Saturday, May 7, 2011

Cenderung guna bahasa asing dikesali


KUALA LUMPUR 6 Mei - Kecenderungan penggunaan bahasa asing pada papan iklan di sekitar negara ini menggambarkan bahawa wujud golongan yang tidak menghargai dan menghormati bahasa kebangsaan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau sangat kesal dengan golongan tersebut yang langsung tidak membantu usaha kerajaan memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

"Saya kesal dengan situasi ini. Kita seharusnya berasa bangga dengan istilah serta ungkapan yang sedia terkandung dalam bahasa Malaysia kerana ia menggambarkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.

"Selain itu, saya juga berasa kesal dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih memberi keutamaan kepada bahasa asing apabila memberi nama kepada taman ataupun pusat beli-belah. Ia tidak membantu memartabatkan bahasa kebangsaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kecenderungan penggunaan bahasa asing pada papan iklan di negara ini dalam menyampaikan mesej kepada orang ramai.

Selain itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu kota baru-baru ini juga mendapati terdapat beberapa pemilik premis yang mencampuradukkan bahasa Malaysia serta Inggeris selain penggunaan bahasa Malaysia yang tidak tepat pada papan tanda perniagaan dan papan iklan mereka.

-------------------------------------------------------------------

HfizBaze; Pihak kerajaan keseluruhannya dari jawatan  Perdana Menteri hinggalah jawatan menteri2 harus menunjukkan contoh dan teladan kepada rakyat  untuk menggunakan bahasa kebangsaan  tidak kira diperhimpunan besar atau kecil sekalipun terdapat 99.99 peratus hadirin dari negara asing hadir dalam perhimpunan tersebut, kerana apa.., kerana mesyuarat atau perhimpunan itu diadakan di MALAYSIA. Rakyat asing haruslah disediakan alat pendengar alih bahasa.

Pengekalan penggunaan bahasa kebangsaan menunjukkan kita hormat, bangga, mempertabat serta mengagungkan bahasa negara kita sendiri tanpa melupakan bahasa ingeris bahasa kedua negara.