sini tetap ada dan malangnya kelemahan itu ialah kerana sikap kita sendiri sahaja seperti yang dijelaskan di bawah ini.



Laporan jejak prasiswazah UKM yang dilakukan oleh Sham Sani et al. (1983) dan Faridah et al. (1987) kedua-duanya tidak banyak menimbulkan masalah keupayaan ilmu pada lulusan UKM (aliran Melayu) malah ada kemahiran lulusan UKM yang mengatasi lulusan dari universiti-universiti lain (dari luar atau dalam negara seperti aspek penyelidikan). Tetapi kedua-dua laporan itu memang ada menimbulkan budaya komunikasi dalam bahasa Inggeris di swasta yang tidak cocok dengan lulusan UKM, dan ini menunjukkan masyarakat kita, khususnya swasta, tidak pernah dan tidak mahu berubah dalam aspek kebahasaan ini. Inilah yang anehnya dan tidak kenanya dengan bangsa Melayu yang sudahpun ditonjolkan dengan sedih dan kesalnya oleh Munsyi Abdullah pada awal kurun ke-19M dahulu lagi, yang tidak berlaku pada bangsa lain yang maju di dunia ini, iaitu bangsa yang tidak mahu menggunakan atau memajukan bahasanya sendiri.


Masalah yang terjadi kepada lulusan aliran Melayu sebenarnya ciptaan orang Malaysia sendiri sahaja, yang boleh dihindari jika minda elitawan dan majikan Malaysia berubah. Perbuatan siapakah sehingga walaupun sudah ratusan ribu siswazah aliran Melayu terhasil, namun bahasa Melayu di sektor berpengaruh (sehingga 2003, selain pendidikan) masih menjadi melukut di tepi gantang? Dalam keadaan ini sudah tentulah lulusan aliran Melayu menghadapi masalah komunikasi di mana sahaja mereka bekerja samalah juga dengan lulusan Inggeris yang bekerja di Thailand atau Jepun umpamanya. Mereka ini menjadi monyok buat seketika. Sepatutnya kerajaan yang betul wawasannya semestinya menyalahkan golongan elitawan kita, bukan sistem pendidikan aliran Melayu itu yang dihina dan dicela. Sepatutnya kerajaan tidak membiarkan DBP sahaja terkial-kial menjalankan Minggu Bahasa Kebangsaan Swasta yang gagal itu. Sepatutnya kerajaan menawarkan berbagai-bagai bentuk insentif kepada swasta supaya mereka menggunakan bahasa rasmi negara dalam urusannya, bukannya membiarkan swasta yang menentukan nasib bahasa rasmi negara seperti yang berlaku selama ini.


Keberanian golongan citawan Inggeris muncul dengan hebatnya sejak 1990-an kerana sikap liberal kerjaaan dan arus sejagatisme serta kemelesetan ekonomi negara. Pangkungan mereka kepada lulusan aliran Melayu dan dunia akdemik Malaysia amnya menjangkau kepada tuduhan kononnya akademikawan selepas peMelayuan sistem pendidikan negara kurang bermutu berbanding dengan yang di UM pada zaman berbahasa Inggeris dahulu. Namun kajian Shaharir (1996) berasaskan pada karya-karya akademik para pensyarah UM (1966-1971) dan UKM (1980-1985) menunjukkan prestasi ahli akademik di kedua-dua universiti itu (dalam tempoh kajian itu) tidaklah berbeza sangat dalam kebanyakan bidang SAKTI, walaupun dalam bidang sains hayat dan matematik nampaknya pencapaian di UM lebih rendah, dan sarjana UKM jelas mengatasi UM dalam penulisan buku-buku teks pengajian tinggi. Pendeknya, dakwaan para pengkritik bahawa sarjana kita pada zaman pendidikan aliran Melayu kurang bermutu daripada yang pada zaman aliran Inggeris dahulu adalah curahan sentimen melulu dan nita jahat semata-mata.


Masalah pengangguran siswazah di Malaysia yang dikaitkan semata-mata dengan pendidikan aliran Melayu memanglah berniat jahat. Sebenarnya pengangguran itu lebih merupakan indeks keadaan ekonomi semasa sahaja dan indeks taburan pemilikan perusahaan mengikut kaum, bukannya indeks tahap kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sebesar seperti yang digembar-gemburkan itu. Bukankah sebelum Malaysia dilanda kemelesetan ekonomi siswazah aliran Melayu (bidang SAKTI) tetap memperoleh pekerjaan, dan bukankah siswazah di India dan di Phillipina yang beraliran Inggeris itu juga tidak mendapat pekerjaan di negara masing-masing?


Pendidikan dalam bahasa Melayu tidak digemari, memisahkan kaum dan tidak mampu menjadi bahasa perpaduan

Gambaran bahawa kononnya pendidikan dalam bahasa Melayu selama ini tidak berjaya kerana Cina tidak mahu belajar di sekolah aliran Melayu dan orang Melayu sendiri semakin lari daripada sekolah Melayu itu adalah suatu yang tidak tepat sama sekali. Di peringkat sekolah rendah memanglah betul tetapi amat wajar. Tetapi di peringkat yang lebih tinggi berlaku sebaliknya. Sebenarnya, hanya segelintir yang kecil sahaja pelajar aliran Cina ini meneruskan pengajiannya dalam aliran Cina di peringkat sekolah menengah. Lebih daripada 80% menukar aliran ke Sekolah Kebangsaan (aliran Melayu) apabila mereka memasuki Sekolah Menengah walaupun mereka ini terus, dan memang wajar, mengambil bahasanya sebagai satu daripada mata pelajarannya. Aliran Melayu tidak gagal! Kepopularan Sekolah Agama pula tidak bermakna aliran Melayu gagal, kerana sekolah itu juga aliran Melayu! Apa salahnya? Pengaliran seperatusan kecil orang Melayu menghantar anaknya ke sekolah aliran agama SAR atau sekolah agama swasta (jika ada) hanya menunjukkan kekurangan sekolah Kebangsaan dalam mata pelajaran Agama dan bahasa Arab sahaja. Jika faktor ini dapat diperbaiki di sekolah Kebangasaan, trend orang Melayu ke sekolah ‘aliran agama’ itu tentunya akan dapat dihentikan. Betapa sekolah aliran Melayu menarik perhatian ibu-bapa India sehingga hampir 50% ibu-bapa India menghantar anaknya ke Sekolah Rendah aliran Melayu tidak pula ditonjolkan. Kejayaan pelajar-pelajar Cina dan India di universiti-universiti awam (dalam bahasa Melayu) dan bagaimana pelajar-pelajar ini lebih selesa berbicara dalam bahasa Melayu sesama mereka dan dengan pelajar Melayu adalah tanda kejayaan pendidikan Melayu. Kenapa pemimpin Melayu nampaknya lebih suka jika mereka ini bercakap Inggeris pula? Bagaimana boleh bahasa asing menjadi bahasa perpaduan sedangkan kita telah pun melalui zaman itu sebelum 1970-an, dan perpaduan kita yang dibangga-banggakan selama ini tentunya manifestasi sistem pendidikan aliran Melayu.


Tiada kena mengenanya Identiti bangsa dengan aliran bahasa Pendidikan?


Mereka yang menegakkan teori bahawa kononnya pendidikan dalam aliran Inggeris sepenuhnya pun tidak akan menjejaskan identiti, kepatriotan dan kebudayaan, khususnya bahasa, bangsa apa pun di Malaysia, sebenarnya mereka yang sengaja tidak mahu mengiktiraf betapa bahasa itu jiwa bangsa, bahasa mempengaruhi keperibadian, tingkah laku, nilai dan cara hidup (kebudayaan) seseorang. Pencerap sosial manakah yang sanggup menyatakan China di Amerika sama dengan China di Benua China, atau China di Malaysia sekalipun! Pencerap sosial manakah yang sanggup memejamkan matanya untuk menegaskan bahawa Melayu yang mendapat pendidikan dalam aliran Inggeris dahulu sama dengan Melayu yang mendapat pendidikan dalam aliran bahasa Melayu pasca-Merdeka, atau Melayu yang mendapat pendidikan dalam aliran bahasa Arab? Melayu mana yang Melayu 100% adalah masalah perbezaan nilai kerana latar belakang pendidikan juga! Tetapi jika mengikut perlembagaan Malaysia sekali pun, orang yang tidak menggunakan bahasa Melayu di dalam sebahagaian besar kehidupannya (termasuk di rumah) tidak dianggap Melayu! Bagaimana kita boleh menjamin sebahagian besar daripada orang Malayu yang mendapat pendidikan hampir sepenuhnya dalam bahasa Inggeris akan sebahagian besarnya menghayati bahasa Melayu dalam kehidupan hariannya? Status penghayatan bahasa Inggeris sekarang pun (dalam keadaan dasar pendidikan kita hampir 100% bahasa Melayu) nampaknya masih mampu menjadi bahasa Melayu terpinggir, apatah lagi kelak dengan dasar bahasa baru ini? Pengecualian tetap ada, kerana itulah tabii hukum sosial. Sebagai contohnya, mengikut kajian sosial mutakhirnya pada 1999 (lihat internet 3), setelah kira-kira 20 tahun Singapura menjalankan dasar pendidikan ekabahasa (bahasa Inggeris sahaja), kira-kira 40% China Singapura menghayati bahasa Inggeris dalam kehidupannya (bahasa Inggeris menjadi bahasa ibundanya, dan mereka ini tidak boleh bercakap dalam bahasa China lagi) kerana sistem pendidikannya beraliran Inggeris sepenuhnya sekurang-kurangnya pasca-sekolah rendah. Ya, tiada siapapun mengatakan mereka ini menjadi orang Inggeris yang sama dengan orang Inggeris di England, walaupun pengkaji sosial mendapati mereka benar-benar mahu menjadi Inggeris dan menyukai kehidupan keInggerisan termasuklah keinginan tinggi memperisterikan/mempersuamikan orang Inggeris. Tetapi bukan sahaja pencerap sosial Singapura, malah pemerintah Singapura juga mendapati (dan tidak senang) dengan tahap keChinaan (nilai-nilai murni China) para citawan Inggeris ini! Ini bermakna 40% China Singapura sudah bukan China yang diingini (bukan China 100%?) oleh bangsa China Singapura! Oleh itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini dasar ekabahasa sudah diubah sedikit kepada dasar dwibahasa (Inggeris dan Mandarin) kepada sekitar 20% penduduk Singapura dengan menubuhkan beberapa buah sekolah khas dwibahasa ini.


