Monday, August 30, 2010

Bantah tindakan penguat kuasa Indonesia

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

ROMPIN 29 Ogos – Para pengusaha bot nelayan laut dalam di daerah ini membantah tindakan anggota penguat kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia yang sering menceroboh perairan Malaysia dan bertindak menahan serta merampas bot nelayan tempatan.

Menurut mereka, pencerobohan itu sering berlaku di sekitar perairan Kuala Rompin dekat sini sehingga menyebabkan mereka kerugian lebih RM10 juta dan ada juga nelayan yang ditahan untuk dibicarakan di negara itu.

Seorang pengusaha, Tang Poh Sin, 32, mendakwa, pihak berkuasa Indonesia akan memaksa nelayan yang ditahan masuk ke perairan mereka sebelum ditahan.

“Tindakan mereka menahan nelayan kami yang merupakan warga Thailand adalah tidak berperikemanusiaan dan melampau.

“Sudahlah bot kami dirampas, nelayan kami yang merupakan tekong bot juga ditahan. Bagaimanapun semua awak-awak dilepaskan,” katanya ketika sesi dialog bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Johari Hussain di sini.

Tambahnya, berdasarkan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), dia yakin nelayannya berada di perairan negara ketika ditahan oleh penguat kuasa Indonesia itu.

“Tidak mungkin bot kami melepasi sempadan negara lain kerana di situ sememangnya telah menjadi tempat untuk kami menangkap ikan sejak 10 tahun lalu,” ujarnya yang kerugian lebih RM2 juta selepas dua bot miliknya dirampas pada 19 Ogos lalu.

Seorang lagi pengusaha bot, Tea Sang Cheang, 63, berkata, nelayan lama di kawasan itu juga arif mengenai undang-undang dan etika serta tidak bersikap tamak sehingga menceroboh perairan negara lain.

“Kami pun tahu undang-undang dan tahu sempadan Malaysia dan Indonesia. Semasa nelayan kami ditahan, saya membuat permohonan melalui Jabatan Perikanan bagi mengesahkan kedudukan nelayan terlibat pada 18 hingga 20 Ogos lalu.

“Jabatan Perikanan membuat pengesahan track vessel yang menyatakan nelayan kami masih di perairan negara sepanjang tempoh tersebut,” jelasnya.

Chea Song Kang, 60, berkata, sepanjang tempoh tiga tahun lalu, empat buah bot pukat tundanya telah dirampas oleh pihak berkenaan.

“Situasi ini menyebabkan saya dan pengusaha lain bimbang kehilangan mata pencarian sedangkan kami tidak menceroboh.

“Saya mohon pihak berkuasa negara ini segera bertindak dan mencari penyelesaian agar nelayan di sini tidak ditahan sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa negara jiran,” katanya.

Dalam pada itu, Johari akan mengadakan pertemuan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Kementerian Pertahanan dalam usaha membincangkan perkara tersebut.

“Isu ini adalah berkaitan soal keselamatan kedua-dua negara dan ia perlu diselesaikan melalui rundingan kerana melibatkan nelayan di perairan Malaysia terutama di Kuala Rompin,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment