Thursday, October 27, 2011

MONOREL PUTRAJAYA TERBENGKALAI



KALAU diikutkan hati, mahu sahaja diminta semua penjawat awam yang tinggal di kuarters-kuarters di Putrajaya berbasikal ke ofis.

Tapi kasihan pula. Nanti sebaik sahaja sampai di pintu masuk ofis, sudah berpeluh-peluh. Itu belum masuk ke bilik ber‘aircond’, nanti badan berbau pula. Ketika ini sasaran Perbadanan Putrajaya menerusi kempen bandar hijaunya mahu mengurangkan suhu panas sebanyak dua peratus daripada 35 darjah celsius sedia ada.

Dengan adanya pokok hujan-hujan yang cepat tumbesarannya, sekurang-kurangnya dapat menyejukkan suhu di Putrajaya. Tetapi dari hari ke hari, jumlah kenderaan yang berada atau memasuki Putrajaya kian bertambah. Di pusat pentadbiran persekutuan itu sahaja ketika ini terdapat 26,000 buah rumah. Jika purata sebuah rumah ada dua buah kereta, maka darabkanlah = 52,000 buah kereta. Pada masa ini kenderaan di Putrajaya menyumbang 25.9 peratus pelepasan karbon dioksida manakala pembinaan sekitar 30 peratus.

Memang kenderaan di Putrajaya kian bertambah. Bukan sekali tambah, tapi berganda dari tahun ke tahun. Jika sebelum ini, sejumlah 1,000 petak letak kereta disediakan di Parcel D untuk penjawat awam, kenderaan yang memasukinya kini mencecah 13,000 buah. Staf ramai dengan kereta sesak bertali arus pada awal pagi. Menjelang pukul 5 petang, bertambah sesak lagi sehingga terpaksa menunggu dalam kereta hampir dua jam sebelum jalan ‘clear’.

Itu sebabnya timbul rasa terkilan di hati apabila melihat landasan monorel separuh siap berdekatan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya semalam. Kalaulah dulu projek bernilai RM400 juta ini diteruskan, sudah pasti Putrajaya tidak mengalami masalah tempat letak kereta kronik seperti sekarang. Tetapi jika sekarang hendak dibina, bayangkanlah berapa mahal kosnya.

Bayangkan monorel bergerak di sekitar Putrajaya . Tidakkah itu suatu yang indah dan kelihatan maju? Tetapi projek ini terbengkalai dengan jejambat untuk menempatkan relnya terjuntai di stesen LRT di antara Kuala Lumpur dan KLIA.

Hakikatnya, masa depan pengangkutan manusia di seluruh dunia terutama di kawasan urban adalah sistem rel.

Jika diimbau kembali, projek pengangkutan monorel Putrajaya yang meliputi jarak rel sepanjang 18 kilometer sebelum ini dijadualkan siap pada penghujung 2004. Tetapi ia ditangguhkan pada pertengahan tahun tersebut kerana ketiadaan peruntukan. Pembangunan fasa pertama projek itu melibatkan pewujudan sistem pengangkutan monorel bawah tanah dan jejantas sepanjang lapan kilometer menghubungkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Presint 3 ke Kementerian Pelajaran di Kompleks E.

Ketika itu (2004), MTrans Monorail Sdn. Bhd. (MTrans) diberi tanggungjawab melaksanakan projek itu, yang dijadual mengambil masa 30 bulan bagi membina 12 stesen termasuk tujuh di bawah tanah dan landasan.

Jika projek monorel ini diteruskan, maka penduduk atau pengunjung luar Putrajaya, akan dibekalkan dengan dua laluan. Laluan yang hendak dimulakan dulu itu adalah line 1. Ia bersambung daripada Putrajaya Sentral dengan depotnya di atas sedikit dari situ. Dari situ (stesen 1), ia dihubungkan ke stesen dua di kawasan perumahahan Putra Harmoni ke Putrajaya Sentral (stesen 3) dan stesen 4 di depan hospital. Kemudian, disambungkan ke stesen 5 di kawasan komersial yang sedang dibina di Presint 8 dan naik melalui jambatan masuk ke terowong yang memang ada laluan dibina. Dari situ ke Presint 4 di Wisma Tani, kemudian ke Kementerian Kewangan. Kelak, akan ada beberapa stesen ke situ dan mempunyai lingkungan belasan stesen dan semuanya berada di bawah tanah. Laluan seterusnya adalah sehingga ke kompleks E di mana stesen berada di atasnya dan kemudian ke Alamanda dengan stesen bersebelahan tempat letak kereta bahagian selatan. Dari situ akan ke setakat Presint 15 (Diplomatik) dengan pelan perancangan dihubungkan ke Kampung Abu Bakar Baginda.

Line dua pula akan melalui Presint 17 dan 18 sebelum bercantum kembali di Presint 4 yang kemudian dihubungkan ke PICC, Pullman dan ke Cyberjaya.

Hasrat untuk meneruskan projek monorel yang tergendala ini pernah ditimbulkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini, Datuk Zulhasnan Rafique pada 2007 yang antaranya mahu memperincikan kaedah pelaksanaannya selain merujuk kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Malah, Perbadanan Putrajaya sendiri melantik sebuah syarikat perunding tempatan untuk menyiapkan kajian mengenai model kewangan yang sesuai bagi meneruskan projek pengangkutan monorel ini.

Namun akhbar ini difahamkan, hasrat itu muncul kembali kerana ia dikatakan akan menjadi pelengkap kepada kejayaan bandar hijau Putrajaya. Dan dikatakan kos untuk menyiapkan satu line memakan belanja RM1 bilion.

Harap-haraplah projek ini diteruskan. Kelak, Putrajaya nampak urban dengan park & ride ‘naik sama’ dengan digunakan semaksimum mungkin seperti mana contoh Park & Ride terbaik dunia di Stockholm, Hull City, Oxford City dan Prague.



No comments:

Post a Comment