Bala Perbuatan sendiri?


Penulis merasakan bala yang menimpa orang Melayu menerusi nasib bahasanya (dan kebudayaannya) yang diperkecil dan disingkirkan oleh pemimpinnya sendiri yang berlaku kini ialah angkara perbuatan kelengahan/kealpaan para peikhtisas dan sarjana SAKTI Melayu sendiri juga. Mereka ini yang seharusnya menjaga dan mengembangkan bahasanya bertindak seolah-olah sebaliknya dalam kehidupannya seperti yang dibicarakan di bawah ini.


Bahasa Melayu tak boleh hidup dalam dunia amalan keSAKTIan

Siswazah aliran Melayu sebenarnya berubah menjadi manusia yang tidak mahu berbicara dalam bahasa Melayu setelah mereka bekerja lima-enam bulan sahaja di swasta. Budaya berbahasa Melayu selama 3 atau 4 tahun di universiti pada tahap yang tinggi itu tidak melekat atau tidak dapat (tidak mahu/digalakkan/dibenarkan?) diamalkan dalam alam pekerjaannya akibat persekitarannya yang begitu kukuh dan kental dalam bahasa Inggeris, atau yang lebih dahsyat lagi kerana dasar organisasinya (penulis dimaklumkan umpamanya dalam perhotelan) sehingga sesiapa yang cuba menghayati bahasa Melayu dianggap ‘kurang cerdik’ atau ‘kurang berkebolehan’ atau ‘melanggar peraturan’. Sehingga kini perubahan minda para majikan atau elitawan Malaysia mungkin tidak dapat berlaku walaupun sudah ratusan ribu siswazah aliran Melayu berada di pasaran kerana bilangan yang sama atau lebih siswazah aliran Inggeris dari seberang laut dan kini dalam negara sendiri ada bersamanya dan sebahagian besarnya bukan bumiputera pula yang sentimennya kepada bahasa Melayu jauh lebih rendah daripada orang Melayu pula. Tetapi golongan peribumi yang dominan dalam sesuatu sektor SAKTI tidak pula memastikan tahap penghayatan bahasa Melayu tinggi kerana sifat Melayu Semenanjung yang pernah dikesali oleh Munsyi Abdullah pada awal abad ke-19 lagi itu, iaitu katanya Melayu ini satu-satunya bangsa dalam dunia ini yang tidak mahu menggunakan bahasanya sendiri!


Malah peratusan bumiputera/peribumi yang tinggi dalam dunia akademia lebih daripada 70% sejak 1990-an lagi tidak juga menjadikan dunia akademia di Malaysia berbudaya bahasa Melayu di dalam urusan kerjanya selain daripada pengajaran di bilik kuliah dan sebagainya. Ini jelas terpancar daripada karya mereka dalam jurnal dan pascasidang dalam negeri yang masih dominan dalam bahasa Inggeris, iaitu mengikut kajian Shaharir (1991) hanya 30% sahaja dalam bahasa Melayu dalam bidang kejuruteraan dan sains hayat, dan hanya sekitar 5 peratus sahaja dalam perubatan, walaupun dalam sains fizis (geologi, kimia dan fizik) dan sains matematik peratusannya agak tinggi iaitu sekitar 80%.


Angka-angka ini dalam tahun 1990-an pun tidak banyak berubah kerana mengikut kajian Shaharir (1996), hanya sekitar 40% daripada makalah-makalah dalam jurnal SAKTI keluaran UKM sejak 1983 hingga 1996 yang ditulis dalam bahasa Melayu. Jelas, kecuali bidang sains fizik dan matematik, penghayatan bahasa Melayu dalam forum akademia (penulisan jurnal dan persidangan tempatan) masih jauh drp memuaskan terutamanya dalam perubatan. Ini mungkin tidak menghairankan kerana peratusan peribumi/Bumiputera dalam dunia akademia perubatan ialah 50%, sedangkan peratusan itu dalam bidang-bidang lainnya melebihi 80%. Namun, tidaklah juga benar bahawa peratusan yang tinggi Bumiputera/Peribumi sahaja dengan sendirinya penghayatan bahasa Melayu pun tinggi. Malah, kajian tahun 1996 itu juga menunjukkan peratusan Bumiputera/Peribumi dalam komuniti akademia jurutera dan sains hayat juga sama atau melebihi bidang sains fizik dan matematik, tetapi jelas para jurutera Melayu dan ahli sains hayat Melayu sekalipun sengaja tidak mahu berkomunikasi dalam bahasanya sendiri.


Komuniti perubatan tentunya lebih hebat lagi keInggerisannya kerana pendidikan bidang ini pada peringkat penyudahnya (penting, iaitu peringkat klinik) selama 2 tahun memang dalam bahasa Inggeris. Komunikasi rasmi para doktor di hospital-hospital kerajaan masih tebal dalam bahasa Inggeris. Tetapi ini hanya penyinambungan budaya pendidikan dalam bidang perubatan yang memang masih tebal dalam bahasa Inggeris di peringkat kliniknya (tahun 4 dan 5) di UKM sekalipun. Baru-baru ini apabila penulis cuba mendapatkan tanda tangan daripada kalangan profesor perubatan di UKM bagi memorandum membantah dasar pengInggerisan sains dan matematik sekolah, hanya sekitar 40% sahaja yang bersetuju di kalangan Profesor Melayu tetapi tiada seorang pun daripada profesor bukan Melayu (berjumlah 12 orang). Namun para Profesor SAKTI bidang bukan Perubatan di UKM amatlah dominan menyokong bantahan dasar pengInggerisan sains dan matematik sekolah (iaitu sekitar 90%).


Betapa hebatnya penghayatan bahasa Inggeris dalam persatuan-persatuan ikhtisas dan semi-ikhtisan dalam bidang SAKTI memang tidak perlu diperkatakan dengan panjang lebarnya di sini. Satu daripada manifestasinya yang jelas dapat dilihat pada warkah berita atau buletin keluaran persatuan-persatuan yang anggotanya kebanyakannya akademiawan, dan Presidennya juga Peribumi/Bumiputera, hampir pasti dalam bahasa Inggeris [pada tahun 1995 penulis mendapati ada 40% persatuan SAKTI yang presidennya Melayu yang dapat dikesani, tetapi kini (tahun 2002) peratusannya meningkat menjadi 50% persatuan yang diketahui]. Bahasa komunikasi rasmi Akademi Sains Malaysia, badan yang anggotanya dianggap ahli SAKTI teratas Malaysia dan menjadi penasihat dasar SAKTI negara, adalah bahasa Inggeris. Tidak hairanlah juga, selain daripada kerana “takut”, tidak banyak persatuan-persatuan ini yang mahu menyatakan penentangannya terhadap dasar bahasa dalam pendidikan, iaitu hanya sekitar 30% daripada persatuan tersebut sahaja, dan tiada sebuah persatuan SAKTI berpresiden bukan Melayu yang mahu menyuarakan tidak senangnya terhadap dasar tersebut.


Penghayatan bahasa Melayu dalam sektor awam pun semakin merosot. Komunikasi ahli-ahli SAKTI dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dalam hal penyelidikan di bawah rancangan IRPA (singkatan Inggeris) tajaannya hampir semuanya dalam bahasa Inggeris, terutamanya sejak 1994 kerana sejak itu semua borang permohonan penyelidikan dalam bahasa Inggeris dan laporan penyelidikan dikehendaki dalam bahasa Inggeris atas alasan demi memudahkan penilaian dari pembaca luar negara. Pengelasan bidang-bidang penyelidikan anjuran IRPA yang dibuat oleh agensinya, MASTIC (singkatan Inggeris lagi), semuanya dalam bahasa Inggeris dan syor penulis supaya dibuat dalam dwibahasa Melayu-Inggeris tidak dilayan langsung. Dalam urusan penenderan kerajaan yang berhubung dengan pembelian alat atau pembinaan bangunan SAKTI hampir semuanya masih dijalankan dalam bahasa Inggeris, walaupun urusan tersebut membabitkan urusan dalam negeri sahaja.



Tidak syak lagi, tabiat berbahasa Inggeris yang tebal di kalangan ahli SAKTI yang berpengaruh seperti perubatan dan jurutera di swastalah yang memberi gambaran dan kesimpulan (bagi sesetengah pihak) gagalnya, tidak relevannya, atau tidak cocoknya pendidikan SAKTI dalam bahasa Melayu: lain yang dilatih, lain yang diamal; cakap tidak serupa bikin; atau akademikawan SAKTI hidup bermuka-muka (di dalam bilik kuliah lain, di luarnya lain). Sekarang inilah padahnya!


