Thursday, June 13, 2013

SEKOLAH SATU SISTEM TERUS DISOKONG

>KUALA LUMPUR 12 Jun - Kerajaan terus didesak untuk melaksanakan satu sistem persekolahan bagi memperkasa usaha memupuk semangat integrasi nasional dalam diri pelajar dari peringkat awal. Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, sistem persekolahan seperti diterapkan dalam sistem sekolah kebangsaan dilihat mampu memupuk persefahaman antara pelajar berbilang kaum sejak sekian lama. "Kerajaan wajar memperhalusi cadangan itu demi keharmonian dan kestabilan negara pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau mengulas cadangan sebanyak 130 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam semalam supaya kerajaan mengkaji pelaksanaan sistem persekolahan yang tidak lagi bersandar kepada bahasa ibunda. Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mewakili gabungan NGO itu berkata, kajian pihaknya dengan beberapa tokoh masyarakat Cina dan India mendapati kewujudan sekolah aliran itu menjadi penghalang kepada usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini sejak merdeka. Menurutnya, kewujudan sebanyak 61 sekolah vernakular swasta dan 78 sekolah jenis kebangsaan ketika ini menjadi antara punca rakyat berbilang kaum gagal mengenali dan menghormati antara satu sama lain sehingga wujudnya jurang serta prasangka antara mereka. Mengulas isu sama, Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Ahmad Nawawi Shaari berkata, perancangan rapi perlu dilaksanakan bagi memastikan objektif sistem persekolahan tunggal itu tercapai. "Cadangan satu sistem persekolahan ini akan berkesan jika pengisian dilakukan secara menyeluruh kerana kesannya hanya dapat dilihat dalam kalangan pelajar dalam jangka masa panjang," katanya. Tambah beliau, semua pihak juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam memupuk nilai perpaduan antara kaum dalam golongan muda tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak sekolah. ..PANDANGAN MASYARAKAT KAUM LAIN PULA BEGINI...., KUALA LUMPUR 12 Jun - MCA menyarankan kerajaan mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi isu sistem persekolahan vernakular supaya tidak menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Ketua Pemudanya, Datuk Wee Ka Siong berkata, gesaan supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem persekolahan bertentangan dengan matlamat gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam masa sama, beliau melahirkan kebimbangan gesaan itu sekiranya diteruskan boleh menyebabkan sentimen perkauman semakin meluas sekali gus menjejaskan rakyat dan negara. "Malah, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebelum pilihan raya baru-baru ini juga berjanji pendidikan masyarakat Cina akan dilindungi dan hak Perlembagaan untuk pendidikan berasaskan bahasa ibunda setiap kaum juga akan dihormati," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Semalam sebanyak 130 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam mendesak kerajaan melaksana satu sistem persekolahan bagi mewujudkan keharmonian terutama dalam kalangan generasi muda dan menangani ketegangan yang semakin dirasai dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Sementara itu, Ka Siong turut melahirkan rasa kecewa kerana masih terdapat pihak yang menggesa pendidikan bahasa ibunda dimansuhkan. Beliau berkata, desakan itu tidak akan membantu negara mencapai status negara maju kerana menghalang rakyat menggunakan manfaat daripada masyarakat berbilang kaum untuk mempelajari pelbagai bahasa. "MCA berpendapat pandangan pihak tertentu yang hanya mahu satu sistem persekolahan adalah salah. Apatah lagi menjadikan isu pendidikan berteraskan bahasa ibunda sebagai pencetus kepada gesaan mereka," katanya. PETIKAN DARI UTUSAN ONLINE 13/06/13