Tuesday, October 19, 2010

Hentikan projek Pengurus Rumah Tangga

Utusan Online


KUALA LUMPUR 18 Okt. - Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) menggesa Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor menarik balik kenyataannya dan menghentikan projek Pengurus Rumah Tangga kerana istilah tersebut tidak tepat dan mengelirukan.

Pengarahnya, Siti Hajar Ismail berkata, istilah pengurus yang digunakan bakal memberi kesan kepada bahasa kebangsaan iaitu ertinya tidak mencerminkan keadaan yang sebenar pekerjaan itu.

Menurut beliau, sebagai pengurus sudah tentulah banyak kemudahan yang diberikan oleh majikan seperti elaun petrol, telefon dan lain-lain lagi, namun kemudahan ini tidak disediakan majikan kepada Pengurus Rumah Tangga.

"Dalam istilah bahasa, perkataan amah atau orang gaji memang lazim digunakan di mana-mana negara.

"Namun dalam konteks Felda, pelantikan anak-anak peneroka sebagai Pengurus Rumah Tangga perlu diteliti semula kerana pada hakikatnya mereka adalah amah atau orang gaji.

"Tawaran gaji yang hanya RM700 hingga RM1,000 juga tidak menunjukkan identiti sebagai seorang pengurus dan secara tidak langsung merendahkan martabat anak-anak peneroka Felda," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini tentang kenyataan Mohd. Yusof bahawa Felda bersedia menyediakan golongan pembantu rumah berkemahiran yang diistilah sebagai Pengurus Rumah Tangga dengan anggaran gaji antara RM700 hingga RM1,000 sebulan.

Menurut beliau, inisiatif ini diambil bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembantu rumah asing dan kumpulan pertama yang akan mengikuti kursus ini ialah pelajar yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Tambahnya, kursus seperti penjagaan kesihatan, memasak, penjagaan kanak-kanak akan ditawarkan secara percuma kepada anak-anak peneroka yang berminat tanpa had umur dan ia merupakan usaha Felda untuk beri peluang pekerjaan kepada masyarakat Felda.

Sementara itu, Siti Hajar berkata, kenyataan Mohd. Yusof seolah-olah menzahirkan bahawa ramai antara anak peneroka yang tidak berpelajaran tinggi dan hanya layak menjadi amah atau orang gaji.

"Dalam soal gaji pula, ada di antara amah dari luar negara seperti Filipina mendapat gaji lebih daripada RM1,200 sebulan. Adakah kita sanggup melihat anak-anak peneroka mendapat gaji lebih rendah dari orang asing?" soalnya.

Beliau berkata, perkara ini melibatkan maruah generasi baru Felda dan perlu dikaji serta dibincangkan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di bawah FELDA sebelum projek tersebut dilaksanakan.