Tiadanya buku SAKTI peringkat IPT dalam Bahasa Melayu

Satu perkara yang jelas menjadi faktor penyingkiran kesesuaian bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan SAKTI ialah tentang kedaifan industri buku dalam bahasa Melayu. Andaian yang besarnya dan mudah diterima umum ialah, dengan ketandusan buku-buku dalam bahasa Melayu itu, pelajar universiti aliran Melayu tidak mungkin berilmu sehebat aliran Inggeris. Dengan penonjolan tidak putus-putus bahawa kononnya “pelajar aliran Melayu buta Inggeris”, maka kesahihan andaian ini sukar ditepis. Para sarjana yang terbabit dengan pendidikan aliran Melayu selama ini tidak mengambil serius tentang perkara ini, walaupun imbauan demi imbauan dilakukan, dan berpuas hati dengan hanya memastikan pelajarnya boleh merujuk buku-buku dalam bahasa Inggeris itu sahaja. Mengikut data-data dalam Shaharir (1991) dan Mohd Yusof (1995), sehingga 1994 hanya sejumlah 1073 buah buku SAKTI peringkat IPT dalam bahasa Melayu yang ada. Ini jelas menunjukkan benarnya buku-buku SAKTI dalam bahasa Melayu amat tidak mencukupi kerana daya pengeluarannya hanya sekitar 80 buah setahun oleh hampir 2 ribu akademiawan bidang SAKTI , iaitu kira-kira 1 buah buku setahun bagi setiap 25 orang sarjana SAKTI (Mengikut Shaharir 1996, pada tahun 1994, bilangan akademiawan Bumiputera dalam SAKTI ialah 1863 orang: 984 orang berijazah D.Fal./Ph.D atau setara, dan 879 orang yang berijazah sarjana atau setara). Tidak hairanlah begitu banyak kursus yang belum ada sebuah bukupun dalam bahasa Melayu. Malah, mengikut kajian Shaharir (1991) hanya 30% daripada mata kursus dalam program bidang sains fizis dan sains matematik yang ada sekurang-kurangnya sebuah buku teks dalam bahasa Melayu; manakala bidang sains hayat hanya sebanyak 17% dan kejuruteraan hanya 6%. Kini, mengikut buku panduan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM 2002, bidang yang selalu dirujuk kerana peranan dalam TMK/ICT dan sejagatisme/globalisme itu, didapati hanya kurang daripada 10% daripada mata kursusnya yang ada buku teks/rujukan dalam bahasa Melayu. Dengan data yang seperti ini siapalah yang hendak percaya seseorang boleh menguasi ilmu TMK dalam pendidikan beraliran bahasa Melayu? Nah! Dunia akademik Melayu yang malas berkarya dalam penghasilan buku-buku tekas pengajian bidang masing-masinglah yang menyebabkan tertimpanya bala ke atas bahasa Melayu sekarang!


Ini adalah kelemahan perancang bahasa yang tidak cukup mengambil berat tentang perkara ini. Sebabnya berlaku demikian sudah dibincangkan dalam seminar khas berkenaan dengan perkara ini pada 2001 (lihat kumpulan kertas kerja di Seminar Penerbitan Buku Sains dan Teknologi 2001, khususnya makalah Shaharir 2001). Satu daripadanya yang ingin diulangi di sini ialah kekurangan keiltizaman kita terhadap penerbitan buku dalam bahasa Melayu. Umpamanya, kita tidak beriltizam atau berwawasan mahu melahirkan sebuah institusi penterjemahan yang setara dengan Bait al-Hikmah pada Zaman Tamadun Islam, dan Pusat Terjemahan Toledo pada Zaman Pertengahan Eropah yang bergerak cergas setiap satunya tidak kurang daripada 150 tahun sebelum tamadun-tamadun itu menghasilkan karya asli mereka sendiri. Institut Terjemahan Negara (ITN) kita baru sahaja ditubuhkan, iaitu 1993, tetapi ironinya mulai tahun yang sama jugalah negara mula mengubah dasar bahasanya, seperti membenarkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar dalam SAKTI mulai 1994, mewujudkan Akta Pendidikan IPTS 1995 yang memberi laluan yang mudah untuk penubuhan kolej atau universiti swasta dalam bahasa Inggeris (kini dikatakan sudah berjumlah 700 kolej sedemikian). Dasar pengInggerisan pendidikan “sains dan matematik sekolah” seluruhnya menjelang 2003 dan pendidikan SAKTI di universiti awam menjelang 2005 ini hanya padahnya sahaja!


Mengeyakan Globalisme/Sejagatisme Barat


Tidak syak lagi teori-teori sejagatisme/globalisme Barat yang sering dikutuk oleh pemimpin kita itulah juga yang mendorong atau mempengaruhi kerajaan kita melaksanakan peliberalan segala-galanya termasuklah pendidikan di negara kita ini semenjak 1990-an. Teknologi maklumat (TM) yang menjadi komponen pentakrif utama sejagatisme itu memanglah begitu meluas meresapi ke segenap kehidupan manusia kini dan memanglah boleh melemahkan jiwa-jiwa manusia negara ketiga. Tidak syak lagilah bahawa kewujudan pelbagai wahana komunikasi teknologi canggih ini dan limpahan perusahaan maklumat akan terus memberi peluang kepada bahasa-bahasa ilmu semasa, seperti bahasa Inggeris, untuk memperkukuh peranannya sebagai bahasa yang digunakan dalam dunia komunikasi antarabangsa. Keadaan inilah yang melahirkan ramalan berakhirnya bahasa-bahasa bukan bertaraf bahasa ilmu kini, berakhirnya negara-bangsa, dan berbagai-bagai lagi termasuklah berakhirnya kebudayaan dan sistem nilai lain daripada Barat itu. Inilah juga dipercayai pendorong besar kepada dasar pengInggerisan pendidikan Malaysia.


Gambaran bahana TM yang dikatakan bahananya tidak boleh dielak-elak lagi itu sebenarnya tidaklah semuanya tepat, kerana sebahagiannya lebih merupakan pandangan, retorik dan strategi perang saraf (tindakan melemahkan jiwa atau menakut-nakutkan negara membangun/ketiga) dari negara maju yang sengaja mahu meneguhkan lagi hegemoninya dan kelestarian kekuasaannya. Bahasa-bahasa negara maju sebelum mencapai tahapnya seperti sekarang ini juga mengahadapi perang psikologi yang sama, bahasa-bahasa di Eropah melawan bahasa Inggeris (sekarang) dan abad-abad sebelum abad ke-19 ialah Perancis, Latin, dan Arab; dan Jepun melawan bahasa-bahasa Eropah. Teknologi maklumat bukan sahaja menguntungkan negara-negara yang maju, tetapi juga bagi negara-negara yang sedang membangun. Syaratnya, kita tidak mudah mengalah kerana jika kita mengalah, kita akan kalah sepanjang zaman pada hari muka ini, tetapi jika kita bersabar membina tamadun kita sendiri, dalam acuan kita sendiri, seperti sejarah kemajuan negara-negara maju itu, yang antaranya tentulah menerusi bahasa kita sendiri, maka TM boleh membantu kita mempercepatkan pembinaan tamadun yang kita impikan itu. Sikap pemimpin Melayu yang mudah mengikut rentah analisis sarjana-sarjana Barat terhadap implikasi-implikasi TM kepada sesuatu bangsa itulah maka bahasa dan bangsa Melayu memang akan menerima padah yang diramalkan oleh penganalisis Barat tentang TM itu.


Feudalisnya, materialisnya dan buntunya fikiran Islamis Melayu


Bibit pengInggerisan semula pendidikan di Malaysia boleh dikatakan bermula pada tahun 1985 lagi apabila kerajaan menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa yang tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa pengantarnya. Bahasa Melayu yang selama ini dianggap satu daripada bahasa yang paling akrab dengan Islam tidak mendapat tempat langsung di universiti tersebut. Tetapi para Islamis atau nasionalis Melayu kita tidak berbunyi apa-apa pun kerana tunduknya mereka kepada pemimpinnya yang disanjungi, sayang akan kedudukannya (pangkat dan/atau harta) atau yang lainnya kerana tidak mampu mensentisiskan dengan adilnya akan hubungan Islam dengan bahasa (kononnya Islam tidak relevan dengan bahasa sesuatu kaum). Kemudian bibit pengInggerisan ini merebak lagi apabila Perdana Menteri kita menyatakan hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini semasa beliau meletakkan batu asas kampus tetap UIA (aliran Inggeris) pada 24 Ogos 1993 dan diulanginya beberapa hari kemudian pada perasmian UNIMAS (yang para pemimpinnya memang terkenal bercita-cita pengInggerisan) pada 31 Ogos 1993. Tiada yang mempersoalkan kaedah pelaksanaan cita-cita ini vis-a vis bahasa Melayu. Tidak berapa lama kemudian, pada 27 Disember 1993 (dilaporkan di media massa 28 Disember), Perdana Menteri kita juga mengisytiharkan bahawa universiti-universiti awam boleh menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang sains dan teknologi, sedangkan semua universiti awam pada masa itu tidak menghadapi masalah yang besar pun dengan menggunakan bahasa Melayu. Perisytiharan yang cukup berkesan kepada nasib bahasa Melayu di IPT ini juga tidak ditentang dengan hebatnya oleh nasionalis Melayu yang bersarang dalam GAPENA, GPMS, Kesatuan Guru-Guru Melayu dan sebagainya itu kerana tidak ingin melukai pemimpin besar Melayu yang disanjunginya selama ini atau kerana mengenangkan kedudukan masing-masing. Ini manifestasi dalamnya feudalisme atau materialisme di kalangan para nasionalis Melayu.


