Wednesday, August 10, 2011

MAS + AIR ASIA


Firefly jadi syarikat penerbangan serantau; Pengarah Urusan MAS umum letak jawatan


KUALA LUMPUR: Persaingan 10 tahun Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia Bhd berakhir semalam, apabila kedua-dua syarikat itu membentuk pakatan menerusi Rangka Kerja Kerjasama Komprehensif (CCF) bagi menjadikan Malaysia hab penerbangan serantau.

Di bawah kerjasama itu, MAS berupaya untuk mengukuhkan lagi operasi penerbangannya dengan barisan pengurusan baru yang mantap dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing serta meletakkannya pada landasan kukuh sebagai penyedia perkhidmatan penerbangan penuh utama negara.
AirAsia pula berpeluang meraih laluan penerbangan dan destinasi baru yang boleh menjana kukuh pendapatannya pada masa depan.
Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof, berkata pakatan itu menandakan era baru kerjasama untuk kedua-dua syarikat penerbangan terbabit melengkapi operasi dan meraih manfaat bersama.

“Kerjasama itu akan membantu MAS memberi tumpuan terhadap kekuatannya di pasaran teras, selain dapat menjana muatan lebih tinggi serta menggunakan sumber secara lebih cekap pada masa depan,” katanya pada sidang media berhubung kerjasama antara MAS dan AirAsia di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata kerjasama itu memberi peluang kepada syarikatnya untuk menjana peluang pertumbuhan baru pada masa depan.

“Saya fikir AirAsia boleh menjana lebih banyak keuntungan. Kedua-dua syarikat juga akan menjadi lebih produktif dengan menggunakan tenaga bersama berbanding bersaing antara satu sama lain,” katanya.
Di bawah kerjasama semalam, Tony dan Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas MAS berkuat kuasa esok.

Syarikat penerbangan negara itu turut umumkan pelantikan Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah, Tan Sri Tan Boon Seng @ Krishnan, Datuk Rohana Rozhan dan David Lau Nai Pek sebagai pengarah eksekutif syarikat, dilantik daripada Khazanah Nasional Bhd berkuat kuasa semalam.

Sementara itu, Datuk N Sadasivan N N Pillay, Keong Choon Keat, Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini, Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Datuk Sukarti Wakiman dan Martin Gilbert Barrow meletakkan jawatan sebagai pengarah bukan eksekutif MAS berkuat kuasa kelmarin dan semalam.

MAS turut mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Urusannya, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin berkuat kuasa semalam dan akan menyertai Khazanah sebagai Pengarah Eksekutif Pelaburan berkuat kuasa 12 September ini.

Jawatankuasa eksekutif dipengerusikan Md Nor ditubuh untuk memantau pengurusan syarikat itu sehingga pengarah urusan MAS yang baru dilantik.

No comments:

Post a Comment