Saturday, October 29, 2011

Buku Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu

Penerbitan buku bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu disokong


PUTRAJAYA 28 Okt. – Keputusan menetapkan penerbitan buku akademik dalam bahasa Melayu sebagai kriteria utama kenaikan pangkat pensyarah tempatan mampu memastikan kelestarian bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, setakat ini, jumlah buku akademik yang diterbitkan menggunakan bahasa Melayu sangat terhad terutama berkaitan Sains dan Matematik.

Menurutnya, melalui langkah itu sekali gus akan memperbanyakkan koleksi buku-buku ilmiah terbitan universiti tempatan di pasaran.

“Menjadi satu kerugian sekiranya buku-buku akademik yang diterbitkan oleh sarjana tempatan menggunakan bahasa Inggeris sahaja dan hanya mampu ditatap orang luar negara.

“Sepatutnya penuntut dan masyarakat tempatan yang didahulukan supaya hasil penyelidikan itu dapat dikongsi bersama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahukan IPT tempatan memberi kenaikan pangkat dan perjawatan kepada kakitangan akademik melalui penerbitan buku atau bahan akademik dalam bahasa Melayu.

Mohamed Khaled berkata, ia sebagai langkah untuk memperkukuhkan bahasa Melayu dalam konteks pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan.

Bagaimanapun Mohd. Noh berkata, sarjana tempatan juga perlu menerbitkan bahan-bahan ilmiah menggunakan bahasa Inggeris supaya ia boleh menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.

“Jika hanya buku bahasa Melayu diterbitkan, dibimbangi pasarannya tidak meluas. Justeru, sarjana-sarjana tempatan harus mengimbangi penerbitan buku akademik dalam kedua-dua bahasa.

“Ini kerana ahli akademik yang hendak naik pangkat mesti berkebolehan dan berkeupayaan menulis dalam bahasa Inggeris dan Melayu,” katanya.

Ditanya mengenai penerbitan buku akademik di UTHM, Mohd. Noh berkata, sebanyak 70 peratus buku akademik yang diterbitkan universiti tersebut menggunakan bahasa Melayu terutama berkaitan Sains, Matematik dan Kejuteraan.



No comments:

Post a Comment