Saturday, October 23, 2010

 Denggi meningkat 18 peratus
pengarang@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 22 Okt. – Sejumlah 39,264 kes denggi dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga 16 Oktober lalu yang merupakan peningkatan kes sebanyak 18 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kes kematian akibat demam denggi turut meningkat sebanyak 63 peratus atau 45 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kematian ialah 117.

Katanya, dalam tempoh 10 hingga 16 Oktober lepas, sejumlah 934 kes demam denggi dilaporkan, peningkatan 23 kes berbanding 911 kes pada minggu sebelumnya.

“Jumlah ini adalah 66 peratus lebih tinggi berbanding jumlah kes yang dilaporkan pada minggu sama tahun lepas iaitu 563 kes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, lapan negeri yang menunjukkan peningkatan kes itu minggu lepas ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 25 kes, Pulau Pinang (11), Pahang (10), Selangor (9), Kedah (7), Terengganu (6), serta Perlis (1).

Tambahnya, tiada kes chikungunya dilaporkan pada tempoh yang sama menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 780 kes iaitu penurunan sebanyak 79 peratus berbanding 3,643 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

No comments:

Post a Comment