Monday, December 27, 2010

Hapuskan polarisasi kaum demi perpaduan - Lam Thye


KUALA LUMPUR 26 Dis. - Golongan belia perlu memperkukuhkan integrasi kaum selaras dengan konsep 1Malaysia yang mempromosikan perpaduan dan semangat bersatu hati di kalangan rakyat.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, golongan muda negara seharusnya mengenali antara satu sama lain dan menjalinkan persahabatan dengan mereka yang berlainan kumpulan etnik.

"Warga belia sepatutnya tidak perlu mengambil kira bahawa seseorang yang duduk di sebelah mereka adalah daripada berlainan kaum dan agama.

"Sebaliknya, mereka harus menyedari bahawa yang duduk di sebelah mereka adalah seorang rakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, tambah Lam Thye, sekolah adalah tempat yang paling sesuai untuk mempromosikan integrasi kaum.

Justeru katanya, guru dan ibu bapa harus memainkan peranan dengan menggalakkan pelajar dan anak-anak mereka bergaul dengan rakan-rakan yang berbilang bangsa dan agama.

"Pelajar hari ini adalah pemimpin pada masa akan datang. Di bahu mereka terletaknya tanggungjawab dalam membina negara Malaysia yang bersatu padu dengan satu matlamat yang dikongsi bersama.

"Usaha untuk menyemai nilai-nilai murni dan objektif mulia berkaitan dengan perpaduan harus dimulakan di peringkat sekolah rendah lagi supaya kita dapat menghasilkan generasi Malaysia akan datang yang sedar tentang tanggungjawab mereka terhadap bina negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru pihak sekolah, kolej dan institusi pendidikan swasta mengambil usaha bagi mencegah polarisasi kaum di peringkat institusi masing-masing.

"Kita perlu kembali ke pengetahuan asas iaitu dalam aspek ini adalah Rukunegara dan lima prinsipnya yang merupakan cahaya pedoman untuk membina Malaysia yang bersatu padu.

"Perpaduan dan keharmonian harus menjadi sebahagian daripada budaya serta dapat mewujudkan lebih banyak peluang kepada orang ramai daripada pelbagai kaum untuk berjumpa dan menjalinkan persahabatan yang lebih akrab demi masa depan negara," katanya.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Pendapat Hfiz Baze dlm perkara ini;

Sistem pendidikan/persekolahan harus dirombak besar2an, penggunaan Bahasa Malaysia diwajibkan digunakan pada semua jenis sekolah yg ada di Malaysia,untuk menyemai semangat cintai Bahasa kebangsaan serta membina jati diri dan identiti sebenar warga Malaysia menghormati dan membiasakan diri bertutur bahasa negara dgn lancar seperti di Indonesia.

Seterusnya minda serta persepsi mereka yang selama ini menganggap bahawa bahasa Malaysia adalah untuk golongan kaum tertentu sahaja dapat diubah.

Dengan cara semedikian rakyat akan sama2 bertutur dengan satu bahasa negara tidak kira kaum, dan seterusnya isu polarisasi antara kaum dapat dihindarkan dan konsep 1Malaysia akan tercapai .

No comments:

Post a Comment