Kemalapan bahasa Melayu ini menjadi semakin luas jangkauannya dengan termaktubnya Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1995 yang memberi laluan mudah pihak swasta mengabaikan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan menubuhkan kolej/universiti dalam bahasa Inggeris sehingga kini dikatakan berjumlah lebih daripada 700 buah itu (hampir semuanya dalam bahasa Inggeris). Pada masa yang sama kerajaan juga memberhentikan peruntukan kepada DBP dalam penerbitan buku IPT. Semua ini berlaku dalam keadaan yang sepatutnya begitu menghiris kalbu, atau membakar kemarahan para nasionalis Melayu tetapi feudalisme dan/atau materialisme menagatasinya, sehingga lagi sekali gerakan bantahan kepada kedua-dua peristiwa ini tidak seberapa juga. Dalam soal penerbitan buku IPT itu, DBP sendiri seolah-olah menerimanya dengan lapang dadanya sahaja hinggalah ke hari ini.


Nah! Lulus jarum luluslah kelindan. Kini dengan penuh licik dan orkestranya dasar mengInggeriskan mata pelajaran “sains dan matematik” sekolah pun berjaya dilaksanakan mulai 4/5 Januari 2003 seperti yang dirancang. Itu pun para nasionalis masih tidak mahu menggores hati para pemimpin besarnya yang berkuasa. Bala sudah lengkap datangnya.


Malaysia boleh!?


Hampir setiap negara yang mempunyai suku kaum minoritinya yang lemah dalam SAKTI dan bahasanya bukan bahasa pengantar pendidikan di negaranya mengadakan program pendidikan khas dalam sains dan matematik dalam dwibahasa (bahasanya dan bahasa pengantar rasmi) dengan tujuan menguatkan juga bahasa asing berkenaan. Buku-buku teks sekolah bagi kaum ini biasalah diselang-selikan dengan bahasa ibundanya, dan malah dibenarkan juga gurunya menjelaskan sesuatu konsep itu dalam bahasa ibunda pelajar berkenaan (lihat bibliografi beranotasi tentang perkara ini di internet 2). Langkah ini sebenarnya ekoran daripada adanya hasil-hasil penyelidikan dalam pendidikan, dan gerakan ilmuwannya dalam bidang etnosains dan etnomatematik (iaitu sains dan matematik yang dilihat daripada perspektif kaum), supaya sains dan matematik di peringkat sekolah rendah diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Di Amerika Syarikat kumpulan ilmuwan ini dalam matematik telah menubuhkan “The International Group of Ethnomathematics” sejak 1982 lagi. Tidak syak lagi juga tindakan ini adalah dipengaruhi oleh banyak hasil kajian yang menunjukkan bahawa tahap kefasihan bahasa pengantar ilmu seseorang pelajar mempengaruhi pencapaiannya dalam SAKTI dan oleh sebab itulah bahasa pengantar ilmu dalam bahasa ibunda seseorang adalah yang terbaik. Mereka ini juga tentunya tidak mahu tahu/percaya dengan pandangan Kuhnan sejak 1962 lagi (Kuhn 1962/1993) bahawa SAKTI itu tidak bebas bahasa dan kebudayaan amnya dan oleh itu pembangunan SAKTI menerusi bahasa dan kebudayaan yang berbeza itulah yang memberi persaingan hebat dalam penemuan/pembangunan SAKTI seperti yang terbukti sepanjang masa dan zaman. Model pendidikan ini, iaitu Inggeris +{bahasa ibunda pelajar} ternyata tidak menarik perhatian para pemimpin Melayu Malaysia yang berkuasa. Inilah agaknya manifestasi “Malaysia boleh!” membelakangi ilmu.


Hakikat bahawa sehingga kini belum ada negara yang mencapai tahap negara maju dalam bahasa asing negara tersebut memang tidak diendah langsung oleh pihak berkuasa Malaysia. Jawabannya mungkin “Malaysia Boleh!” sahaja. Hasil kajian (lihat umpamanya bibliografi beranotasi berkenaan bahasa dan matematik yang terdapat dalam internet 2) yang menunjukkan penguasaan sesuatu bahasa dahulu baharulah belajar SAKTI menerusi bahasa tersebut; dan pendidikan dalam bahasa ibunda adalah yang terbaik sekurang-kurang di peringkat sekolah rendahnya, malah sejarah pembangunan negara-negara maju membuktikan pendidikan dalam bahasa sendirilah yang paling berjaya lagi taidak mahu didengari. Kejayaan penyibaran ilmu semasa menerusi bahasa sendiri sudah menjadi hukum aqli dan naqli. Kejayaan Malaysia sehingga kini yang dibincang di atas hanya menambah dalil empirik kepada hukum ini. Begitu juga hukum pembangunan/pemajuan ilmu. Teori pendidikan dan penguasaan sesebuah bahasa juga tidak menyokong perbuatan menggunakan sains dan matematik sebagai caranya, malah cara ini akan menjejaskan pula prestasi mata pelajaran ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh kajian Marsh et al. (2000) di Hongkong dan kajian-kajian yang serupa di beberapa buah negara lain. Semua ini tidak memberi apa-apa pengajaran kepada kerajaan Malaysia.


Hukum kemajuan bangsa menerusi bahasanya sendiri, sebenarnya juga terkandung dalam al-Quran seperti dalam Surah Ibrahim, Ayat 4, dan Surah Ali ‘Imran, Ayat 164 yang bermaksud “Allah tidak mengutuskan seorang rasul pun melainkan daripada kalangan bangsanya sendiri agar mereka mudah memahami pengajaran ilmu (al-Kitab dan hikmah)”. Sesebuah negara yang tidak menginsafi hakikat ini, paling-paling baiknya negara-bangsa itu telah terbukti hanya menjadi karikatur daripada karikatur, komprador atau kreol sahaja!


Beberapa Syor


Walaupun tiada sarjana dunia yang membuat ramalan bahawa bahasa Melayu adalah satu daripada bahasa yang akan lenyap dalam era TM dan kerenah pemimpin bangsa berkenaa, tetapi kemalapannya sebagai bahasa ilmu tentunya akan berlaku jika langkah-langkah yang positif dan berani terus dilakukan mulai sekarang. Antaranya ialah perkara-perkara yang dianggap unsur-unsur gagalnya pendidikan Melayu yang dibicarakan di atas itu perlulah ditangani seperti berikut:


S1. Kerajaan sekurang-kurang mestilahlah menjadikan pendidikan dwibahasa, Inggeris + {bahasa Melayu} dengan dominanya bahasa Melayu, dalam sains dan matematik di Sekolah-Sekolah Kebangsaan bagi menggantikan pendidikan ekabahasa (Inggeris sahaja) sekarang.


S2. Pihak berkuasa universiti awam perlulah kekal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Contohnya, cadangan struktur baru pengajian SAKTI seperti di lampiran makalah ini patutlah diwujudkan oleh setiap universiti awam sebagai asas rundingan dengan pihak Kementerian.


S3. Universiti awam perlu mewujudkan perancangan strategi yang bermatlamat menjadikan p/rogram perubatan (peringkat klinik) di IPTA berjalan dalam bahasa Melayu sehingga ke tahap 60% dalam tempoh 10 tahun .


S4. Universiti Islam Antarabangsa memastikan dengan segera, kerana kemampuannya yang jelas, mengiktiraf hubungan rapat bahasa Melayu dengan Islam dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan memastikan sekurang-kurangnya 30% daripada kursusnya dalam bahasa Melayu dan seterusnya menuju kepada 60% dalam tempoh yang lebih singkat daripada universiti-universiti swasta yang lain.


S5. Institut Terjemahan Negara perlu bergiat cergas seperti Jabatan Karang Mengarang di SITC tahun 1950-an, Pusat Terjemahan Toledo abad ke-12M, dan Bait al-Hikmah di Baghdad abad ke-9M dengan sasaran yang munasabah dan penuh agresif seperti 1 buah buku setahun per 4 orang sarjana SAKTI (akan mengahsil kira-kira 500 buah buku setahun!). Sehubungan dengan ini IPTA (dan awam yang ingin ikut serta) diberi segala kemudahan prasarana (sumber) untuk penerbitan ini.


S6. Dewan Bahasa dan Pustaka menghidupkan kembali penerbitan buku-buku teks IPT walaupun peruntukan khusus untuknya tiada. Pada masa yang sama DBP perlulah berusaha tanpa jemu-jemu untuk meyakinkan Kementerian Pendidikan akan perlunya penerbitan buku peringkat IPT . DBP juga perlu merintis kerjasama penerbitan buku IPT dengan pihak Indonesia.


