Wednesday, October 19, 2011

Bahasa Malaysia Dipertabatkan

Memartabat bahasa Malaysia perlu disokong



KUALA LUMPUR 15 Okt. - Usaha kerajaan memartabatkan bahasa Malaysia (BM) sebagai bahasa ilmu perlu disokong bagi memastikan peranannya tidak terbatas hanya sebagai bahasa kebangsaan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, walaupun negara telah mencapai kemerdekaan selama 54 tahun, namun isu berkaitan penggunaan bahasa Malaysia masih timbul dan diperdebatkan.

"Kerajaan serius dalam menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bukan sekadar bahasa kebangsaan.

''Oleh itu, saya berharap tidak wujud golongan yang cuba menenggelamkan atau menghalang idea berkenaan,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kali kelapan di sini hari ini.

Rais berkata, rakyat perlu bersama memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu kerana ia sebahagian daripada idea gagasan 1Malaysia.

Dalam hal ini, beliau memuji ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang konsisten berkaitan isu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ilmu.

''Isu ini sepatutnya tidak timbul sekiranya rakyat menyokong usaha kerajaan memartabatkan penggunaan bahasa ibunda itu dan sekali gus menjadikannya bahasa ilmu di negara ini,'' katanya.

Mengenai konvokesyen hari ini Rais berkata, persepsi masyarakat terutamanya ibu bapa terhadap bidang pengajian berkaitan seni dan budaya menunjukkan tanda positif.

Katanya, pelaburan besar pelbagai pihak memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa industri itu bukan sahaja memberi ruang kepada pelajarnya berkarya, tetapi menawarkan peluang pekerjaan.

Menurutnya, industri kreatif membabitkan seni dan budaya dunia menjana sekitar RM78 bilion setahun dan sebanyak RM2.8 bilion hingga RM5.8 bilion daripada jumlah itu turut disumbangkan oleh negara ini.

"Di Aswara, 95 peratus daripada graduannya memperoleh pekerjaan dalam industri berkenaan setelah tamat pengajian,'' katanya.



No comments:

Post a Comment