Tuesday, February 1, 2011

DAKWA SEGERA PENONTON TIDAK BERDISIPLIN

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my


PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan supaya penyokong yang ditahan atas kesalahan disiplin sewaktu menonton perlawanan bola sepak di stadium, segera didakwa.

Katanya, tindakan itu boleh memberi pengajaran kepada penyokong lain supaya tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan bahaya seperti membakar mercun.

Tegasnya, penyokong juga semakin berani apabila menggunakan laser sewaktu menonton perlawanan.

''Saya lihat pada Perlawanan Sumbangsih antara Kelantan dan Selangor Sabtu lalu ada penyokong yang mengunakan laser. Ini tidak baik untuk sukan bola sepak kita.

''Perbuatan itu bukan sahaja mendatangkan bahaya tetapi memalukan sukan bola sepak negara kita.

''Saya bercadang untuk mengusulkan agar proses pendakwaan dapat dilakukan dengan lebih cepat untuk mengajar penyokong supaya lebih berdisiplin,'' katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd dengan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di pejabatnya sini, semalam

Pada perlawanan merebut Piala Sultan Ahad Shah Sabtu lepas, dilaporkan lima penyokong bola sepak ditahan kerana menyalakan api suar.

Mengulas lanjut berhubung penahanan lima penyokong itu, Ahmad Shabery berkata, membawa sebarang barangan yang boleh mengakibatkan kebakaran adalah dilarang ketika memasuki stadium.

''Mereka ini seharusnya jelas dengan syarat-syarat yang ditetapkan apabila menyaksikan perlawanan di stadium kerana perkara sebegini tidak menunjukkan semangat kesukanan yang sewajarnya.

''Saya tidak menggalakkan sekiranya ada aktiviti sebegini dan kita harap selepas ini pihak stadium dan pihak berkuasa akan lebih proaktif dalam menangani masalah sebegini,'' jelas Ahmad Shabery.

--------------------------------------------------------------------

Memang sah kini penyokong2 Malaysia tdak disiplin wktu perlawanan itu..yang amat memalukan 99 peratus adalah orang melayu kita jugak!