Sunday, May 23, 2010

Hasil penyelidikan Kementerian Pendidikan dipertikai

Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) mempertikaikan hasil kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan yang mendapati penggunaan bahasa Inggeris telah berjaya meningkatkan prestasi pelajar dalam matapelajaran Sains dan Matematik Sekolah .

Setiausaha agungnya Prof Dr Shahrir Mohamad Zain berkata, hasil kajian itu tidak bernilai sama sekali kerana mengandungi "bohongan statistik"

Beliau yang juga profesor matematik fizik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ada sekurang-kurangnya empat sebab mengapa hasil penyelidikan Kementerian Pendidikan boleh dipertikaikan.

Pertama, katanya, penyelidikan itu tidak objektif kerana pengkaji yang ditugaskan menjalankannya sudah tentu tidak memberi hasil kajian sebaliknya kerana penajanya (kerajaan) telahpun membuat keputusan untuk melaksanakan dasar tersebut.

"Kedua, kajian ini bertentangan dengan kaedah sains (kaedah statistik) kerana tiada kawalan yang meyakinkan, iaitu tiadanya sekolah yang menjalankan kajian sains dan matematik dalam bahasa Melayu dalam persekitaran yang sama (guru yang sama berkebolehan, satu kumpulan pelajar yang boleh dibandingkan kemampuan mereka dengan kumpulan sasaran, alat-alat yang sama dan sebagainya).

"Ketiganya, jumlah ujikaji atau cubaan yang tidak mencukupi, iaitu hanya satu-dua kali ujian/penilaian sahaja.

Andaian palsu

“Keempat, hasil kajian ini bertentangan dengan intuisi atau dengan deria biasa pun, serta dengan kebanyakan hasil kajian yang dibuat di merata dunia sejak tahun 1970-an lagi sehingga kita sewajarnyalah mempersoalkannya,” katanya dalam satu kenyataan 22 Oktober 2003 lalu, yang turut ditandatangani oleh Profesor Kejuruteraan Kimia UKM, Prof Dr Ir Wan Ramli Wan Daud.

“Yang tidak kurang menjengkelkan ialah reaksi akhbar dan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) terhadap hasil penyelidikan itu sepertimana yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar perdana pada 8 September 2003 (Utusan Malaysia dan Berita Harian).”

Katanya, perdana menteri dilaporkan seolah-olah ‘memulangkan paku buah keras’ kepada penentang dasar tersebut sambil memberi ‘tambahan nilai’ terhadap hasil penyelidikan itu dengan berkata ‘bukankah lebih baik lagi jika kita belajar ilmu dalam bahasa asalnya (maksudnya Inggeris).’

Tambahnya lagi, perdana menteri kemudiannya dilaporkan merasionalkan lagi hasil kajian itu dengan berkata ‘jika kita terus menterjemah, berfikir dalam dua bahasa, maka kita akan dapati kemampuan kita untuk menyerap ilmu kurang sedikit.’

Menurut Prof Dr Shahrir lagi, perdana menteri juga berkata mempelajari (Sains dan Matematik) dalam bahasa Inggeris juga mengurangkan kekeliruan, contohnya ‘potassium’ yang diterjemahkan ‘kalium’ dalam bahasa Melayu.

“Andaian bahawa bahasa asal ilmu ialah bahasa Inggeris adalah andaian yang palsu yang datang dari jiwa-jiwa hamba yang tersekap mindanya, atau jiwa-jiwa yang tahu sejarah sebenar sains dan matematik tetapi sengaja mahu membuat fitnah demi kepentingannya sahaja," tambahnya.

Terjemahan

Prof Dr Shahrir berkata, bahasa asal ilmu sains dan matematik sekolah ialah bahasa Yunani, Arab, Latin dan Perancis, manakala Einstein yang disinonimkan dengan teori kenisbian hanya menggunakan bahasa Jerman.

“Sarjana Inggeris sendiripun berkarya sains dan matematik dalam bahasa Latin dan Perancis hingga abad ke-18. Sains dan matematik peringkat universiti sedikit sahaja asalnya dalam bahasa Inggeris. Ambil sahaja fizik universiti di mana fizik klasik asalnya hampir semuanya dalam bahasa Yunani, Arab, Latin, Perancis atau Jerman.

“Satu daripada unsur fizik klasik yang besar memang selalu disebut hasil sumbangan ahli sains agung Inggeris, Newton, tetapi itupun asalnya dalam bahasa Latin kerana beliau dan ahli sains Eropah pada zaman itu masih mengguna Latin sebagai bahasa ilmu,” katanya

Menurutnya lagi, unsur fizik klasik yang asalnya dalam bahasa Inggeris hanyalah fizik elektromagnet klasik kerana jaguhnya, Faraday dan Maxwell memang (orang) Inggeris yang berkarya dalam bahasa Inggeris pada abad ke-19, iaitu abad (orang) Inggeris mulai sedar perlunya mereka menggunakan bahasanya sendiri dalam Sains dan Matematik.

"Teori-teori besar dalam Matematik seperti teori set, teori fungsi, analisis, analisis fungsian, teori pengoperasi topologi dan homotopi, semuanya bukan ciptaan/binaan/karya dalam bahasa Inggeris tetapi dalam bahasa Jerman, Perancis, Russia, Belanda dan Poland. Sebenarnya, ilmu sains dan matematik sehingga peringkat universiti yang kita cuba kuasai itu semuanya ilmu terjemahan kepada bahasa Inggeris sahaja!," tambahnya.

Prof Dr Shahrir juga menyifatkan sebagai "sesuatu yang sengaja diadakan" andaian bahawa ketika Sains dan Matematik Sekolah diajar dalam bahasa Melayu, pelajar dan gurunya asyik menterjemah, berfikir dalam dua bahasa Inggeris-Melayu sehingga membantutkan pemahaman ilmu serta mengurangkan kemampuan menyerap ilmu itu.

Bahasa ibunda

Malah, katanya, Sains dan Matematik Sekolah telah begitu lama diajar dalam bahasa Melayu sehingga hampir semua guru begitu selesa mengajarnya dalam bahasa berkenaan sahaja.

Katanya, kemungkinan apa yang berlaku ialah apabila para guru dipaksa mengajar dalam bahasa Inggeris dan pelajar pula amat sedikit menghayati bahasa itu dalam kehidupan sehingga segala-galanya diproses dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda lain terlebih dahulu, sebelum diluahkan dalam bahasa Inggeris.

Menurut beliau lagi, kekeliruan juga tidak mungkin berlaku dalam soal terjemahan istilah kerana, pada amnya guru, apatah lagi pelajar, menerima sahaja segala macam istilah dalam buku teks.

“Malah sains dalam bahasa Inggeris pun banyak yang salah diterjemah (dari Arab, Latin, Perancis dan Jerman) tetapi tidak pernah menjadi masalah kepada pelajar dan guru Inggeris. Umpamanya, istilah dalam trigonometri (daripada bahasa Arab) banyak yang disalah terjemah oleh sarjananya dahulu tetapi dipakai hingga sekarang, tanpa masalah,” tambahnya.

Oleh itu, katanya, Asasi tetap berpendirian bahawa dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik Sekolah adalah suatu kesilapan dan tragedi besar kepada rakyat Malaysia.

"Kami kira umat Malaysia kini dan akan datang, akan bertambah sanjungan dan penghormatannya lagi kepada kerajaan kini jika kerajaan tidak teragak-agak mengaku kesilapan ini dan memperbaiki keadaan dengan seberapa segeranya," tambahnya.

No comments:

Post a Comment