Friday, September 24, 2010

'Abaikan Bendera, mereka tidak mungkin bertindak'

Utusan Online



Antara 20 orang penunjuk perasaan membawa pelbagai sepanduk mengutuk penganiayaan pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia, semasa mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) hanya pandai mengancam Malaysia tetapi tidak berani untuk melakukan tindakan yang dilaung-laungkan mereka.

Sehubungan itu, Konsul Penerangan Sosial dan Budaya Kedutaan Indonesia di sini, Widyarka Ryananta berharap rakyat Malaysia mengabaikan ancaman berkenaan kerana Bendera tahu mereka tidak akan terlepas daripada undang-undang jika benar-benar bertindak.

Katanya, rakyat negara ini boleh menyaksikan sendiri bahawa semua ancaman yang dibuat Bendera sebelum ini tidak pernah dizahirkan termasuklah rancangan untuk menawan Malaysia pada 8 Oktober tahun lalu.

"Abaikan Bendera, mereka hanya berani menyampaikan ancaman sahaja dan tidak mungkin bertindak.

"Polis Indonesia sendiri telah mengawal kediaman Duta dan Kedutaan Malaysia di Jakarta, sudah-sudahlah... mereka tidak mewakili aspirasi majoriti rakyat Indonesia," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kelmarin, kira-kira 500 rakyat Indonesia yang digerakkan oleh Bendera melancarkan protes bermotosikal di luar kediaman Duta Besar Malaysia di Jakarta untuk mengutuk penderaan ke atas pembantu rumah Indonesia oleh majikan di negara ini.

Berang dengan kes terbaru membabitkan rogol dan dera terhadap seorang pembantu rumah Indonesia, mereka mengepung kediaman Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan mendesak beliau meninggalkan Indonesia dalam masa dua hari.

Mereka juga mengancam untuk merayau-rayau di sebuah gedung membeli-belah berdekatan dan mengarahkan mana-mana rakyat Malaysia yang dijumpai supaya pulang ke Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Widyarka menyeru rakyat Malaysia supaya memahami bahawa demonstrasi merupakan salah satu bentuk kebebasan bersuara yang dilindungi undang-undang Indonesia.

Katanya, di Indonesia demonstrasi adalah perkara biasa dan ia tidak perlu diberi perhatian yang berlebihan.

"Untuk pengetahuan saudara, hari ini sahaja ada lapan demonstrasi di Jakarta, tidak termasuk di wilayah-wilayah lain.

"Ada yang berdemonstrasi di hadapan Istana Presiden dan kementerian dengan pelbagai isu yang berbeza," katanya.

Ditanya adakah kebebasan bersuara turut menghalalkan perbuatan membakar Jalur Gemilang sebagaimana yang pernah dilakukan Bendera sebelum ini, beliau menegaskan ia bukannya bendera dalam erti kata sebenar sebaliknya hanya lukisan mirip bendera.

"Jika Jalur Gemilang dari Kedutaan Malaysia di sana yang diambil dan dibakar, pasti mereka akan dikenakan tindakan tegas," katanya.