S7. Sebuah badan bukan kerajaan (BBK) seperti Persatuan Linguistik Malaysia bertindak menyatukan BBK yang turut memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bertindak bijak memepengaruhi kerjaaan supaya mengambil langkah-langkah yang berikut:


7.1. Kerajaan mengadakan berbagai-bagai insentif kepada syarikat (dalam bentuk cukai, subsidi dsbnya) yang menghayati bahasa Melayu dalam perjalanan urusan dan pentadbiran dalam sesuatu jabatan/bahagian syarikatnya. Sekaligus kerajaan atau mana-mana pihak perlulah memberhentikan rancangan memberi insetif kepada mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasminya. Sehubungan dengan ini dasar peMelayuan swasta perlu dilakukan oleh Kerajaan


7.2. Kerajaan, menerusi LAN, meletakkan syarat ke atas kolej/universiti swasta supaya mengadakan dasar peMelayuan kolej/universitinya sebagaimana yang pernah dilakukan kepada IPT awam dalam tahun 1970-an dahulu, sambil memberi pelbagai insentif kepada kolej/universiti yang galak melakukannya.


7.4. Kerajaan perlu mengambil iktibar yang lebih lagi tentang sistem pendidikan SAKTI di negara-negara maju di Eropah khususnya konteks bahasa pengantar dan penguasaan bahasa Inggeris.


7.5. Kerajaan memastikan budaya berbahasa Melayu di Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar perlulah ditingkatkan sehingga 60% daripadanya di dalam bahasa Melayu dalam masa yang singkat ini.


7.6. Kerajaan memansukhkan segala akta yang boleh memberi laluan mudah kepada sesiapapun mengelak daripada menggunakan bahasa Melayu perlulah dilakukan seperti memberi kuasa penuh kepada Menteri Pendidikan mengizinkan sesebuah institusi pendidikan menjalankan kursus dalam bahasa selain drp bahasa Melayu seperti dalam akta IPTS, pengizinan kpd Jabatan Hasil Dalam Negeri menggunakan bahasa Inggeris dalam “pentaksiran komputer dan perakuann pungutan dan penyiasatan” dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (semakan 1971) seksyen 41, pengecualian penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan kedoktoran di Kementeraian Kesihatan dalam Akta yang sama dan lain-lain lagi.


S8. Setiap kelompok sarjana, institusi dan badan swasta yang terlibat dengan TM berusaha memperbanyakkan bahan-bahan (perisian) TM dalam bahasa Melayu dengan mengingatkan pasarannya cukup besar iaitu di Alam Melayu ini dengan penduduknya melebihi 200 juta orang. Di samping itu sebuah Institut Kejuruteraan Perisian Malaysia bagi tujuan menyemarakkan lagi pengeluaran perisian itu perlulah diwujudkan dengan kerjasama kerajaan dan swasta. Sebagai kegiatan tambahannya, Institut ini bolehlah juga memfokuskan pengeluarannya bagi keperluan umat Islam.


S9. Sekolah agama rakyat (di bawah majlis agama negeri atau swasta) seluruh Malaysia perlulah mewujudkan persatuan seperti Dong Jiau Zhong itu dan sekaligus juga mewujudkan sebuah konsortium bagi menjaga kepentingan sekolah ini seperti mengadakan peperiksaan serta sijilnya tersendiri dengan sukatan pelajaran yang setara dengan yang di Sekolah Kebangsaan tetapi dalam aliran Arab dan Melayu termasuklah sains dan matematik dalam aliran Melayu.


S10. PLM-DBP menggembleng seberapa banyak BBK untuk membagankan/mencartakan strategi dan melaksanakannya dengan menjajak seluruh negara bagi memberi penjelasan kepada kumpulan-kumpulan berpengaruh akan pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ini termasuklah juga tindakan membantu pihak-pihak yang memperjuangkan bahasa ibunda (selain daripada Melayu) dalam pendidikan di peringkat sekolah tadika dan rendah.



Rujukan


Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971)


Akta Pendidikan 1995


Akta IPTS 1995


Akhbar perdana Mei 2002, khususnya Utusan Malaysia dan Berita Harian 16 Mei 2002


Buku Panduan IPT 1993/94


Faridah Karim et al. 1987. Laporan Kajian Prestasi Pelajar UKM.


Internet 1.http:// nces.ed.gov/timss/timss-r/figure_1.html. 12 Ogos 2002.

internet 2: http://www. Soton.ac.uk/rime/biblios/language.html. 12 Ogos 2002


Internet 3. Review of language, society and education in Singapore :http: //ccat.sas.upenn.edu/~haroldfs/messeas/handouts/ singapore/ gopi2. html. 12 Ogos 2002


Internet 4.Taipkan International X Olympiad, X = Mathematics, Physics, Chemistry dan Biology. 10 Januari 2003


Intisari UKM. 1995. Bil. 4. Okt/Nov.


Kuhn, T. 1962/1993. Struktur Revolusi Sains. DBP.Terj. drp karya aslinya dalam bahasa Inggeris 1970 (snt. ke-2) drp snt pertamanya 1962


Marsh, H.W., Hau, K-T. & Kong, C-K. 2000. Late immersion and language of instruction in Hong Kong High Schools: achievement growth in language and nonlanguage subjects. Harvard Educational Rev. Fall Issue: 302-346


Mohamad Salleh bin Mohamed Said. 2002. Qua Vadis Taksonomi Serangga. Syarahan Perdana UKM. Penerbit UKM


Mohd. Ali Kamaruddin. 1981. Sejarah Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi: UKM


Mohd. Yusof bin Hj. Othman. 1995. Penulisan sains dan teknologi dalamm bahasa Melayu: Satu tinjauan semasa dan masa hadapan. Konvensyen Penerbitan Kebangsaan. DBP: 4-6 Dis.


Newsweek 2 Dec. 1996


RML-RMDL. Laporan Rancangan Malaysia ke-5 hingga ke-8.


Shaharir bin Mohamad Zain. 2002. Berakhirnya SAKTI Melayu? Dewan Bahasa November


Shaharir bin Mohamad Zain. 2001. Masalah penerbitan buku pengajian tinggi dan strategi penyelesaiannya. Seminar Penerbitan Buku S & T anjuran UKM-DBP, 25 April 2001. Pascasidangnya diterbitkan oleh DBP 2002.


Shaharir bin Mohamad Zain. 1996. Pembangunan sains dan teknologi di Malaysia menerusi bahasa Melayu. Syarahan Raja Ali Haji 1996. Persatuan Linguistik Malaysia.


Shaharir bin Mohamad Zain. 1991. Tahap penghayatan bahasa Melayu dalam sains dan teknologi. Jurnal Dewan Bahasa. Dis., 1038-1051.


Sham Sani et al. 1983. Kajian Pengesanan Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia dari 1974-1980. Biro Penyelidikan dan Perundingan UKM.


Wawasan 2020. terj “Malaysia: The Way Forward” . Ucapan Dr. Mahathir Mohamad 28 Feb 1991 di Persidangan Pertama Majlis Perdagangan Malaysia K. Lumpur. Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri Malaysia 1991


LAMPIRAN


Saranan Struktur Baru Program SAKTI di IPTA


Struktur program baru pengajian SAKTI di IPTA yang disyorkan di bawah ini adalah tindakan balas dan protindakan dasar bahasa baru kerajaan, iaitu tindakan balas dasar bahasa pengantar bahasa Inggeris dalam sains dan matematik sekolah yang telah dilaksanakan mulai 4/5 Januari 2003 dan akan terus dipertahankan sekurang-kurang buat beberapa ketika pada masa hadapan ini (terutamanya pasca-Mahathir), dan hampir pasti dasar bahasa ini dikehendaki diperpanjangkan ke IPTA (termasuk di UKM) mulai 2005 ini. Andaian juga dibuat kemungkinan juga kerajaan memberi kuasa kepada IPTA (sekurang-kurangnya UKM), dan perlu dituntut, untuk menentukan dasar bahasanya sendiri sesuai dengan bidang kuasa Senat universiti. Oleh itu perakuan ini dibuat atas dua kemungkinan ini.


Kemungkinan 1: IPTA akan dipaksa juga menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utamanya dalam SAKTI pada suatu masa nanti seperti 2005;

Kemungkinan 2: IPTA diberi kebebasan atau menuntut haknya menentukan bahasa pengantarnya (terutamanya UKM dan UPSI).


Berikut ialah struktur pendidikan SAKTI universiti awam yang disyorkan:


Kemungkinan 1 (Pengantar Inggeris)


Kemungkinan 2 (Pengantar Melayu)


Pera1: Kursus wajib bahasa Inggeris sekarang digantikan dengan kursus wajib bahasa Melayu SAKTI dan bagi yang memerlukan kursus bahasa tambahan (bagi melengkapkan 12 unit bahasa umpamanya) maka mereka dikehendaki memilih hanya kursus bahasa Arab, atau bahasa-bahasa suku kaum Malaysia, iaitu Mandarin atau (bukan dan) Tamil sahaja.

Bagi mereka yang gagal bahasa Inggeris SPM-nya dikehendaki mengikuti kursus intensif bahasa Inggeris selama 1 semester sebelum mereka dibenarkan mengikuti program-program SAKTI yang disediakan.

Pera2: Sebanyak 30%-45% kerja kursus

Sebarang program SAKTI boleh dikecualikan daripada menggunakan bahasa Inggeris dan dibenarkan menggunakan bahasa Melayu di semua peringkat kursus.

Pera3. Penulisan tesis dan sebagainya di peringkat prasiswazah atau siswazah boleh ditulis dalam bahasa Melayu.

Pera4. Syarat kredit bahasa Melayu SPM atau setara dengannya dikekalkan sebagai satu daripada syarat kemasukan di peringkat prasiswazah.

