Wednesday, August 22, 2012

Bahasa Malaysia masih dipinggirkan

Bahasa Malaysia masih dipinggirkan

 TANGGAPAN bahawa Bahasa Malaysia hanya dimiliki oleh orang Melayu dan bukannya teras kepada pembangunan negara bangsa antara faktor kenapa bahasa kebangsaan masih gagal dimartabatkan dan dihormati pada kedudukan sewajarnya termasuk di kalangan rakyat asing yang berada di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sehingga kini ramai rakyat negara ini memahami istilah bangsa sebagai merujuk kepada kaum masing-masing iaitu sama ada Melayu, Cina, India serta kaum minoriti lain dan bukannya melihat ia sebagai penduduk yang tinggal di Malaysia.
“Aspek Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang juga teras perpaduan negara bangsa bagi semua rakyat Malaysia tidak menonjol. Ia akhirnya meninggalkan kesan psikologi bahawa Bahasa Malaysia hanya dimiliki dan dipertuturkan oleh orang Melayu saja sehingga lupa kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan teras negara Malaysia.

"Hakikatnya, sekarang semakin ramai generasi muda bukan Melayu terutama Cina dan India yang fasih bertutur Bahasa Malaysia. Jadi saya tetap yakin jika kita dapat pecahkan tembok pemisah bahawa bahasa Malaysia untuk orang Melayu saja. Bahasa Malaysia akan dituturi dan dihormati dengan lebih meluas," katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan penutupan Seminar Memartabatkan Bahasa Malaysia bertajuk Bahasa Malaysia Merealisasikan 1Malaysia' anjuran Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak di Ipoh, Ahad lalu.

Zambry berkata, rakyat Malaysia sewajarnya mencontohi beberapa negara asing yang begitu berbangga dengan bahasa kebangsaan masing-masing seperti ditunjukkan oleh rakyat Jepun dan pengalamannya bertemu dengan seorang ahli akademik terkemuka Jepun lulusan Universiti Harvard yang fasih berbahasa Inggeris cukup menginsafkan.

“Sarjana Jepun itu enggan menggunakan bahasa antarabangsa itu apabila berbincang, sebaliknya lebih rela menggunakan khidmat jurubahasa kerana sikap patriotiknya mahu bertutur bahasa Jepun. Begitu juga apabila saya bertemu dengan beberapa pegawai kedutaan asing yang sudah lama menetap di negara ini.

“Tidak ramai yang fasih dalam Bahasa Malaysia kerana tiada keperluan belajar bahasa terbabit sebab mereka tidak menghadapi masalah berbahasa Inggeris di negara ini. Malah, mereka mengakui cuba berbual dalam Bahasa Malaysia, lazimnya rakyat Malaysia akan menjawabnya pula dalam bahasa Inggeris," katanya.

Justeru, Zambry yakin bahawa usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia sebenarnya terletak pada kesungguhan rakyat negara ini sendiri dan mereka juga perlu mengubah persepsi bahawa hanya yang fasih berbahasa Inggeris saja mempunyai status sosial lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment