Monday, May 10, 2010

Bertegas Perkara 152
Mingguan Malaysia, 21 Februari 2010

Saya bergegas pulang ke ibu kota pada 15.2.2010 untuk memenuhi jemputan GAPENA, KALAM dan PENA sebagai panelis Wacana Peradaban Bahasa Melayu sempena Hari Pejuang Bahasa 152 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun sedang bercuti Tahun Baru Cina, berpegang kepada prinsip bila mana berlaku pertembungan antara kepentingan negara dengan kepentingan bangsa, maka kepentingan negara mesti diutamakan.

Namun, alangkah hampa rasa hati kerana bilangan peserta yang hadir kurang dari 200 orang, sedangkan perkara yang dibincangkan merupakan masalah dasar negara. Di manakah sensitiviti kita sebagai warganegara di bumi tercinta ini? Tarikh 15.2 dipilih kerana mengambil roh perkara 152 perlembagaan persekutuan mengenai kedudukan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan. Pelik sungguh memikirkan, kenapa berforum membincangkan sesuatu yang telah menjadi dasar negara? Kenapa tidak dilaksanakan sejak dahulu lagi?

Sungguh amat terharu memberikan pandangan dalam forum sebegini, apatah lagi mendengar beberapa pandangan panelis gandingan. Maklumlah BM selaku bahasa yang termaktub dalam perlembagaan tidak terdaulat di bumi sendiri. Kita sibuk dengan bahasa lain, terutama bahasa Inggeris (BI) berbanding BM. Menggambarkan seolah-olah bahasa sendiri tidak penting. Persoalannya, bagaimanakah kita boleh mengharapkan orang lain menghormati BM jika kita sendiri tidak serius untuk memartabatkan BM yang menjadi tunjang pembinaan sebuah negara bangsa?

Kita sanggup berbelanja sejumlah besar wang sehingga berbilion ringgit untuk memperkasakan BI, tetapi sejauhmanakah sejumlah yang sama atau lebih, digunakan untuk memperkasakan BM? Kita juga sanggup berhabis membeli komputer serta segala kelengkapan makmal BI dengan peralatan canggih bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran BI, tetapi adakah perkara yang sama disediakan untuk BM? Terkadangkala terlalu pahit juga untuk menyalah sekolah vernakular kerana bersikap acuh tidak acuh terhadap BM, sedangkan kita tidak serius menyediakan platform untuk memandaikan mereka dalam bahasa perpaduan ini.

Saya fikir tidak ada seorang pun yang akan menolak akan kepentingan BI dalam mendepani arus modenisasi dan globalisasi. Adalah suatu tindakan yang bodoh jika kita menolak tuntutan belajar bahasa asing, kerana ia amat dituntut oleh agama. Tetapi janganlah terlalu ghairah dengan bahasa asing sehingga bahasa sendiri berdagang di bumi sendiri. Di manakah slogan bahasa jiwa bangsa yang tersemat disanubari selama ini?

Apakah BI satu-satunya faktor yang akan menentukan kemajuan sesebuah negara atau sikap kita yang perlu berubah? Terkenang saya kepada beberapa buah negeri maju seperti Perancis, kita tidak akan dilayan jika berbahasa Inggeris di sana, tetapi negara mereka tetap maju. Di Jepun pula, selepas negara ini musnah dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki 1945, mereka terus bangun dengan semangat kejepunannya. Hari ini, Jepun terus berada di persada dunia setanding dengan negara maju yang lain. Dalam kata lain, semangat sayangkan identiti dan bahasa jiwa bangsa telah melonjak negara mereka. Begitu juga dengan negara lain, mereka bangun dengan acuan jati diri dengan memperkasakan bahasa jiwa bangsa dari segala segi.

Kadangkala saya sendiri merasa terpukul, kenapa mesti sanggup bersusah payah mempertahankan BM, lagipun ia bukan bahasa ibunda saya? Kenapa perlu berhadapan dengan kutukan dan kritikan bangsa sendiri hanya semata-mata mempertahankan bahasa orang lain? Setelah difikirkan balik, baru saya sedar, rupa-rupanya semangat cintakan tanahair dan Islam mengatasi segala-galanya sehingga terlupa asal-usul sendiri. Saya tidak nampak ini satu dosa seperti yang dilabelkan oleh ultra kiasu.

Jika BI yang menjadi punca kelemahan anak bangsa kita, maka lakukan perubahan secara besar-besaran terhadap cara pengajaran dan pembelajarannya dari segi domain, kognitif, psikomotor, pedagogi dan berbagai aspek lagi, bukannya merubah asas sistem pendidikan itu sendiri. Kadangkala saya rasa pelik, kita begitu berani merubah sistem pendidikan kebangsaan yang melibat masa depan bangsa Melayu, tetapi kenapa kita tidak berani langsung menyentuh atau merubah struktur sekolah vernakular, sedangkan kita ada kuasa berbuat demikian berasaskan perkara 152 dan akta pelajaran 1996? Sehinggakan sampai ke peringkat menyeragamkan dan menambahkan kurikulum BM sekolah tersebut pun kita tidak boleh bertegas. Akhirnya sistem pendidikan kebangsaan yang menjadi mangsa.

Saya amat kagum dengan kehadiran seorang profesor daripada Korea dalam wacana tersebut, yang begitu fasih berbahasa Melayu. Beliau mencadangkan agar tulisan jawi turut diperkasakan dalam usaha untuk memartabatkan BM. Katanya BM dan jawi amat berkait rapat dan tidak dapat dipisahkan. Tidakkah kita malu dan terpukul dengan pandangan seperti ini? Begitu juga dengan pandangan Dr. S. Nathesan Sellapan yang turut menjadi panelis wacana tersebut. Katanya, perjuangan mendaulatkan BM adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia, bukan hanya orang Melayu sahaja. Ini bermakna, orang bukan Melayu mesti memikul tanggungjawab serupa seperti mana yang dilakukan oleh orang Melayu.

Persoalannya, bagaimanakah ia boleh berlaku sedangkan orang Melayu sendiri berbelah-bahagi dengan kedudukan bahasa mereka sendiri. Lihat sahaja, apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengembalikan semula pengajaran sains dan matematik dalam BM, berapa ramai NGO-NGO Melayu yang tampil menentang keputusan tersebut? Akibatnya, orang lain mengambil kesempatan. Kita juga yang rugi.

Kenapa kita tidak bertindak seperti NGO-NGO bukan Melayu? Bila tiba soal mempertahankan bahasa ibunda dan sekolah mereka, tidak ada perkataan TIDAK, tanpa berbelah bahagi, mereka secara bulat bersatu hati. Bilamana ada ura-ura atau tindakan hendak mengubah karakter sekolah mereka, seperti penambahan waktu dan menyeragamkan silibus BM, mereka bersatu hati menentang. Keputusan kerajaanpun tidak dapat mengubah pendirian mereka. Akhirnya kerajaan yang terpaksa tunduk kepada desakan dan pendirian mereka. Sama ada wajar atau tidak, kita fikirlah sendiri? Kenapa sikap ini tidak ada pada orang Islam?

Paling tidak, kita mengamalkan budaya merujuk pakar, seperti yang dilakukan oleh negara maju. Misalnya, jika kita sakit, maka rujuklah doktor perubatan, jangan pula merujuk kepada doktor falsafah. Begitu juga dalam bidang bahasa. Biarlah pakar-pakar bahasa yang menyelesaikan masalah bahasa jika terdapat kecacatan atau kekurangan dari segi perlaksanaannya. Ini tidak, yang bukan pakar beriya-iya benar mahu merubah sesuatu yang di luar kepakarannya, tanpa merujuk kepada pakar. Akhirnya, keputusan yang dibuat mula tersasar dan sedikit demi sedikit tamadun bangsa terhakis.

Lihat sahaja, papan-papan tanda, nama-nama kedai dan taman-taman perumahan, adakah ia mencerminkan perkara 152? Adakah mereka yang berada di Jabatan Perancang Bandar peka dengan jati diri seperti ini? Ini tidak termasuk kemudahan surau yang tidak disediakan, kalau ada pun surau diletakkan di kawasan parkir yang menjijikkan. Kadangkala saya rasa kagum bilamana barat lebih memahami kita daripada kita sendiri memahami diri sendiri. Kita lihat surau-surau Carrefour dan Tesco yang diletakkan di tempat yang cukup strategik, cantik dan bersih.

Tidakkah kita yang meluluskan bangunan ini sedar akan hakikat ini. Kita mahu banyak melihat dan mendengar nama-nama taman teratai, melor dan sebagainya, bukannya Ki Park, Monte Kiara, Country Height dan macam-macam Height lagi. Nama-nama barat dianggap sebagai ada standard, berebut-rebut kita membeli rumah di kawasan tersebut, nama-nama berbunyi BM dianggap lekeh. Adakah nama-nama ini mencerminkan semangat 1Malaysia dan perkara 152? Ini belum termasuk dominasi budaya asing yang telah menenggelam muzik, lagu, adat resam, dan seni budaya tempatan. Jika perkara-perkara kecil ini tidak terjaga, bagaimanakah perkara yang lebih besar akan terpelihara? Saya amat mengharap 1Malaysia benar-benar dapat menjunjung jati diri rakyat Malaysia.

Apapun, pendekatan top-down amat berkesan dalam menentukan hala tuju sesebuah negara, bukannya bottom-up. Kadangkala saya amat kagum dengan segelintir NGO yang begitu bersemangat memperjuangkan jati diri dan identiti negara bangsa, tetapi adakah ianya disokong dan didokong oleh semua pihak. Saya bimbang kita syok sendiri. Janganlah terlampau berpolitik sehingga mengenepikan kepentingan agama, bangsa dan negara. Jika begitulah keadaannya, saya amat khuatir kita akan pupus. Jangan hanya berpolitik sementara ada kuasa atau memerintah satu penggal atau lima tahun. Bila tidak terpilih lagi, kita duduk diam. Perjuangan bahasa jiwa bangsa adalah perjuangan seumur hidup bukannya action-oriented.

Akibatnya, orang lain mengambil kesempatan. Bila orang lain yang mendominasi, kita menyalah mereka, sedangkan sendiri yang salah kerana terlalu alpa dan tidak mahu bertegas. Ke manakah Melayu dan Islam akan pergi jika kekuatan mereka semakin hilang? Apakah benar ramalan saya selama ini bahawa tamadun Melayu akan pupus di buminya sendiri jika mereka tidak ada lagi keyakinan kepada kekuatan diri sendiri tetapi lebih mempercayai kekuatan orang lain. Sedangkan kita tahu bahawa Allah memberikan kekuatan kepada setiap makhluk jadiannya, yang penting makhluk tersebut mesti bersyukur dan bukannya kufur nikmat?

Kadangkala saya terpinga-pinga melihat kita begitu prihatin dalam soal kepupusan sesuatu spesies haiwan atau tumbuhan dan hak asasi manusia, tetapi kita tidak mempedulikan kepada pupusnya sesuatu bahasa dan kebudayaan bangsa. Apatah lagi kalangan kita yang terserkap mindanya tidak mahu ketinggalan bersama manusia yang dianggap maju. Atas nama globalissasi, mereka ini mudah akur, memberi laluan kepada tamatnya riwayat bahasa jiwa bangsa, malah turut memberi sumbangan ke arah mempercepatkan lagi proses itu. Sepatutnya mereka ini lebih waras lagi dengan bertindak sekurang-kurangnya sama dengan kumpulan penggiat alam sekitar dan hak asasi manusia itu.

Kebanyakan kita di dunia ketiga menganggap globalisasi itu sebagai suatu fenomena baru akibat ledakan teknologi maklumat atau pengaruh Barat, sehingga sanggup merubah segalanya seperti menggunakan BI dalam segala aspeknya. Kita mesti ingat, walaupun sekitar 50 peratus daripada orang Eropah mengetahui bahasa Inggeris dengan baiknya, namun mereka tidak meninggalkan bahasa ibunda mereka dalam sistem pendidikan sains dan matematik. Pemimpin Eropah seperti Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Rusia dan sebagainya, tetap menggunakan bahasa ibunda mereka dalam komunikasi rasmi. Di United Kingdom sendiri, bahasa Wales dan Scotland, berasaskan bahasa peribumi daerah – Seltik, digunakan dalam kehidupan harian dan sistem pendidikan di peringkat tadika dan sekolah. Mereka mulai sedar betapa teruknya nasib bahasa yang dihimpit oleh dasar penginggerisan United Kingdom selama ini.

Sebaliknya, negara maju yang taksub dengan bahasa utama Amerika Syarikat dan United Kingdom, mula menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa lain seperti Arab, China, malah BM itu sendiri, untuk mengetahui psiki bangsa ini bagi tujuan ekonomi dan politik. Dasar pendidikan di negara ini membenarkan pendidikan menerusi kebudayaan sekurang-kurangnya di peringkat tadika dan sekolah rendah. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat komputer dan telekomunikasi hari ini seperti Microsoft, giat menterjemah segala keluaran atau produk dalam pelbagai bahasa di dunia atas alasan globalisasi.

Yang amat menyedihkan, reaksi kita hari ini kepada globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat berlainan daripada reaksi banyak pemimpin negara lain (termasuk negara maju) yang semakin menuju ke arah multi-budaya dan menonjol budaya sendiri. Malaysia semakin merendahkan budaya sendiri dan menuju ke arah eka-budaya yakni budaya barat. Janganlah kita menjadi negara Singapura yang mula menyesali tindakan mereka yang terlalu taksub dengan BI sehingga bahasa ibunda terpinggir dan mereka kini digelar sebagai Cina pisang (Chinese banana).


Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
Posted by RIDHUAN TEE at 10:21 AM


7:38 PM
MoHd HaFiZ HaSaN BasRi said...
Di negara kita, rakyat masih lagi mahu memperjuangkan bahasa masing2 dengan bahasa melayunya..bahasa cinanya...bahasa indianya dan sebagainya. Marilah kita sama2 membuang sifat 'EGO' yakni sifat\sikap yang terlalu mementingkan bahasa kaum masing2 demi perpaduan rakyat dalam erti kata lain sama2 memperjuangkan bahasa kebangsaan.

Mari..mari..mari rakyat Malaysia yg ku sayangi...bersatu hati kita mempergunakan perkataan bahasa 'MALAYSIA' demi menanam perpaduan dan patriotism\kenegaraan dan seterusnya bertutur dengan betul serta merasa bangga berbahasa kebangsaan dalam pertuturan seharian. Contohilah negara jiran kita dalam isu ini, Indonesia.

7:45 PM
Ordinary Joe said...
Hi Hafiz

I would like to share my view regarding your final statement: "Contohilah negara jiran kita dalam isu ini, Indonesia."

I believe Indonesia has done a good job adopting Malay as their national language. They have also learned to speak the language really well, very often much better than the native speakers when it comes to grammar and vocabulary. It is sheer pleasure to listen to them speak. The language is very widely spoken and we have even sought their help in the early days.

During one of my working trips to Djakarta, I met an engineer who shared with me his days in KL and told me that his dad was posted to KL to help Universiti Malaya adapt the engineering courses to BM. Such was their level of competency in BI.

On another trip, I presented a paper in a national conference in Bandung. The hall was full of engineers eager to learn new things from the speakers. I opened using BM but soon I had to switch to English. Saya dimaklumkan bahawa pada lazimnya, persembahan menggunakan Bahasa Malaysia boleh mengelirukan sebab penggunaan istilah yang berlainan dan perkataan yang sama mempunyai maksud yang berlainan. Contohnya, "pejabat" bermaksud "pemegang jawatan" dan sebagainya. Oleh itu, dengan izin, saya meneruskan persembahan menggunakan Bahasa Inggeris.

During the plenary break, I found out that most of the participants DID NOT understand English as they were trained locally and practiced locally. Only a few who were conversant in English came forward to exchange view with us.

Herein lies the dilemma. What is the right approach to the process of memertabatkan Bahasa Malaysia. The knee jerk reaction is to apply the same formula as one would 30 or 40 years ago. However, the world has changed. The world has changed tremendously. Information is now shared in the speed of a click. The Knowledge Industry has also taken the centrestage in a nation's economic wellbeing. We have to think out of the box. We have even suggestion to use Jawi for BM. Fine, I think it is a beautiful script. But do remember, whatever we do, we must look at all aspects of our national interests before plunging into it.

Hafiz, I hope we can discuss this objectively. If you would like me to use BM, I am more than happy to oblige. Saya fasih kerana saya juga orang Malaysia.


HaFiZ HaSaN BasRi said...
Menjawab dari balasan kesangsian(dilema)dr saudara OJ tidak lama dahulu,

Memanglah jelas dan betul apa yang saudara jelaskan, ketika ini arus pembangunan dari pelbagai segi\sudut mengalir dengan cepat dan pantas(zaman jalur bebas\tanpa sempadan).

Maka oleh yang demikian, janganlah kita rakyat Malaysia memberi alasan semedikian untuk sengaja terus menenggelam\menghanyutkan bahtera Bahasa negara yang kita cintai ini seumpama membiarkan ia terus hanyut dengan alasan arus ombak terlalu besar.

Untuk mengejar arus\gelombang yang deras, kita sebagai warganegara mestilah mempunyai semangat patriotik, kecintaan terhadap bahasa,jatidiri(integriti/identiti), kenegaraan, hormat, bangga dan tidak ada rasa menyerah kalah serta bertungkus lumus\bersemangat\bekerjakeras untuk bersaing dengan bahasa2 asing ini.

Ingat..pd saat dan ketika ini anakjati negara lain sedang bersusahpayah tanpa jemu untuk bersaing dgn BI dan adakalanya mendahului arus deras BI dengan ketekunan berpertabatkan bahasa negara mereka,

..tapi malangnya pd saat dan ketika ini juga di Malaysia segelintir rakyatnya masih lagi memberi alasan2 yang 'putus asa' dalam memperjuangkan bahasa negara/Bahasa Malaysia dan membiarkan ia tengelam dilautan BI.

MAHU SERIBU DAYA TIDAK MAHU SERIBU DALIH ;)


8:36 AM
Post a Comment

No comments:

Post a Comment