Pera5. Semua pelajar (termasuklah pelajar asing) diwajibkan mengikuti kursus Kajian Malaysia dan Tamadun Islam (dalam bahasa Melayu). Bagi pelajar peringkat siswazah yang belum mengikuti kursus ini juga diwajibkan mengambilnya.

Pera1: Serupa

Pera2: Bahasa pengantar sebarang program SAKTI mestilah dominan dalam bahasa Melayu, iaitu sekitar 60% bahasa Melayu. Bagi mencapai hasrat ini perakuan berikut bolehlah dipertimbangkan:


Pera2.1: Kerja kursus bersifat kualitatif seperti sejarah dan falsafah sebarang program SAKTI mestilah dalam bahasa Melayu. Begitu juga dengan kursus yang sarat dengan unsur peribumi (iaitu banyak penerapannya di Malaysia); tugasan; dan latihan ilmiah.


Pera2.2: Kursus-kursus yang sebahagian besar kandungannya diperlukan di peringkat sekolah bolehlah diajar dalam bahasa Inggeris. Contohnya kursus Kalkulus (bidang sains Matematik) tahun I.


Pera2.3: Kursus-kursus yang dijalankan oleh Pensyarah asing bolehlah dijalankan di mana-mana peringkat pun dalam bahasa Inggeris.


Pera3. Kerja kursus di peringkat siswazah boleh dijalankan dalam dwibahasa (Inggeris dan Melayu) jika didapati perlu (seperti untuk pelajar asing). Dalam keadaan ini soalan ujian, peperiksaan dan sebagainya dibuat dalam dwibahasa (Inggeris & Melayu) dan boleh dijawab dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu tetapi sekurang-kurangnya 1/3 daripada soalan mestilah dalam bahasa Melayu dan dijawab dalam bahasa Melayu.


Pera4. Penulisan tesis dan sebagainya di peringkat siswazah kekal seperti sekarang. Walau bagaimana pun pelajar dari rumpun Melayu digalakkan menulis tesisnya dalam bahasa Melayu.

Pera5. Syarat kredit bahasa Melayu SPM atau setara dengannya dikekalkan sebagai satu daripada syarat kemasukan di peringkat prasiswazah.

Pera6. Seseorang pelajar asing yang terbukti lulus mata pelajaran bahasa Melayunya (termasuk Melayu Brunei, Melayu Singapura dan Melayu Indonesia) yang setara dengan Kredit dalam Bahasa Melayu peringkat SPM tidak perlu mengikuti kursus bahasa Melayu yang diwajibkan sekarang ini, semasa beliau mengikut kursus siswazahnya. Selainnya, semua pelajar siswazah diwajibkan belajar bahasa Melayu seperti sekarang.


Pera7. Pelajar asing juga diwajibkan mengikuti kursus Kajian Malaysia (dalam Melayu dan Inggeris) yang diwajibkan kepada pelajar prasiswazah di IPTS itu.

Abstrak


Tingginya pencapaian pendidikan dan penciptaan SAKTI (sains, kesihatan, kejuruteraan dan teknologi) dalam bahasa Melayu (aliran Melayu) sejak Sekolah Menengah aliran Melayu dimulai pada 1958 dan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia 1970 ditunjukkan sepatutnya tidak sedikitpun menggoyahkan pendirian pemimpin Melayu memusnahkannya. Namun, dalam usaha menegakkan cita rasa dan pandangan hidupnya yang diselami dalam makalah ini, pemimpin itu sejak 1994 lagi menghakiskan keyakinan rakyat terhadap pencapaian itu dengan melempar pelbagai tohmahan kegagalan pendidikan Melayu itu seperti kononnya tiada yang berjaya/dapat dibanggakan menerusinya, tidak berjayanya memupuk perpaduan tetapi meningkatkan taasubisme dan kekutuban (kaum atau agama), tidak berupayanya melahirkan manusia yang berdaya saing kerana kelemahannya berbahasa Inggeris, tiada perubahan lemahnya pelajar Melayu, dan tiada cukupnya sumber SAKTI Melayu, dan tidak mampu menjadikan pusat pendidikan serantau/dunia. Lantas hukum kemajuan SAKTI sepanjang zaman diabaikan sekelip mata sahaja. Sejauh mana kewarasannya sangkaan-sangkaan di atas itu dan apakah langkah-langkah untuk ke pangkal jalan menjadi mauduk perbincangan makalah ini.

Bahasa Malaysia 4

BUKAN SEKADAR BAHASA

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris

1. Pengenalan

Selama ini, apabila isu kebudayaan kebangsaan dibincangkan, ia dilakukan oleh para sasterawan dan persuratan, khusunya budayawan Melayu. Justeru, bagi melihat perbincangan terdahulu mengenai topik ini, kita ikutilah perbincangan ahli sasterawan dan persuratan, iaitu para cendekiawan Melayu. Walaupun kita jelas dalam membina dasar dan mengatur strategi bagi membangunkan ekonomi, pendidikan, pertanian, kesihatan, dll. tetapi kita tidak sebegitu konkrit apabila membina dasar untuk kebudayaan kebangsaan. Sekalipun dasar dapat diungkapkan tetapi pelaksanaannya masih jauh daripada memuaskan. Malah dasar dan stategi kebudayaan kebangsaan adalah uasaha yang tidak kunjung selesai (Taib Osman, 1988). Ia adalah pelaburan jangka panjang sesebuah bangsa. Kita lihat secara ringkas perkembangan Dasar Kebudayaan Kebangsaan kita.



a. Perlembagaan Malaysia

Perlembaan Malaysia menjamin hak asasi setiap kaum. Artikel 3 melindungi kebebasan semua kaum beragama, walaupun agama Islam adalah agama rasmi negara. Artikle 152 menjamin hak setiap kaum menggunakan bahasanya sendiri walaupun bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara. Ini adalah dua unsur penting dalam kebudayaan yang sering diungkit oleh kaum lain dalam menolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan.



b. Malayan Writers’ Conference 16-18 Mac 1962

Seawal 1962 lagi, isu kebudayaan kebangsaan dan sastera kebangsaan dibincangkan oleh para sasterawan dan cendekiawan dalam Malayan Writers’ Conference (Persidangan Penulis Malaya dan Singapura) ditaja oleh Dewan Bahasa dan Kebudayaan Singapura, dan diadakan di Singapura pada 16-18 Mac 1962. Prosiding persidangan itu diterbitkan dalam bahasa Inggeris oleh badan yang sama. Berikut diturunkan beberapa catatan utama. Menteri Kebudayaan Singapura, Rajaratnam berkata “A truly Malayan literature will emerge when writers express themselves through a language that is spoken and understood by all the communities. A common medium of expression will automatically create a Malayan literature .... It is only when the non-Malays begin to write in the national language, will Malay cease to be a medium for communal literature and become the vehicle for a Malayan literature.” Ini disuarakan dengan lantang oleh kelompok penulis dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, kelompok bahasa Inggeris mengatakan sasatera Malaya (1) ditulis oleh orang-orang yang lahir dan dibesarkan di Malaya menulis mengenai topik-topik Malaya dengan tidak mengira apa bahasa yang digunakan; (2) yang ditulis dalam bahasa kebangsaan, dan (3) yang ditulis oleh sesiapa sahaja mengenai Malaya. Kelompok bahasa Cina dan Tamil mengelak daripada membincang dan membuat kesimpulan mengenai bentuk sastera Malaya.

Situasi begini berterusan di Malaysia sehinggalah 1971. Ketiadaan dasar bagi menentukan objektif kebudayaan negara menyebabkan aspek ini diabaikan. Tiada langkah-langkah konkrit diambil bagi mewujudkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Iklim positif dan neutral yang dizahirkan oleh Persidangan Penulis Malaya di Singapura pada tahun 1962 itu tidak dimanfaatkan. Perkembangan kebudayaan kebangsaan itu tidak mendapat perhatian sehingga selepas Mei 69.



c. Pindaan Perlembagaan 23 Februari 1971

Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tun Abdul Razak Hussein membuat ucapan penting menyangkut isu bahasa kebangsaan dan kebudayaan kebangsaan. Tindakan positif diperlukan bagi memperbaik keadaan selepas 13 Mei 1969. Beliau membuat beberapa penegasan yang sudah mula dilupakan pada masa itu, khususnya “kontrak sosial” di antara kaum bagi mencapai kemerdekaan. Beliau menyatakan “kontrak sosial” yang dibuat, “It is hardly necessary for me in this House to expound upon the careful and balanced character of the Constitution which was so painstakingly negotiated and agreed upon by the major races in Malaysia before we attained independence. .... The basic provision relating to the acquisition of citizenship represented a fair and balanced compromise. The same careful and balanced approach runs through the other provisions of the Constitution protecting the legitimate rights of all races in Malaysia. ... The provision of Bahasa Malaysia as the sole official and National Language is balanced by the guarantee for the use of the languages of other races other than for official purposes.” ... “Pengertian perkataan “tujuan-tujuan rasmi” atau “official purposes” dalam Artikel itu ... bermakna .. sebarang tujuan Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Negeri, termasuklah mana-mana tujuan untuk pihak berkuasa awam.”



d. Kongres Kebudayaan Kebangsaan 16-20 Ogos 1971

Kongres ini dibuka oleh Y.A.B. Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia, berlangsung di Universiti Malaya. Selama empat hari, sebanyak 52 kertas kerja dibentang dan dibincang. Kongres telah menetapkan tiga unsur penting menjadi Dasar Kebudayaan Kebangsaan, iaitu:

Kebudayaan Kebangsaan Malaysia haruslah berasaskan kebudayaan asli rakyat rantau ini.

Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur kebudayaan kebangsaan.

Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan itu.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara Malaysia yang sedang membangun dan mempunyai penduduk berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama. Dasar ini dapat menjadi garis panduan membentuk satu bangsa yang bersatu serta mempunyai identiti negara. Kebudayaan yang dipupuk dapat mencirikan keperibadian kebangsaan Malaysia.

e. Joint Memorandum on National Culture Submitted to the Ministry of Culture, Youth and Sports by the Major Chinese Organisations in Malaysia, 1983.

Lima belas buah organisasi China menghantar memorandum kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 27 Mac 1983. Badan-badan itu ialah: The Selangor Chinese Assembly Hall, Penang Chinese Town Hall, The Perak Chinese Association, The Federation of Chinese Association (Johor), Terengganu Chinese Assembly Hall, Kelantan Chinese Assembly Hall, Negeri Sembelin Chinese Assembly Hall, The Federation of Chinese Associations (Sarawak), United Chinese School Committees, Association of Malaysia, United Chinese School Teachers’ Association of Malaysia, Pahang Chinese Chamber of Commerce, Malacca Chinese Chamber of Commerce, Kedah Chinese Chamber of Commerce, Perlis Chinese Chamber of Commerce, dan Sabah United Chinese Chamber of Commerce. Dalam dokumen setebal 321 halaman ini, ketiga-tiga asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan ditentang sepenuhnya. Dokumen ini terlalu panjang bagi dibicarakan. Hanya butir penting diturunkan. Mereka berkata, “we oppose the present policies on national culture, language and education, and the the three principles used .. to mould the national culture.” Mereka menentang kerana:

Proses membentuk asas kebudayaan kebangsaan daripada satu kaum sahaja melanggar hak kaum lain,

Apabila kepentingan Islam ditekankan maka peranan budaya dan agama lain dinafikan,

Menunjukkan dasar yang tertutup berpusat kepada Melayu sahaja dan tidak liberal,

Menafikan sistem nilai yang bertindih antara budaya,

Bercanggah dengan hakikat Rukunegara yang menghormati kebudayaan semua kaum,

Memaksa melalui sistem pentadbiran dan ini tidak dapat diterima oleh bukan Melayu,

Membahagikan kebudayaan kepada kaum sebagai peribumi, pendatang dll akan menjadi punca diskriminasi,

Sesetengah chauvisnist Melayu berfikir bahawa semua kaum hanya boleh diintegrasi melalui satu bahasa dan satu budaya sahaja. dll.

Bagi mereka kebudayaan kebangsaan dapat dibangunkan melalui:

Usur seni daripada kebudayaan semua kaum menjadi asas kebudayaan kebangsaan,

Panduan membebina suatu peranggu nilai kebudayaan yang sama ialah sains, demokrasi, pemerintahan undang-undang dan patriotisme,

Nilai kebudayaan bersama itu diungkapkan menurut kerangka pelbagai kaum,

Proses membina kebudayaan kebangsaan mestilah mematuhi prinsip kesamaan bagi semua kumpulan etnik, dan melalui perundingan yang demokratis. dll.

Justeru itu, mereka berkata, kami menuntut supaya:

Kerajaan menghormati hak setiap kaum, kebudayaan, agama, dan bahasa yang dimaktubkan dalam Perlembagaan,

Kerajaan memansuhkan semua undang-undang yang tidak menyokong pertumbuhan mana-mana budaya, bahasa dan pendidikan kaum tertentu,

Kerajaan membantu sekolah China dan juga Jabatan Pengajian China di universiti,

Kerajaan adil dalam menjalankan aktiviti kebudayaan dan tidak memihak kepada mana-mana kelompok,

Kerajaan tidak melebihkan mempromosi kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan kebangsaan sehingga boleh memangsai kebudayaan lain,

Hari Ini dalam Sejarah mesti juga memuatkan tokoh bukan Melayu,

Ciri pelbagai kaum mesti ditunjukkan dalam membentuk citra kebangsaan,

Nama bangunan dan tempat juga juga mesti pelbagai kaum,

Kerajaan juga hendaklah mempromosi interaksi kebudayaan pelbagai kaum, dll.



f. Memorandum on National Culture Submitted by the 10 Major Indian Associations of Malaysia to the Ministry of Culture, Youth and Sports, April 1984.

Sepuluh persatuan India juga membantah. Mereka ialah: Pergabungan Tamil Malaysia, Persatuan Dravidian Malaysia, Majlis Kelab Bell Belia Tamil, Majlis Belia Hindu Malaysia, Persatuan Penulis-Penulis Tamil Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Sekolah Tamil Malaysia, Malaysia Hindu Sanga, Persatuan Kesenian Tamil Malaysia, Persatuan Kesusasteraan Tamil, dan Persatuan Artis-Artis Tamil Malaysia. Memorandum kaum India menolak asas kebudayaan kebangsaan kerana:

Malay-Islamic culture approach to the ‘formation’ of National Culture cannot be accepted by us,

The attempt to define National Culture on the basis of proceedings of the National Culture Congress of 1971 completely negates the historical understanding on culture reached by the different communities,

National Culture must be defined in terms of a set of common values, norms and beliefs found in cultures of the various communities in Malaysia, combined with positive elements from other cultures. It cannot be equated solely with Malay or Islamic culture,

Neither can Malay culture form the basis of national Culture,



g. Suqiu (Jawatankuasa Menuntut) 1999

Gabungan Persatuan Cina yang menuntut masih terus menuntut dengan secara teratur. Apabila sahaja iklim politik kelihatan memihak kepada mereka, iaitu semasa Melayu nampaknya berpecah, maka mereka akan membuat tuntutan demi tuntutan. Suqiu membuat 89 tuntutan, yang melibatkan bahasa, kebudayaan, agama, dan lain-lain. Kebanyakannya yang telah tersenarai dalam Joint Memorandum on National Culture Submitted to the Ministry of Culture, Youth and Sports by the Major Chinese Organisations in Malaysia, 1983. Cuma tuntutan pada kali ini diiringi dengan ugutan menarik balik sokongan politik dan menyokong parti pembangkang. Y.A.B Dr. Mahathir Mohamad, menolak dengan menyatakan yang semuanya bercanggah dengan “kontrak sosial” yang menjadi landasan yang membolehkan Perlembagaan Malaysia dibentuk.



2. Apalah ada pada Bahasa?

Bahasa Melayu adalah satu daripada tiga unsur yang dijadikan asas Dasar Kebudayaan Negara. Apalah ada pada bahasa? Banyak. Dan bahasa itu adalah paling menentukan keperibadian bangsa.

a. Tuntutan Bukan Melayu

Dengan tentangan dan tuntutan yang tidak putus-putus daripada kaum-kaum lain sebagai rakyat Malaysia, isu Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini bukan hanya sekadar dapatkah bahasa Melayu, dan kebudayaan Melayu Islam menjadi asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Isu ini lebih besar daripada sekadar agama, bahasa, dan bangsa yang dicabar. Apa yang jelas ialah, masyarakat Melayu mesti sepakat dan menerima hakikat yang kita perlu bergerak dan meneruskan kelangsungan Melayu dalam satu sistem yang adaptif supaya dapat berinteraksi dengan persekitarannya bagi mempastikan survival kita. Dalam penyesuaian ini bukan tiada sempadannya, oleh itu kita perlu sentiasa mengingati “kontrak sosial” yang menjadi asas Perlembagaan kita.

b. Bahaya dari Pemikir Melayu Liberal

Yang lebih membahayakan kita ialah keliberalan berfikir yang menerima demokrasi itu sebagai kebebasan tanpa sempadan, hatta mengingkari ‘kontrak sosial’ yang menjadi asas pembentukan Perlembagaan yang kita jadikan kerangka membina Malaysia. Musnahkan ‘kontrak sosial’ ini, musnahlah Perlembagaan, dan musnahlah Malaysia. Oleh sebab fitrah manusia begitu, mudah percaya pada apa yang ada daya tarikan intelektual. Atas asas berfikir secara intelektual sejagat, sudah ada pula Melayu yang mula termakan dengan tunutan-tuntutan ini. Nampaknya memang tiada apa salahnya kita berkata “menerima sastera dalam bahasa lain sebagai sebahagian daripada Sastera Malaysia.” Apabila diwarwarkan pula melalui media awam, apa yang kita ungkapkan sebagai “main-main” pun akan menjadi sumber kebenaran dan kekuatan bagi yang mencari alasan lagi bagi membuat tuntutan bagi memusnahkan ‘kontrak sosial’ bersama. Hubaya-hubaya agar kita tidak menjadi alat yang memusnahkan hasrat bangsa sendiri.

c. Himpunan Memori Bangsa

Bahasa Melayu yang kita gunakan sama ada sebagai bahasa harian mahupun sebagai bahasa pendidikan, adalah wahana bagi membina ‘himpunan memori’ kita sebagai orang Melayu Malaysia. Himpunan memori itu ialah himpunan seluruh konsep-konsep, nilai-nilai, norma-norma, nama-nama, proses-proses, pengalaman-pengalaman, yang membentuk jati diri kita sebagai satu bangsa. Apabila kita menggunakan sebuah bahasa lain sebagai bahasa kita, maka himpunan memori kita juga akan berubah. Kita tidak lagi akan menjadi orang Melayu Malaysia.

Apabila kita menggunakan sebuah bahasa lain, konsep yang kita cetuskan menjadi berlainan, walaupun bagi benda yang sama. Sebagai contoh, dalam bahasa Bhutan, komputer ialah “logrig” yang membawa makna “mesin yang dikendalikan oleh tenaga elektrik.” Dalam sebuah bahasa Afrika Timur komputer ialah “mobusha” iaitu “mesin yang tidak membuat salah.”



Malah behavior kita juga boleh diubah kerana bahasa yang digunakan. Contoh yang sering berlaku di kalangan masyarakat kelas menengah Melayu yang saya kaji mendapati fenomena ini berleluasa. Kelas menengah Melayu sering menggunakan bahasa Inggeris di rumah mendapati anak-anak mereka sering mencabar mereka, iaitu menjadi derhaka, dalam bahasa Inggeris. Ungkapan seperti “What kind of father are you?” “I will report you to the authority for child abuse,” “Mother! who ask you to enter my room, dont you know how to knock?” Yang paling menyayat saya dapati dalam himpunan pemerhatian saya ialah “I hope you will burn in hell!” yang dikeluarkan oleh seorang anak lelaki kepada bapanya. Ungkapan begini tidak zahir dalam bahasa Melayu. Ada anak melawan dalam golongan rendah masyarakat, tetapi tidak dengan ungkapan “Apa jenis bapa kamu ini?” atau “Engkau pergi mampus dalam neraka jahanam!” Isteri yang dwibahasa juga apabila mahu melawan suami berucap dalam bahasa Inggeris, tidak Melayu.



Dalam sebuah contoh lain, seorang eksekutif Melayu mengadakan doa tahlil untuk arwah ibunya. Apabila ditanya oleh Tuan Imam, apa nama ibu, beliau menjawab “Zubaidah.” Binti apa? “Othman” katanya!! Bukan, nama ibu kata Tuan Imam. Sahihlah, oleh sebab sentiasa sibuk dan bercakap pun sentiasa dalam bahasa Inggeris sahaja, maka memori tahlil tidak tercipta dalam benaknya. Beliau pun belum pernah mengadakan doa tahlil, maka memori itu tidak masuk ke dalam benaknya. Bagi yang ada memori itu, kita tahu untuk tahlil sesiapa pun dibintikan kepada ibunya.



Apabila golongan menengah Melayu membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda bagi anak-anak mereka, dan menggantikannya dengan bahasa Ingeris, maka bahasa Inggerislah yang duduk di benak anak-anak Melayu itu. Apabila elit Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa benak mereka, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini dengan acuan Inggeris, dan bukan dengan acuan Melayu lagi. Berdasarkan hipotesis Malik Bennabi pula, anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Inggeris, bukan idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Melayu lagi. Oleh kerana bahasa Melayu telah menyerap idea-idea induk Islam, dan oleh kerana bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius. Sebagai contoh, gejala anak-anak yang "menjawab" ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada kaitannya dengan bahasa ekspresif. Konsep-konsep seperti "derhaka" dan "syurga itu di bawah tapak kaki ibu" hanya terkandung dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam Islam, seperti Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada kemasukan konsep-konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Nilai-nilai yang terkandung di dalam sastera Melayu seperti dalam cerita-serita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah juga tidak ada kesempatan untuk masuk ke benak mereka. Tempatnya akan diganti oleh cerita-cerita seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan lain-lain. Hero mereka bukan Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King Arthur And The Knights Of The Round Table.



Maka itulah sebabnya kita mempertahan bahasa Melayu sebagai asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Membenarkan bahasa lain diterima sebagai wahana Kebudayaan Kebangsaan akan menusnahkan himpunan memori kita, memusnahkan jati diri kita yang dipertahankan dalam Perlembagaan kita.



Atas alasan yang sama kita boleh dituduh pula apakah kita tidak menzalimi bahasa dan kebudayaan lain. Tidakkah kita menghalang atau memusnahkan himpunan memori kaum lain yang diminta menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan rasmi. Tidak, sama sekali tidak. Hal Kebudayaan Kebangsaan adalah hal rasmi. Dalam “kontrak sosial” kita, hak asasi setiap kaum dijamin dan dipelihara. Tiada siapa yang dihalang daripada menggunakan, mengajar dan meneruskan bahasa sendiri, asalkan bukan untuk tujuan rasmi, sebagai yang dijelaskan oleh Tun Abdul Razak di Parlimen pada 23 Februari 1971.



d. Pentingnya Membina Sistem Pemanglian dari Masa ke Masa

Apabila membuat tuntutan hak asasi bagi orang Melayu, di buminya sendiri, sebagai yang sudah dipersetujui dalam kontrak sosial antara kaum, kita dilabel sebagai Malay-centered, kita dicap sebagai Malay chauvinist, kita dipanggil kaum yang tidak peka pada kepentingan kaum lain, kita dituduh mendeskriminasi puak lain. Sudah sampai masanya kita tidak emosi dengan label-label ini, sudah sampai masanya kita tidak gentar dengan taktik menakut-nakutkan ini. Sudah tiba masanya kita membuat strategi bagi melaksanakan apa yang kita fikirkan betul. Sudah ada pihak yang mula termakan dengan hujah-hujah Cina dan India kenapa mesti dibuat secara demokratis segalanya. Ini boleh memakan diri sendiri.



Oleh sebab itu kita perlu menginagtkan semula orang Melayu tentang siapa dirinya, dan apa haknya. Inilah yang dikatakan pemanglian semula. Bina selalu sistem penagkisan yang diperlukan. Agar cendekiawan Melayu tidak mudah termakan dengan alasan liberal yang digunakan oleh kaum lain yang mengatakan hak asasi mereka tercabar. Di samping kita mengajar generasi baru akan hak asasi mereka, dan perjuangan menegakkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.



3. Apa yang Kita Perjuangkan?



Ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan.



a. Kontrak Sosial

Kita akan terus mempertahan “kontrak sosial” kita. Walaupun perkara penting ini sudah dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia, dan sudahpun dijelaskan apa rasionalnya, tetapi masih mahu ditagih. Oleh yang demikian, adalah menjadi tugas kita mengingatkan kembali perihal “kontrak sosial” yang mengimbangi hak masing-masing kaum, dan kepentingan bahasa Melayu seperti yang dijelaskan oleh Tun Abdul Razak Hussein itu tidak diketepikan. Kita tidak perlu mudah terbeli dengan alasan oleh kerana demokrasi maka semua orang mempunyai hak yang sama. Malaysia bukan sebuah negara yang kosong sebelum kedatangan mereka maka semua orang sama taraf.



b. Dasar Media Yang Terbuka

Apa yang lebih menggugat Melayu pada hari ini, bukanlah sekadar pekara-perkara yang tertulis. Tetapi, ialah juga apa yang tidak tertulis. Misalnya, oleh sebab tidak ada sebarang undang-undang dalam media massa, maka akhbar dan media hiburan China dan Inggeris, maka ini digunakan seluas-luasnya sehingga sekarang media akhbar dan hiburan Cina dan Inggeris menduduki tempat yang amat dominan dalam dunia media Malaysia. Akhbar yang mempunyai edaran terbesar bukanlah akhbar Melayu atau Inggeris tetapi akhbar Cina. Rancangan televisyen yang paling dominan di antara rancangan hiburan televisyen bukanlah rancangan Melayu dan Inggeris, tetapi Cina.

Oleh sebab dasar yang terbuka, media Cina menyelubungi hidup kita sehari-hari. Di samping menentang mereka tidak henti-henti membawa unsur budaya mereka masuk tanpa halangan. Setiap minggu ada kontena yang membawa filem dan video dari Hong Kong dan Taiwan masuk ke Malaysia. Malah pengarah drama dan filem Hong Kong telah mula mempengaruhi pengeluaran filem dan video kita.



c. Kepustakaan dalam Bahasa Melayu

Tun Abdul Razak Hussein mengingatkan kita bahawa kebudayaan sebuah bangsa itu juga bergantung kepada himpunan ilmu dalam bahasanya, iaitu kepustakaan dalam bahasanya. Kita akan terus berjuang membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Tinggi rendahnya tahap kebudayaan sesebuah bangsa bergantung kepada kepustakaan yang diwujudkan dalam bahasa bangsa itu. Apabila kita melihat bangsa-bangsa yang agung, dalam bahasanya terhimpun suatu kepustakaan yang besar.



d. Barisan Memperjuangkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Perjuangan menentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan nampaknya bertenaga kerana mereka dibawa dan disokong oleh badan-badan Cina dan India yang bersatu. Kita akan memperjuang Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini secara bersatu. Persatuan penulis, persatuan kebudayaan, cendekiawan perlu bersatu bagi memperjuang hak kita.



Kita akan menghadapi cabaran. Umpamanya, kita dipanggil chauvinist apabila berjuang. Tetapi mereka tidak pula menganggap diri mereka chauvinist. Ini tidak menjadi soal. Yang penting kita berjuang bagi menegakkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan atas prinsip dan kepercayaan kita.



4. Kesimpulan



Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diasaskan pada budaya setempat, bahasa Melayu dan agama Islam adalah wajar. Itu hak kita yang dijamin dalam “kontrak sosial.” Apabila ini dibantah, maka maruah kita sebagai peribumi juga dinafikan.